|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 399 surah
al-'Ankabut. Semoga Allah SWT sentiasa memimpin
kita dalam jalan hidayah. Semoga Allah SWT berikan kebaikan yang banyak
kepada kita semua. Banyakkan berselawat. Ingatkan perjuangan Nabi SAW penuh
dengan cabaran. Ujian itu bukan untuk menjatuhkan semangat Nabi SAW malah dipujuk
dengan surah al-'Ankabut.
Ayat 29:24
فَمَا
كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ
إِلَّآ أَن
قَالُوا۟ ٱقْتُلُوهُ أَوْ حَرِّقُوهُ فَأَنجَىٰهُ
ٱللَّهُ مِنَ
ٱلنَّارِ إِنَّ
فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ
لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Kemudian,
seruan Nabi Ibrahim tidak dijawab oleh kaumnya melainkan dengan kata-kata
(tentangan yang keras): "Bunuhlah dia atau bakarlah dia". Maka
Allah selamatkan Nabi Ibrahim dari api (yang disediakan oleh kaumnya).
Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang
membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) beriman.
Pengajaran
- Allah SWT
ingatkan kita sejarah perjuangan Nabi Ibrahim AS. Baginda mengajak kaumnya
untuk beriman dengan penuh kasih sayang tetapi mereka tidak suka. Mereka
merasakan ini mencabar mereka. Mereka bakar Nabi Ibrahim AS tetapi baginda tidak
terbakar. Allah SWT menyelamatkan baginda daripada api.
- Ini adalah satu
daripada tanda-tanda kepada kaum yang beriman. Menurut Syed Qutub, paling
kurang ada tiga perkara tentang persitiwa ini:
- Tidak berbekas
api itu kepadanya.
- Raja yang
hendak membunuhnya tidak kuat pun.
- Mukjizat yang
hebat itu tidak memberi kesan kepada mereka yang ingkar. Mukjizat ada, tetapi
tidak memberi kesan kepada hati mereka.
Ayat 29:25
وَقَالَ
إِنَّمَا ٱتَّخَذْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ
أَوْثَٰنًا مَّوَدَّةَ بَيْنِكُمْ
فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا
ثُمَّ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ
يَكْفُرُ بَعْضُكُم بِبَعْضٍ
وَيَلْعَنُ بَعْضُكُم بَعْضًا
وَمَأْوَىٰكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن نَّٰصِرِينَ
Dan Nabi
Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): "Perbuatan kamu menyembah
berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan
kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian
pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain,
dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan
(kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh
sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".
Pengajaran
- Mereka
menyembah berhala. Berhala mungkin dalam bentuk fizikal, batu, plastik
ataupun dalam bentuk manusia yang dipuja. Ini kerana mereka tidak boleh
berenggang dengan benda yang dicintai. Disebabkan mencari kasih sayang dunia
berlebihan, seseorang sampai menyembah
berhala.
- Di akhirat,
mereka akan menyalahkan kawan-kawan mereka dan melaknat mereka kerana tidak menghalang mereka dari
menyembah berhala-berhala itu. Di dunia dahulu mereka sudah menjaga hati
kawan-kawan tetapi itu rupanya adalah illah yang lain. Tempat mereka adalah
di neraka, tidak ada pertolongan daripada sesiapa pada waktu itu.
- Semoga kita
jangan tersilap dalam hidup dengan mencari kasih sayang manusia sehingga
tidak mentaati Allah SWT. Jika tersilap, kita minta ampun. Jangan terus melawan
kebenaran.
Ayat 29:26
فَـَٔامَنَ لَهُۥ لُوطٌ وَقَالَ
إِنِّى مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّىٓ إِنَّهُۥ
هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Setelah itu Lut
beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: "Aku hendak berhijrah
kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana".
Pengajaran
- Pada zaman Nabi
Ibahim AS tidak ada orang yang beriman kecuali Nabi Lut AS.
- Nabi Ibrahim AS
mengatakan baginda mahu berhijrah dari Iraq ke Sham untuk terus menyampaikan
kebenaran. Nabi Ibrahim AS banyak bermusafir untuk berdakwah. Itulah
perjuangan baginda untuk mengajak seramai mungkin beriman kepada Allah SWT.
- Bila seseorang
itu fokus kepada Allah SWT, dia sanggup berhijrah dan dia sentiasa mengajak
orang ke arah kebaikan walaupun tidak ada yang mahu mengikut. Yang penting
dia dekat dengan Allah SWT, jangan ikut kepada orang ramai yang tidak betul
sehingga dilaknat di akhirat kelak.
- Allah SWT Maha
Perkasa. Boleh sahaja Allah SWT terus membuat semua orang beriman dan
mengazab mereka bila ingkar. Allah SWT Maha Bijaksana, terus memberi peluang
untuk mereka kembali.
Ayat 29:27
وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَٰقَ وَيَعْقُوبَ
وَجَعَلْنَا فِى
ذُرِّيَّتِهِ ٱلنُّبُوَّةَ وَٱلْكِتَٰبَ
وَءَاتَيْنَٰهُ أَجْرَهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا وَإِنَّهُۥ
فِى ٱلْءَاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ
Dan Kami
kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya); dan Kami jadikan
dalam kalangan keturunannya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima
Kitab-kitab ugama; dan Kami berikan balasannya yang baik di dunia; dan
sesungguhnya adalah ia, pada hari akhirat, dari orang-orang yang soleh.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS
dikurniakan anugerah yang besar iaitu zuriat yang soleh. Ini adalah kesan apabila
kita buat baik dan mengajak orang ke arah kebaikan.
- Mengajak orang
ke arah kebaikan memang kadang-kadang perit kerana bukan semua orang suka. Yang
manisnya apabila dapat kurniaan Allah seperti yang diberikan kepada Nabi
Ibahim AS. Ayah ibu kena buat kerja seperti Nabi Ibrahim AS dalam mendidik
anak-anak menjadi soleh.
- Nabi Ibrahim AS
ada pendirian dalam hidupnya dan terus berjuang menyampaikan mesej tauhid. Kita
juga ikutlah SOP disiplin kitab kehidupan yang ditunjukkan oleh baginda dan
diharapkan akan menerima ganjaran yang besar.
- Dalam hidup
kita, jika kita diuji, tetap bangkit dan terus sampaikan mesej kebaikan.
- Kalau kita beriman
dan berbuat amal kebaikan di muka bumi ini, kita akan bersama Nabi Ibrahim
AS. Kita tidak semestinya sempurna, tetapi kita cuba untuk menjadi orang yang
soleh.
Ayat 29:28
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلْفَٰحِشَةَ
مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ ٱلْعَٰلَمِينَ
Dan
(ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkata ia berkata kepada kaumnya:
"Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah
dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu.
Pengajaran
- Kaum Nabi Lut
AS adalah pemula kepada perkara keji homoseksual. Selepas itu, kekejian terus
berlaku. Sekarang ada 53 jantina yang
boleh dipilih sedangkan sepatutnya, hanya ada lelaki dan perempuan sahaja.
Mereka mengambil sisi perkara keji ini sehingga sampai kepada peringkat umum.
- Nabi Lut AS ada
pendirian. Kalau kita hendak buat baik kita mesti ada pendirian.
- Selain
melakukan homoseksual, kaum Nabi Lut AS juga menghadang jalan orang. Contoh: Zaman
sekarang ada orang meletak minyak di jalan untuk menyusahkan orang. Jangan
kutip tol sehingga menyusahkan orang. Bagi pihak konsesi/kementerian boleh
melihat ayat ini sebagai panduan. Jangan sampai orang susah, disusahkan lagi.
Ayat 29:29
أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ
ٱلرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ ٱلسَّبِيلَ
وَتَأْتُونَ فِى
نَادِيكُمُ ٱلْمُنكَرَ فَمَا كَانَ جَوَابَ
قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ ٱئْتِنَا
بِعَذَابِ ٱللَّهِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ
"Patutkah
kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu
memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan
perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?" Maka kaumnya
tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): "Datangkanlah
kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari
orang-orang yang benar".
Pengajaran
- Pada zaman Nabi
Lut AS mereka menghalang orang di jalanan, merompak dan melakukan perbuatan
mungkar homoseksual di tempat mereka berhimpun.
- Zaman sekarang,
pemimpin mesti pastikan tempat-tempat perhimpunan yang ada maksiat sebegini
seperti disko, judi perlu di benteras kerana ia adalah fahsyak yang akan
menjemput azab Allah SWT.
- Kaum Nabi Lut
AS mengejek baginda dengan meminta didatangkan azab.
Ayat 29:30
قَالَ
رَبِّ ٱنصُرْنِى عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْمُفْسِدِينَ
Nabi Lut berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang
melakukan kerosakan (menderhaka)".
Pengajaran
- Setelah
mengajak ke arah kebaikan tetapi mereka mengejek, maka Nabi Lut AS memohon
pertolongan kepada Allah SWT terhadap orang yang membuat kerosakkan.
- Semoga Allah
SWT tolong kita banteras tempat arak, judi dan tempat maksiat yang lain. Kita
kena tegur pihak yang mempunyai authoriti agar negara kita terhindar daripada
azab.
RESOLUSI
Ingat!
- Elakkan menyembah selain Allah SWT kerana
mengikut hawa nafsu yang inginkan kesenangan (29:25)
- Yakin Allah SWT beri ganjaran di dunia dan
akhirat pada kebaikan yang dibuat (29:27)
- Jika dinafikan dalam menyampaikan kebenaran,
banyakkan berdoa pada Allah SWT (29:30)
Saya berasa lega,
Allah SWT akan beri ganjaran di dunia dan akhirat kalau saya buat kebaikan.
Saya jelas
saya mesti elakkan dari menyembah selain Allah
SWT kerana mengikut hawa nafsu yang inginkan kesenangan. Saya jelas saya
mesti yakin Allah SWT beri ganjaran di dunia dan akhirat pada kebaikan yang dibuat.
Saya jelas untuk banyak berdoa kepada Allah SWT jika dinafikan dalam
menyampaikan kebenaran.
Ya Allah, jauhkan
kami dari menyembah selain Engkau kerana mengikut hawa nafsu yang inginkan
kesenangan. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau akan beri
ganjaran di dunia dan akhirat pada kebaikan yang dibuat. Ya Allah, bimbing
kami dalam menyampaikan kebenaran.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya
tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada
ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau
redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan
hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|