Saturday, September 9, 2023

Halaman 398 Al-'Ankabut, 29:15-23

 

PERKATAAN HARI INI


 وَثَنَ  Mempersekutukan, menduakan. 

3 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS

  

1.     Allah SWT selamatkan Nabi Nuh AS daripada ujian (29:15)











     2. Dalil tiga dasar agama: keesaan, risalah dan kebangkitan (29:16-23)

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 398 surah al-'Ankabut. Semoga kita terus ceria bersama al-Quran.

 

Ayat 29:15

 

فَأَنجَيْنَٰهُ وَأَصْحَٰبَ ٱلسَّفِينَةِ وَجَعَلْنَٰهَآ ءَايَةً لِّلْعَٰلَمِينَ

 

Maka dengan itu Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya yang turut bersama dalam bahtera, dan Kami jadikan bahtera itu satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan memberi pengajaran insaf) kepada sekalian makhluk.

 

Pengajaran

 

  1. Dalam surah ini ada dua sahaja ayat berkaitan Nabi Nuh AS. Nabi Nuh AS tetap istiqamah berhadapan pancaroba dalam hidupnya selama 950 tahun. Akhirnya Allah SWT tenggelamkan kaumnya yang ingkar dalam banjir.
  2. Nabi Nuh AS dan pengikutnya yang beriman diselamatkan dalam bahtera yang dibuat oleh Nabi Nuh AS. Idea pembinaan kapal besar itu diwahyukan oleh Allah SWT.
  3. Kisah Nabi Nuh AS adalah pelajaran untuk seluruh alam. Noah Arc yang berada di bukit antara Turki dan Soviet juga dikaji oleh orang bukan Islam.
  4. Pengajarannya: Ujian kita mungkin setahun dua, tetapi ujian bagi Nabi Nuh AS ialah 950 tahun. Kisah ini memujuk para sahabat, Khabab, keluarga Ammar b Yassir, Bilal b Rabbah dan kita juga. Ujian boleh jadi dalam bentuk agama atau keluarga untuk membersihkan kekotoran sehingga kita menjadi seperti emas tulen sebelum kembali menghadap Allah SWT.

 

Ayat 29:16

 

وَإِبْرَٰهِيمَ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱتَّقُوهُ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

 

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ibrahim, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya; yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu tahu (membezakan yang baik dari yang buruk)”.

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Ibrahim AS juga adalah tokoh yang menghadapi ujian. Baginda menyeru kepada kaumnya untuk beribadah, hambakan diri, tunduk kepada peraturan Allah SWT dan ambil tindakan dengan menjaga diri dari perkara yang merosakkan diri, masyarakat, negeri dan negara kita.
  2. Sentiasalah mencari ilmu. Yang dapat menjaga kita daripada segala masalah adalah Allah SWT semata-mata. Ada orang percaya banjir itu adalah kerana Allah SWT yang berkuasa tetapi budaya mengambil duit bawah meja mereka tetap teruskan.
  3. Budaya memandang dosa sebagai perkara kecil menunjukkan seseorang itu tidak bertakwa kepada Allah SWT.
  4. Semoga dengan kita bersama al-Quran, kita menjadi amat sensitif tentang dosa dan cepat-cepat mohon ampun kepada Allah SWT.

 

Ayat 29:17

 

إِنَّمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْثَٰنًا وَتَخْلُقُونَ إِفْكًا إِنَّ ٱلَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَمْلِكُونَ لَكُمْ رِزْقًا فَٱبْتَغُوا۟ عِندَ ٱللَّهِ ٱلرِّزْقَ وَٱعْبُدُوهُ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥٓ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

 

"Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-galanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan.

 

Pengajaran

 

  1. Kaum Nabi Ibrahim AS menyembah berhala sedangkan berhala itu tidak mampu memberi rezeki. Mereka menyangka berhala yang memberi rezeki dengan orang menderma dan juga mereka menjual berhala-berhala.
  2. Carilah rezeki di sisi Allah SWT. Jangan bimbang tentang rezeki, tetapi kita kena berusaha dan mengikut perintah Allah SWT. Jangan cari rezeki dari akaun orang lain.
  3. Beribadah dan bersyukurlah kepada Allah SWT dengan penuh kehambaan. Bersyukur dengan apa yang ada.
  4. Jangan belanja lebih daripada apa yang kita mampu.
  5. Pastikan sumber pendapatan adalah daripada jalan yang halal.
  6. Kita semua akan kembali kepada Allah SWT. Ini adalah tarbiyah penting daripada Nabi Ibrahim AS kepada orang-orang pada waktu itu yang memang rosak.

 

Ayat 29:18

 

وَإِن تُكَذِّبُوا۟ فَقَدْ كَذَّبَ أُمَمٌ مِّن قَبْلِكُمْ وَمَا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ

 

"Dan jika kamu terus-menerus mendustakan (ajaran ugama Allah yang aku sampaikan kepada kamu), maka sesungguhnya umat-umat yang sebelum kamu telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya); dan (ingatlah) tugas Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan kita bahawa kaum Nabi Nuh AS dihancurkan kerana mereka mendustakan ajaran yang disampaikan oleh baginda.
  2. Apabila seseorang itu berdusta dan menafikan cara hidup beriman dan beramal soleh, akhirnya hancur. Kalau tidak hancur dengan banjir, mungkin hancur reputasi, nama. Bayangkan zaman sekarang, apabila nama kita tiba-tiba diangkat di facebook dan lain-lain, sebagai perasuah tegar negara.
  3. Kita mungkin tidak mengambil berhala fizikal, tetapi mengikut hawa nafsu.
  4. Semua makhluk tidak mampu memberi rezeki. Rezeki yang tidak betul akan menyebabkan kita hancur seperti kaum Nabi Nuh AS. Semoga kita dan keluarga kita terjaga daripada rezeki yang tidak halal.
  5. Kehidupan ini adalah perjalanan. Kita bermusafir di dunia ini sebentar sahaja dan kita tahu ada destinasi akhir. Inilah mesej penting dalam surah al-Ankabut ini. Adakah kita layak ke daerah satu lagi itu? Adakah kita akan ke daerah yang lebih indah atau lebih parah? Sekarang, kita rasa susah dengan COVID dan banjir. Kalau boleh, kita tidak mahu berhempas-pulas juga di akhirat nanti. Allah SWT beri pilihan.
  6. Surah al-Ankabut ini adalah surah Makkiyyah yang memberi penekanan kepada bab-bab keimanan. Keimanan ini seperti bateri dalam hidup kita. Kalau bateri ada, maka telefon atau kereta kita boleh berfungsi. Kalau bateri tidak dicaj, orang telefon pun tidak dapat. Bateri iman perlu dicaj dengan surah-surah Makkiyyah. Dua pertiga al-Quran diisi dengan surah Makkiyyah.
  7. Walaupun kita rasa sudah berjaya, sudah maju, ada negara, tetapi surah-surah Makkiyyah ini akan memastikan kita meletakkan bateri yang kuat agar kita dapat berfungsi dengan baik dalam kehidupan kita. 

Ayat 29:19

 

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ كَيْفَ يُبْدِئُ ٱللَّهُ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥٓ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ

 

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan bagaimana Allah mencipta makhluk-makhluk pada mulanya, kemudian Ia akan mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya)? Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT suruh kita perhatikan betul-betul asal kejadian makhluk yang ada di sekeliling kita, termasuk kejadian kita.
  2. Perhatikan kejadian sesuatu tamadun yang berjaya. Pada mulanya mereka tidak berjaya, tetapi Allah berjayakan mereka. Semua itu mudah bagi Allah SWT.
  3. Mudah bagi Allah SWT mencipta dari bawah sampai ke atas, maka mudah bagi Allah SWT mencipta akhirat. Ini adalah cara berfikir logik (extrapolasi) dalam ayat ini. Kita akan makin yakin kehebatan Allah SWT dan wujudnya hari akhirat.

 

Ayat 29:20

 

قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ بَدَأَ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشْأَةَ ٱلْءَاخِرَةَ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

 

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

Pengajaran

 

1.     Berjalanlah di muka bumi ini dan perhatikan asal usul kejadian makhluk-makhluk yang ada. Ia juga satu pelajaran. Allah SWT yang sama boleh menjadikan hari akhirat.

2.     Bila kita bermusafir, kita lihat asal usul orang-orang di tempat itu. Jangan kita hanya bergambar dengan suka hati di piramid atau di laut mati sedangkan itu tempat yang dilaknat oleh Allah SWT.

3.     Sesungguhnya Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Contoh: Dengan kuasa satelit yang Allah SWT jadikan, kita boleh berkomunikasi dan mengikuti program di TV juga dalam talian. 

4.     Kalau kita sedar adanya hari akhirat, dan Allah SWT bagi macam-macam, maka kita ada dua pilihan: sampai ke destinasi yang baik atau tidak baik.

 

Ayat 29:21

 

يُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ وَيَرْحَمُ مَن يَشَآءُ وَإِلَيْهِ تُقْلَبُونَ

 

"Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (iaitu orang-orang yang ingkar), dan Ia juga yang memberi rahmat kepada sesiapa yang dikehendakiNya (iaitu orang-orang yang beriman); dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan (untuk menerima balasan).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengazab sesiapa yang dikehendaki dan memberi rahmat kepada sesiapa yang dikehendaki.
  2. Allah SWT bagi dua pilihan. Jangan ambil dunia ini untuk segala-galanya. Ambil apa yang ada, tingkatkan iman dan amal, terus menuju kepada destinasi yang mendapat rahmat. Kalau tidak, akan diisi dengan azab daripada Allah SWT.
  3. Ayat ini penting sebagai pujukan kepada para sahabat yang berhadapan dengan cabaran. Ketika mereka beriman kepada kebenaran ini, mereka dikalahkan oleh musuh sampai berlutut. Allah SWT memujuk mereka dengan Ayat 22.

 

Ayat 29:22

 

وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ

 

"Dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan Allah) di bumi dan tidak juga di langit (sekalipun); dan kamu tidak akan mendapat sebarang pelindung dan penolong yang lain dari Allah".

 

Pengajaran

 

  1. Cabaran para sahabat bukan sekadar sakit tetapi sakit itu dibuat oleh orang lain kerana mereka memperjuangkan iman.
  2. Orang yang menghenyak mereka tidak akan lepas daripada azab Allah SWT. Sahabat-sahabat yang baca ayat ini rasa lega. Walaupun mereka diazab dengan orang musyrik tetapi orang kafir itu tidak akan terlepas daripada kekuasaan Allah SWT.

 

Ayat 29:23

 

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَلِقَآئِهِۦٓ أُو۟لَٰٓئِكَ يَئِسُوا۟ مِن رَّحْمَتِى وَأُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

 

Dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan pertemuan denganNya, mereka tetaplah akan menjadi orang-orang yang putus asa dari rahmatKu; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Pengajaran

 

  1. Ini satu psikologi yang penting untuk diberi perhatian. Orang beriman yang memperjuangkan kebaikan, pendakwah, kadang-kadang ada orang kutuk, tetapi dia tidak lihat itu sebagai satu yang negatif malah dia akan melihat itu sebagai rahmat daripada Allah SWT.
  2. Orang kafir pula, apabila berlaku ujian, dia menyalahkan Allah SWT. Contohnya COVID, banjir. Dia berputus asa dengan rahmat Allah SWT, kesannya dia akan mendapat azab yang sengsara daripada Allah SWT.


 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Yakin Allah SWT selamatkan kita jika berdakwah dan mengikut risalah tauhid (29:15)
  2. Yakin bab rezeki adalah milik Allah SWT (29:17)
  3. Sentiasa menyampaikan pesanan kebaikan walaupun didustai atau dinafikan (29:18)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan selamatkan saya jika berdakwah dan mengikut risalah tauhid.

 

Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT selamatkan saya jika berdakwah dan mengikut risalah tauhid. Saya jelas saya mesti yakin bab rezeki adalah milik Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa menyampaikan pesanan kebaikan walaupun didustai atau dinafikan.

 

Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau akan selamatkan kami jika berdakwah dan mengikut risalah tauhid. Ya Allah, kami yakin bab rezeki adalah milik Mu, murahkanlah rezeki kami. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa menyampaikan pesanan kebaikan walaupun didustai atau dinafikan.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...