|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 400 surah
al-'Ankabut.
Pada ayat 30,
Nabi Lut AS amat perlukan pertolongan Allah SWT kerana kaumnya membuat tiga
jenis perkara mungkar iaitu homoseksual, merompak, dan membuat kemungkaran di
kawasan umum.
Ayat 29:31
وَلَمَّا جَآءَتْ
رُسُلُنَآ إِبْرَٰهِيمَ بِٱلْبُشْرَىٰ
قَالُوٓا۟ إِنَّا مُهْلِكُوٓا۟
أَهْلِ هَٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ
إِنَّ أَهْلَهَا كَانُوا۟
ظَٰلِمِينَ
Dan ketika
datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang mengembirakan),
mereka berkata: "Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar
ini), sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim".
Pengajaran
1. Nabi Ibrahim AS
didatangi oleh malaikat membawa berita gembira iaitu baginda akan mendapat
seorang anak. Nabi Ibrahim AS meraikan tetamu dengan menghidangkan lembu
golek. Meraikan tetamu itu adalah sesuatu yang diajar dalam agama.
2. Malaikat
memberitahu bahawa mereka hendak membinasakan penduduk negeri itu kerana
mereka melakukan aktiviti mungkar.
Ayat 29:32
قَالَ
إِنَّ فِيهَا لُوطًا قَالُوا۟ نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَن فِيهَا لَنُنَجِّيَنَّهُۥ وَأَهْلَهُۥٓ
إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ
مِنَ ٱلْغَٰبِرِينَ
Nabi Ibrahim
berkata: "Sebenarnya Lut ada di bandar itu". Mereka menjawab:
"Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya
kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) -
kecuali isterinya, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan".
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS
memberitahu para malaikat bahawa di tempat yang hendak dihancurkan itu ada
Nabi Lut AS.
- Para malaikat
mengatakan bahawa mereka mengetahui perkara itu. Mereka akan menyelamatkan
Nabi Lut dan keluarganya kecuali isterinya kerana menjadi ejen kepada kaum homosexual
itu.
Ayat 29:33
وَلَمَّآ أَن جَآءَتْ رُسُلُنَا
لُوطًا سِىٓءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا۟
لَا تَخَفْ وَلَا تَحْزَنْ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ
إِلَّا ٱمْرَأَتَكَ كَانَتْ
مِنَ ٱلْغَٰبِرِينَ
Dan ketika
datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan
kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari
gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian),
utusan-utusan itu berkata: "Janganlah engkau takut dan janganlah
berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta
pengikut-pengikutmu) - kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang
dibinasakan.
Pengajaran
- Nabi Lut AS
bersedih hati dengan kedatangan para malaikat kerana baginda tidak terdaya
untuk mengawal mereka dari gangguan kaumnya.
- Para malaikat
memberitahu supaya baginda jangan bersedih dan jangan takut kerana baginda
dan keluarganya akan diselamatkan kecuali isterinya.
- Dari peristiwa
ini, kita belajar untuk jangan tertinggal daripada kumpulan berbuat kebaikan
dan jangan membantu dalam perkara kemungkaran.
- Isterinya
ditinggalkan kerana dalam hidupnya selalu meninggalkan kepada keimanan yang
diseru oleh Nabi Lut AS.
Ayat 29:34
إِنَّا
مُنزِلُونَ عَلَىٰٓ أَهْلِ هَٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ
رِجْزًا مِّنَ
ٱلسَّمَآءِ بِمَا
كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ
"Sesungguhnya
kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit,
disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)".
Pengajaran
- Kaum Nabi Lut
AS dibinasakan dengan hujan batu dan mereka juga diterbalikkan. Kaum Nabi Lut
di azab dua kali kerana kesalahan mereka amat bahaya dan merosakkan dunia.
- Semoga diri,
keluarga, dan masyarakat kita dilindungi daripada perkara mungkar yang diawali
oleh kaum Nabi Lut AS.
- Kisah ini
menunjukkan bahawa Allah SWT akan menolong orang beriman sebagaimana Allah
SWT pernah menolong Nabi Lut AS dan Nabi Ibrahim AS. Allah SWT tolong sahabat-sahabat
seperti Khabab Al Arat dan akan menolong kita sekiranya betul-betul beriman
dan beramal kepada Allah SWT.
- Setiap kisah di
dalam Al Quran ada tujuan. Jihad di Mekah waktu ini ialah jihad untuk tidak
berperang.
Ayat 29:35
وَلَقَد
تَّرَكْنَا مِنْهَآ ءَايَةًۢ
بَيِّنَةً لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan
bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi
orang-orang yang mahu memahaminya.
Pengajaran
- Allah SWT telah
binasakan bandar itu dan tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda yang
mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu memahaminya.
- Di Jordan kita
boleh melihat Laut Mati yang sangat masin yang Allah SWT tinggalkan sebagai
bukti yang menjelaskan bahawa Allah SWT pasti akan menghancurkan orang-orang
yang zalim.
- Orang yang
menggunakan akal akan dapat melihat yang Allah SWT akan membantu orang
beriman. Kalau kita buat kebaikan, Allah SWT pasti tolong.
Ayat 29:36
وَإِلَىٰ مَدْيَنَ
أَخَاهُمْ شُعَيْبًا فَقَالَ
يَٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ
وَٱرْجُوا۟ ٱلْيَوْمَ ٱلْءَاخِرَ
وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
Dan (Kami
utuskan) kepada penduduk Madyan saudara mereka: Nabi Syuaib; lalu ia berkata:
"Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, dan kerjakanlah amal soleh
dengan mengharapkan pahala akhirat, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di
bumi".
Pengajaran
- Nabi Syuaib AS adalah
seorang pejuang keimanan di Madyan. Baginda menyeru kaumnya supaya sembah
Allah dan kerjakan amal soleh dengan mengharapkan pahala akhirat.
- Baginda
melarang kaumnya melakukan kerosakan di bumi.
- Bila kita diuji,
berharaplah kepada Allah SWT.
- Kita diizinkan masuk ke syurga
dengan syarat, jangan berkeliaran untuk membuat kerosakan seperti kaum
Madyan. Hendaklah kita berkeliaran untuk membantu orang lain.
- Bila kita berjalan, lihatlah
kebesaran Allah SWT agar semakin beriman.
Ayat 29:37
فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ
فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَارِهِمْ
جَٰثِمِينَ
Maka mereka
mendustakannya, lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah
mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
Pengajaran
- Mereka
mendustakan Nabi Syuaib AS lalu mereka dihancurkan dengan gempa bumi. Jadilah
mereka mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal masing-masing.
- Allah SWT menyelamatkan
orang-orang yang memilih iman.
Ayat 29:38
وَعَادًا وَثَمُودَا۟
وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسَٰكِنِهِمْ وَزَيَّنَ
لَهُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ أَعْمَٰلَهُمْ
فَصَدَّهُمْ عَنِ
ٱلسَّبِيلِ وَكَانُوا۟ مُسْتَبْصِرِينَ
Dan
(ingatkanlah peristiwa kebinasaan) Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi
Soleh); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas-bekas tempat
kediaman mereka; dan (kebinasaan mereka yang demikian ialah disebabkan)
Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat
itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang
yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang
salah).
Pengajaran
- Kaum Aad dan
Tsamud adalah orang yang bijak tetapi mereka tertipu oleh syaitan. Sekarang
ada orang bijak yang masih menerima rasuah. Mereka ditipu oleh syaitan.
- Di Mekah, Abu
Jahal pun tidak selamat di dalam kejahatannya. Ini memberi semangat kepada
para sahabat dan kepada kita.
RESOLUSI
Ingat!
- Selalu melindungi orang beriman (29:32)
- Bersedih kerana banyaknya berlaku maksiat
(29:33)
- Walaupun ada ilmu, berlindung dengan Allah
SWT daripada syaitan yang menghiasi amal buruk (29:38)
Saya berasa lega,
Allah SWT ingatkan supaya berlindung denganNya daripada syaitan yang
menghiasai amal buruk.
Saya jelas
saya mesti selalu melindungi orang beriman. Saya jelas saya mesti bersedih
kalau banyak berlaku maksiat. Saya jelas, walaupun ada ilmu, saya mesti
berlindung dengan Allah SWT daripada syaitan yang menghiasi amal buruk.
Ya Allah, bantu
kami untuk selalu melindungi orang beriman. Ya
Allah, jauhkan kami daripada melakukan maksiat. Ya Allah, lindungi kami
daripada syaitan yang menghiasi amal buruk. Ya Allah, jadikan kami orang yang
berilmu, beriman dan beramal soleh.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya
tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada
ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau
redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan
hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|