Monday, June 5, 2023

Halaman 147: Al-An'am, 6:143-146


PERKATAAN HARI INI : 



 زَوْجٌ  Berpasangan, berkahwin. 

81 kali disebut dalam al-Quran.



SINOPSIS  


1.     Dalil yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT - haiwan (143-144)

2.     Makanan yang diharamkan kepada kaum muslimin dan kaum Yahudi (145-146)








Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita di hujung-hujung tahun 2020 yang mengimbau berbagai nostalgia dan pengalaman yang berbagai-bagai. Ada yang indah, ada yang memeritkan. Salah satu nikmat besar pada tahun ini ialah My#QuranTime - Baca Faham Amal dipimpin oleh Allah SWT. Tahun ini adalah pengalaman luar biasa. Walaupun hanya di televisyen, pelajarannya banyak. Teruskan berazam di tahun baru untuk mendalami al-Quran.

 

Ummul Quran dibaca untuk kita sama-sama mengingatkan diri untuk memuji khusus kepada Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan tanaman dan binatang ternakan. Pada halaman lepas, kita belajar bahawa peranan binatang ternakan adalah sebagai pengangkutan, untuk disembelih dan dimakan. Jangan sampai kita mengikut kepada syaitan; makan melampau-lampau, makan yang haram atau diletak untuk berhala.

 

Tahun 2020 sudah nak habis. Semua suka bercakap tentang keberkatan tetapi kita lupa sumber keberkatan itu adalah al-Quran. Biarlah kita rasa cukup dengan al-Quran. Membaca al-Quran adalah seperti air yang membersihkan kotoran. Al-Quran mencuci hati kita sampai bersih, sehingga kita dapat menjauhi segala yang haram dan perbuatan syirik.

 

 

 Ayat [6:143]

 

ثَمَـٰنِيَةَ أَزْوَٰجٍۢ ۖ مِّنَ ٱلضَّأْنِ ٱثْنَيْنِ وَمِنَ ٱلْمَعْزِ ٱثْنَيْنِ ۗ قُلْ ءَآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ ٱلْأُنثَيَيْنِ أَمَّا ٱشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۖ نَبِّـُٔونِى بِعِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

 

(Binatang ternak itu) delapan ekor - (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah sambungan dari ayat 142 yang ada perkaitan (tanasuk). Orang yang mensyirikkan Allah tidak ada asas ilmu dalam membuat syariat amalan harian. Orang Musyrik menjadikan urusan halal haram ternakan menjadi kompleks. Contoh zaman sekarang: Ada orang yang memberi makan kepada gunung berapi untuk mengelakkannya dari meletus.
  2. Pada asasnya manusia memang takut kepada perkara ghaib. Tetapi kita wajib beriman kepada perkara ghaib. Iman dan khurafat ialah dua perkara berbeza. Iman berasaskan ilmu manakala khurafat tidak ada asas ilmu.

 

Ayat [6:144]

 

وَمِنَ ٱلْإِبِلِ ٱثْنَيْنِ وَمِنَ ٱلْبَقَرِ ٱثْنَيْنِ ۗ قُلْ ءَآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ ٱلْأُنثَيَيْنِ أَمَّا ٱشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۖ أَمْ كُنتُمْ شُهَدَآءَ إِذْ وَصَّىٰكُمُ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا ۚ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًۭا لِّيُضِلَّ ٱلنَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

 

Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): "Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?" Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah SWT tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim yang menipu, tanpa ilmu. Orang terdahulu juga ada ilmu, tetapi ilmu mereka tidak mendekatkan mereka kepada Allah. Malah digunakan untuk kepentingan diri. Salah satunya ialah apabila seseorang melakukan syirik yang membawa kepada penipuan. Contoh: 25 Dis orang sibuk dengan Santa Claus. Yang sebenarnya Santa Claus tidak wujud pun. Orang berpusu-pusu beli hadiah kononnya hadiah dari Santa Claus. Contoh lain, hadiah hari ibu/bapa dll. Ia diada-adakan sebagai agenda untuk mendapat keuntungan perniagaan.
  2. Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim. Iaitu orang yang ada ilmu tetapi tidak membawanya dekat kepada Allah SWT.

 

Ayat [6:145]

 

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍۢ يَطْعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًۭا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍۢ فَإِنَّهُۥ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

 

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Dalam wahyu Allah, tidak ada mengharamkan seperti yang dinyatakan oleh orang Musyrik. Yang tidak boleh dimakan hanyalah: a) Bangkai, b) Darah yang mengalir, c) Daging khinzir, d) Binatang yang disembelih bukan atas nama Allah.
  2. Dalam keadaan dharurat, dibolehkan memakan semua itu tetapi sekadar untuk hilangkan lapar. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
  3. Dalam agama Islam, bila Allah diamkan, bermakna halal.

 

Ayat [6:146]

 

وَعَلَى ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ حَرَّمْنَا كُلَّ ذِى ظُفُرٍۢ ۖ وَمِنَ ٱلْبَقَرِ وَٱلْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَآ إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَآ أَوِ ٱلْحَوَايَآ أَوْ مَا ٱخْتَلَطَ بِعَظْمٍۢ ۚ ذَٰلِكَ جَزَيْنَـٰهُم بِبَغْيِهِمْ ۖ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ

 

Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Oleh kerana orang Yahudi berlaku zalim dan melampau, Allah haramkan bagi mereka binatang seperti dalam ayat ini. Allah menyusahkan mereka lagi. Bila turun ayat ini, rabai-rabai hairan bagaimana nabi SAW tahu tentang ini.
  2. Tauhid menyebabkan kita cari wahyu. Wahyu membuatkan kita dapat ilmu. Ilmu membawa kita kepada kebenaran, tidak berfikir perkara-perkara yang menipu bagi pihak Allah SWT.
  3. Jangan menyusahkan diri dengan mengada-adakan perkara yang tidak terdapat dalam wahyu. 


































































RESOLUSI 

 

Ingat !!


1.     Berhujah dengan ilmu untuk menyatakan kebenaran (143)

2.     Untuk mengelakkan menjadi orang yang zalim, dalami ilmu (144)

3.     Elakkan menyusahkan diri dengan pemikiran syirik atau kufur (146)

 

Lega kerana Allah SWT ingatkan agar saya supaya beramal berdasarkan ilmu dari wahyu.

 

Saya jelas untuk berhujah dengan ilmu untuk menyatakan kebenaran. Saya mesti dalami ilmu wahyu agar terhindar dari menjadi orang yang zalim. Saya juga jelas untuk elakkan menyusahkan diri dengan pemikiran syirik atau kufur.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah,  Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, ajarkan kami al-Quran agar kami dapat ilmu untuk menyatakan kebenaran. Ya Allah Ya Hadi, jauhi kami daripada pemikiran syirik atau kufur yang menyusahkan hidup kami.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...