Monday, June 5, 2023

Halaman 148: Al-An'am, 6:147-152

 

PERKATAAN HARI INI: 


 

 وَسِعَ  Luas, meliputi. 

32 kali disebut dalam al-Quran.



SINOPSIS

  

  1. Balasan kalau ada orang mendustakan kebenaran (147)
  2. Kaitan orang musyrik mengenai kemusyrikan mereka dan mengaitkan pengharaman hukum kepada Allah SWT dan hujah terhadap mereka (148-150)
  3. Sepuluh hal yang diharamkan atau sepuluh wasiat (bahagian1) (151)






Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur pada hari yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama di program My #QuranTime untuk kita Baca, Faham, Amal pada halaman 148. Semoga kita dapat lihat halaman ini sebagai inspirasi dan hidayah bagi kita.

 

Kita membaca al-Fatihah setiap hari untuk memohon hidayah daripada Allah SWT. Tahun 2020 ini kita memang teruji dengan Covid-19. Kita diberikan hadiah My #QuranTime oleh Allah SWT dan semoga kita sama-sama mendapat manfaat yang terbaik daripada program ini.

 

Ayat [6:147]

 

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل رَّبُّكُمْ ذُو رَحْمَةٍۢ وَٰسِعَةٍۢ وَلَا يُرَدُّ بَأْسُهُۥ عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْمُجْرِمِينَ

 

“Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: "Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa".”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ayat ini menyambung tentang pengharaman pemakanan lemak kepada orang Yahudi akibat sikap mereka yang melampau-lampau, tamak, menyusah-nyusahkan. Lembu pun, nak ditanya warna apa, umur berapa dan sebagainya seperti tersebut di dalam Surah al-Baqarah.
  2. Dalam hidup kita, jika sudah jelas sesuatu yang nak dibuat, buatlah. Kemudian kita perbaiki. Jangan banyak soal. Begitu juga bila nak membaca al-Quran. Jangan terlalu banyak soal, nak baca begini ke?, begitu ke? Kita bukan memudah-mudahkan tetapi jangan sampai menyusah-nyusahkan.
  3. Allah mengingatkan kepada Nabi Muhamad SAW, jika orang-orang musyrik tidak mahu terima kebenaran dan ketauhidan daripada Allah SWT, rahmat Allah luas dan Allah pasti melindungi orang beriman. Nabi dan para sahabat tetap dilindungi walaupun mereka dikecam. 
  4. Kepada orang yang tidak beriman, yang mendustakan, Allah tetap beri mereka peluang untuk bertaubat. Bukan Allah beri peluang itu tanda Allah redha. Seperti ibu ayah memberi peluang kepada anak-anak. Bukan kerana mereka suka anak buat salah,  tetapi mereka sayang.
  5. Orang yang syirik tidak menganggu rahmat Allah yang luas, Allah tetap berkasih sayang, tidak lebih marah. Allah tidak terkesan sama sekali. Allah itu ar-Rahman, ar-Rahim. Tetapi jangan sampai Allah berikan seksaan yang amat berat (بَأْسُهُ) kerana waktu itu sudah tidak boleh berpatah balik. Allah bagi peluang, hendaklah kita guna betul-betul.
  6. Kehidupan kita di dunia ini memang ada silap, tetapi hendaklah kita cepat-cepat ambil peluang menggapai kepada rahmat Allah SWT.
  7. Allah tetap luas rahmatNya, Allah tetap boleh mengampunkan. Tetapi jangan sampai kita bertangguh sehingga tidak sempat menggapai rahmat Allah di sini, dan di sana kita mendapat azab. Iman itu mutiara. Dampingilah al-Quran selalu kerana ia adalah anugerah agung.

 

Ayat [6:148]

 

سَيَقُولُ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ لَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشْرَكْنَا وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَىْءٍۢ ۚ كَذَٰلِكَ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ حَتَّىٰ ذَاقُوا۟ بَأْسَنَا ۗ قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍۢ فَتُخْرِجُوهُ لَنَآ ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

 

 “Orang-orang musyrik akan mengatakan: "Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun". Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta"

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Orang-orang musyrik menggunakan takdir sebagai hujah. Mereka menggunakan nama Allah di atas kesilapan mereka, “Jika Allah inginkan begitu, pasti mereka tidak jadi begini”, contohnya. Begitulah juga cara orang yang berdusta sebelum itu. Mereka menyoal tentang ilmu Allah. Mereka berdusta tanpa fakta-fakta yang jelas.
  2. Perkara ini boleh juga berlaku dalam masyarakat Islam. Masa Covid-19, bisnes jatuh dan mereka menyatakan yang jika Allah nak beri bisnes mereka naik, boleh sahaja. Sedangkan mereka duduk tanpa berbuat apa-apa. Jika kita mahu Allah membantu, kita kenalah mendekati Allah. Jadi, berhati-hati dengan kata-kata. Nak berjaya, kena berusaha. Jangan kata sesuatu yang Allah tak cakap. Kita kena dekati Allah, bukan Allah dekati kita.
  3. Ini adalah lambang kemusyrikan, bagaimana perkataan itu muncul bagi orang yang bukan Islam. Tetapi orang Islam juga dididik kalau nak berjaya, nak dapat ketentuan berjaya daripada Allah, dekati Allah, berusaha, bukannya duduk diam sahaja. Ini adalah تَخْرُصُونَ, iaitu pendustaan yang benar-benar dusta. Contoh: seseorang yang tidak membaca al-Quran dan menyatakan jika Allah nak dia membaca al-Quran, tentu Allah dah buat.

 

Ayat [6:149]

 

قُلْ فَلِلَّهِ ٱلْحُجَّةُ ٱلْبَـٰلِغَةُ ۖ فَلَوْ شَآءَ لَهَدَىٰكُمْ أَجْمَعِينَ

 

“Katakanlah (wahai Muhammad: "Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Ia menghendaki tentulah Ia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya".”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah jawapan kepada orang yang menyalahkan takdir; pasrah tanpa berusaha. "Hujah yang kuat hanyalah dari Allah." Hujah yang betul-betul masuk ke hati hanyalah daripada Allah. Hujah daripada Allah itu bagi kita adalah al-Quran. Di dalam Surah al-An'am ini, memang Allah beri 'kaw-kaw' atau templak  dan pancung habis-habisan orang musyrik kerana main-main dengan ketauhidan. Amaran ini juga adalah kepada orang Islam yang suka bermain-main tentang tauhid.
  2. Bincanglah al-Quran kerana jarang orang bertelagah berbincang pasal al-Quran, berbeza bila berbincang fekah dan lain-lain. Wacana terbaiknya ialah dalam solat. Para sahabat seperti mendengar khutbah bila bersolat dan mendengar ayat al-Quran kerana mereka betul-betul menghayati ٱلْحُجَّةُ ٱلْبَٰلِغَةُ (bukti yang tegas nyata) yang memberi kesan kepada hati.

 

Ayat [6:150]

 

قُلْ هَلُمَّ شُهَدَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ يَشْهَدُونَ أَنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَ هَـٰذَا ۖ فَإِن شَهِدُوا۟ فَلَا تَشْهَدْ مَعَهُمْ ۚ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ وَهُم بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

 

“Katakanlah: "Bawalah saksi-saksi kamu memberi keterangan bahawa Allah mengharamkan (benda-benda yang kamu haramkan) ini". Kemudian jika mereka (tergamak) menjadi saksi (secara dusta), maka janganlah engkau turut sama membenarkan mereka mereka; dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Bercakap tentang syirik yang dibuat oleh orang-orang musyrik ini, Allah mengajar Nabi SAW untuk menyuruh mereka membawakan (هَلُمَّ) saksi jika benar Allah mengharamkan binatang-binatang selain yang disebutNya. Mereka itu tidak menerima Allah sebagai sumber hukum. Oleh itu, Allah selesaikan isu tauhid di dalam ayat ini.
  2. Mereka itu tidak ada ilmu, tidak ada saksi. Jika mereka bersaksi, mereka pula menjadi saksi dan memberi testimoni palsu. Menyatakan tuhan berkata itu ini tetapi semuanya tidak betul.
  3. Mereka mendustakan kerana mereka ada agenda peribadi. Jika ada binatang yang tidak boleh dimakan, mereka boleh menjual lebih banyak binatang. Mereka mahu untung, mahu pangkat, mahu pengaruh. Itu sebabnya, kita pun kalau nak jadi follower seseorang kena berhati-hati supaya tidak memudharatkan siapa-siapa.
  4. Perkataan يَعْدِلُونَ  pernah dikeluarkan pada Ayat [6:1]. Mereka menyamaratakan Allah dengan makhluk.  Mereka main petik sahaja nama Allah sedangkan bukan itu yang Allah sampaikan.
  5. Kalau tauhid telah selesai dan telah dimantapkan, maka kita akan bersedia menerima hukum Allah sebagai sumber peraturan dalam kehidupan.

 









































































Ayat [6:151]

 

قُلْ تَعَالَوْا۟ أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًۭٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭا ۖ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُم مِّنْ إِمْلَـٰقٍۢ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلْفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

 

“Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Wasiat Allah tentang 5 perkara yang diharamkan:
    • Jangan sekutukan Allah
    • Berbuat baik kepada ibu bapa
    • Jangan membunuh anak-anak kerana miskin
    • Jangan hampiri perbuatan keji
    • Jangan membunuh jiwa yang diharamkan kecuali dengan kebenaran.
  2. Ini adalah wasiat yang besar. Bila Allah memberi wasiat, bermakna Allah betul-betul serious. Allah mahu bertemu kita, maka kita mesti mengikut perintah/wasiatNya betul-betul.
  3. Ini adalah wasiat Allah dan Allah mahu kita menggunakan akal dan fikir betul-betul. Kita guna oksigen Allah tetapi kita tidak mahu menggunakan akal untuk mengikut peraturan Allah.
  4. Jika kita tidak syirik, kita akan berbuat yang terbaik dan selalu bersedia melaksanakan wasiat Allah SWT.


































RESOLUSI 

 


Ingat !!


  1. Yakin rahmat Allah itu luas apabila syiar atau kebaikan yang disampaikan didustakan atau dikecam (147)
  2. Elakkan bersangka-sangka dalam menjalani kehidupan (148)
  3. Jika pening berhujah, kembali serahkan kepada Allah SWT (149)

 

Lega kerana Allah SWT ingatkan bahawa rahmatNya sangat luas.

 

Saya jelas, saya mesti yakin rahmat Allah itu luas. Saya mesti minta ampun apabila membuat silap dalam melaksanakan syiar Allah. Saya jelas untuk elakkan bersangka-sangka dalam menjalani kehidupan. Saya jelas untuk kembali serahkan kepada Allah SWT jika pening berhujah.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, rahmatilah kehidupan kami, ampunkan kami atas segala salah silap kami dalam melaksanakan syiarMu. Ya Allah, bimbing kami untuk menjauhi amalan yang tidak berasaskan ilmu al-Quran. Ya Allah, bantu kami menyampaikan kebenaran agar kami dapat berhujah menggunakan kebenaran daripada al-Quran.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...