Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-02 : Al-Baqarah Ayat 43

Tadabbur Ayat Solat


Al-Baqarah, 2:43


وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ 


Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.


2:40 


يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِىٓ أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّـٰىَ فَٱرْهَبُونِ 


Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).


Ayat selepas:


2:44


أَتَأْمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ ٱلْكِتَـٰبَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ 


Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?


2:45


وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ 


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;



Keterangan Ayat/Mesej


Ayat 43 ini adalah kali kedua Allah SWT ingatkan supaya DIRIKAN SOLAT. (Pertamanya pada ayat 2:3)


Ayat 43 ini adalah susulan daripada kisah penciptaan Nabi Adam a.s. Nabi Adam dan Hawa telah dipedaya oleh iblis, mereka berdua sedar dan bertaubat. Allah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang menerima taubat mereka. Kemudian Nabi Adam, Hawa dan iblis diturunkan ke bumi. Allah SWT pesan: “Hiduplah kamu di sana sampai mati. Siapa yang dapat petunjukKu, mereka tidak perlu risau dan dukacita. Tetapi sesiapa yang sesat, mereka adalah penghuni neraka jahanam, kekal adabi di dalamnya” (2:38-39)


Ayat 40 hingga 48 Allah SWT bawakan gelagat Bani Israel. Allah panggil Bani Israel dengan manja untuk ingatkan mereka tentang:

  1. Ingat nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, tunaikan janji dan takutlah hanya kepada Allah (2:40)
  2. Terimalah al-Quran. Jangan dustakan al-Quran. Jangan jadikan al-Quran sebagai barang dagangan. Bertakwa kepada Allah (2:41)
  3. Jangan campur adukkan kebenaran dengan kebatilan (2:42)
  4. Dirikan solat, keluarkan zakat. Hiduplah bersama-sama orang ramai. Jangan sekali-kali memencilkan diri (2:43)
  5. Jangan hanya suka menyuruh orang lain berbuat baik, sedangkan diri sendiri tidak melakukannya.
  6. Minta pertolongan dari Allah sahaja, bukan pada yang lain. Jangan lupa mendirikan solat. Solat itu hanya seronok dilakukan oleh orang yang kusyuk, tetapi berat kepada yang ingkar (2:45)


Allah SWT sedang bercakap dengan Bani Israel yang sedang bersama dengan Nabi Muhammad. Allah SWT hendak mengingatkan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Allah ‎SWT menyeru mereka dengan bahasa manja, sebab ingin memujuk mereka kembali ke pangkal jalan. 


Bila kita baca al-Quran, kita kena ingat bahawa ini sebenarnya Allah panggil kita! Walaupun dalam ayat ini Allah panggil Bani Israel tetapi oleh kerana al-Quran adalah mukjizat yang relevent untuk kita maka kita kena ambil perhatian. Israel (bahasa Hebrew) maksudnya hamba Allah. Jadi, memang Allah panggil kita, HAMBA-Nya.


Allah bagi kita hadiah al-Quran dan Allah bimbing kita hingga sampai kembali ke syurga. Kita bertuah kerana Allah berikan hadiah al-Quran dan Allah pimpin. Hadiah itu mesti dihargai. Jangan jadi seperti Bani Israel yang tidak hargai hadiah daripada Allah (Kitab Taurat dan peringatan Allah yang dibawa oleh Nabi Musa). Bila Allah beri peluang dalam hidup kita, bila Allah beri al-Quran kita kena utamakan al-Quran. Kalau kita dapat Quran, Allah akan berikan segala-galanya.


Kalau kita dah baca al-Quran, Allah akan ingat kita dan Allah bantu kita untuk melaksanakan kebaikan demi kebaikan. Kita jangan takut untuk terus buat kebaikan, terus sampaikan kebaikan yang dibawa oleh al-Quran. Terus beramal dengan Hadis Nabi yang membawa maksud "Sampaikan dariku walaupun satu ayat".



Petunjuk/Tindakan


  1. Nikmat al-Quran yang kita dapat mestilah kita hargai, sebarkan kebaikan dalam diri, kepada keluarga dan kepada dunia agar kita mendapat mendapat syafaat/pertolongan daripada Allah di dunia dan hari akhirat. 
  2. Buat kebaikan, minta pertolongan daripada Allah, terus berdoa agar dengan rahmat-Nya kita berjaya berjumpa Allah di syurga.
  3. Teruskan membaca dan mengkaji al-Quran kerana inilah hidayah Allah. Kalau kita terus menghargai hadiah ini Allah akan menangkan umat Islam.
  4. Kalau ada mesej yang baik jangan disembunyikan. 
  5. Kalau ada agenda jangan pentingkan agenda sendiri atau kumpulan kita, utamakan agenda Allah. 
  6. Jaga hubungan dengan manusia dan jaga hubungan dengan Allah.
  7. Sekarang mungkin orang tak tengok pada al-Qurannya tapi orang tengok pada perangai kita, pada lifestyle kita. Oleh itu kita mesti pastikan perangai dan lifestyle kita ikut al-Quran, ikut Sunnah supaya itulah yang menjadi mesej kebaikan kepada orang lain yang meihat kita. Sampaikan mesej al-Quran dan Sunnah melalui gaya hidup kita.
  8. Untuk konsisten, istiqamah dalam berbuat kebaikan maka kita mestilah minta pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat. Dua perkara ini memang berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Untuk menjadi orang yang khusyuk, kita mestilah membuat kebaikan hanya kerana Allah kerana kita hendak bertemu Allah yang telah memberi  hadiah dan banyak kebaikan untuk kita. 
  9. Kita menghargai hadiah Allah dan membalasnya dengan membuat kebaikan, rendah diri dan rindu untuk berjumpa Allah SWT. Kebaikan yang kita buat adalah sebagai bekalan kita untuk kembali bertemu-Nya. 
  10. Gunakan segala nikmat dan potensi yang kita ada (harta, anak, kesihatan, ilmu dsbnya) untuk menghargai al-Quran agar bila berjumpa Allah kita akan dimuliakan dengan mendapat hadiah yang didambakan iaitulah syurga.



Rujukan


  1. Nota My #Qurantime
  2. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
  3. Khowatir Qur’aniyah, Amru Kholid
  4. celiktafsir.net



Wallahua’lam


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...