Tadabbur Ayat Solat
Surah Al-An’am ayat 162 (Halaman 150)
Tajuk: Hidup Mati Kita Untuk Allah
Baca ayat 161-165
Surah Al-An’am (6:162)
قُلْ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٦٢
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Keterangan Ayat
Pada ayat 161, Allah SWT perintahkan Nabi SAW menjelaskan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada baginda iaitulah ‘petunjuk jalan lurus’ yang tidak ada kebengkokan dan penyimpangan di dalamnya. Itulah agama Nabi Ibrahim a.s., agama tauhid yang tiada sebarang unsur kemusyrikan dan kesesatan. Ini adalah agama yang benar, agama yang mengajar keikhlasan kepada Allah semata-mata.
Hal ini bertentangan dengan apa yang ada pada orang-orang musyrik Arab dan para pemimpin Quraisy yang mengaku mereka berpegang kepada agama Nabi Ibrahim. Ini juga bertentangan dengan yang ada pada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang mengaku-aku bahwa mereka adalah para pengikut agama Ibrahim, pengikut Musa dan Isa.
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Ali- ‘Imran, 3:19)
Pada ayat 162 ini, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW memberitahu orang-orang musyrik yang menyembah selain Allah dan menyembelih binatang untuk selain nama-Nya bahawa agama yang dibawa oleh Nabi SAW berbeza dengan mereka.
Ini adalah ayat ‘Perjanjian’ kita dengan Allah SWT. Yang kita selalu baca dalam doa iftitah dalam solat. Ayat ini mengumpulkan semua amal soleh.
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي
Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku,
Ayat ini mengingatkan kita yang solat yang kita lakukan adalah kerana Allah SWT. Ia adalah arahan daripada Allah SWT, dan kerana kita taat kepada Allah SWT, maka kita melakukan ibadat solat itu.
Solat disebut secara khusus, padahal dia masuk dalam nusuk (ibadah) kerena solat adalah inti ibadah yang kadang-kadang menjadi kotor kerana syirik. Allah SWT adalah Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Ibadah dan penetapan hukum hanya ditujukan kepada-Nya. Demikianlah Tuhan memerintahkan kepada kita yang mengaku Muslim. Dialah sumber kebaikan dan maslahat bagi manusia dan pelindung dari bahaya dan mudarat.
وَنُسُكِي
dan ibadatku,
نَسَكَ mempunyai pengertian ‘ibadah’ atau ‘pendekatan diri kepada Allah SWT’. Kata akar ini dijumpai 7 kali di dalam al-Quran. Selain ayat ini, kata akar نَسَكَ terdapat dalam surah Al-Baqarah, 2:128, 196 dan 200. Al-Hajj, 22:34 dan 67 dan Al-An’am, 6:162.
Pada prinsipnya merangkumi tiga pengertian:
1. Khusus berkenaan dengan pengorbanan dalam ibadah haji.
2. Ibadah haji dan ibadah lain (semua ibadah yang kita lakukan kerana Allah SWT )
3. Syariat agama
Seseorang yang melaksanakan ibadah disebut نَاسِك. Sembelihan haiwan yang dimaksudkan untuk mendekatkan diri kepada Allah disebut نَسِيكَة. Puak Musyrikin Mekah ada menyembelih binatang kerana tuhan-tuhan sembahan mereka yang lain.
Korban dan haji adalah dua jenis ibadat yang melibatkan pengeluaran harta.
وَمَحْيَايَ
dan hidupku
Sebagai manusia, tentu kita mempunyai cita-cita untuk menjadi sesuatu dalam dunia ini. Ada yang hendak menjadi kaya, ada yang hendak menjadi pandai, ada yang ingin menjadi terkenal dalam masyarakat. Allah SWT mengingatkan dalam ayat ini bahawa cita-cita kita di dalam dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari redha Allah SWT.
وَمَمَاتِي
dan matiku
Kita mahu apabila kita mati nanti kita berada di atas jalan agama Islam yang benar. Kita sanggup mati untuk memperjuangkan Islam. Semoga kita dimatikan di dalam agama Islam.
Sebenarnya setelah mati pun kita kena ikut suruhan daripada Allah SWT. Selepas kita mati masih ada lagi urusan yang mesti ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti urusan jenazah, wasiat dan faraid.
لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
untuk Allah, Tuhan semesta alam.
Ini bermakna semuanya kita lakukan hanyalah untuk Allah SWT. Inilah formula hidup kita di dunia ini, selagi hidup dan mati, semuanya kita lakukan kerana Allah SWT, untuk Allah SWT, Rabb yang mencipta, mendidik dan menguruskan kehidupan kita.
Petunjuk dan Tindakan Beramal
1. Hendaklah kita solat dan beribadah dengan cara yang betul dan ikhlas hanya kerana Allah.
2. Hendaklah kita menjadikan keseluruhan hidup kita hingga mati hanya untuk Allah.
3. Hendaklah kita tunduk untuk menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
4. Hidup kita ini perlu dikorbankan untuk Allah SWT. Jangan kita terikut-ikut dengan cara pemikiran manusia lain yang hanya mementingkan kehidupan di dunia ini.
5. Kita kena pandai mencari peluang untuk berkorban kepada agama. Sebagai contoh, infak pada jalan dakwah seperti Saidatina Khadijah r.a. yang telah membiayai dakwah Nabi SAW di awal Islam.
6. Sentiasa berdoa agar niat kita dijaga setiap hari, niat semata-mata kerana Allah.
7. Rancang dan semak empat perkara dalam hidup kita setiap hari:
- solat
- pengorbanan dan ibadah harian (kerja, keluarga, masyarakat) dan tahunan (korban dan haji).
- hidup
- mati
Sila tambah petunjuk dan tindakan beramal anda.
Doa
Ya Allah bantulah kami untuk beribadah kepadaMu, jadikanlah keseluruhan hidup kami hanya untukMu.
Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.
Wallahua’lam
Rujukan
1. Tafsir Al-Munir
2. Nota MyQuranTime
3. celiktafsir.net
4. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
5. Telegram Majlis Al-Quran
6. Ensiklopedia Al-Quran