Tadabbur Ayat Solat
Al-Baqarah Ayat 153 : Rawatan Hati yang Penat
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah, 2:153)
Keterangan Ayat/Mesej
1. Ayat [2:153] ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Allah SWT perintahkan kita memohon pertolongan kepadaNya dengan sabar dan solat. Allah SWT menegaskan bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.
2. Pemahaman daripada ayat ini adalah kita disuruh untuk minta bantuan dengan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT. Permohonan terus kepada Allah kita ulang berkali-kali dalam solat iaitu semasa kita membaca Al-Fatihah ayat 5 (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ).
3. Perkara yang kita kena sabar disebut dalam ayat 151, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah SAW: a) Tilawah ayat-ayat Allah, b) Tazkiyah daripada syirik dan maksiat, c) Ta’lim – mengajarkan al-Quran dan Sunnah d) Mengajar ilmu-ilmu lain.
4. Dalam usaha meneruskan tugas Rasul itu, kita diperintahkan untuk ingat kepada Allah, bersyukur dan jangan ingkar kepada Allah (ayat 152).
5. Kita disuruh untuk mengadu terus kepada Allah SWT. Dengan mengerjakan solat, kita memberitahu hal itu kepada Allah SWT sahaja. Dalam solat, doalah dan mengadulah kepada Allah SWT sebanyak-banyaknya.
6. Solat itu adalah doa. Dan Nabi SAW telah mengajar kita bagaimana doa makbul dalam tasyahhud. Selain dari itu, Nabi SAW telah ajar untuk berdoa selepas buat amalan yang baik. Sebagai contoh, kita dapat tahu yang Nabi SAW akan berdoa selepas baginda berdakwah dan mengajar kepada umat.
7. Ayat 154-158 mengajar kita tentang pentingnya kesabaran, terutama ketika menghadapi kematian.
"Dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (mereka) mati. Sebenarnya (mereka) itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya."
8. Allah menjelaskan bahawa kesabaran yang paling tinggi dituntut dalam menghadapi “kematian”. Kematian adalah ujian besar bagi manusia. Walaupun kita melihat mereka yang gugur dalam perjuangan seperti mati, mereka sebenarnya masih hidup. Para syuhada akan menjadi inspirasi kepada mereka yang masih hidup. Semangat mereka akan menaikkan semangat pejuang lain.
9. Perjuangan “fi sabilillah” (di jalan Allah) bukan sahaja terbatas di medan perang, tetapi juga melibatkan orang yang menuntut ilmu dan mereka yang bersungguh-sungguh beramal hingga ke akhir hayat. Semua ini memerlukan kesabaran. Sebagai orang Islam, kita juga mesti ada niat untuk mati syahid kerana ingin mempertahankan kebenaran.
10. Selagi kita hidup, Allah SWT akan terus menguji kita dalam pelbagai aspek kehidupan, baik dalam perkara kecil mahupun besar, dan dari pelbagai arah, seperti ketakutan (contohnya keadaan ekonomi, penyakit), kelaparan, kekurangan tenaga, kekayaan, kesukaran peribadi, atau masalah dalam pekerjaan. Setiap orang menghadapi ujian yang berbeza mengikut keadaan dan keadaan mereka. Ayat [2:155]
11. Ayat [2:156] mengajar kita bahawa apabila ditimpa musibah, kita hendaklah mengucapkan, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" yang bermaksud "Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali." Ungkapan ini mengingatkan kita bahawa semua yang kita miliki adalah milik Allah, dan Dia berkuasa untuk mengambilnya pada bila-bila masa. Kita mesti berusaha menghadapi ujian dengan kefahaman ini, mencari ketenangan dengan takdir Allah, dan berusaha sedaya upaya untuk mengatasi cabaran yang kita hadapi.
12. Allah SWT menjelaskan bahwa nikmat kadangkalanya diiringi dengan cubaan dalam berbagai bentuk. Kaedah untuk menguruskan ujian ini adalah dengan meminta pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Kesabaran memperkuatkan tekad dan meneguhkan kemahuan dalam menanggung kesukaran, dan Allah bersama orang-orang yang sabar, yakni dengan memberi mereka pertolongan, perhatian, dan dukungan.
13. Ayat [2:157] menyatakan bahawa orang-orang yang sabar akan mendapat tiga ganjaran:
a. Pengampunan (bebas dari dosa)
b. Rahmat (kasih Tuhan)
c. Bimbingan (tujuan hidup yang betul)
Petunjuk dan Kaedah Beramal
1. Apabila seorang Mukmin memohon pertolongan dengan sabar dan solat maka akan terasa ringanlah baginya segala kesusahan, dan ia akan tahan menghadapi segala cubaan.
2. Solat disebutkan kerana ia adalah amalan fizikal yang paling besar pengaruhnya terhadap manusia sebab dengan solat manusia terputus hubungannya dengan dunia dan menghadapkan diri kepada Allah. Sabar disebutkan di sini karena ia adalah faktor mental yang paling kuat pengaruhnya terhadap jiwa. Apabila sedang mengalami kesusahan, biasanya Rasulullah SAW mencari ketenangan dengan mengerjakan solat dan membaca ayat ini.
3. Realitinya, amal-amal individual dan amal-amal jama’i yang besar tidak dapat membuahkan hasil kecuali dengan keteguhan dan perjuangan yang terus-menerus, dan bekal untuk itu semua adalah dengan pertolongan daripada Allah yang kita kena mohon dengan sabar. Sesungguhnya Allah SWT adalah Zat Yang Menolong hambaNya yang memohon pertolongan dengan sabar, mengabulkan doa mereka, dan melenyapkan kesusahan mereka.
4. Allah telah memberi kita nikmat yang besar berupa rasul dan al-Quran. Kita perlu bersyukur sebagai menghargai dan mengingatiNya.
5. Untuk mendapatkan lebih banyak nikmat daripada Allah, kita hendaklah:
a. Selalu ingat Allah dalam setiap langkah kita.
b. Syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan.
c. Jangan mengingkari atau mengkufuri nikmat Allah.
6. Jika kita ingin terus mendapat pertolongan dari Allah, kita mesti bersabar dan solat. Solat tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan perjuangan dan ketabahan. Solat mengandung inti pati al-Quran, khususnya dalam surat Al-Fatihah.
7. Peranan rasul yang wajib kita teruskan:
• Tilawah: Membaca ayat-ayat al-Quran berulang kali untuk memahaminya dan mengamalkannya. Oleh itu, tilawah dan tadabbur mesti menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita.
• Tazkiah: Memahami dan menyampaikan mesej al-Quran untuk menyucikan diri dari syirik dan maksiat. Jika kita menjadikan bacaan sebagai satu kebiasaan, secara beransur-ansur tazkiah akan berlaku. Proses ini mesti dijalankan secara berterusan.
• Mengajar Kitab Allah sebagai panduan hidup: Kita perlu mengajar al-Quran sebagai panduan hidup kita. Ini memerlukan tazkiah melalui membaca, tadabbur, dan tazakkur ayat-ayat Allah.
• Belajar dan mengajar ilmu-ilmu lain: Selain mempelajari al-Quran, kita juga dituntut untuk belajar ilmu-ilmu lain seperti sains, geografi dan pelbagai bidang ilmu. Allah akan terus memberikan ilmu kepada kita melalui pelbagai sumber dan cara.
8. Para pendidik dan pemimpin umat Islam harus mengambil contoh dari model pendidikan yang diajarkan Allah melalui Nabi, agar umat Islam dapat bangkit dan mencapai kegemilangan yang diidam-idamkan. Dengan mengikuti peraturan pendidikan yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad, kita boleh berharap dapat mengembalikan kegemilangan Islam seperti pada zaman Rasulullah.
9. Allah mengajar kita bahawa apabila kita berhadapan dengan ujian dalam pelbagai aspek kehidupan, kita harus mengakui bahawa segala yang kita miliki adalah milikNya.
10. Apabila berhadapan ujian, janganlah kita menganggapnya sebagai tanda Allah tidak reda kepada kita. Allah menguji para nabi dan rasul-Nya sebagai petunjuk dan membolehkan mereka istiqamah sehingga sampai ke syurga. Hadapi ujian dengan memohon pertolongan kepada Allah SWT, dengan sabar dan solat. Yakin bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. Tafsir Al-Munir
3. celiktafsir.net
Wallahua’lam