Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-06 : Al-Baqarah Ayat 177

Tadabbur Ayat Solat


Al-Baqarah Ayat 177 : Kebaikan Sejati



لَّيْسَ ٱلْبِرَّ أَن تُوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلْكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُوا۟ ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلْبَأْسِ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُتَّقُونَ 

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil, (orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah, 2:177)


Keterangan Ayat/Mesej


Ayat ini masih lagi ada kena mengena dengan kiblat. Ayat ini juga adalah teguran kepada Puak Yahudi dan Nasara yang selalu membuat berbagai tuduhan kepada Islam untuk merendahkan agama Islam. Antaranya, mereka tuduh Islam ini dalam hal kiblat pun tidak tetap – sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Allah nak beritahu dalam ayat ini, bukanlah kebaikan itu hanya memandang ke arah kiblat sahaja. 
Islam bukan itu sahaja tapi Islam adalah agama yang sempurna yang merangkumi segenap kehidupan manusia.


Di awal surah Al-Baqarah, ada disebutkan tentang orang-orang bertaqwa. Maka dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan lagi sifat-sifat orang yang bertaqwa.


Ayat ini terkenal sebagai ‘Ayatul Birr’ (ayat tentang kebaikan). Ia berkenaan kebaikan secara holistik. Ada dua jenis kebaikan – ibadah dan etika (akhlak). Ada Muslim yang amat menjaga kebaikan daripada segi ibadah: jaga salat, puasa, haji dan sebagainya. Namun ada satu jenis lagi kebaikan iaitu daripada segi etika: jaga hubungan dengan keluarga, sedekah kepada anak yatim dan orang miskin. Dua-dua kena ada sebenarnya, tanpa ditinggalkan salah satu.


Kalimah الْبِرَّ bermaksud kebajikan atau kebaikan. Ia diambil dari perkataan بَرَّ yang bermaksud ‘daratan’. Berlawanan dengan perkataan بحر yang bermaksud ‘lautan’. Kerana Allah hendak bezakan antara lautan dan daratan. Orang Arab menggunakan kata الْبِرَّ untuk merujuk kepada kebajikan kerana hendak menekankan yang ianya adalah sesuatu yang stabil. 


Kalau lautan, ianya sentiasa bergelora. Jadi, Allah telah mengisyaratkan bahawa perbuatan kebajikan ini hendaklah stabil, iaitu berterusan dilakukan. Bukan untuk dilakukan sekejap-sekejap sahaja.


Asmaul Husna Al-Barr maknanya Allah yang Maha Berbuat Baik.
Hamba juga diingatkan supaya berbuat kepada Rabbnya, iaitu dengan melakukan ketaatan kepada Rabb.


Ketaatan hamba terbahagi dua iaituketaatan dalam akidah dan ketaatan dalam beramal (fardu dan sunnah). Semua itu tercakup dalam ayat ini.


Kebaikan itu adalah:

1. Beriman dengan Allah, hari akhirat, malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi. 

Setelah itu, Allah sebut tentang amalan pula. Allah mengajar kita apakah yang perlu dilakukan dalam perkara kebaikan itu.

2. Infakkan hartanya yang disayangi - Allah tekankan yang kita kena beri harta yang kita sayang. Makna عَلَىٰ حُبِّهِ, memberi sedekah walaupun dia sayang kepada harta itu.

Dari Abu Hurairah, dia berkata bahawa ada seseorang yang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu dia berkata:

“Wahai Rasulullah, sedekah yang mana yang lebih besar pahalanya?” Beliau menjawab, “Engkau bersedekah pada saat kamu masih sihat, saat kamu takut menjadi fakir, dan saat kamu berangan-angan menjadi kaya. Dan janganlah engkau menunda-nunda sedekah itu, hingga apabila nyawamu telah sampai di tenggorokan, kamu baru berkata, “Untuk si fulan sekian dan untuk fulan sekian, dan harta itu sudah menjadi hak si fulan” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 1419 dan Muslim no. 1032).

Selepas kita tahu kita perlu infakkan harta kita, kita perlu tahu kepada siapakah yang kita perlu infakkan harta itu (ikut keutamaan berikut):

a) kaum kerabat keluarga - Yang paling utama kita kena tolong adalah ahli keluarga kita yang terdekat. Selepas itu, kena beri juga kepada jiran tetangga yang tinggal berdekatan dengan kita. Tapi sebaiknya jangan melangkau, kena cari yang dekat dengan kita dahulu. Jangan kita memberi kepada orang yang jauh, tapi yang dekat dengan kita, kita tak beri lagi.

b) anak yatim - Allah banyak beri anjuran untuk membantu anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka tidak ada penaung lagi dan mereka amat memerlukan bantuan. Banyak sekali pahala kalau bantu mereka. Dan besar sekali dosa kalau tidak memberikan hak-hak mereka.

c) orang-orang miskin - kita juga kena kenal siapakah orang miskin dalam kawasan kita. Kena bercampur gaul dengan masyarakat untuk tahu siapakah mereka. Kita kena berusaha untuk mencari siapakah yang susah dalam kawasan kita.
 
d) orang yang dalam perjalanan - Kita juga kena beri bantuan kepada mereka yang dalam musafir. Sunnah dalam Islam adalah menjemput orang yang dalam perjalanan untuk tinggal dengan kita. Sepatutnya kita berebut-rebut dengan orang lain untuk mengajak mereka tinggal dengan kita. Tapi kita buat yang sebaliknya. 

e) orang yang meminta-minta kerana terdesak - Tidak semestinya yang meminta itu tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Contoh: Orang yang tengah ada masalah. Sebagai contohnya, ada yang telefon kita minta bantuan secara tiba-tiba. 

f) untuk memerdekakan hamba - Zaman sekarang, tidak ada lagi golongan hamba abdi. Tapi ada juga pembantu rumah atau pekerja asing yang kena tipu dengan majikan mereka, sampai tak boleh nak balik negara mereka. Sampaikan ada ejen peras ugut mereka lagi. Ataupun orang yang kena tawan dan dilarikan dari tempat tinggal mereka dan dijual di negara lain. Ada juga orang yang di’tawan’ oleh hutang yang terlalu banyak sampai mereka tidak dapat bayar. Mereka memerlukan bantuan kita, maka kita kena tolong mereka seboleh mungkin.

3. Mendirikan solat dan membayar zakat. Ini adalah ibadat-ibadat khusus. Ini adalah kerana Allah SWT nak tekankan bahawa kena ada dua elemen: menjaga ibadat agama dan berbuat kebajikan. Tidak boleh kita jaga ibadat agama tapi tidak berbuat kebajikan. Dan tidak boleh kita kata kita ada banyak tolong orang tapi bab solat dan zakat, kita tak jaga. Dua-dua elemen kena ada.

4. Sempurnakan janji-janji apabila berjanji. Ini adalah tentang akhlak. Allah SWT menyebut tentang orang yang sentiasa memenuhi janji mereka apabila mereka berjanji. Itulah maksud perkataan الْمُوفُونَ itu. Sebagai contoh, kalau kita sudah tandatangan kontrak untuk buat sesuatu, itu adalah juga perjanjian kita dengan orang lain. Maka kita kena penuhi kontrak itu.

5. Bersabar terhadap kesempitan hidup - Kita kena bersabar dalam waktu-waktu kesempitan untuk berterusan melakukan kebaikan. Kerana kalau tidak ada sabar/berterusan, perkara-perkara kebaikan yang telah disebut di atas tadi itu hanya dilakukan ikut musim sahaja. Kita buat sekejap sahaja. Sebab memang perlukan orang yang sabar untuk terus melakukan perkara kebaikan itu.


Kita perlukan kesabaran di dalam waktu yang susah dan perlukan kesabaran untuk terus melakukan kebajikan. Kita juga perlu sabar untuk terus beramal. Kerana syaitan akan sentiasa mengganggu kita dan membisikkan kepada kita untuk berhenti. Syaitan akan terus hasut kita sampai kita jadi bosan melakukannya.
 

Orang-orang yang telah melakukan setiap perkara yang disebut di atas adalah orang yang membuat kebaikan sejati. Tidaklah mereka cakap sahaja, tapi mereka lakukan apa yang Allah SWT. Mereka membenarkan apa yang mereka katakan. Iaitu percakapan dan perbuatan mereka sama (tidaklah cakap tidak serupa bikin). 


Mereka ini adalah sebenarnya orang yang bertaqwa. Mereka menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Jadi untuk tahu sama ada kita beriman sempurna atau tidak, ialah kita tidak syirik dan sentiasa bimbang tentang akhirat. Bimbang takut-takut kita masuk neraka dan berharap sangat untuk masuk syurga.


Petunjuk/Tindakan


1. Kebajikan Sejati: Ayat ini mengajarkan bahawa kebaikan yang sebenar tidak terletak pada perbuatan zahir semata-mata, seperti solat. Kebajikan yang sebenar adalah berkaitan dengan keyakinan yang teguh kepada Allah, hari akhirat, malaikat, Kitab Suci dan Nabi-nabi Allah.

2. Ihsan dan Penyayang: Ayat ini menekankan kepentingan belas kasihan dan keprihatinan sesama manusia. Kebajikan melibatkan memberi penjagaan, belas kasihan, dan bantuan kepada saudara mara, anak yatim, orang miskin, dan mereka yang terlantar dalam perjalanan.

3. Membantu Mereka yang Memerlukan: Ayat ini mengajar bahawa kebajikan melibatkan pemberian pertolongan kepada mereka yang meminta dan membebaskan hamba yang terperangkap dalam perhambaan. Ini menunjukkan betapa pentingnya perpaduan sosial dan keprihatinan terhadap mereka yang berada dalam kesusahan.

4. Ibadah dan Beramal: Ayat ini menekankan kepentingan mengamalkan ibadah dan amal agama. Menunaikan solat dan mengeluarkan zakat adalah perbuatan penting yang mencerminkan kebajikan yang sebenar.

5. Ketaatan Kepada Janji: Ayat ini mengajar kepentingan menjaga integriti dan kejujuran dengan menunaikan janji dan perjanjian yang dibuat. Ini menunjukkan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi dalam berinteraksi dengan orang lain.

6. Ketabahan dan Kesabaran: Ayat ini menekankan kepentingan tabah dan sabar dalam menghadapi kesukaran, penderitaan, dan cabaran dalam hidup. Kebajikan juga melibatkan kesanggupan untuk mengharungi ujian dengan tabah.

7. Sifat Iman dan Taqwa: Ayat ini menegaskan bahawa orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh ialah mereka yang mempunyai sifat iman dan taqwa yang tinggi. Iman dan taqwa adalah faktor utama dalam melaksanakan kebajikan.

Ayat ini memberikan panduan menyeluruh tentang kebajikan meliputi aspek iman, amal, perhubungan sosial, ketaatan, keteguhan hati, dan sifat rohani. Dengan memahami dan mengamalkan ajaran ini, kita dapat menjalani kehidupan yang mulia dan mendapat keredaan Allah.


Semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang membuat kebaikan yang sebenarnya serta bertolong menolong dalam berbuat kebaikan.


Rujukan

1. Nota My #Qurantime
2. Tafsir Al-Munir
3. celiktafsir.net


Wallahua’lam

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...