Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-07 : Al-Baqarah Ayat 238

Tadabbur Ayat Solat


Surah Al-Baqarah Ayat 238 : Penawar Sedih dan Takut


حَـٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِينَ 


“Peliharalah kamu (dilakukan secara teratur dan sempurna pada waktu yang tepat) semua solat fardu, terutama solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) taat dan khusyuk."


Keterangan Ayat


Pada halaman 38 (ayat 234-237) Allah SWT memberikan peraturan tentang edah isteri yang kematian suami, tentang perkahwinan dan perceraian. Itu adalah situasi yang menyedihkan dalam rumahtangga. Ayat 239 pula tentang perasaan takut dalam menghadapi musuh atau perang, diikuti dengan ayat persediaan suami untuk nafkah isteri sebelum mati, dan hak isteri yang diceraikan.


Ayat 238 terselit antara situasi sedih dan takut. Melalui ayat ini, Allah Yang Maha Penyayang memberikan penawar duka dan takut. Untuk mengubati kesedihan (perkara yang telah berlalu) setelah kematian suami atau perceraian (untuk suami isteri) atau takut menghadapi masa hadapan, Allah SWT ajarkan kita bahawa penawarnya ialah pelihara solat dengan sebaik-baiknya, terutama solat Asar. Dirikan solat kerana Allah taat dan khusyuk.


Memang sukar untuk menerima hakikat kematian dan perceraian, namun orang yang menjaga solat dengan sebaik-baiknya akan menerima takdir dengan reda, tidak sedih berlebihan, tidak marah atau takut, malah maaf memaafkan.


Kenapa Allah SWT tambah  وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ (dan solat pertengahan) sedangkan sebelum itu sudah disebut ٱلصَّلَوَٰتِ yang merujuk kepada semua solat fardu? 


Jumhur ulamak bersetuju bahawa solat pertengahan merujuk kepada solat Asar. Tentang solat pertengahan, terdapat beberapa hadis sahih berkaitan solat pertengahan (Asar). Berikut adalah dua hadis sahih yang berkaitan:


Nabi SAW pernah bersabda, "Barang siapa meninggalkan solat Asar sungguh hapuslah amalnya." (HR Bukhari no 520)


Melalui hadis ini, kita diingatkan untuk menjaga dan melaksanakan solat Asar dengan penuh keinsafan, ketaatan dan kehadiran rohaniah agar tidak terhapus amal.


Dihujung ayat ada perkataan قَـٰنِتِينَ yang diterjemahkan sebagai ‘taat dan khusyuk’. Menurut kamus Asfahani, kalimah ini berasal dari perkataan قَنَتَ.

     اَلقُنُوْتُ


Ertinya senantiasa taat yang disertakan dengan ketundukan.


Ada ulamak berpendapat maknanya diam iaitu diam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya solat ini, tidak boleh ada percakapan manusia. Kerana solat itu adalah (tempat untuk membaca) al-Quran dan tasbih”


Ketika Nabi SAW ditanya solat bagaimanakah yang paling utama? Maka Nabi SAW menjawab “Solat yang lama qunutnya”, yang bermaksud lama dalam menyibukkan diri untuk beribadah serta menolak segala sesuatu selainnya.


Dalam konteks fiqh, qunut bermaksud setiap bacaan dalam solat yang mengandungi pujian kepada Allah dan doa untuk-Nya, seperti qunut dalam solat subuh, witir dan qunut nazilah. Manakala qunut dalam konteks akhlak ialah sikap merendah diri dan taat. Qunut dapat direalisasikan dalam segala aspek kehidupan kita sebagai hamba yang ikhlas kepada Allah SWT.


Nabi Ibrahim dipuji oleh Allah kerana taat dalam firman-Nya, 


إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ كَانَ أُمَّةًۭ قَانِتًۭا لِّلَّهِ حَنِيفًۭا وَلَمْ يَكُ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ 


“Sungguh, Ibrahim adalah seorang imam (yang dapat dijadikan teladan), patuh kepada Allah dan ḥanīf. Dan dia bukanlah termasuk orang musyrik (yang mempersekutukan Allah),”. (An-Nahl, 16:120). 


Ketaatan Nabi Ibrahim a.s. seperti dalam ayat ini disifatkan sebagai menyamai ketaatan satu kaum (ummatan qanitan). Betapa hanya Ibrahim yang mampu membuktikan ketaatannya sepenuhnya kepada Allah, walaupun terpaksa menyembelih anaknya yang sangat dicintainya. Ibrahim juga bersedia meninggalkan keluarganya di tengah-tengah padang pasir yang tandus dan gersang kerana ketaatannya kepada Allah secara total.


Begitu juga dengan Maryam. Wanita solehah ini diabadikan oleh Allah sebagai contoh terbaik dalam hal ketaatan kepada Allah. Bahkan ketaatannya mampu menandingi ketaatan lelaki yang taat (minal qanitin). 


“Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat. (At-Tahrim, 66:12). 


Keutamaan ini diberikan Allah kerana dia dapat menunaikan perintah Allah, “"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk ". (Ali Imran, 3:43).


Apabila Al-Quran membicarakan tentang ciri-ciri isteri solehah yang dipuji dan dihargai oleh Allah, sifat pertama yang disebut ialah quntah (qanitah)nya,


فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ…


“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. (An-Nisa, 4:34)


Betapa tingginya kedudukan qunut, sehingga Allah swt mengisytiharkan bahawa semua makhluk-Nya di langit dan di bumi serentak menunjukkan qunut mereka kepada Allah, Khaliq mereka. Allah menegaskan sikap mereka dalam firman-Nya, “Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya. (Al-Baqarah, 2:116), dan firman-Nya yang lain, “Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya." (Ar-Rum, 30:26)



Petunjuk/Tindakan


Ayat ini menyeru agar kita menunaikan solat fardhu terutama solat tengah (Asar) dengan penuh taat dan khusyuk. Allah SWT mengingatkan kita tentang keperluan untuk menumpukan masa dan tenaga yang mencukupi untuk solat tepat pada masanya dan dengan kehadiran rohani yang sempurna. Ia menekankan kepentingan menyucikan diri secara rohani dan menumpukan perhatian kepada Allah semasa beribadat.


Solat adalah ibadah yang memberikan ketenangan fikiran, dan kedamaian rohani. Dalam melaksanakan solat dengan taat dan khusyuk, kita dapat mencapai ketenangan dan hidayah dari Allah dalam kehidupan kita. 


Ayat ini diselitkan di antara ayat-ayat yang membicarakan masalah rumah tangga dan takut, untuk menekankan kepentingan menjaga solat sebagai asas yang kukuh dalam menangani masalah kehidupan termasuk masalah dalam rumah tangga dan dalam situasi takut.


Dalam konteks masalah rumah tangga, menjaga solat dengan penuh ketaatan dan kesedaran dapat memberikan ketenangan, keikhlasan, dan hidayah daripada Allah dalam menyelesaikan konflik dan mencapai keharmonian dalam hubungan suami isteri. Solat menjadi sumber kekuatan rohani dan perspektif yang jelas dalam menangani pertikaian dan mencari penyelesaian yang adil.


Dalam konteks situasi peperangan atau konflik, solat mempunyai peranan penting sebagai sarana untuk mendapatkan kekuatan, ketenangan batin, dan petunjuk daripada Allah dalam menghadapi cabaran dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Solat dapat memberikan kekuatan moral, keberanian, dan perasaan jihad kepada Allah dalam berperang atau melawan ketidakadilan.


Dengan meletakkan ayat-ayat menjaga solat di antara ayat-ayat yang membincangkan isu rumah tangga dan peperangan, Al-Quran ingin menegaskan bahawa solat merupakan prinsip penting dalam mengatasi pelbagai masalah kehidupan. Allah SWT mengajar manusia agar tidak melupakan hubungan dengan Tuhan dalam menghadapi pelbagai situasi termasuk dalam konteks kehidupan peribadi, keluarga dan sosial yang penuh dengan cabaran dan konflik.


Dengan menunaikan solat dengan khusyuk, umat Islam diharapkan mendapat kekuatan, kebijaksanaan, dan petunjuk daripada Allah dalam menangani masalah rumah tangga dan situasi peperangan, serta mengambil tindakan yang sewajarnya sesuai dengan ajaran agama.


Sebagai seorang isteri, ibu dan pendakwah, ayat ini dapat memajukan gaya hidup kita dengan mengutamakan solat sebagai asas utama dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab kita. Dalam peranan seorang isteri, solat dapat memberikan ketenangan, kebijaksanaan, dan kesabaran dalam menangani masalah dalam rumah tangga. Solat juga boleh membantu kita mengekalkan komitmen terhadap kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang baik.


Sebagai seorang ibu, solat dapat memberikan ketenangan dan kekuatan dalam membesarkan anak-anak. Dengan menjaga solat dengan khusyuk, kita boleh menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak tentang kepentingan ibadah dan menunaikan kewajipan agama. Solat juga dapat membantu kita mendapat hidayah dan hikmah dalam mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik.


Sebagai pendakwah, solat menjadi asas kerohanian yang kukuh untuk memantapkan dan menyebarkan dakwah. Dengan menjaga solat dengan sepenuh hati, kita boleh mendapat kekuatan, kebijaksanaan, dan hidayah daripada Allah dalam menjalankan tugas dakwah. Solat juga boleh memberikan ketenangan dan keberkatan dalam berinteraksi dengan orang lain, seterusnya meningkatkan kualiti komunikasi dan pengaruh kita sebagai seorang pendakwah.



Rujukan


1. Nota My #Qurantime

2. Tafsir Al-Munir

3. celiktafsir.net

4. Kamus Asfahani

5. Buku “Memahami Al-Quran Petunjuk Kita”, Haji Mohamed Ayob Yasin



Wallahua’lam


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...