Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-19 : Al-An’am Ayat 92

Tadabbur Ayat Solat


Surah Al-An’am ayat 92 (Halaman 139)


Tajuk: Al-Quran Sumber Berkat


Surah Al-An’am (6:92)


وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌۭ مُّصَدِّقُ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا ۚ وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۖ وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ٩٢


“Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.”


Keterangan Ayat


هذا (ini) untuk merujuk kepada al-Quran. Selalunya kata tunjuk yang digunakan adalah perkataan  ذلك   (itu) yang bermaksud ‘itulah’. Apabila perkataan هذا digunakan seperti dalam ayat ini, ia menunjukkan ‘dekat’. Ia hendak memberitahu yang al-Quran ini sudah ada di tangan kita.


Di dalam ayat ini, Allah ‎SWT hendak menekankan bahawa al-Quran diturunkan daripada-Nya di mana al-Quran itu bukanlah daripada sesiapa, tetapi daripada Allah ‎SWT, Tuhan sekalian alam. 


Kalimah مُبَارَكٌ bermaksud sesuatu yang penuh barakah di dalamnya. ‘Barakah’ pula bermaksud sesuatu kebaikan yang semakin bertambah dan berkembang. Allah memberkati kitab al-Quran dengan keistimewaan yang tidak dimiliki oleh kitab-kitab sebelumnya, baik dalam tata bahasa mahupun makna.


Al-Quran mengandungi ajaran-ajaran yang tidak terdapat dalam kitab-kitab Taurat dan Injil. Itu adalah kelebihan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat Islam terakhir dunia ini.


Kalimah مُبَارَكٌ juga bermaksud sesuatu yang menjadi ‘sumber kebaikan’. Dengan mempelajarinya, kita akan mendapat banyak kebaikan. Ia akan mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita selamat di dunia dan di akhirat. Kebaikan itu pula akan bertambah dan bertambah. 


Keberkatan tidak didapati daripada kubur wali, daripada ustaz itu dan ini, daripada orang yang baru balik Haji dan sebagainya. Itu semua adalah salah faham yang amat tentang ‘berkat’.


مُّصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya


Allah ‎SWT memberitahu kepada kita tentang kitab-kitab terdahulu seperti Taurat, Injil dan Zabur. Kitab-kitab itu adalah benar belaka (sebelum diubah-ubah oleh pemuka agama mereka).


Allah ‎SWT hendak memberitahu kepada orang Yahudi bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini dan Al-Quran yang diajarkan bukanlah membawa perkara yang baru tetapi meneruskan apa yang ada di dalam kitab-kitab yang terdahulu. Maka, janganlah lawan Al-Quran itu kerana ia membenarkan apa yang mereka ada, bukanlah memperkenalkan agama yang lain pula.


Sunnah Nabi Muhammad SAW menunjukkan kepada kita bagaimana cara beramal dengan isi kandungan al-Quran. Sekarang ramai asatizah yang membuka mata kita, untuk pemurniaan ibadah, iaitu memastikan ibadah yang kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. 


Malangnya apabila ada asatizah yang mengajar Sunnah yang asal, kita menjadi pelik kerana tidak sama dengan apa yang diajar oleh nenek moyang kita. Pepatah Arab ada mengatakan: “Manusia memusuhi apa yang mereka tidak ketahui”.


وَلِتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah)


Kalimah أُمَّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’. Ia juga bermaksud ‘asal’ kepada sesuatu. Kalimah الْقُرَىٰ pula bermaksud ‘pekan’ ataupun ‘bandar’. Maka perkataan أُمَّ الْقُرَىٰ bermaksud ‘ibu kepada bandar’. Ia juga boleh bermaksud ‘asal’ kepada semua pekan dan bandar.


Yang dimaksudkan أُمَّ الْقُرَىٰ dalam ayat ini adalah Mekah. Kenapakah Mekah digelar Ummul Qura? 


Pertamanya, Mekah itu adalah kiblat kepada semua pekan dan bandar. Walau di mana pun kita berada, kita akan mengadap Mekah dalam solat kita.


Keduanya, kerana Mekah itu ialah tempat perginya mereka yang hendak melakukan Tawaf dan Haji. Manusia datang dari merata tempat untuk melawat Kaabah. Sebagaimana kita kalau merantau ke mana-mana pun, akan tetap kembali melawat ibu kita. Ummul Qura merupakan tempat yang disayangi oleh semua orang seperti ibu dalam keluarga kita. 


Mekah adalah tempat yang mula-mula sekali mempunyai penduduk yang ramai dalam Semenanjung Arab kerana di situlah terletaknya Kaabah semenjak dari dulu lagi. Allah ‎SWT telah memberitahu kita bahawa memang Kaabah adalah rumah ibadat yang pertama dalam dunia (Ali-Imran, 3:96).


Dari sudut geografi juga, Mekah berada di tengah-tengah dunia. (Al-Syura, 42:7)


Mekah seperti ibu negara tanah Arab waktu itu. Ia adalah tempat berkumpulnya semua berhala-berhala yang besar. Dari sini, Allah ‎SWT mengajar kita bagaimana cara mengembangkan Islam di mana hendaklah kita ‘serang’ pusat kesyirikan. Kalau satu-satu tempat itu adalah tempat pengembangan syirik, maka di situlah dakwah perlu dijalankan. 


Allah ‎SWT telah menghantar Nabi Muhammad SAW ke pusat kesyirikan paling besar pada zaman itu. Walaupun baginda telah berhijrah ke Madinah, baginda masih lagi selalu diingatkan dengan Mekah, sekurang-kurangnya apabila baginda mengadap kiblat dalam solat. Hanya apabila Fathul Makkah (Pembukaan Mekah) barulah Pusat Syirik itu dihapuskan dan digantikan menjadi Pusat Islam.


Dalam ayat ini, baginda disuruh untuk berdakwah kepada orang yang dekat dengan baginda iaitu di Mekah kerana baginda tinggal di Mekah. Kemudian sebarkan ke tempat yang lain pula.


وَمَنْ حَوْلَهَا

dan orang-orang yang di luar lingkungannya.


Nabi Muhammad SAW diingatkan untuk memberi peringatan bukan hanya kepada penduduk Mekah sahaja tetapi kawasan sekitarnya juga. Perkataan ‘sekitar’ ini bukan hanya bermaksud sekitar Semenanjung Arab sahaja tetapi bermaksud seluruh dunia. Dan memang Nabi SAW buat begitu dan kemudian usaha baginda disambung oleh para sahabat. Kita dapat lihat mesej al-Quran ini telah sampai ke seluruh dunia.


Persoalannya, adakah kita menyampaikan mesej al-Quran ini kepada semua orang yang kita jumpa? Bagaimana hendak kita sampaikan kalau kita sendiri belum baca, faham dan amal al-Quran? 


وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ

Dan orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat, tentu beriman kepadanya (Al Quran)


Kalau kita percaya kepada hari akhirat, maka sudah semestinya kita kena percaya dan beriman kepada al-Quran ini kerana al-Quran banyak memberitahu tentang hari akhirat.


Maksud ‘beriman dengan al-Quran’, kita menerima isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Namun kalau kita tidak belajar tafsir, tadabbur tazakkur, kita tidak boleh tahu isi kandungan al-Quran.


وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.


Orang yang beriman dengan hari akhirat dan beriman dengan al-Quran akan menjaga solat mereka. Mereka menjaga solat kerana takut adzab pada hari akhirat. Solat disebut secara khusus kerana ia adalah tiang agama. Barangsiapa yang menjaganya, dia akan menjaga ibadah-ibadah yang lain.


Oleh kerana Surah al-An’am ini diturunkan di hujung tempoh di Mekah, kewajipan solat telah ada. Tetapi pada waktu itu, kiblat solat adalah Masjidil Aqsa.


Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menjaga solat’? Ia merangkumi banyak perkara. Bukan hanya setakat solat yang bermula dengan takbir dan berakhir dengan salam.


Pertamanya, ia bermaksud menjaga syarat-syarat keperluan untuk solat seperti kebersihan tempat solat, mandi junub, wudhu’, kebersihan pakaian kita dan sebagainya. Ini kerana kalau semua itu tidak dijaga, maka akan sia-sia sahaja solat itu kerana tidak diterima. Semua itu dapat diketahui apabila kita mempelajari hadis.


Keduanya, ia bermaksud menjaga cara-cara solat, iaitu mengerjakan solat dengan cara yang betul. Oleh itu kita hendaklah belajar cara-cara solat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. Namun malangnya, masyarakat kita jarang belajar dengan betul cara-cara melakukan solat. Mereka hanya belajar solat sewaktu di sekolah rendah dulu dan ilmu itulah yang mereka gunakan sampai ke tua.


Kepada para sahabat, mereka mempunyai satu tanggungjawab yang lebih besar lagi. Mereka disuruh ‘menjaga solat’ mereka. Tetapi di dalam masa yang sama, semasa mereka di Madinah apabila kiblat sudah ditukar ke Mekah, mereka semua sedar bahawa mereka sedang mengadap kepada Kaabah yang dipenuhi dengan berhala-berhala syirik.


Oleh itu, setiap kali mereka sedang solat, mereka sedar bahawa mereka juga dalam masa yang sama sedang mengadap kepada berhala-berhala itu. Maka, kalau mereka hendak ‘menjaga solat’, mereka hendaklah membersihkan Kaabah daripada berhala-berhala itu.


Oleh hal yang demikian, di dalam ayat ini sudah ada isyarat bahawa mereka perlu mengambil alih Mekah dan Kaabah. Mereka mestilah membebaskan Kaabah daripada elemen syirik.



Petunjuk dan Tindakan Beramal


1. Hendaklah kita mengambil peringatan dan petunjuk daripada al-Quran kerana ia adalah sumber keberkatan yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Berkat.

2. Janganlah kita minta berkat daripada makhluk lain.

3. Al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk dan peringatan kepada seluruh manusia di dunia. Maka hendaklah kita sampaikan al-Quran kepada seluruh manusia di dunia.

4. Al-Quran mengandungi peringatan dan berita gembira daripada Allah ‎SWT. Semakin banyak kita berinteraksi dengan al-Quran, semakin berkat hidup kita. (Sad, 38:29)

5. Jangan main-main dengan al-Quran. Ketika al-Quran dibacakan, hendaklah kita senyap (Al-A’raf, 7:204). 

6. Belajar hadis untuk memurnikan ibadah kita.

7. Belajar al-Quran dengan bersungguh-sungguh supaya kita dapat sampaikan al-Quran kepada orang lain di sekitar kita dan seluruh dunia, Muslim dan Non-Muslim.

8. Gunakan strategi tilawah dan ta’lim  al-Quran dalam usaha berdakwah dan islah.

9. Fokuskan penyampaian al-Quran kepada orang-orang utama dan sekelilingnya. Pergi kepada kumpulan-kumpulan strategik. Contoh: Nabi Musa pergi kepada pemimpin pada waktu itu. Nabi SAW fokus menyebarkan al-Quran di Mekah (Ummul Qurra) yang akhirnya berkembang ke seluruh dunia.

10. Jaga solat sebagai tanda kita beriman kepada Allah dan al-Quran supaya kita dapat keberkatan yang hakiki pada hari akhirat iaitu ganjaran syurga.

11. Bersihkan diri kita daripada syirik agar kita menjadi orang yang jaga solat.


Doa


Ya Allah rahmati kami dengan al-Quran, dan jadikanlah al-Quran Imam, Cahaya, Hidayah dan Rahmat untuk kami. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa dari al-Quran, dan ajarkan kami apa yang kami tidak tahu dari al-Quran. Kurniakan kami kemampuan untuk tilawahnya siang dan malam.

Ya Allah kurniakanlah kepada kami keberkatan al-Quran, jadikanlah kami orang yang beriman kepada hari akhirat dan sentiasa menjaga solat kami. 


Aamiin.


Wallahua’lam


Rujukan


1. Tafsir Al-Munir

2. Tafsir Al-Azhar

3. Nota MyQuranTime

4. celiktafsir.net/2014/10/22/anam-ayat-91-92/ 

5. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin

6. Majlis Al-Quran, Telegram Majlis Al-Quran


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...