Tadabbur Ayat Solat
Surah Al-Anfal Ayat 35(Halaman 181)
وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِندَ ٱلْبَيْتِ إِلَّا مُكَآءًۭ وَتَصْدِيَةًۭ ۚ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ ٣٥
Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.
Al-Anfal, 8:32-36
Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari masjid Al-Haraam, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya (kerana mereka kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.
Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Hubungan Ayat Dengan Tema Surah Al-Anfal: "Peraturan Kemenangan dan Sebab Kekalahan"
- Surah Al-Anfal diturunkan selepas Perang Badar tahun 2H.
- Perang pertama yang dimenangi oleh orang Islam.
- Memberi panduan tentang sikap, tindakan, dan prinsip-prinsip yang perlu dipegang teguh oleh umat Islam untuk mencapai kejayaan dan menghindari kegagalan.
- Taat kepada Allah dan Rasul punca kemenangan.
- Kemenangan adalah dari Allah.
- Bersiap dengan kekuatan.
Keterangan Ayat
- Sikap orang kafir.
- Mengatakan al-Quran hanya dongeng (8:31)
- Mencabar Allah SWT untuk menurunkan bala (8:32)
- Yang berhak menguasai Baitullah hanyalah orang-orang yang bertaqwa (8:34)
- Allah tangguh azab kerana Nabi SAW ada di Mekah dan orang beriman beristighfar.
- Kafir mengejek dan menghalang Nabi SAW solat dan tawaf di Baitullah dengan membuat bunyi-bunyi tiupan (seperti suara burung) dan bertepuk tangan.
- Selepas Nabi Muhammad SAW dan orang-orang beriman berhijrah ke Madinah, dan tidak ada lagi orang yang beristighfar di Mekah, kaum musyrik mengalami azab dari kekalahan di Badar. Banyak daripada mereka yang mati dan tertawan. Di akhirat mereka akan mendapat azab neraka.
Pengajaran
- Sesiapa yang suka menghalang orang beriman daripada beribadat kepada Allah dia menyerupai orang kafir.
- Orang yang menghalang orang beriman beribadat akan mendapat azab yang pedih samada di dunia atau di akhirat.
- Kita mestilah memastikan setiap amalan kita dilakukan semata-mata kerana Allah dan mengikut sunnah Nabi SAW, bukan kerana ikut-ikutan, mengacau ketenteraman atau mempermain-main orang lain beribadah.
- Kita harus menyedari bahawa kebergantungan sepenuhnya kepada Allah, disertai dengan ibadat yang benar dan ikhlas, adalah kunci kepada kejayaan.
- Mengabaikan aspek ini akan membawa kepada kekalahan, seperti yang dialami oleh kaum musyrikin.
Tindakan Beramal
- Jangan libatkan diri dengan golongan yang menghalang orang lain beribadat dan berbuat kebaikan.
- Jauhkan dari perbuatan yang melalaikan. Ingatlah bahawa kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap detik yang kita lalui.
- Berusaha untuk menghidupkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian terutama cara solat, dan ibadah khusus.
- Jangan tiru perbuatan orang kafir. Pastikan apa yang kita lakukan diredai Allah SWT.
- Sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT dari sifat sombong dan riak.
- Memaafkan kesalahan orang lain dan bersabar dalam menghadapi ujian dan karenah manusia. Ingat bahawa Allah Maha Sabar dan sentiasa memberi kita peluang walaupun kita sering melakukan kesilapan.
- Mengamalkan nasihat Nabi SAW untuk hanya bercakap perkara yang baik atau lebih baik diam.
- Banyakkan beristighfar dan berdoa memohon keampunan Allah agar terhindar dari azab Allah.
- Sebarkan kesedaran tentang pentingnya beribadat mengikut sunnah Nabi SAW agar diterima sebagai amal soleh.
Doa
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari akhlak, perbuatan-perbuatan dan dari hawa nafsu yang mungkar.”
Wallahua’lam
Rujukan
- Tafsir Al-Munir
- Nota My #QuranTime