Wednesday, December 4, 2024

Sinopsis Juzuk 28

 




Surah Al-Mujadalah (Wanita Yang Ajukan Debat) 


Surah ini turun kerana zihar yang dilakukan oleh Aus bin al-somir atas isterinya, Khaulah sehingga isterinya mendatangi Rasulullah SAW meminta penjelasan.

Satu-satunya surah yang setiap ayatnya menyebut lafaz "Allah".

Dimulakan dengan Allah memberitahu hukum menyamakan isteri dengan ibu sendiri (zihar) adalah dilarang. Seperti lafaz: Punggung mu, sama seperti punggung ibu ku. Diakhiri dengan pernyataan, orang beriman tidak sayugia berbaik-baik dengan orang yang kerap menyakiti Allah dan rasul-Nya, walaupun ayah dan keluarga sendiri.

Tema: Awal komitmen adalah hak wanita.

Menziharkan isteri (1-6)
Perbuatan menghasut (7-10)
Menghormati penganjur majlis (11-13)
Tidak wajar berbaik dengan musuh (14-22)


Surah Al-Hasyr (Pengusiran) 


Nama surah disebut dalam ayat 2. Peristiwa pengumpulan dan pengusiran Yahudi Bani Nadhir dari Madinah ke Khaibar, Hirah dan Sham pada tahun 4 hijrah. 

Dimulakan dengan Allah memberitahu, Yahudi Bani Nadhir berhimpun untuk mengkhianati Nabi Muhammad. Lalu Allah usir mereka dari kampungnya dengan bencana yang datang dari semua sudut. Diakhiri dengan pernyataan, bahawa al-Quran itu jika ia turun di atas bukit, bukit akan hancur. Renungkan bahwa al-Quran adalah kalam Allah yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Tema: Model komitmen pada agama Allah

Nabi SAW mengusir kaum Yahudi Madinah (1-2) 
Hukum harta rampasan (5-7)
Kedudukan Muhajirin dan Ansar (8-17)
Balasan orang beriman (18-24)


Surah Al-Mumtahanah (Wanita yang Diuji)


Nama surah disebut dalam ayat 10. Surah ini mengenai ujian keimanan yang menimpa seorang sahabat Nabi dan ahli Badar Hatib bin Abi Balta'ah menjelang pembukaan pembukaan Mekah. 

Dimulakan dengan Allah mengingatkan kita supaya jangan jadikan orang kafir sebagai pemerintah kerana mereka menolak kebenaran dan menentang para Rasul. Diakhiri dengan ingatan sekali lagi, supaya jangan menjadikan orang kafir itu penolong. 

Tema: Ujian bagi komitmen.

Nabi Muhammad SAW ikutan yang baik (1-9) 
Selidik dahulu tetamu yang dicurigai (10-13) 


Surah As-Saff (Perbarisan)


Nama surah disebut dalam ayat 4. Dinamakan dengan As-Saff kerana ungkapan As-Saff menjadi tanda penyatuan antara umat Islam dan sebagai tanda jihad serta kemenangan mereka.

Dimulakan dengan Allah memberitahu, janganlah kita bercakap apa yang kita tidak lakukan. la satu dosa besar di sisi Allah. Pandai cakap, tapi tidak pandai buat. Diakhiri dengan ingatan Allah kepada orang beriman, supaya menjadi penolong kuat dalam usaha menegakkan Syiar Islam. Allah akan beri kekuatan untuk membolehkan orang beriman dapat kemenangan ke atas orang kafir.

Tema: Kepentingan kesatuan barisan.

Laksanakan apa yang kita cakap (1-9) 
Ciri-ciri perniagaan yang baik (10-14)


Surah Al-Jumu’ah (Hari Jumaat)


Nama surah disebut dalam ayat 9. Hari Jumaat sebagai hari membuktikan komitmen dalam mendengar ilmu dari Kitabullah agar membezakan dirimu sebagai mukmin daripada Ahlul Kitab yang tidak mukmin. 

Dimulakan dengan pernyataan, Allah sengaja pilih seorang ummi menjadi Rasul seluruh alam ini. Dibekalkan dengan al-Quran dan mengajar bagaimana cara membersihkan diri: rohani, jasmani dan akal. Diakhiri dengan seruan supaya segera kembali membuat kerja masing-masing sebaik saja selesai solat Jumaat dilaksanakan. Itulah yang lebih baik di sisi Allah dari melebihkan perniagaan sehingga meninggalkan solat Jumaat.

Tema: Peranan solat Jumat dalam ketaatan.

Allah mengutus manusia ummi menjadi Rasul (1- 4) 
Yahudi seperti keldai dibebani kitab (5-8)
Perintah solat Jumaat (9-11) 


Surah Al-Munafiqun (Orang Munafik)


Nama surah disebutkan dalam ayat 1. Surah ini berbicara tentang sifat-sifat orang-orang munafik dan perintah untuk berhati-hati dari perbuatan mereka.

Allah ingatkan nabi, apabila datang seseorang mengucap syahadah, hendaklah disiasat dahulu. Kerana orang itu mungkin seorang munafik, iaitu pembohong. Diakhiri dengan pernyataan, jangan sekali-kali kita dilalaikan oleh harta dan anak dari mengingati Allah. Terus belanjakan rezeki diperolehi sebelum mati. Kerana bila ajal sudah sampai Allah tidak akan tangguh-tangguhkan lagi.

Tema: Bahaya munafik.

Jangan terima pengakuan orang munafik (1-4) 
Tawaran Nabi Muhammad SAW ditolak (5-11)


Surah At-Taghabun (Hari Dinampakkan Kesalahan)


Nama surah disebut dalam ayat 9, merujuk kepada hari dinampakkan segala kesalahan.

Semua yang ada di langit dan di bumi bertasbih pada Allah. Itulah Dia, Tuhan pemilik tunggal alam ini. Dia berhak diberikan pujian, kerana Dia berkuasa mutlak ke atas semuanya. Diakhiri dengan pernyataan bahawa Allah tahu apa yang tersembunyi dan apa yang nyata. Malah Dia Maha Perkasa lagi Bijaksana. 

Tema: Kesibukan sosial dapat mengganggu komitmen pada Islam

Manusia ada mukmin, ada kafir (1-6) 
Allah dedahkan perbuatan orang kafir (7-13)
Anak dan pasangan punca perpecahan (14 -18)


Surah At-Talaq (Penceraian)


Nama surah disebutkan dalam ayat 1. Mengandungi hukum hakam penceraian yang lebih terperinci. 

Dimulakan dengan Allah mengingatkan nabi, jika hendak menceraikan isteri, lakukan dalam masa sucinya. Dengan itu, mudahlah kita mengira idahnya. Lepas itu, jangan sekali-kali keluarkan dia dari rumah. Diakhiri dengan pernyataan, Allah pencipta tujuh petala langit dan bumi. Termasuklah apa yang terdapat antara keduanya. Khusus untuk memberitahu, Allah itu berkuasa lagi mengetahui.

Tema: Menguruskan perselisihan.

Etika perceraian (1-3)
Idah perceraian (4-7)
Ingkar perintah Allah SWT (8-12) 


Surah At-Tahrim (Mengharamkan)


Nama surah disebutkan didalam ayat 1, merujuk situasi dua orang isteri Nabi SAW Aisyah dan Hafsah r.ha yang membuat pakatan sulit mengenai Zainab binti Jahsyi kerana Nabi Muhammad suka meminum madu dirumahnya. 

Allah mengingatkan Nabi Muhammad, jangan sekali-kali mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, jika hanya sekadar untuk menjaga hati isteri. Namun Allah Maha Pengampun lagi Penyayang. Diakhiri dengan memberikan contoh isteri Nabi Nuh, isteri Nabi Lut yang kafir. Isteri Firaun dan Maryam, perempuan beriman.

Tema: Peranan Wanita dalam komitmen.

Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW (1-8)
Isteri nabi juga ada yang tidak beriman (9-12) 


Doa-doa dalam Juzuk 28


رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّۭا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌ ١٠

"Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu". (Al-Hasyr ayat 10)

رَّبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ ٤

"Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali! (Al-Mumtahanah ayat 4)

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةًۭ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَٱغْفِرْ لَنَا رَبَّنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ٥

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Mumtahanah ayat 5)

رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ٨

"Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (At-Tahrim ayat 8)

رَبِّ ٱبْنِ لِى عِندَكَ بَيْتًۭا فِى ٱلْجَنَّةِ وَنَجِّنِى مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِى مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١١

"Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"; (At-Tahrim ayat 11)


Wallahua’lam

Rujukan


  1. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
  2. Sinopsis 114 Surah, Fazrul Ismail
  3. Kompas 114, Syaari Ab Rahman
  4. Tadabbur Al-Quran, Syaikh Adil Muhammad Khalil



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...