PERKATAAN HARI INI
أَمَرَ Perintah
248 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Semua urusan milik Allah SWT [3:109]
2. Sebab utama umat Islam adalah umat terbaik, ditimpa kehinaan dan kerendahan dari kaum Yahudi [3:110-112]
3. Golongan beriman dari ahli kitab dan pahala amal perbuatan mereka [3:113-115]
Mukadimah
Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang memberi peluang berada pada halaman 64 surah ali-'Imran untuk kita menelusuri hidayah demi hidayah, cahaya demi cahaya daripada Allah agar hati kita yang mungkin lemah, tidak keruan, yang hari ini mencari jalan penyelesaian, agar dapat bangkit semula dan berazam untuk berjaya.
Membaca al-Fatihah mengingatkan diri kita, bahawa kita umat Alhamdulillah. Kita memuji Allah sebagai Tuhan sekelian alam. Allah bukan sekadar menciptakan kita, Allah menurunkan wahyu, kitab sebagai panduan untuk meluruskan cara kita berfikir dan cara kita berperasaan.
Sebagai amalan sunnah di hari Jumaat, kita membaca surah al-Kahfi yang juga bermula dengan Alhamdulillah
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَا [Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)]. Kandungan surah al-Kahfi merupakan syarah tentang surah al-Fatihah.
Mungkin hari ini ada yang sudah letih, ada yang kata saya sakit, ada yang kata tidak cukup duit dan berbagai ujian lain. Bila kita melihat Surah Al Kahfi itu, kita bersyukur diberi kitab sebagai panduan untuk meluruskan pemikiran dan amalan dalam kehidupan. Semoga kita bangkit dan terus berjaya sebagai satu komuniti, sebagai satu ummah Islam di peringkat negeri, negara dan seluruh dunia.
Ayat [3:109]
وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ
"Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan."
Pengajaran Ayat 109-112 : Formula bangkit dan berjaya
1. Pada halaman sebelum ini Allah ingatkan bahawa kita perlu bertakwa dan perlu berpegang kepada tali Allah iaitu al-Quran secara menyeluruh. Orang-orang Islam perlu pegang keseluruhan isi Quran. Kita semua daripada pemimpin sampai ke bawah semuanya mesti kembali kepada al-Quran.
2. Pada halaman ini Allah mula dengan mengingatkan kehebatan-Nya. Allah mengingatkan kita bahawa seluruh yang ada di langit dan di bumi adalah milik-Nya dan kepada-Nya lah kita akan kembali.
3. Allah ingatkan kita agar tidak memandang enteng kepada kehebatan Allah. Kita sudah mendapat kitab, tetapi kufur kepada kehebatan Allah, kufur kepada ayat Allah. Contoh: Bila orang bergaduh, bertelagah dan merasa dia sahaja yang betul, kumpulan dia saja yang boleh masuk ke syurga, yang lain tidak ada harapan, sebenarnya itu mencabar kepada kehebatan Allah SWT.
4. Allah yang hebat memberi tugas kepada kita semua untuk kita berseri wajah pada setiap masa walaupun ada cabaran, kita tetap mengajak ke arah kebaikan. Semoga kita diberikan wajah putih berseri apabila sampai di akhirat.
5. Allah yang Berkuasa, Allah ada segala-galanya dan kita tidak ada apa-apa.
Ayat [3:110]
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik (derhaka kepada Allah).
Pengajaran
1. Allah memberi pengiktirafan bahawa kita adalah umat terbaik ( خَيْرَ أُمَّةٍ ).
2. Allah mengeluarkan ( أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ ) kita dan mengizinkan kita menjadi umat terbaik, untuk menjalankan 3 tanggung jawab:
a. mengajak manusia kepada kebaikan
b. mencegah kemungkaran
c. beriman kepada Allah
3. Allah memberi penekanan untuk kita beriman secara beramai-ramai, bukan berseorangan. Orang Yahudi dan Nasrani tidak mahu mengajak orang kepada kebenaran kerana takut hilang kepercayaan orang ramai kepada mereka. Mereka pentingkan diri/keluarga/kelompok sendiri sahaja dan mengambil kesempatan atas agama. Contoh: Ada orang yang berjuang, menolong orang sana sini kerana mahu mendapat undi untuk diri sendiri.
4. Janganlah kita menjadi orang fasik iaitu derhaka kepada Allah kerana tidak mahu menjalankan tanggung jawab.
Ayat [3:111]
لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّآ أَذًۭى ۖ وَإِن يُقَـٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ ٱلْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ
"Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan."
Pengajaran
1. Umat Islam dipandang hina kerana tidak berpegang kepada al-Quran.
2. Orang Yahudi dan Nasrani tidak boleh memberi mudharat kepada umat Islam dengan syarat umat Islam terus berpegang teguh kepada tali Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
3. Ancaman/ideologi Yahudi atau Nasrani hanya kecil sahaja berbanding dengan kuasa Allah yang dapat memberi perlindungan ('ismah) kepada orang Islam.
4. Mudharat paling besar dalam hidup ialah mudharat yang mengganggu iman kita dan membuat kita jauh daripada Allah SWT.
5. Orang Yahudi dan Nasrani sebenarnya pengecut. Mereka berpegang dengan makhluk. Mereka tidak akan mendapat bantuan Allah.
Ayat [3:112]
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوٓا۟ إِلَّا بِحَبْلٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبْلٍۢ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْمَسْكَنَةُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّۢ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ
"Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah)."
Pengajaran
1. Orang-orang terdahulu mendapat kehinaan, kemurkaan dan kesengsaraan kerana 2 perkara:
a. Tidak menjaga hubungan dengan Allah (al-Quran)
b. Tidak menjaga hubungan dengan manusia
2. Allah akan sentiasa bantu orang yang menjaga hubungan dengan Allah (al-Quran).
3. Orang yang tidak menepati janji sesama manusia juga akan mendapat kehinaan, kemurkaan dan kesengsaraan. Seperti Yahudi yang dihina, dimarah oleh seluruh dunia dan sengsara kerana terpaksa berpindah randah dari Palestin, ke Eropah, Amerika. Di Israel pun mereka tidak aman.
4. Janganlah kita menjadi orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah. Seperti kaum Yahudi yang extreme kufur mereka sehingga membunuh para nabi disebabkan nabi-nabi datang kepada mereka untuk membetulkan kekufuran yang berleluasa.
5. Jangan suka bermusuh, cantas mencantas, jatuh menjatuh dalam organisasi, masyarakat dan negara.
6. Kita ada tanggung jawab untuk berdakwah (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan panduan al-Quran) mengikut kapasiti masing-masing agar kita terhindar daripada kehinaan, kemurkaan dan kesengsaraan di dunia dan di akhirat.
Ayat [3:113]
لَيْسُوا۟ سَوَآءًۭ ۗ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ أُمَّةٌۭ قَآئِمَةٌۭ يَتْلُونَ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
"Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang)."
Ayat [3:114]
يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
"Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh."
Ayat [3:115]
وَمَا يَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ فَلَن يُكْفَرُوهُ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلْمُتَّقِينَ
"Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa."
Pengajaran Ayat 113-115
1. Orang yang tetap mengikut hidayah al-Quran akan rukuk dan sujud. Ada dalam kalangan ahli kitab yang memperjungkan kebaikan dan kebenaran. Mereka berdiri teguh membaca ayat-ayat Allah di tengah malam dan mereka juga bersujud. Tradisi Yahudi sekarang ada yang sudah tidak sujud lagi dalam amalan mereka.
2. Untuk menjadi orang soleh kita mestilah:
a. membaca al-Quran pada waktu malam
b. mengerjakan solat
c. beriman kepada Allah dan hari akhirat
d. menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran (berdakwah)
e. bersegera melakukan kebaikan
3. Allah tidak akan tutup kebaikan yang kita buat walau sekecil manapun.
4. Allah tahu siapa yang betul-betul berusaha menjadi orang yang bertaqwa.
5. Orang yang buat kebaikan berasaskan hidayah al-Quran akan mendapat redha Allah dan mereka pasti akan berjaya.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Menjadi umat terbaik? Seru kebaikan, cegah kemungkaran dan beriman dengan Allah SWT [3:110]
2. Sedar bahawa Yahudi tidak membahayakan kecuali gangguan kecil sahaja [3:111]
3. Elak kehinaan, caranya jaga hubungan dengan Allah SWT dan manusia [3:112]
Lega kerana Allah SWT memberi formula untuk saya dan umat Islam bangkit dan berjaya.
Saya jelas untuk berpegang kepada hidayah al-Quran, laksanakan dakwah, jaga hubungan dengan manusia dan jaga hubungan dengan Allah.
Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi umat terbaik. Jadikan kami orang yang menyeru kepada kebaikan, cegah kemungkaran dan beriman dengan-Mu. Ya Allah, jauhi kami daripada tipu daya dan kekejaman Yahudi. Ya Allah, jauhi kami daripada kehinaan, bantu kami jaga hubungan dengan-Mu dan hubungan dengan manusia.
Ya Allah jadikan kami orang yang sentiasa berpegang teguh kepada hidayah al-Quran. Bantu kami untuk berdakwah dengan cara hikmah. Jauhi kami dari berpecah dan bertelingkah. Kurniakan kami nikmat bersaudara sesama Islam. Bantu kami untuk membawa keluarga kami, negara kami dan dunia bangkit dan berjaya.
Ya Allah, terimalah taubat kami, ampunkan kami, jauhi kami daripada menjadi orang yang kufur. Peliharalah iman kami agar kami tidak menjadi orang yang rugi di dunia dan rugi di akhirat. Kurniakan keberkatan dalam hidup kami. Kurniakan kami muka yang putih berseri semasa di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Afiatkan fizikal, intelek, emosi dan spiritual kami agar kami dapat memberbaiki ibadah kami dan kembali kepada-Mu dalam keadaan sejahtera. Bantu kami untuk membuat kebajikan kepada ibu-bapa kami, keluarga kami dan orang yang memerlukan bantuan kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.