PERKATAAN HARI INI
خَلَدَ Kekal
87 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Hilang dan sia-sia amalan orang kafir pada hari kiamat [3:116-117]
2. Sikap memberi kepercayaan kepada kaum kafir, membocorkan rahsia kepada mereka dan sikap mereka terhadap kaum mukminin yang tidak berubah [ 3:118-120]
3. Imbauan Perang Uhud [3:121]
Mukadimah
Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk baca, faham dan amal al-Quran. Pada Halaman ke 65 ini, Allah memberikan nasihat demi nasihat untuk mengingatkan umat Islam supaya membuat persediaan sebelum pergi berjuang di medan perang Uhud yang tersebut di dalam ayat 121. Kita ingin mengambil panduan untuk membuat persediaan berjuang di bidang masing-masing, di tempat kerja, di dalam keluarga atau pun memimpin negeri dan negara.
Dalam tafsir Tok Guru Nik Aziz, beliau ada menyatakan mengenai إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ 'PadaMu Ya Allah, kita menjadi hamba..'. Selepas kita beri salam, kita kena tanya diri kita betul ke kita ini hamba ataupun kita menipu? Kalau menipu dengan manusia, polis atau mahkamah, mungkin kita kena denda/hukuman. Bila sebut إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ betul ke kita beribadah jujur kepada Allah di rumah dan tempat kerja atau kita menipu? Semoga al-Fatihah dapat dimaknai dengan kehidupan kita seharian.
Alhamdulillah kita sangat bersyukur dan beruntung dapat bersama al-Quran, mukjizat teragung yang kadang-kadang kita terlepas pandang dan menganggapnya lembaran biasa-biasa saja. Walaupun nabi SAW telah wafat, mukjizat ini tetap ada di sisi kita bila kita baca, gali dan tadabbur al-Quran.
Ayat [3:116]
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَن تُغْنِىَ عَنْهُمْ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيْـًۭٔا ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۚ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya."
Ayat [3:117]
مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِى هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍۢ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍۢ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ ۚ وَمَا ظَلَمَهُمُ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
"Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."
Pengajaran Ayat 116-117
1. Allah memberi peringatan kepada kita supaya jangan kufur. Apa sahaja perjuangan yang kita lakukan mestilah kerana Allah SWT. Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang orang Musyrikin Mekah yang membuat persediaan bersungguh-sungguh dalam Peperangan Uhud. Mereka membawa harta, anak-anak dan isteri mereka ke medan perang. Namun Allah beritahu bahawa kesungguhan mereka itu sia-sia kerana perjuangan mereka bukan kerana Allah tetapi untuk diri sendiri. Mereka kekal di dalam neraka.
2. Kalau kita beriman kepada hari akhirat (pembalasan, syurga dan neraka) maka apa sahaja yang kita lakukan mestilah kerana Allah SWT, bukan untuk kepentingan diri/keluarga/organisasi.
3. Allah beri peringatan bahawa neraka adalah real.
4. Kalau kita belanjakan harta bukan atas dasar iman, sebenarnya kita menganiaya diri sendiri kerana Allah tidak terima amalan tersebut. Contoh: Orang bukan Islam yang suka menderma seperti Bill Gates dll berjuang, tetapi Allah tidak terima amalan mereka kerana mereka kufur, tidak mengaku harta adalah daripada Allah SWT.
5. Manfaatkan anak-anak dan harta kita untuk perjuangan dan kerja Islam. Semoga Allah memberi keberkatan kepada anak-anak dan harta kita.
Ayat [3: 118]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ بِطَانَةًۭ مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًۭا وَدُّوا۟ مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ ٱلْبَغْضَآءُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِى صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya."
Pengajaran
1. Alah SWT melarang kita mengambil orang tidak beriman sebagai teman kepercayaan ( بِطَانَةً ) kerana Allah tahu bahawa orang yang tidak beriman tidak berhenti-henti berusaha mendatangkan kejahatan kepada orang-orang beriman. Berkawan dengan mereka boleh, tetapi jangan mengambil mereka sebagai teman baik. Contoh: Selepas peristiwa September 11, jelas terjadi permusuhan antara Yahudi dan orang Islam (Islamophobia).
2. Allah membawa tanda-tanda ini supaya kita berfikir ( تَعْقِلُونَ) dan tidak tergelincir dalam kehidupan kita.
3. Ayat-ayat ini adalah untuk menyiapkan diri kita berjuang. Itulah yang ditunjukkan oleh Hana isteri Imran yang menyerahkan anaknya Mariam untuk perjuangan Islam.
4. Ujian terbesar kita ialah memilih untuk beriman atau kufur. Orang yang beriman akan berjaya.
Ayat [3:119]
هَـٰٓأَنتُمْ أُو۟لَآءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِٱلْكِتَـٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا۟ عَضُّوا۟ عَلَيْكُمُ ٱلْأَنَامِلَ مِنَ ٱلْغَيْظِ ۚ قُلْ مُوتُوا۟ بِغَيْظِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
"Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada."
Pengajaran
1. Allah menemplak orang beriman yang berlembut dengan orang kafir (setelah didakwah mereka tetap tidak mahu beriman). Allah melarang orang beriman mencintai orang kafir kerana mereka memusuhi Islam dan memusuhi Allah.
2. Orang beriman dilatih untuk menyanyangi semua manusia tetapi bila menyentuh bab akidah, kita kena berpisah daripada kepercayaan syirik kepada Allah.
3. Orang-orang yang tidak beriman tidak suka apabila kita membaca al-Quran kerana kitab menceritakan yang benar. Al-Quran membongkar rahsia orang-orang munafik, orang kafir dan orang musyrik.
4. Kita hendaklah beriman kepada al-Quran secara menyeluruh. Kita tidak boleh mengambil bab yang ada kepentingan untuk kita saja. Contoh: Bab yang boleh dapatkan duit kita ambil, bab menegur orang atas yang melanggar peraturan Allah kita senyap/sembunyikan.
5. Allah memberitahu bahawa orang kufur itu mulut manis di depan tetapi di belakang, mereka marah kepada orang beriman.
6. Kita tidak boleh berbaik dengan orang kafir yang jelas memusuhi orang Islam. Allah perintah supaya katakan kepada mereka "Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu".
7. Allah tahu umat Islam berjuang kerana Allah dan orang kufur berjuang untuk diri sendiri.
8. Sebagai orang beriman, janganlah kita bergembira melihat orang lain jatuh atau mendapat kesusahan.
Ayat [3:120]
إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌۭ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌۭ يَفْرَحُوا۟ بِهَا ۖ وَإِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْـًٔا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌۭ
"Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan."
Pengajaran
1. Janganlah kita berjiwa seperti orang-orang kafir/munafik yang tidak suka kalau orang beriman dapat kebaikan dan mereka gembira melampau-lampau bila melihat orang beriman mendapat keburukan.
2. Kalau kita lihat orang lain dapat kebaikan, katakan Alhamdulillah kerana Tuhan yang sama boleh beri juga kebaikan kepada kita.
3. Allah akan beri kemenangan sekiranya orang-orang beriman bekerjasama, ingat-mengingati supaya bersabar dan bertakwa dalam usaha menentang orang-orang kafir.
4. Allah tahu apa yang orang kafir lakukan kerana pengetahuan Allah meliputi segala-galanya.
Ayat [3:121]
وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ ٱلْمُؤْمِنِينَ مَقَـٰعِدَ لِلْقِتَالِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Ayat [3:122]
إِذْ هَمَّت طَّآئِفَتَانِ مِنكُمْ أَن تَفْشَلَا وَٱللَّهُ وَلِيُّهُمَا ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
"(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal."
Pengajaran Ayat 121-122 : Permulaan cerita tentang Perang Uhud
1. Allah beritahu kita, sebagai persediaan Perang Uhud, Nabi telah atur strategi dengan teliti untuk menentang Musyrikin Mekah yang sudah di dakwah selama 13 tahun.
2. Dalam Perang Uhud, kaum Musyrikin berkomplot dengan musuh-musuh Islam yang lain. Allah tahu bahawa orang Islam yang sedikit (1000 orang) takut melihat musuh yang ramai (3000 orang).
3. Allah ingatkan kita supaya bertawakkal kepada-Nya kerana Dia adalah penolong dan pelindung orang-orang beriman.
4. Perasaan takut menghadapi musuh/ujian adalah satu yang normal. Yang pentingnya kita kena atur strategi, merancang dengan baik dan bertawakkal kepada Allah kerana kita yakin bahawa Allah akan lindung dan tolong kita.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Uruskan harta dan anak dengan iman, bukan kekufuran [3:116]
2. Cari dan dampingi teman seakidah untuk terus rapat dan menjadi pelindung [3:118]
3. Urus kehidupan dengan sabar dan takwa dalam menghadapi pelbagai agenda jahat musuh [3:120]
Lega kerana Allah SWT akan melindungi dan menolong saya sekiranya saya sabar dan takwa.
Saya jelas untuk uruskan harta dan anak dengan iman. Saya juga jelas untuk mendampingi kawan-kawan yang seakidah dan tidak berkawan rapat dengan orang yang perut busuk. Saya mesti urus kehidupan dengan sabar dan takwa agar Allah lindungi dan tolong saya dalam mengharungi kehidpuan yang mencabar ini.
Ya Allah bantu kami untuk urus harta dan anak-anak dengan iman. Jauhi kami dari berkawan dengan orang-orang yang kufur. Ya Allah, lindungi kami dari kejahatan musuh yang merosakkan akidah dan iman. Jadikan kami orang -orang yang sabar dan takwa.
Ya Allah, tolong kami berpegang teguh kepada hidayah al-Quran. Bantu kami untuk berdakwah dengan cara hikmah. Jauhi kami dari berpecah dan bertelingkah. Kurniakan kami nikmat bersaudara sesama Islam. Bantu kami untuk membawa keluarga kami, negara kami dan dunia bangkit dan berjaya.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Afiatkan fizikal, intelek, emosi dan spiritual kami agar kami dapat memberbaiki ibadah kami dan kembali kepada-Mu dalam keadaan sejahtera. Bantu kami untuk membuat kebajikan kepada ibu-bapa kami, keluarga kami dan orang yang memerlukan bantuan kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.