Thursday, May 4, 2023

Halaman 74 : Ali-'Imran, 3:181-186


PERKATAAN HARI INI   

   

سَمِعَ  Mendengar

185 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Sebahagian bentuk keburukan orang Yahudi menisbatkan kefakiran kepada Allah SWT dan pendustaan terhadap Nabi Muhammad SAW [3:181-184]

2. Kematian adalah titik akhir bagi setiap yang bernyawa, pahala pada hari kiamat dan ujian di dunia [3:185-186] 


Mukadimah


Sebagai umat Alhamdulillah kita akan terus berjuang mengikut orang yang Allah telah kurniakan nikmat dalam kalangan para nabi, syuhadak, siddiqin dan solihin. 


Kita belajar daripada surah ali-'Imran daripada ayat 121 hingga hujung, di mana Allah memberi penerangan tentang umat Islam yang berjuang di Uhud dan bagaimana mereka kalah pada pusingan kedua dipujuk oleh Allah untuk terus berjuang. 


Jangan anggap bahawa kekalahan itu sebagai kegagalan seterusnya tetapi itu sebagai peluang untuk bertaubat untuk menjadi seorang hamba yang Allah tidak akan zalimi walaupun sedikit apabila kita membuat sebarang kebaikan.

Hari ini kita akan melihat penyakit yang ada di dalam hati orang terdahulu, jangan sampai masuk ke dalam diri kita.


Ustaz Tirmizi tidak membaca basmallah bila membaca ayat 181 kerana kandungan ayat ini adalah tentang  pendustaan terhadap Allah. Hanya mulakan dengan baca istiazah.


Ayat [3:181]

لَّقَدْ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوْلَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ فَقِيرٌۭ وَنَحْنُ أَغْنِيَآءُ ۘ سَنَكْتُبُ مَا قَالُوا۟ وَقَتْلَهُمُ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّۢ وَنَقُولُ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

"Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar."


Pengajaran


1. Allah mengingatkan kepada kita bahawa Allah mendengar orang Yahudi yang mengatakan Allah miskin dan mereka kaya. Mereka suka mengumpulkan harta, menyembunyikan harta dan menipu untuk mendapatkan harta. Semoga kita tidak menjadi seperti mereka.

2. Mereka merasa bijak sangat bahawa mereka itu kaya dan menganggap Tuhan ini fakir kerana banyak dalam ayat Quran Allah menyuruh; 'tolong pinjamkan kepada Allah', 'tolong agama Allah', 'siapa tolong Allah, Allah akan tolong dia'. Mereka merasakan Tuhan perlukan bantuan. Mereka merasakan apa yang mereka buat itu mereka amat yakin. Mereka kaya dan boleh manipulasi sesiapa sahaja sampai tahap mereka tidak dapat membezakan antara siapa hamba dan siapa Tuhan Yang Maha Perkasa. Ini kesan apabila kita tidak jaga perkataan betul-betul. Mula-mula datang daripada hati, tapi bila keluar di mulut makin busuk perkataan itu. Semoga kita dapat menjaga hati dan menjaga perkataan yang keluar daripada mulut dan sentiasa sedar kita adalah hamba yang amat memerlukan pertolongan Allah SWT.

3. Pelajaran dari kata-kata orang Yahudi ini, jika ada perasaan tidak baik dalam hati seperti rasa marah, tidak puas hati, jangan cakap. Simpan sahaja dan jangan luahkan di bibir. Ucap Alhamdulillah bila lihat orang lain lebih, dan elakkan dengki. Jika nampak orang yang kurang bernasib baik, doakan mereka. Istighfar bila ada perasaan tidak baik dalam hati.

4. 'Wa naqul' (وَنَقُولُ ) menunjukkan kehebatan Allah yang akan menulis setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita dan juga segala perbuatan kita. Allah menempelak orang yang mengatakan bahawa Allah itu fakir dengan memberi amaran bahawa mereka akan diazab di neraka dalam api yang menggelegak ( ٱلْحَرِيقِ ) dan apa sahaja yang masuk ke dalamnya akan hancur. 

5. Allah amat sayang kepada hambaNya dan memberi peluang untuk berjuang. Allah meminjamkan segalanya kepada hambaNya. Allah hendak menyatakan kaum Yahudi ini kedekut sangat sehingga terpaksa ‘dipinjam’ apa yang telah Allah berikan. Semoga Allah jauhkan kita daripada sifat kedekut.

6. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa berjuang dan sentiasa menghargai Allah dalam kehidupan kita.



Ayat [3:182]

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍۢ لِّلْعَبِيدِ

"(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya."


Pengajaran


1. Segala perkara yang berlaku kepada orang yang kufur itu kerana mereka yang menempah sendiri azab tersebut. Akibat dari tangan mereka sendiri (قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ). Mereka menyalahgunakan masa dan apa yang mereka miliki untuk mengatakan Allah fakir. 

2. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.

3. Segala sangkaan negatif atau keraguan terhadap Allah adalah satu penyakit. Apa sahaja yang Allah buat dan izinkan, ada sebab musababnya.

4. Segala yang kita belanjakan untuk Allah adalah untuk kebaikan kita, bukan untuk Allah. 

5. Ikut perintah Allah, Allah akan memberi ganjaran yang besar kelak.


Ayat [3:183]

ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَآ أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍۢ تَأْكُلُهُ ٱلنَّارُ ۗ قُلْ قَدْ جَآءَكُمْ رُسُلٌۭ مِّن قَبْلِى بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَبِٱلَّذِى قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

"Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata: "Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami korban yang dimakan api. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan itu)?”


Pengajaran


1. Orang Yahudi sudah biasa melihat mukjizat fizikal depan mata mereka. Contoh: Korban anak Nabi Adam, Qabil dimakan api, tongkat pecahkan laut merah dan mereka selamat daripada Firaun, tongkat menjadi ular. Jadi, mereka tidak puas hati jika tidak dapat melihat mukjizat fizikal seperti korban yang dimakan api seperti yang ditunjukkan oleh nabi-nabi terdahulu. 

2. Rasulullah SAW datang membawa al-Quran dalam bentuk ilmu sebagai bukti-bukti yang nyata (بَيِّنَٰتِ). 

3. Orang Yahudi memang degil. Mereka meminta ditunjukkan mukjizat ikut selera mereka. Setelah dinampakkan mukjizat, mereka tetap ingkar. Mereka mendustakan anugerah Allah. Malah membunuh nabi-nabi terdahulu. 

4. Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi SAW adalah mukjizat yang lebih ajaib dan kekal sepanjang zaman. Mukjizat-mukjizat para nabi terdahulu turut hilang bersama kewafatan mereka. Orang yang tadabbur al-Quran akan dapat merasakan keajaiban dalam diri masing-masing.


Ayat [3:184]

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌۭ مِّن قَبْلِكَ جَآءُو بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُنِيرِ

"Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas."


Pengajaran


1. Pendustaan akan berlaku sepanjang zaman. Yang pentingnya kita pujuk diri kita dengan al-Quran. 

2. Banyak perkara telah diturunkan kepada orang Yahudi, tetapi mereka dustakan. Janganlah kita mendustakan dan meminta sesuatu perkara yang ajaib, sedangkan al-Quran itulah sebenarnya mukjizat yang ajaib dan penuh kemuliaan.

3. Nak mencari jalan yang lurus, umpama masuk ke hutan. Satu orang masuk ke dalam hutan membawa penghujung satu tali dan satu orang yang lain memegang hujung tali yang satu lagi. Bila ikut betul-betul tali itu dan tidak terlepas, boleh selamat sampai sehinggalah sampai ke hujungnya. 

4. Jika kita berpegang kepada tali Allah (al-Quran), kita tidak akan sesat untuk sampai ke desinasi akhir. Di hujungnya, Baginda SAW akan menunggu kita. 


Ayat [3:185]

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."



Pengajaran


1. Allah mengingatkan salah satu hakikat manusia, setiap jiwa akan merasa ( ذَآئِقَةُ ) mati. Jiwa ini hanyalah ketika kita bernafas. Maut itu amat dekat dengan kita. 

2. Zuq (rasa), bila kita merasa kemanisan sesuatu, contohnya kemanisan ibadah. 

3. Bagi setiap jiwa yang sedang bernafas, sebenarnya sedang merasai mati. Jangan pernah rasa selamat dengan nafas yang kita ada. Setiap kali menghembus nafas, tidak pasti jika kita boleh menghirup nafas kembali. Tidak perlu tunggu perang atau kemalangan untuk mengingat mati. Maka buatlah persediaan untuk kematian. 

4. Tidur adalah kematian kecil. Itu detik-detik yang mengingatkan kita tentang mati. 

5. Allah mengingatkan bahawa kehidupan di dunia ini bukan tempat untuk segalanya. Dunia adalah kesenangan untuk orang yang terpedaya. Semoga kita tidak terpedaya dengan kesenangan dunia sehingga lalai untuk mengingatkan kematian.

6. Akhiratlah tempat yang abadi. Allah akan menyempurnakan (تُوَفَّوْنَ) secara sempurna segala ganjaran di hari akhirat. 

7. Kejayaan yang sebenarnya ialah apabila kita berjaya dimasukkan oleh Allah ke dalam  syurga (وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ) dengan rahmat-Nya dan dijauhkan daripada neraka (زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ).

8. Jangan cenderung kepada orang yang zalim kerana mereka akan disambar oleh api neraka.

9. Semoga kita tidak terpenjara di dunia dengan hanya sibuk bekerja mengumpul harta dan kekayaan sehingga lupa bahawa kita boleh mati bila-bila.


Ayat [3:186]

لَتُبْلَوُنَّ فِىٓ أَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوٓا۟ أَذًۭى كَثِيرًۭا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

"Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”


Pengajaran


1. Setiap orang pasti akan diuji. Ibtilak adalah ujian besar yang Allah berikan pada kita. Ujian itu boleh datang dalam bentuk positif dan negatif. Contoh: Kurang harta (negatif), lebih harta (positif). Kuat tubuh badan (positif) mesti digunakan untuk jalan Allah.

2. Ujian pakej sepanjang zaman kepada orang beriman ialah gangguan ( أَذًى ) daripada orang Yahudi dan orang kafir.

3. Kalau kita tidak ada gangguan itu bermaksud kita mungkin tidak berjuang bersungguh-sungguh. Terperangkap dalam zon selesa.

4. Setiap ujian mesti disikapi dengan sabar dan takwa. Allah boleh tambah bantuan kepada orang yang sabar dan takwa.

5. Semoga kita dapat kekuatan untuk sabar dan takwa seperti nabi-nabi dan orang beriman terdahulu.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Mohon kepada Allah selalu agar tidak diganggu oleh musuh [3:181]

2. Sedar setiap masa kita bernafas, makin kurang bekalan nafas kita dan makin dekat dengan mati [3:185]

3. Uruskan segala ujian yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan keazaman yang kuat [3:186]


Lega kerana Allah SWT memberi motivasi untuk terus berjuang bersungguh-sungguh dengan sabar dan takwa.


Saya jelas untuk sentiasa berdoa kepada Allah untuk dijauhkan daripada musuh. Saya mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian dan uruskn ujian dengan sabar dan takwa.


Ya Allah,  jauhkan kami dari gangguan musuh. Ya Allah, hidupkan kami dalam iman, matikan kami dalam iman. Ya Allah, bantu kami uruskan segala ujian dalam hidup kami dengan keazaman yang kuat.


Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...