Thursday, May 4, 2023

Halaman 78 : Al-Nisa', 4:7-11


Hukum Harta Pusaka


PERKATAAN HARI INI   

    

  نَصَبَ  Bahagian, ketentuan

32 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Hak-hak ahli waris terhadap harta pusaka dan hak-hak orang yang memerluakan, anak2 yatim dan kerabat bukan ahli waris [7-10]
  2. Ayat pewarisan [4:11]

Mukadimah

Alhamdulillah kita memanjatkan kesyukuran kerana diberi peluang untuk mendalami halaman 78. Teruslah ceria bersama al-Quran. Dengan membaca al-Fatihah berulang kali, kita pasakkan dalam diri, walaupun apa jua cabaran, ucapkan alhamdulillah. Sakit, sihat, alhamdulillah. Banyak duit, kurang duit, alhamdulillah. Rasa sedih, rasa gembira, alhamdulillah. Semoga kita diberi lebih lagi oleh Allah SWT.

Halaman ini tentang bagaimana pengurusan dalam keluarga dan masyarakat tentang harta pusaka dan anak yatim. Salah satu perjuangan dalam surah al-Nisa' ialah untuk golongan B40, anak yatim, fakir miskin, anak kecil dan wanita yang memerlukan. Allah memang sayang kepada kita dengan memberi panduan terperinci dalam urusan pembahagian harta pusaka. Semoga Allah memberi kekuatan dan jalan keluar bagi mereka yang menghadapi masaalah harta ini. Semoga Allah membersihkan hati kita. 


Ayat [4:7]

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًۭا مَّفْرُوضًۭا

"Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)"

Pengajaran

  1. Allah dan Nabi SAW memperjuangkan hak perempuan. 
  2.  
  3. Di zaman jahiliah, perempuan tidak mendapat bahagian dari harta pusaka.
  4.  
  5. Dalam Islam, lelaki dan perempuan ada bahagian masing-masing daripada harta pusaka ibu bapa dan kerabat.
 

Ayat [4:8]

وَإِذَا حَضَرَ ٱلْقِسْمَةَ أُو۟لُوا۟ ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينُ فَٱرْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا۟ لَهُمْ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا

"Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik."


Pengajaran

  1. Sesiapa yang datang, sewaktu pembahagian harta, walaupun mereka tidak berhak, berilah juga mereka sekadarnya.
  2.  
  3. Jika ada anak yatim/miskin yang meminta, selidik kesahihan dan bagilah kepada mereka.
  4.  
  5. Bercakaplah dengan baik dengan mereka ( قَوْلًا مَّعْرُوفًا )
  6.  
  7. Islam adalah ugama penyantun dan memperjuangkan golongan B40.
  8.  


Ayat [4:9]

وَلْيَخْشَ ٱلَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا۟ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةًۭ ضِعَـٰفًا خَافُوا۟ عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْيَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًا

"Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)."


Pengajaran

  1. Janganlah kita tinggalkan anak-anak dan ahli waris dalam keadaan dhaif. 
  2.  
  3. Aturlah wasiat atas dasar takwa kepada Allah. Pastikan anak-anak dan keluarga yang ditinggalkan berada dalam keadaan selesa.
  4.  
  5. Wasiat hendaklah jelas dan jitu agar tidak timbul keraguan dalam kalangan waris yang ditinggalkan.
  6.  
  7. Pastikan bercakap yang betul ( قَوْلًا سَدِيدًا ) sekiranya ada bukan waris yang meminta pertolongan.
  8.  


Ayat [4:10]

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلْيَتَـٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ نَارًۭا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًۭا 

"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala."


Pengajaran

  1. Allah memberi ancaman iaitu orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, ia adalah umpama memakan/menelan api ke perut. 
  2.  
  3. Orang yang makan harta anak yatim akan hilang barakah dalam kehidupan. Hidup mudah stres, suka gaduh dan keluarga porak poranda.  
  4.  
  5. Perjuangkan hak anak yatim agar sekiranya kita mati anak-anak kita juga akan terbela.
  6.  


Ayat [4:11]

يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوْلَـٰدِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۚ فَإِن كُنَّ نِسَآءًۭ فَوْقَ ٱثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِن كَانَتْ وَٰحِدَةًۭ فَلَهَا ٱلنِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَٰحِدٍۢ مِّنْهُمَا ٱلسُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُۥ وَلَدٌۭ ۚ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُۥ وَلَدٌۭ وَوَرِثَهُۥٓ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ ٱلثُّلُثُ ۚ فَإِن كَانَ لَهُۥٓ إِخْوَةٌۭ فَلِأُمِّهِ ٱلسُّدُسُ ۚ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۗ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًۭا ۚ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًۭا

"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Pengajaran

  1. Ikutlah hukum faraid untuk selamat kerana ini adalah isu kritikal. Jika tidak diurus dengan betul, boleh menimbulkan pergaduhan dan menyebabkan memakan anak yatim. 
  2.  
  3. Pembahagian pusaka dijelaskan dengan terperinci dalam ayat ini kerana Allah amat sensitif tentang pembahagian harta pusaka.
  4.  
  5. Anak lelaki mendapat 2 bahagian anak perempuan. 
  6.  
  7. Kalkulator Faraid  http://faraid.usm.my/msl/faraid.asp
  8.  
  9. Pembahagian mengikut faraid dibuat setelah wasiat si mati dan hutang diuruskan. 
  10. Hutang mesti dicatat agar mudah diuruskan apabila berlaku kematian.
  11.  
  12. Fahamkan hukum pembahagian harta pusaka kepada ahli waris. Walaupun ayah kita beri kita pakai kereta semasa hidupnya, tidak semestinya ia menjadi hak kita secara automatik.
  13.  
  14. Kita kena kenal siapa ahli keluarga kita termasuk anak angkat, yang kedudukan semua mesti dijelaskan.Sebelum kita pergi, kenali susur galur keluarga kita supaya dapat berlaku adil kepada ahli waris. 
  15.  
  16. Buatlah wasiat secara adil sebelum kita pergi untuk mengelakkan pergaduhan dan juga harta kita tersadai tanpa diuruskan. 
  17.  
  18. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. Peraturan Allah yang terbaik untuk kita.
  19.  


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Perjuangkan al-Quran kerana ia memperjuangkan hak lelaki dan wanita dalam bab perwarisan [4:7]

2. Utamakan anak yatim dan fakir miskin dalam pembahagian harta pusaka [4:8]

3. Berkata dan berlaku adil biarpun isu harta yang tidak menyebelahi diri sendiri [4:9]

Lega kerana Allah SWT tegaskan tentang hak wanita dan anak yatim.

Saya jelas untuk perjuangkan bab perwarisan yang Allah tetapkan.

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran.

Ya Allah, bantu kami untuk melaksanakan bab perwarisan dengan adil seperti mana yang Engkau tetapkan. Jauhi kami daripada mengambil harta yang bukan hak kami. Ya Allah peliharalah anak cucu dan keturunan kami agar mereka tidak melarat selepas kami meninggal dunia. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. 

Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...