PERKATAAN HARI INI
تَرَكَ Meninggalkan
43 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Ayat perwarisan [4:12]
2. Ketentuan-ketentuan Allah SWT [4:13-14]
Mukadimah
Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran untuk sama-sama meneruskan halaman ini bagi mendapat hidayah Allah. Di dalam surah ini banyak peraturan-peraturan. Surah al-Baqarah menyiapkan hati kita, tentang hidayah, tentang sikap kita supaya tidak menjadi seperti Bani Israel yang diberi peraturan tetapi membalingnya ke belakang.
Tema surah al-Nisa' ini adalah tentang etika sosial di dalam dan di luar rumah. Di pertengahan surah ini banyak cerita tentang orang munafik. Sifat munafik ini sebenarnya bermula dari dalam rumah, dibawa ke luar rumah dan dibawa kembali ke dalam rumah.
Solat adalah wajib, membaca al-Quran juga adalah wajib kerana kita beriman kepada al-Quran. Jangan mengambil ringan membaca dan memahaminya. Jika kita ambil ringan, solat kita pun kita tak faham.
Hidayah daripada surah al-Fatihah yang dibaca setiap hari mestilah kita pasak kukuh dalam diri agar segala amalan harian kita diterima Allah sebagai ibadah. Orang yang mendapat jalan yang lurus, pasti menghargai wanita dan anak yatim. Bercakap tentang dua perkara ini, membawa kita kepada wasiat dan faraid.
Wasiat ialah apabila seseorang itu ingin memberikan harta kepada orang tertentu setelah ia meninggal dunia. Faraid ialah bahagian-bahagian (fardu-fardu) yang wajib diberikan kepada waris seperti yang ditetapkan oleh Allah SWT. Wasiat hanya boleh dibuat daripada 1/3 harta selepas hutang dibayar. Selebihnya wajib difaraidkan.
Ketentuan Allah adalah had-hadnya (hudud) yang akan diberi balasan. Ada balasan baik bagi sesiapa yang ikut dan ada balasan azab yang besar bagi sesiapa yang derhaka kepada peraturan ini. Perkara faraid ini adalah fardu tentang harta pusaka. Islam begitu menitik beratkan soal harta supaya bila ibu ayah meninggal, anak-anak yang ditinggalkan tidak lemah dan tidak perlu meminta-minta.
Ayat [4:12]
وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَٰجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌۭ ۚ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌۭ فَلَكُمُ ٱلرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِينَ بِهَآ أَوْ دَيْنٍۢ ۚ وَلَهُنَّ ٱلرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌۭ ۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌۭ فَلَهُنَّ ٱلثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم ۚ مِّنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ تُوصُونَ بِهَآ أَوْ دَيْنٍۢ ۗ وَإِن كَانَ رَجُلٌۭ يُورَثُ كَلَـٰلَةً أَوِ ٱمْرَأَةٌۭ وَلَهُۥٓ أَخٌ أَوْ أُخْتٌۭ فَلِكُلِّ وَٰحِدٍۢ مِّنْهُمَا ٱلسُّدُسُ ۚ فَإِن كَانُوٓا۟ أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَآءُ فِى ٱلثُّلُثِ ۚ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصَىٰ بِهَآ أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَآرٍّۢ ۚ وَصِيَّةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌۭ
"Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Peyantun."
Pengajaran
- Bila isteri meninggal, ada 1/2 bahagian untuk suami jika tidak ada anak. Jika ada anak, bahagian suami adalah 1/4.
- Pembahagian dibuat selepas hutang arwah diselesaikan dan wasiatnya ditunaikan.
- Hutang-hutang wajib dicatat supaya ada yang tahu tentangnya kerana hutang ini berat dan mesti diselesaikan.
- Hanya 1/3 harta sahaja boleh diwasiatkan. Selebihnya untuk dibahagi mengikut hukum faraid.
- Allah ulang tiga kali perkataan wasiat. Ini menunjukkan yang ia penting. Bila wasiat tidak diurus betul-betul, akan terjadi pergaduhan.
- "Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya."
- "Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu."
- "Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati,..".
- Baca dan fahamilah ayat ini betul-betul kerana ini adalah wasiat Allah dan perkara ini adalah yang paling tinggi yang mesti kita patuhi.
- Semua harta yang hendak diwasiatkan, jangan sampai memudharatkan.
- Allah mahu menyantunkan adik beradik. Didiklah anak-anak dan keluarga dengan Surah al-Nisa' ini supaya mereka faham dan tidak berlaku pergaduhan dan permusuhan.
- Selesaikan hal harta pusaka dengan kadar segera. Kita tidak mahu termakan harta anak yatim. Daging yang tumbuh dari hasil yang haram, maka nerakalah tempatnya.
- Jumpalah pakar dalam hal wasiat sekiranya kita tidak faham.
Ayat [4:13]
تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
"Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.”
Pengajaran
- Hukum wasiat, hutang dan faraid adalah syariat Allah yang mesti dilaksanakan seperti yang tersebut dalam ayat 11 dan 12.
- Sesiapa yang melaksanakan wasiat, dan hukum faraid bermakna dia taat kepada Allah dan rasul-Nya.
- Sesiapa yang menunaikan wasiat, bayar hutang dan buat hukum faraid mendapat kejayaan yang besar iaitu balasan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai dan mereka kekal di dalamnya.
- Kalau tidak mahu buat wasiat, tidak apa.
- Jika mahu mewakafkan sebahagian harta, elok wasiatkan awal-awal sebelum mati kerana jika berharapkan anak-anak menunaikannya, dikhuatiri tidak berlaku.
- Hudud bukan hanya potong tangan, hukuman jenayah sahaja. Hudud sebenarnya ialah had. Jika tidak ada had, susah kita mahu menyelesaikan apa-apa masalah. Hudud Allah mesti dijaga.
- Belajar dan ambil beratlah tentang faraid kerana ini adalah syariat Allah yang amat penting untuk mendapat balasan syurga.
Ayat [4:14]
وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُۥ يُدْخِلْهُ نَارًا خَـٰلِدًۭا فِيهَا وَلَهُۥ عَذَابٌۭ مُّهِينٌۭ
"Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.
Pengajaran
- Tidak belajar dan laksana faraid, tandanya kita berbuat maksiat berpanjangan. Orang yang derhaka pada hukum-hukum Allah akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka kekal di dalamnya.
- Di dalam neraka mereka dihina dengan dibiarkan berseorangan (خَٰلِدًا فِيهَا) kerana memandang enteng tentang wasiat, hutang dan faraid.
- Ayah mak berjuang mencari harta, anak tidak mengikut peraturan Allah, maka akhirnya masuk ke neraka. Maka, para ibu bapa haruslah meninggalkan bukan hanya harta pusaka tetapi juga tinggalkanlah juga ilmu dan iman kepada anak-anak.
- Hudud Allah mestilah diperjuangkan dan difahamkan kepada keluarga. Boleh menghalalkan hak kita kepada orang lain tetapi jangan sampai orang lain bergaduh.
- Berjuanglah untuk melaksanakan faraid untuk menempah syurga Allah.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Ingin masuk syurga? Ambil berat mengenai hukum harta pusaka [4:13]
2. Elakkan derhaka kepada Allah SWT kerana memandang remeh bab harta pusaka [4:14]
3. Fahami hukum harta pusaka [4:14]
Lega kerana Allah SWT beritahu salah satu cara untuk dapat kejayaan besar ialah dengan melaksanakan hukum faraid.
Saya jelas untuk perjuangkan bab wasiat dan faraid seperti yang Allah tetapkan.
Ya Allah, bantu kami untuk melaksanakan wasiat dan faraid seperti mana yang Engkau tetapkan. Jauhi kami daripada mengambil harta yang bukan hak kami. Ya Allah peliharalah kami daripada memandang remeh tentang wasiat dan faraid.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.