Friday, June 2, 2023

Halaman 114 Al-Ma'idah, 5:37-41

 

PERKATAAN HARI INI  

    

سَرَقَ  Mencuri, mengambil yang bukan hak

9 kali diulang dalam al-Quran






SINOPSIS  

 

  1. Orang kafir ingin keluar neraka [5:37]
  2. Hukuman had jenayah curi  [5:38-40]
  3. Sikap orang munafik dan kaum Yahudi yang begitu bersemangat kepada kekufuran [5:41]





Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita telah sampai pada halaman 114 dalam Surah al-Ma'idah, surah kelima dalam al-Quran. Semoga Allah panjangkan umur dan diberi keberkatan untuk meneruskan pengajian. Panjang umur tetapi tidak berkat pun susah juga. Sibuk memanjang. Kalau diberkati, sambil menggoreng cekodok pun ada masa bersama al-Quran. Bila kita jadikan al-Quran bff (best friend forever), diharap al-Quran akan menjadi 'bff' apabila sampai di alam kubur dan akhirat nanti.

 

Dengan membaca dan menjiwai al-Fatihah kita memohon nikmat yang paling diperlukan dalam hidup kita iaitu hidayah daripada Allah SWT. Kerana hidayah itulah yang akan mencerahkan segala nikmat yang ada. Kita ada kereta, kita ada keluarga, kita ada rumah dan sebagainya itu, bila ada hidayah maka itulah yang boleh membawa kita dengan amal yang baik menuju kepada Allah SWT. Tanpa hidayah, walaupun kita paling kaya, ada keluarga yang besar ataupun pekerjaan yang mantap tetapi kerana tidak mendapat hidayah, khuatir sebagaimana Allah templak dalam surah Surah al-'Alaq, Abu Jahal yang asalnya abu-Hakam, yang bijak pandai tapi tanpa hidayah, yang hakam itu jadi jahal. Itulah yang ingin kita doa daripada Allah agar diberi hidayah.

 

Ayat [5:37]

 

يُرِيدُونَ أَن يَخْرُجُوا۟ مِنَ ٱلنَّارِ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِينَ مِنْهَا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌۭ مُّقِيمٌۭ

 

"Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal"

 

Mesej dan Tindakan

 

  1. Allah peringatkan kepada kita bahawa orang kufur yang tidak mahu keadilan, tidak mahu takwa, tidak mahu bersungguh-sungguh pada jalan kebaikan, mereka diancam dengan azab yang sengsara. Dan apabila mereka sudah masuk ke dalam azab, mereka ingin keluar daripada api neraka seksaan tersebut, tetapi mereka tidak mungkin keluar daripada tempat itu. Mereka akan kekal di situ.
  2. Ini adalah sebagai sindiran kepada orang yang tidak mahu berjuang atas kebaikan dan tidak mahu membantu orang lain. Allah sebenarnya, tidak mahu mengazab manusia. Itulah sebabnya Allah beri banyak beri peringatan tentang azab neraka supaya kita beringat dan memohon hidayah daripada-Nya. Contoh: Emak yang sayang anak pasti selalu mengingatkan anaknya. Contohnya, jangan main di tepi longkang nanti jatuh dalam longkang itu. Emak membebel kerana sayang kepada anak.
  3. Kalau kita bertemu dengan amaran daripada Allah, itu menunjukkan Allah sangat sayang kepada kita. Allah mahu menyelamatkan hamba-Nya daripada mendapat azab seksa. Kalau sudah masuk ke dalam azab, merayu macam mana pun sudah terlambat, tak boleh keluar lagi.
  4. Hendaklah kita menjauhi sifat orang yang kufur agar tidak mendapat azab seksa yang kekal begitu.

Ayat [5:38]

 

وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقْطَعُوٓا۟ أَيْدِيَهُمَا جَزَآءًۢ بِمَا كَسَبَا نَكَـٰلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ

 

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

 

 Mesej dan Tindakan

 

  1. Allah ingatkan kepada kita tentang satu jenayah yang dibuat oleh orang yang kufur kepada-Nya. Ini adalah tentang 'social law' (peraturan sosial). Orang yang tidak mahu berjihad, tidak mahu usaha bersungguh-sungguh pada jalan kebaikan, iaitu tidak mahu mencari platform untuk mendekatkan diri pada Allah, lambat laun dia inginkan hak orang lain menjadi milik dia. Dia akan membuat aktiviti mencuri. Mereka ini, bila disuruh bertakwa, tidak mahu.  Bila kufur sangat, orang sanggup mencuri hak orang lain.
  2. Hukuman orang yang mencuri samada pencuri lelaki atau wanita, kaya atau miskin ialah potong tangan.
  3. Allah Maha Kuasa. Allah tetap akan melaksanakan hukuman kepada yang bersalah. Semua kena, tidak kira lelaki atau perempuan, kaya atau miskin.
  4. Allah Maha Bijaksana. Allah beri dulu pendidikan kepada kita dalam ayat-ayat sebelum ini supaya menjadi orang bertakwa. Allah tahu hukuman yang terbaik untuk hamba yang melanggar peraturan-Nya. Jerung atau ikan bilis juga kena hukuman yang setimpal. Contoh: Minimum nilai yang dianggap curi ialah 1/4 dinar, bersamaan RM300 lebih, baru lah boleh dihukum. Curi di zaman sekarang banyak caranya. Mencuri dari akaun bank orang seperti Macau Scam. Bila ditangkap, masuk penjara. Bila keluar penjara, buat lagi. Ada di antara mereka menganggap duduk di penjara itu sebagai waktu rehat. Di penjara ada makan minum disedia. Bila keluar, mencuri, menipu lagi. Hukuman begini orang tak takut.
  5. Hendaklah kita berusaha untuk laksanakan hukum Allah SWT agar dapat membentuk masyarakat yang bertakwa.
  6. Hukuman hanya boleh dijalankan oleh hakim melalui institusi negara selepas pendidikan masyarakat dilaksanakan dengan betul.
  7. Allah amat menjaga hasil titik peluh dan harta yang dicari oleh setiap orang kerana Allah amat menghargai segala usaha yang halal.

 

 Ayat [5:39]

 

فَمَن تَابَ مِنۢ بَعْدِ ظُلْمِهِۦ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

 

"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

 

Mesej dan Tindakan

 

  1. Jika orang yang mencuri itu bertaubat (memulangkan semua yang dicuri) sebelum hakim menjatuhkan hukuman, boleh diampunkan.
  2. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Jika selepas dihukum dan dia bertaubat, Allah akan mengampunkan dia. Dengan hukuman potong tangan, kesannya nampak, maka ini akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mudah-mudah mencuri hak orang lain. Kita berdoa agar negara ini mengikut panduan al-Quran. Jika tidak, orang yang mencuri akan terus mencuri.
  3. Jangan kita pandai-pandai menghukum orang yang sudah bertaubat.

Ayat [5:40]

 

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ وَيَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

 

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

 

Mesej dan Tindakan

 

  1. Allah memberitahu bahawa Dia adalah pemilik segala di langit dan di bumi. Yang dicuri itu sebenarnya adalah milik Allah juga. Padahal Allah telah halalkan rezeki yang dicari dengan usaha sendiri bukannya yang haram. Cabarannya ialah orang tidak beriman tidak kisah tentang itu. Yang pentingnya akaun dia bertambah.
  2. Allah akan menyeksa dan mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Hukuman yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk manusia. Jangan dipersoalkan.
  3. Berhati-hati dengan kata-kata yang boleh merosakkan akidah. Contoh: Mengatakan hukum potong tangan tak sesuai dengan zaman ini.
  4. Janganlah kita pandai-pandai menghukum. Tugas kita adalah untuk mengajak kepada Allah SWT.
  5. Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 














































































Ayat [5:41]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ لَا يَحْزُنكَ ٱلَّذِينَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْكُفْرِ مِنَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِأَفْوَٰهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِن قُلُوبُهُمْ ۛ وَمِنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟  سَمَّـٰعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّـٰعُونَ لِقَوْمٍ ءَاخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ ۖ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ مِنۢ بَعْدِ مَوَاضِعِهِۦ ۖ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَـٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَٱحْذَرُوا۟ ۚ وَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ فِتْنَتَهُۥ فَلَن تَمْلِكَ لَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَمْ يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌۭ ۖ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ

 

"Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar."

 

Mesej dan Tindakan

 

  1. Allah memanggil "Wahai Rasul", bermakna Allah mengangkat tinggi tugas rasul.
  2. Allah menasihatkan Baginda SAW supaya jangan bersedih jika kebaikan tidak dihargai. Sedih di sini bermakna berputus asa dari terus berbuat kebaikan. Contoh: Ibu-bapa jangan give up menasihati anak.
  3. Orang Yahudi tidak mahu dengar ajaran Nabi SAW. Mereka mendustakan Nabi SAW dan hanya hendak dengar daripada ulamak mereka. Ulamak Yahudi suka menukar-nukar ayat-ayat di dalam Taurat. Contoh: Mereka menghukum orang zina dengan hanya mencoreng arang di muka orang yang berbuat zina padahal dalam Taurat hukumannya kena rejam.
  4. Zaman kita, al-Quran tidak boleh ditukar kerana dijaga oleh JAKIM dll tetapi jangan sampai kita tukar isi al-Quran dalam perkataan kita. Contoh: Tidak mematuhi SOP Covid, denda orang tertentu tapi orang lain tak kena denda.
  5. Hendaklah kita pastikan tindakan kita adalah betul seperti petunjuk daripada al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Janganlah kita ikut sahaja walaupun perkataan itu datangnya daripada ustaz/ustazah.
  6. Quran dan sunnah adalah panduan kita. Kalau kita ikut betul-betul, kita tidak akan sesat. Apa saja amalan kita kalau tidak ada sumber dari al-Quran dan sunnah, itu bermakna kita mengikut perangai orang Yahudi yang suka menambah-nambah dan ubah-ubah untuk menarik perhatian dan kepentingan kaum/peribadi.
  7. Orang yang tidak beramal daripada sumber al-Quran dan sunnah, hati menjadi kotor. Islam dipandang hina kerana perbuatan mengubah dan menambah tokok amalan menjemput kehinaan tersebut. Di dunia dihina, di akhirat akan mendapat azab besar.




























RESOLUSI 


Ingat !!


  1. Berhati-hati dengan jenayah mencuri [5: 38]
  2. Sentiasa bertaubat dan memperbaiki diri setelah melakukan kesilapan/kesalahan [5:39]
  3. Jangan bersedih jika ajakan ke arah kebaikan diingkari dan tetap fokus dengan tugasan kita [5:41]

 

Lega kerana Allah SWT Maha Pengampun. Dia mengajar supaya bertaubat dan memperbaiki sekiranya membuat kesilapan.

 

Saya jelas untuk berhati-hati dengan jenayah mencuri. Saya mesti bertaubat dan memperbaiki diri sekiranya melakukan kesalahan. Saya jelas untuk tidak bersedih jika ajakan ke arah kebaikan diingkari dan tetap fokus dengan tugasan saya.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, jauhi kami daripada perbuatan mencuri. Ya Allah, terimalah taubat kami, ampuni kami atas segala kesilapan yang kami lakukan. Ya Allah jauhi kami dari bersedih jika ajakan kami ke arah kebaikan diingkari. Bantu kami untuk tetap fokus melakukan tugasan kami ke arah kebaikan dengan penuh sabar dan ikhlas.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...