|
SINOPSIS
- Bunuh
satu nyawa seperti membunuh semua manusia [5:32]
- Hukuman
bagi mereka yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan yang mengganggu keamanan
[5:33-34]
- Kejayaan
orang yang bertakwa dan kegagalan bagi orang kafir [5:35-36]
|
Mukaddimah
Kita
bersyukur di hari yang berbahagia ini kita dapat melihat kalam ilahi dalam
Surah al-Ma'idah pada halaman 113. Semoga kita terus istiqomah dan terus
ceria gembira bersama al-Quran. Surah al-Fatihah ada banyak nama. Antaranya
Ummul Quran dan as-Sab'ul Masani (7
ayat yang diulang-ulang). Ada dua pendapat tentang yang diulang-ulang, iaitu
1) diulang-ulang dalam solat, 2) mesej tentang akidah, syariat dan
akhlak akan berulang-ulang di dalam
setiap ayat al-Quran dari surah kedua hinggalah ke 114.
Kita
mohon pada Allah SWT hidayah, maka Allah beri lagi hidayah demi hidayah. Pada
halaman 113 ini penuh dengan hidayah untuk kita selalu melihat bahawa sumber
yang besar dalam hidup kita ini adalah Allah dan kita ingin mencontohi
orang-orang yang diberi nikmat, bukan yang dimurkai dan bukan yang
disesatkan.
Ayat [5:32]
مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَنَّهُۥ مَن قَتَلَ نَفْسًۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا ۚ وَلَقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًۭا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ
|
Dengan ebab (kisah
pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya
sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan
membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka
seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada
mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.
|
Mesej dan Tindakan
- Daripada cerita Habil dan Qabil, Allah bawa
terus kepada kisah Bani Israel. Apa kaitannya? Habil Qabil adalah anak-anak
Nabi Adam. Ummah pertama yang mendapat wahyu ialah Bani Israel.
- Allah ingatkan sesiapa membunuh seorang adalah
umpama membunuh semua orang. Jika kita menyokong seorang pembunuh, umpama
kita membunuh semua orang.
- Pelajaran untuk kita: Kalau kita membunuh orang
lain tanpa hak atau menyokong sesiapa yang membunuh, itu adalah seperti
membunuh seluruh manusia. Tapi kalau kita berusaha menyelamatkan nyawa orang
seperti frontliners COVID19, itu adalah satu perjuangan besar. Hendaklah kita
sokong usaha untuk selamatkan nyawa manusia. Selamatkan seorang seperti selamatkan semua manusia .
- Janganlah kita jadi semakin beragama, semakin
benci kepada orang dari agama lain. Jangan jadi seperti Bani Israel yang
memilih-milih orang. Kita kena jelas bahawa sesiapa sahaja boleh
menyelamatkan nyawa sesiapa, tidak kira bangsa dan agama.
- Nabi SAW mengajar kita berlaku adil. Tidak
boleh bersikap nasionalisma. Semasa zaman Nabi di Madinah, baginda menyatukan
kaum Yahudi dan sahabat-sahabat daripada bangsa lain seperti Bilal b Rabbah
dan Salman Al Farisi.
- Jangan pandang bangsa lain dengan rasa hina.
Contoh: Gelar 'Mat bangla', 'Mat Indon' dengan pandangan hina kerana mereka
kerja pungut sampah atau kerja buruh kasar.
- Allah ingatkan sikap dengki Qabil menyebabkan
dia melampau batas hingga sanggup membunuh saudara sendiri. Janganlah kita
melampau batas seperti racism kerana sikap ini boleh menyebabkan kita tidak
berlaku adil kepada kaum lain. Jika kita hanya memperjuangan bangsa kita
sahaja dan tidak berlaku adil, itu bukan ajaran Islam.
Ayat [5:33]
إِنَّمَا جَزَٰٓؤُا۟ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَسْعَوْنَ فِى ٱلْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓا۟ أَوْ يُصَلَّبُوٓا۟ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَـٰفٍ أَوْ يُنفَوْا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْىٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
|
"Hanyasanya balasan
orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan
di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan
tidak merampas), atau dipalang (kalau membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
Mesej dan Tindakan
Allah SWT ingatkan bahawa orang yang memerangi
Allah dan Rasul serta melakukan kerosakan di bumi hukumannya adalah (Allah umumkan ini
semasa Nabi SAW berjaya masuk ke Mekah supaya orang Musyrik Mekah dihukum
kerana menentang Nabi SAW):
- Dibunuh - kalau mereka membunuh sahaja dengan
tidak merampas,
- Disalib - kalau mereka membunuh dan merampas,
- Dipotong tangan mereka bersilang - kalau mereka merampas sahaja,
- Dibuang negeri/penjara - kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman
umum.
Kita mesti ingat bahawa hukuman itu hanya boleh
dilaksanakan bila kita ada kuasa setelah dapat bangunkan negara Islam. Hanya penjenayah kepada Allah dan Rasul boleh
dihukum begitu. Kalau mereka tidak kacau orang Islam, mereka hendak beragama masing-masing itu tidak boleh
dihukum. Orang yang dihukum begitu mendapat kehinaan di
dunia dan di akhirat juga akan mendapat azab yang amat besar kerana mereka
tidak takut kepada Allah SWT dan mengacau kedamaian bagi sesebuah negara.
Ayat [5:34]
إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا۟ عَلَيْهِمْ ۖ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
"Kecuali
orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas
dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani."
Mesej dan Tindakan - Allah berikan pengecualian daripada hukuman
yang tersebut dalam ayat 33 sekiranya mereka bertaubat sebelum kena tangkap.
- Setiap orang ada peluang untuk mendapat
keampunan daripada Allah SWT sekiranya segera bertaubat.
- Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
|
Ayat [5:35]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱبْتَغُوٓا۟ إِلَيْهِ ٱلْوَسِيلَةَ وَجَـٰهِدُوا۟ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh
menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan
laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam)
supaya kamu beroleh kejayaan."
Mesej dan Tindakan
- Allah menyeru kepada orang-orang beriman supaya
bertakwa kepada-Nya. Beriman dan bertakwa itu tidak sama. Orang yang beriman
tidak semestinya bertakwa tetapi orang bertakwa pasti beriman. Orang yang
bertakwa mengikut semua perintah Allah.
- Allah juga menyuruh kita mencari
jalan/wasilah/platform untuk berbuat kebaikan. Ada orang yang dekatkan diri
kepada Allah dengan baca Quran. Ada yang belajar berbagai ilmu, solat, doa,
derma, tulis artikel yang baik dan kongsi.
- Hendaklah kita banyakkan wasilah-wasilah yang
ada untuk mendekatkan diri kepada Allah.
- Hendaklah kita buat kebaikan yang mendekatkan
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh atas wasilah masing-masing. Contoh:
Frontliners kita di musim Covid ini sibuk membantu orang. Pahalanya besar.
- Orang yang bertakwa akan bergerak dan
membanyakkan platform untuk membuat kebaikan dengan bersungguh-sungguh.
- Orang yang bertakwa dan berbuat berbagai
kebaikan dengan bersungguh-sungguh akan beroleh kejayaan.
Ayat [5:36]
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْ أَنَّ لَهُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا وَمِثْلَهُۥ مَعَهُۥ لِيَفْتَدُوا۟ بِهِۦ مِنْ عَذَابِ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ مَا تُقُبِّلَ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ
"Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai
segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka
menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya
tebusan itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya."
|
Mesej dan Tindakan
- Allah tegaskan bahawa orang-orang kafir tidak dapat menebus dosa mereka dengan apa
pun.
- Berkait dengan cerita Habil dan Qabil, untuk
berkorban, kita tidak perlu berikan semuanya. Tapi bila sampai di akhirat,
kalau bagi semua pun tidak dapat ditebus dosa kita melainkan kita segera
bertaubat semasa di dunia
- Hendaklah kita segera bertaubat agar tidak
diazab di akhirat. Hari kiamat ialah hari berdiri. Di sekolah dulu, jika kita
didenda dan disuruh berdiri pun kita malu. Bayangkan berdiri lama di akhirat
untuk dihisab.
- Semoga kita dapat korbankan apa yang dimiliki
untuk berbuat kebaikan.
|
RESOLUSI
Ingat
!!
- Perjuangkan nyawa walau seorang di dunia ini
dengan adil [5:32]
- Cari platform untuk membina iman dan takwa [5:35]
- Rebutlah peluang memperjuangkan kebaikan di
dunia ini dengan cara mengorbankan apa yang dimiliki [5:36]
Lega
kerana Allah SWT mengajar saya rahsia untuk berjaya.
Saya
jelas untuk perjuangkan nyawa dengan adil. Saya mesti banyakkan platform
untuk membina iman dan takwa dan buat
kebaikan dengan bersungguh-sungguh. Saya jelas untuk rebut peluang
memperjuangkan kebaikan di dunia dengan cara mengorbankan apa yang dimiliki.
Ya
Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada
kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya
Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran
agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya
Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta
menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya
Allah, bantu kami untuk perjuangkan nyawa seorang dengan adil. Ya Allah,
bimbing kami mencari platform yang Engkau redhai untuk membina iman dan
takwa. Ya Allah, pimpin kami berkorban untuk memperjuangkan kebaikan.
|
|
|
|
|