Saturday, June 3, 2023

Halaman 125 : Al-Ma'idah, 5:104-108

PERKATAAN HARI INI


 وَجَدَ  Mendapati, menemukan, menjumpai.  
107 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Suka ikut nenek moyang atau orang terdahulu [5:104]
  2. Berserah diri kepada Allah SWT setelah melakukan amar ma'ruf nahi mungkar [5:105]
  3. Anjuran berwasiat ketika seseorang akan meninggal dengan persaksian [106-108]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pengajian pada halaman 125. Diharapkan kita lebih jelas tentang susunan al-Quran dari Surah al-Fatihah hingga ke Surah al-Maidah ini. Surah al-Baqarah hingga ke Surah al-Maidah adalah surah-surah Madaniyah iaitu surah-surah yang turun selepas Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Surah-surah Madaniyah penuh dengan peraturan-peraturan. Seorang yang beriman akan menerima al-Quran sebagai sumber perlembagaan dan perundangan. 

Dengan membaca al-Fatihah, kita memohon hidayah daripada Allah SWT agar kita diberi pencerahan demi pencerahan dariNya. Hari ini kita berbincang tentang hujjah-hujjah bagi mereka yang mungkin degil dan peraturan-peraturan yang perlu diikut. Kita terima segala daripada al-Quran dan sunnah. Jangan main kutip sahaja apa yang ada, jumpa tanpa ada hujjah kebenarannya.  Semoga kita dapat memanfaatkan ilmu.

Pada halaman lepas Allah mengingatkan agar jangan buat perkara syirik, jangan mendustakan ayat-ayatNya dan jangan membuat perkara dongeng. Arab Jahiliyah mensucikan unta-unta yang merupakan lambang kemewahan bagi mereka.


Ayat [5:104]


وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ قَالُوا۟ حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۚ أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْـًۭٔا وَلَا يَهْتَدُونَ

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?"


Pengajaran

  1. Allah mengajak kita untuk mengikut al-Quran dan Rasul SAW. 
  2. Bila kita mengikut kepada al-Quran dan Rasul SAW, sebenarnya Allah sedang menaikkan darjat kita di sisiNya. 'Ta'al' تَعَالَوْا۟ maksudnya memanggil orang naik ke atas. Orang yang mengikut al-Quran adalah seperti naik ke gunung, boleh nampak apa yang ada di bawah.
  3. Arab Jahiliyah menolak panggilan Nabi SAW kerana mereka merasakan cukup dengan apa yang nenek moyang mereka ajar. Ini dikaitkan dengan perkataan 'alfaina' dalam ayat [2:170] yang maksudnya, seperti anak kecil yang mengambil apa sahaja yang nampak. Sikap orang yang tidak kembali kepada al-Quran ialah mereka ambil saja apa yang nampak. 
  4. Yang sebenarnya, nenek moyang pun tidak tahu apa yang mereka buat kerana mereka tidak rujuk kepada al-Quran dan rasul.
  5. Hendaklah kita ikut kebenaran daripada al-Quran dan sunnah. Jangan ikut secara buta tuli apa yang orang terdahulu buat.
  6. Semoga kita dapat tingkatkan ilmu daripada al-Quran dan sunnah untuk dijadikan panduan hidup agar Allah SWT angkat darjat kita di sisiNya.

Ayat [5:105]


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا ٱهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًۭا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan."


Pengajaran

  1. Menurut Hamka, apabila orang ramai tidak lagi mahu mengikut kebenaran dari al-Quran, minimum keperluan yang perlu kita laksanakan ialah jaga diri kita sendiri ( عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ).
  2. Sekiranya kita taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya iaitu dengan mengikut hidayah daripada Allah SWT, orang-orang yang sesat tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepada kita.
  3. Kita semua akan kembali kepada Allah SWT. 
  4. Allah SWT akan memberi balasan atas apa yang kita lakukan semasa di dunia.
  5. Hendaklah kita jaga diri dan keluarga dengan mengikut panduan daripada al-Quran dan Rasulullah SAW.

Ayat [5:106]  Wasiat


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ شَهَـٰدَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ حِينَ ٱلْوَصِيَّةِ ٱثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍۢ مِّنكُمْ أَوْ ءَاخَرَانِ مِنْ غَيْرِكُمْ إِنْ أَنتُمْ ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ   فَأَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةُ ٱلْمَوْتِ ۚ تَحْبِسُونَهُمَا مِنۢ بَعْدِ ٱلصَّلَوٰةِ فَيُقْسِمَانِ بِٱللَّهِ إِنِ ٱرْتَبْتُمْ لَا نَشْتَرِى بِهِۦ ثَمَنًۭا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۙ وَلَا نَكْتُمُ شَهَـٰدَةَ ٱللَّهِ إِنَّآ إِذًۭا لَّمِنَ ٱلْـَٔاثِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: "Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa."


Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan kita supaya terus jaga diri hingga sampai ke saat hampir mati. 
  2. Kita diingatkan supaya membuat wasiat yang disaksikan oleh 2 orang yang adil, walaupun dalam perjalanan.
  3. Wasiat adalah peluang untuk kita membuat jasa baik kepada orang yang terdekat dengan kita. 
  4. Hidup kita adalah perjalanan yang sedang menuju kepada Allah. Hendaklah kita buat yang baik-baik dan tinggalkan yang baik-baik untuk orang yang masih hidup agar kita dapat berjumpa dalam keadaan baik di syurga.
  5. Solat ialah institusi yang penting. Selepas urusan dengan Allah kita buat urusan dengan manusia. Lepas solat biasanya hati kita lebih lembut dan jujur.
  6. Sebagai orang yang mendirikan solat, janganlah kita berlaku tidak jujur seperti songlap harta yang telah diamanahkan.
  7. Orang yang menjadi saksi mestilah tunaikan janji. Jangan jual sumpah untuk kepentingan diri atau sembunyikan keterangan. Orang yang melanggar sumpah adalah berdosa.

Asbabun Nuzul: Rujuk Hadis Bukhari 2572. Ada seorang dari Bani Sahmi pergi keluar bersama Tamim ad-Dariy dan 'Addi bin Badda'. Kemudian lelaki suku Bani Sahmi itu meninggal dunia di daerah yang penduduknya tidak ada seorang Muslim pun. Ketika keduanya tiba kembali dengan membawa harta peninggalannya, keluarganya merasa kehilangan bejana perak yang bergaris emas, lalu Rasulullah SAW menyumpah keduanya. Pada kemudian hari bejana itu ditemukan di Makkah. Mereka berkata: "Kami telah membelinya dari Tamim dan Addi". Lalu berdirilah dua orang dari wali Bani Sahmi dan bersumpah: "Persaksian kami lebih benar daripada persaksian mereka berdua, dan bejana itu adalah milik sahabat mereka". Ibnu 'Abbas berkata: "Dan tentang mereka itulah ayat QS al-Ma'idah 106 turun, yang ertinya: ("Wahai orang-orang beriman bersaksilah kalian ketika salah seorang dari kalian meninggal").


Ayat [5:107]


فَإِنْ عُثِرَ عَلَىٰٓ أَنَّهُمَا ٱسْتَحَقَّآ إِثْمًۭا فَـَٔاخَرَانِ يَقُومَانِ مَقَامَهُمَا مِنَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَحَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْأَوْلَيَـٰنِ فَيُقْسِمَانِ بِٱللَّهِ لَشَهَـٰدَتُنَآ أَحَقُّ مِن شَهَـٰدَتِهِمَا وَمَا ٱعْتَدَيْنَآ إِنَّآ إِذًۭا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

"Kemudian jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya), kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata): "Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim."


Pengajaran

  1. Allah ingatkan kita, sekiranya sudah ada hidayah tetapi kita tidak melakukan seperti apa yang Allah perintah, maka kita berlaku zalim, iaitu mengambil kegelapan berbanding cahaya daripada Allah SWT. 
  2. Orang yang berlaku zalim, kegelapan akan berterusan hingga ke akhirat. Sepatutnya hidup sudah gembira, bahagia, banyak harta, maka teruskan kegembiraan ini sampai ke syurga. 
  3. Wasiat adalah ketentuan, perlembagaan dan kewajipan dalam agama yang mesti kita laksanakan.
  4. Hendaklah kita didik keluarga supaya melaksanakan wasiat dan perjuangkan keadilan supaya hidup di dunia sampai ke ahirat disinari cahaya daripada Allah SWT.


Ayat [5:108]


ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِٱلشَّهَـٰدَةِ عَلَىٰ وَجْهِهَآ أَوْ يَخَافُوٓا۟ أَن تُرَدَّ أَيْمَـٰنٌۢ بَعْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱسْمَعُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ

"(Hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik."


Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan supaya orang yang menjadi saksi wasiat untuk bertakwa kepadaNya, dan dengar dengan patuh segala perintahNya. 
  2. Orang yang meremehkan urusan wasiat adalah orang yang fasik. Allah tidak akan memberi hidayah kepada kaum yang fasik.
  3. Janganlah kita meremehkan urusan wasiat dan harta pusaka. Biarlah kita bersusah-susah menyempurnakan wasiat di dunia dari kita susah di akhirat nanti.


RESOLUSI 


Ingat !!
  1. Elakkan ikut orang lama, tetapi ikut panduan Ilahi [5:104]
  2. Cari hidayah kerana ia menyelamatkan kita [5:105]
  3. Amalkan wasiat mengikut panduan Allah SWT - dengan mengadakan saksi [5:106]

Lega kerana Allah SWT beri panduan dan hidayah untuk selamatkan saya.

Saya jelas untuk tidak ikut nenek moyang membuta tuli, tapi saya mesti ikut panduan Ilahi. Saya mesti berusaha mencari hidayah kerana ia menyelamatkan saya. Saya juga mesti amalkan wasiat mengikut panduan Allah SWT dengan mengadakan saksi yang adil.

Ya Allah, bantu kami untuk ikut panduanMu dan jauhi kami daripada mengikut orang lama secara membuta tuli. Ya Allah Ya Nur Ya Hadi, kurniakan kami cahaya dan hidayah agar kami selamat di dunia dan selamat di akhirat. Bantu kami untuk amalkan wasiat mengikut panduan Mu.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 175

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...