Saturday, June 3, 2023

Halaman 126 : Al-Ma'idah, 5:109-113

PERKATAAN HARI INI


 غَابَ / غَيَبَ  Tersembunyi. 
60 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Pertanyaan kepada para rasul di hari kiamat mengenai dakwah mereka [5:109]
  2. Informasi mengenai mukjizat-mukjizat Nabi Isa a.s. [5:110-111]
  3. Pemberian hidangan kepada Bani Israel sesuai dengan permintaan Hawariyyin (pengikut-pengikut Nabi Isa) [5:112-113]


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita dapat menyambung pengajian di halaman 126, Surah al-Ma'idah. Halaman sebelum ini kita bincang panduan Allah SWT tentang wasiat. Surah ini turun ketika umat Islam menang. Salah satu ayat turun menjelaskan kesempurnaan agama Islam. Kita membaca al-Fatihah setiap hari sebagai syifa' yang menjadi penawar kepada hati dan memberi ketenangan kepada kita untuk berfikir tentang hidayah yang Allah SWT berikan kepada kita.

Halaman lepas kita bincang tentang seruan Nabi Muhammad SAW kepada Yahudi dan Nasrani  agar kembali kepada Allah SWT tetapi mereka tetap berkeras untuk terus mengikut amalan nenek moyang. Kalau keadaan amat sukar untuk kita menentukan kebenaran, ada panduan daripada ayat 5:105, "Masing-masing dalam kalangan kita kena bertanggungjawab menunaikan janji dengan adil". Tema surah ini berkaitan dengan perjanjian dan makan.

Soalan hari ini: Nyatakan sebab Hawariyyun meminta makanan daripada langit.


Ayat [5:109]


يَوْمَ يَجْمَعُ ٱللَّهُ ٱلرُّسُلَ فَيَقُولُ مَاذَآ أُجِبْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَا عِلْمَ لَنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلْغُيُوبِ

"(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: "Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab: "Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib"


Pengajaran

  1. Ini adalah peristiwa di masa hadapan (Back to the future). Oleh kerana Allah SWT amat adil, Dia adakan perbicaraan termasuklah para rasul. Allah SWT akan mengumpulkan semua rasul dan bertanya tentang penerimaan kaum mereka terhadap dakwah mereka . 
  2. Allah memang sudah tahu tetapi Allah mahu berlaku adil kepada rasul-rasul tersebut. Jawab mereka, "Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib".
  3. Para rasul tidak tahu hakikat sebenar apa yang berlaku selepas kepergian mereka atau pengikut mereka. Semua rasul amat takut dengan apa yang akan berlaku pada hari kiamat.
  4. Hendaklah kita terus menyampaikan risalah Allah SWT seperti yang dilakukan oleh para rasul. Ada yang terima ada yang tidak. Kita tidak tahu apa kesudahannya. Kita yakin Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang ghaib.


Ayat [5:110]


إِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱذْكُرْ نِعْمَتِى عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَٰلِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ تُكَلِّمُ ٱلنَّاسَ فِى ٱلْمَهْدِ وَكَهْلًۭا ۖ وَإِذْ عَلَّمْتُكَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ ۖ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيْرِ بِإِذْنِى فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًۢا بِإِذْنِى ۖ وَتُبْرِئُ ٱلْأَكْمَهَ وَٱلْأَبْرَصَ بِإِذْنِى ۖ وَإِذْ تُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ بِإِذْنِى ۖ وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌۭ مُّبِينٌۭ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang yang berpenyakit kusta dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata"


Pengajaran

  1. Ayat ini membawa kembali kepada kisah Nabi Isa a.s. Allah mengingatkan Nabi Isa a.s. tentang nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya, kepada ibunya dan menguatkannya dengan kedatangan Jibril untuk menyampaikan wahyu. 
  2. Allah SWT juga ingatkan tentang mukjizat Nabi Isa:
    • Nabi Isa a.s. boleh bercakap ketika di dalam buaian dan setelah dewasa ( وَكَهْلًا ).
    • Nabi Isa diajarkan kitab Taurat (boleh menegur kesilapan yang dilakukan oleh Ulamak Yahudi yang menukar isi Taurat) dan kitab Injil (yang membawa hikmah)
    • Boleh menjadikan burung daripada tanah dan menghidupkannya dengan izin Allah.  
    • Menyembuhkan orang buta dan kusta dengan izin Allah.
    • Menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah.
  3. Biiznillah diulang-ulang untuk mengingatkan kaum Nasrani bahawa Nabi Isa a.s adalah manusia biasa, bukan Tuhan. Dia hanya boleh lakukan semua mukjizat itu dengan izin Allah SWT. 
  4. Bani Israel mengatakan semua kebolehan Nabi Isa a.s itu adalah sihir. Ini menunjukkan Bani Israel adalah kaum yang degil. 
  5. Pengajaran bagi kita: Apabila membaca al-Quran yang merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW akan bertambah iman kita, bukan mempertikaikannya. Kita akan laksanakan segala panduan dan perintah dalam al-Quran.
  6. Allah SWT menceritakan tentang Nabi Isa a.s kepada kita supaya kita boleh semak akidah agar jangan mendewakan manusia atau memberi pergantungan/kepercayaan kepada perkara selain daripada Allah SWT. Contoh: Percaya kayu koka boleh menyembuhkan.


Ayat [5:111]


وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى ٱلْحَوَارِيِّـۧنَ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِى وَبِرَسُولِى قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَٱشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ

"Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa): "Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab: "Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)"


Pengajaran

  1. Menyambung kisah Nabi Isa a.s. Di hujung Surah al-Nisa' juga ada kisah Nabi Isa a.s. Surah al-Nisa' adalah pasangan Surah al-Ma'idah. Isi kedua surah ini tidak sama tapi ada perkaitan (tanasub) antara kedua-dua surah ini.
  2. Allah memberikan ilham kepada Hawariyyun (pengikut setia Nabi Isa a.s.) dan kepada kita. Ini menunjukkan, keimanan memerlukan ilham daripada Allah SWT.  
  3. Allah memberi peluang dan ilham kebaikan kepada semua orang dengan mengutus rasul dan sekarang ini ada berbagai ceramah/tazkirah di media sosial. Allah SWT mahu melihat bagaimana kita respon kepada ilham dariNya itu. 
  4. Nabi Isa a.s. bukanlah tuhan, tetapi rasul. Kristian bukan diasaskan oleh Nabi Isa a.s. dan pengikut setianya. Ia wujud 300 tahun selepas Nabi Isa a.s. diangkat. Kristian dijadikan institusi agama oleh kerajaan Rom pada waktu itu dengan ajarannya daripada Injil yang sudah ditukar oleh ulamak mereka. 
  5. Agama Islam hari ini bukanlah terpisah daripada Hawariyyun. Mereka juga beriman kepada tuhan yang satu, dan beriman kepada tuhan yang sama dengan Bani Israel ketika bersama dengan Nabi Musa. Kita ada susur galur daripada Nabi Ibrahim. Semuanya Islam yang membawa akidah tauhid kepada Allah SWT. 


Ayat [5:112]


إِذْ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ هَلْ يَسْتَطِيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَيْنَا مَآئِدَةًۭ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۖ قَالَ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?" Nabi Isa menjawab: "Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman".


Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan lagi bahawa Isa adalah anak Maryam ( عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ), ia bukan anak tuhan seperti anggapan orang-orang Kristian. 
  2. Menurut perbincangan ulamak, Hawariyyun adalah golongan miskin yang kuat keimanan mereka tetapi kurang ilmu. Walaupun mereka pengikut setia Nabi Isa a.s tetapi mereka kurang ilmu lalu mereka meminta hidangan dari langit (مَآئِدَةً مِّنَ ٱلسَّمَآءِ).
  3. Nabi Isa a.s. mengingatkan pengikutnya supaya bertaqwa kepada Allah SWT. Nabi Isa faham Taurat. Baginda tahu kaum Nabi Musa minta macam-macam dan mereka diazab. 
  4. Orang bertakwa tidak meminta macam-macam. Semua yang ada di sekeliling kita seperti awan, oksigen, kita bernafas dan apa yang kita belajar dalam sains itu adalah melambangkan keajaiban ataupun ayat-ayat Allah SWT yang menakjubkan. Semua itu menunjukkan kehebatkan Allah SWT. 
  5. Hendaklah kita ingat bahawa apabila Allah SWT memberi banyak nikmat kepada kita, Allah SWT memberi amanah yang lebih besar kepada kita. Dengan harta, kekayaan dan anak-anak yang Allah SWT kurniakan, hendaklah kita gunakan untuk berjuang di jalanNya seperti Nabi Isa dan Hawariyyun. Dapat lebih, kena berjuang lebih. Kalau dalam rumah kita semua sudah bagus, sudah tenteram, kita tidak boleh sekadar duduk dalam rumah happy go lucky, dan bergembira sahaja kerana Allah SWT akan bertanya. Allah akan menghukum kepada orang yang tidak menggunakan nikmat kurniaanNya untuk membantu orang lain.


Ayat [5:113]


قَالُوا۟ نُرِيدُ أَن نَّأْكُلَ مِنْهَا وَتَطْمَئِنَّ قُلُوبُنَا وَنَعْلَمَ أَن قَدْ صَدَقْتَنَا وَنَكُونَ عَلَيْهَا مِنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

Mereka berkata: "Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri"


Pengajaran

  1. Hawariyyun menjawab, mereka mahu makan hidangan dari langit itu untuk:
    • Mendapat berkat dengannya. Mereka bukan orang kaya.
    • Mententeramkan hati mereka dengan kebenaran.
    • Mengetahui dengan yakin tentang ajaran Nabi Isa a.s.
    • Menyaksikan sendiri hidangan itu sebagai bukti kebenaran daripada Allah SWT.
  2. Hawariyyun bertanya untuk menambah keyakinan dan mahu menyaksikan kebenaran daripada Allah SWT. Berbeza dengan Bani Israel yang bertanya banyak tetapi mereka mengelat, tidak mahu buat. 
  3. Pengajarannya: Kita boleh untuk bertanya bagi tujuan mengetahui kebenaran. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Baiki iman kepada Allah dengan menghargai mukjizat [5:110]
  2. Selalu berserah diri kepada Allah sebagai tanda keimanan [5:111]
  3. Apabila nikmat diberi, selalu hargai dan makin kuat berjuang [5:113]

Lega kerana Allah SWT kurniakan banyak nikmatNya kepada saya.

Saya jelas untuk baiki iman kepada Allah SWT dengan menghargai mukjizat al-Quran. Saya mesti berserah diri kepada Allah SWT sebagai tanda keimanan. Saya jelas untuk selalu hargai nikmat kurniaan Allah SWT dan makin kuat berjuang. 

Ya Allah, Ya Alim, bantu kami untuk menghargai mukjizat al-Quran. Jadikan kami orang yang selalu berserah diri kepadaMu sebagai tanda keimanan kami. Ya Allah, jadikan kami orang mensyukuri nikmatMu dan semoga dengan nikmat itu kami semakin kuat berjuang di jalanMu. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 176

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...