PERKATAAN HARI INI
493 kali disebut dalam al-Quran. ٱلسَّمَآءِ adalah tanda kewujudan sesuatu zat, iaitu Allah.
SINOPSIS
- Nabi Isa a.s. berdoa dan amaran kepada sesiapa yang ingkar setelah diberi nikmat [5:114-115]
- Nabi Isa a.s. tidak pernah memerintahkan orang Nasrani menuhankannya dan ibunya [5:116-118]
- Allah SWT Maha Pencipta, dan Maha Penguasa. Langit dan bumi adalah milik-Nya [5:119-120]
Mukaddimah
Alhamdulillah kita berada di halaman terakhir surah al-Ma'idah. Perjalanan kita masih panjang untuk sampai ke penghujung. Ini adalah satu inayah bantuan daripada Allah untuk kita bersyukur. Semoga kita terus istiqomah.
Kita membaca surah al-Fatihah ummul Quran sekurang-kurangnya 17 kali sehari dalam solat untuk mengingatkan yang kita sebenarnya memerlukan hidayah daripada Allah SWT. Pada ayat kelima kita menyerah diri sebagai hamba, rasa amat rendah di hadapan Allah dan kita mohon pertolongan daripada Allah untuk diri kita, keluarga dan rakan-rakan kita. Dengan doa itu, kita betul-betul mentauhidkan Allah. Kita mohon daripada Allah agar keluarga dan rakan-rakan kita juga mentauhidkan Allah SWT.
Isi penting dalam surah al-Ma'idah yang turun setelah Nabi SAW dan para sahabat mendapat kemenangan kembali ke Mekah selepas beberapa tahun di Madinah iaitu kita perlu memastikan diri kita dan orang-orang di sekitar kita menjemput kepada ketauhidan, keEsaan Allah SWT. Kemenangan itu adalah apabila kita berjaya mengEsakan Allah SWT.
Pada halaman lepas kita telah melihat kisah Hawariyyun yang memohon hidangan dari langit. Menurut ulamak makanan yang turun itu ialah roti dan anggur yang dikira makanan kemewahan waktu itu. Mereka menyatakan yang mereka mahu bersaksi tentang kebenaran. Mereka sememangnya beriman tetapi kurang ilmu. Ini menunjukkan bahawa ilmu itu sangat penting untuk menguatkan keimanan. Allah menaikkan darjat orang berilmu lebih tinggi beberapa darjat daripada orang-orang yang beriman tanpa ilmu.
Ayat [5:114]
قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ ٱللَّهُمَّ رَبَّنَآ أَنزِلْ عَلَيْنَا مَآئِدَةًۭ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًۭا لِّأَوَّلِنَا وَءَاخِرِنَا وَءَايَةًۭ مِّنكَ ۖ وَٱرْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
"Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki"
Pengajaran
- Allah SWT menyebut Isa adalah anak Maryam untuk menegaskan yang Isa adalah manusia biasa, anak Maryam, bukan anak tuhan.
- Nabi Isa a.s berdoa memohon hidangan dari langit sebagai satu tanda mukjizat daripada Allah bagi menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.
- Dalam doanya Nabi Isa a.s juga meminta rezeki daripada Allah SWT kerana Allah SWT adalah sebaik-baik pemberi rezeki.
- Ini menunjukkan Nabi Isa a.s bukanlah tuhan kerana baginda juga perlu meminta rezeki daripada Tuhan.
Ayat [5:115]
قَالَ ٱللَّهُ إِنِّى مُنَزِّلُهَا عَلَيْكُمْ ۖ فَمَن يَكْفُرْ بَعْدُ مِنكُمْ فَإِنِّىٓ أُعَذِّبُهُۥ عَذَابًۭا لَّآ أُعَذِّبُهُۥٓ أَحَدًۭا مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk".
Pengajaran
- Nikmat yang kita minta extra sebenarnya ada tuntutan untuk lebih kuat berkhidmat dan berjuang dalam agama. Kalau kufur selepas dapat nikmat yang lebih itu, Allah akan mengazab dengan azab yang tidak pernah ditimpakan kepada sekalian makhluk.
- Hendaklah kita manfaatkan rezeki yang Allah SWT berikan untuk membantu orang di luar rumah kita agar tidak ditimpa azab. Contoh: Tolong orang banjir.
Ayat [5:116] Kontek ayat ini adalah pada hari akhirat.
وَإِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ءَأَنتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ ٱتَّخِذُونِى وَأُمِّىَ إِلَـٰهَيْنِ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ قَالَ سُبْحَـٰنَكَ مَا يَكُونُ لِىٓ أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِى بِحَقٍّ إِن كُنتُ قُلْتُهُۥ فَقَدْ عَلِمْتَهُۥ ۚ تَعْلَمُ مَا فِى نَفْسِى وَلَآ أَعْلَمُ مَا فِى نَفْسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلْغُيُوبِ
"Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' " Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib."
Pengajaran
- Allah SWT mengajar kita cara berinteraksi dengan orang-orang Nasrani. Beritahu mereka bahawa pada hari akhirat nanti Nabi Isa a.s menafikan dia menyuruh orang Nasrani menyembah dia dan ibunya. Nabi Isa a.s meminta mereka menyembah Allah SWT.
- Nabi Isa a.s tidak tahu perkara ghaib. Dia hanya sampaikan apa yang benar sahaja. Jelas bahawa Kristian bukan agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Ia adalah ciptaan ulama mereka yang dimulakan 300 tahun selepas Nabi Isa a.s diangkat ke langit. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib.
- Kalau kita sudah berjaya dan hendak terus berjaya maka kita perlu berdialog dengan orang-orang yang menuhankan Nabi Isa a.s
Ayat [5:117] Sambungan dialog Allah SWT dengan Nabi Isa a.s pada hari akhirat.
مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلَّا مَآ أَمَرْتَنِى بِهِۦٓ أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبَّكُمْ ۚ وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًۭا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ ۖ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِى كُنتَ أَنتَ ٱلرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ شَهِيدٌ
"Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu."
Pengajaran
- Nabi Isa a.s. beritahu dia tidak pernah menyeru orang menyembahnya. Dia menyuruh mereka menyembah Allah SWT.
- Nabi Isa a.s. tidak wafat tetapi diangkat ke langit.
- Allah SWT tahu bagaimana agama Kristian itu bermula kerana Dia yang Mengawasi segala-galanya.
- Kita mesti bersaksi pada diri kita untuk tidak mempermainkan kebenaran yang ada.
Ayat [5:118]
إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
Pengajaran
- Allah SWT boleh sahaja hendak menyeksa sesiapa yang tidak mentauhidkanNya kerana kita ini hambaNya.
- Walaupun Allah Maha Pengampun tetapi kita mesti ingat, jangan main-main dengan Allah kerana Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Walaupun Allah sayang kita, tetapi kita tak selamat kalau mendusta dan mensyirikkanNya.
Ayat [5:119]
قَالَ ٱللَّهُ هَـٰذَا يَوْمُ يَنفَعُ ٱلصَّـٰدِقِينَ صِدْقُهُمْ ۚ لَهُمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۚ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Allah berfirman: "Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar".
Ayat [5:120]
لِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا فِيهِنَّ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۢ
"Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Pengajaran ayat 119-120:
- Orang yang membenarkan ( ٱلصَّـٰدِقِينَ ) apa yang Allah dan Rasul beri, ganjarannya ialah syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya.
- Hendaklah kita buat yang terbaik dengan panduan daripada al-Quran.
- Allah SWT akan bantu kita kalau kita buat yang terbaik. Kalau pemimpin buat yang terbaik dan kita buat yang terbaik, Allah akan tolong kita untuk selesaikan apa jua masalah dalam kehidupan.
- Kalau kita menang tetapi tidak berpegang kepada al-Quran, itu bermakna kita mencabar Allah.
- Puncak kemenangan ialah apabila Allah SWT redha dengan kita dan kita pun puas hati dengan Allah.
- Memang penat untuk kita mengamalkan syariat, tapi yang pastinya kalau kita ikut syariat kita sebenarnya bersama kejayaan dan kemenangan.
- Kalau kita buat undang-undang tanpa mengambil perlembangan Allah SWT, tuan empunya alam ini, sebenarnya kita sedang berlawan dengan Allah Tuhan Yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
RESOLUSI
Ingat !!
- Tingkatkan komitmen pada nabi, Allah SWT pasti bantu [5:114]
- Sentiasa sucikan Allah SWT dan jangan syirikkan Allah SWT [5:116]
- Sentiasa cari kebenaran agar dapat bersama tokoh kebenaran di syurga nanti [5:119]
Lega kerana saya dapat bersama Nabi SAW sekiranya saya tingkatkan komitmen kepada Nabi, sucikan Allah dan sentiasa cari kebenaran.
Saya jelas untuk tingkatkan komitmen kepada Nabi supaya Allah SWT bantu saya. Saya mesti sentiasa sucikan Allah SWT dan tidak syirikkanNya. Saya juga jelas untuk sentiasa cari kebenaran agar dapat bersama Nabi SAW di syurga nanti.
Ya Allah, bantu kami untuk tingkatkan komitmen pada Nabi SAW. Ya Allah jauhi kami dari perbuatan syirik. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa mensucikanMu. Ya Allah, tunjukkan kami jalan kebenaran agar kami dapat bersama Nabi SAW di syurga nanti.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 177