Saturday, June 3, 2023

Halaman 128 : Al-An'am, 6:1-8

PERKATAAN HARI INI


 عَدَلَ   Adil, seimbang. 
28 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS  

 

  1. Dalil-dalil akan kewujudan Allah SWT dan keEsaan-Nya serta kebangkitan [6:1-3]
  2. Sebab kekufuran manusia terhadap ayat-ayat Allah SWT dan ancaman siksa terhadap mereka [4-6]
  3. Bangkangan orang kafir dan penolakan atas permintaan mereka kepada nabi untuk menurunkan kitab atau mengutus malaikat [6:7-8]



Mukaddimah

Alhamdulillah, hari ini kita masuk surah keenam iaitu Surah al-An'am. Ini adalah surah kedua yang dimulakan dengan Alhamdulillah. Selain dari surah al-Fatihah, terdapat empat surah lagi yang bermula dengan Alhamdulillah, iaitu Surah al-Kahfi (18), Surah Fathir (35), Surah Saba' (34) dan Surah al-An'am (6). 

Kita membaca Alhamdulillah dalam al-Fatihah untuk kita sama-sama menghargai kepada perjalanan hidup kita ini. Segala pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam. Kita memuji Allah kerana Dia Rabb sekalian alam yang menciptakan langit dan bumi. Inilah yang dijelaskan dalam ayat pertama surah al-An'am, surah Makiyyah yang turun kepada Nabi Muhammad SAW di bahagian ketiga/hujung kehidupan Nabi SAW di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. 

Surah al-An'am dan pasangannya iaitu surah al-A'raf banyak bercerita tentang iman. Beza keduanya, surah al-An'am banyak bercerita tentang nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah SWT (Ala illah) kepada kita untuk meningkatkan keimanan. Surah al-A'raf pula ialah tentang peristiwa-peristiwa besar (Aya millah) yang memberi amaran kepada manusia.  'Bashir' banyak terdapat di dalam surah ini. 'Nazir' pula dalam Surah al-A'raf. 

Surah Makiyyah adalah tentang nilai untuk membina personaliti/karektor kita. Surah Madaniyyah adalah tentang peraturan untuk mencantikkan personaliti kita. Orang yang ada nilai mesti mematuhi peraturan. Al-An'am bermaksud binatang ternakan. Ini adalah satu daripada nikmat daripada Allah SWT. Perkara penting di dalam surah Makiyyah adalah tentang: 1) Tauhid, 2) Risalah yang nabi bawa, 3) Hari akhirat


Ayat [6:1] Penciptaan Makro


ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ ٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ ۖ ثُمَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

"Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka."


Pengajaran

  1. Allah memperkenalkan diriNya yang mencipta (خَلَقَ) langit dan bumi. Apabila kita melihat segala alam maya pada ini kesannya ialah kita akan memuji kepada Allah seperti yang diajar oleh Allah dalam ayat ini. 
  2. Allah SWT juga menyatakan Dia menjadikan (جَعَلَ) gelap dan terang. Allah menjadikan kegelapan-kegelapan yang ada dan Allah beri satu cahaya untuk menerangkan banyak kegelapan. Ibnu Abbas menyatakan yang kegelapan itu adalah kufur dan cahaya itu adalah iman (tauhid). Dengan satu keimanan ia dapat melenyapkan segala kegelapan-kegelapan /masalah kekufuran yang ada di bumi ini. 
  3. Orang yang kufur kepada Allah menyamakan Tuhan dengan makhluk, padahal Tuhanlah yang menciptakan langit dan bumi ini. Tak ada makhluk yang mengaku boleh mencipta langit dan bumi hatta Firaun. Orang Kafir merasakan cahaya dan kegelapan adalah sama ( يَعْدِلُونَ ) iaitu semua agama sama. 
  4. Orang beriman dapat bezakan cahaya dan kegelapan. Ada dua perspektif kegelapan dan cahaya; a) yang kita nampak dari luar (fizikal), b) dalam hati. Ada orang bila nampak cahaya, dia nampak matahari sahaja. Manakala orang beriman kata Subhanallah, ini adalah kehebatan Allah SWT yang Mencipta cahaya itu.  
  5. Semoga kita menjadi orang beriman. Kita mengaku Allah memang baik seperti yang dibaca dalam ayat ini.


Ayat [6:2] Penciptaan Mikro


هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن طِينٍۢ ثُمَّ قَضَىٰٓ أَجَلًۭا ۖ وَأَجَلٌۭ مُّسَمًّى عِندَهُۥ ۖ ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

"Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan)."


Pengajaran

  1. Allah memberitahu perkara kecil (mikro) yang berlaku dalam diri kita iaitu kita dijadikan daripada tanah. 
  2. Allah tentukan dua ajal; a) kematian (setiap orang ada ketetapan ajal masing-masing), b) hari akhirat/hari kiamat/hari pembalasan ( مُّسَمًّى ).
  3. Walaupun Allah sudah beritahu Dia yang menciptakan yang makro dan yang mikro, tetapi masih ada orang yang ragu-ragu tentang hari pembalasan ( تَمْتَرُونَ). 


Ayat [6:3]


وَهُوَ ٱللَّهُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَفِى ٱلْأَرْضِ ۖ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

"Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan"


Ayat [6:4]


وَمَا تَأْتِيهِم مِّنْ ءَايَةٍۢ مِّنْ ءَايَـٰتِ رَبِّهِمْ إِلَّا كَانُوا۟ عَنْهَا مُعْرِضِينَ

"Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya)."


Pengajaran ayat 3-4

  1. Allah bukan sekadar menjaga yang besar-besar. Yang kecil-kecil juga Allah tahu dan Allah jaga. Allah mengetahui apa sahaja yang ada di dalam hati manusia.
  2. Orang beriman akan bertambah imannya apabila melihat bukti ciptaan Allah.
  3. Orang kafir akan berpaling dan mengabaikan ( مُعْرِضِينَ ) keterangan Allah kerana mengutamakan diri sendiri.
  4. Apabila kita lihat langit, laut dan dalam diri kita, hendaklah kita ingat Penciptanya dengan mengucapkan Alhamdulillah.
  5. Kalau kita beriman dengan Hari Pembalasan, hendaklah kita patuh kepada peraturan dan nilai dalam al-Quran kerana Allah Maha Mengetahui segala yang kita lakukan.


Ayat [6:5]


فَقَدْ كَذَّبُوا۟ بِٱلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُمْ ۖ فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ أَنۢبَـٰٓؤُا۟ مَا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

"Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana)."


Pengajaran

  1. Allah memberi ancaman kepada orang yang mendustakan al-Quran iaitu mereka akan ditimpa bala bencana.
  2. Orang kufur berpaling dan mendustakan ( كَذَّبُوا۟) apa yang diberitahu kepada mereka dan mereka mempermain-mainkannya. 
  3. Janganlah kita mempermain-mainkan apa yang terdapat dalam al-Quran dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW, khuatir kita akan ditimpa bencana oleh Allah SWT.


Ayat [6:6]


أَلَمْ يَرَوْا۟ كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍۢ مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ وَأَرْسَلْنَا ٱلسَّمَآءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًۭا وَجَعَلْنَا ٱلْأَنْهَـٰرَ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَـٰهُم بِذُنُوبِهِمْ وَأَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قَرْنًا ءَاخَرِينَ

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?"


Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh kita ambil iktibar daripada umat terdahulu yang sudah dihancurkan kerana dosa-dosa mereka. 
  2. Apabila sahabat menyampaikan ancaman ini kepada golongan elit Mekah (spt. Abu Jahal), mereka tidak puas hati dan terus melawan. Sebagai orang yang beriman kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, sahabat-sahabat tidak tarik diri, mereka meneruskan dakwah. 
  3. Keteguhan iman para sahabat mesti kita contohi. Iman tidak ada tolak ansur. Kalau kita bersalah, minta ampun. Kalau orang lain berdosa, kita kena tegur. Jika kita tidak menegur kesalahan, kesannya umat akan hancur. 
  4. Yahudi dan Nasrani adalah lambang orang yang ada kitab tapi tidak tegur, atau cuba tutup dan seleweng, akhirnya mereka hancur. Padahal merekalah orang yang mendapat risalah dan rasul ada bersama mereka.


Ayat [6:7]


وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتَـٰبًۭا فِى قِرْطَاسٍۢ فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ لَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌۭ مُّبِينٌۭ

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata".


Pengajaran

  1. Orang kufur mencabar Nabi SAW supaya Allah turunkan kitab yang ditulis atas kertas ( قِرْطَاسٍ ) supaya mereka boleh pegang.
  2. Allah SWT tahu sekiranya Dia turunkan kitab begitupun mereka akan memberi alasan lain dengan mengatakan  semua itu adalah sihir yang nyata.
  3. Masalah sebenarnya dengan orang kafir ialah mereka ada penyakit dalam hati. 


Ayat [6:8]


وَقَالُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌۭ ۖ وَلَوْ أَنزَلْنَا مَلَكًۭا لَّقُضِىَ ٱلْأَمْرُ ثُمَّ لَا يُنظَرُونَ

Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya?" padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).


Pengajaran

  1. Malaikat hanya turun kepada rasul untuk bawa wahyu. Kalau malaikat turun kepada umat manusia, petandanya membawa bala.  
  2. Orang kafir meminta yang pelik-pelik, sebenarnya mereka meminta azab daripada Allah SWT kerana tidak menghargai mukjizat dan anugerah daripada Allah SWT.
  3. Janganlah kita minta yang pelik-pelik daripada Allah SWT. Bersyukurlah atas segala nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.
  4. Segala kejadian alam adalah untuk kita menghargai Allah SWT. Kita kaji sains adalah untuk kita semakin menghargai keimanan. Kita makin sedar tentang pelbagai makhluk di luar kerangka kita adalah untuk kita makin dekat kepada Allah SWT dan memujinya bukan makin berpaling atau mendustakan atau mencabar kepada Allah SWT.


RESOLUSI 


Ingat !!

  1. Selalu puji Allah SWT untuk mengelakkan diri kita berlaku zalim [6:1]
  2. Buat persediaan untuk 2 ketentuan: kematian dan akhirat [6:2]
  3. Elakkan diri daripada mendustakan kebenaran yang datang kepada kita (al-Quran) [6:5]

Lega kerana Allah SWT beri peluang untuk buat persediaan menghadapi ajal.

Saya jelas untuk selalu puji Allah SWT agar dapat mengelakkan diri daripada berlaku zalim. Saya mesti buat persediaan untuk menghadapi ajal dan saya mesti elakkan diri daripada mendustakan al-Quran.

Ya Allah, ingatkan kami untuk selalu memujiMu. Elakkan kami daripada berlaku zalim. Ya Allah, bimbing kami untuk buat persediaan menghadapi ajal. Ya Allah, matikan kami dalam husnul khatimah dan masukkan kami ke dalam syurga Firdaus tanpa hisab. Ya Allah, pimpin kami untuk mengelakkan diri daripada mendustakan kebenaran al-Quran. Ajar kami untuk memahami dan mengamal al-Quran.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 178

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...