Saturday, June 3, 2023

Halaman 129 : Al-An'am, 6:9-18

PERKATAAN HARI INI


 مَلَكَ  Memerintah. 
206 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS  

 

  1. Ragu itu masalah keimanan [9]
  2. Nasib akhir orang yang memperolok-olok dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT [10-11]
  3. Dalil-dalil lain mengenai pembuktian keesaan dan hari kebangkitan [12-16]
  4. Kekuasaan Allah SWT, kesaksian atas kebenaran nabi serta bantahan terhadap golongan musyrik[17-18]


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita bersyukur hari ini Allah memberi peluang kepada kita untuk berada di halaman kedua Surah al-An'am, surah tentang keimanan dan ketauhidan kepada Allah. Tema penting surah-surah Makkiyyah ialah ketauhidan, risalah, rasul dan keimanan dengan hari akhirat. Surah ini bercerita tentang nikmat Allah untuk memberi motivasi keimanan dan menguatkan jati diri. Allah banyak memperkenalkan tanda-tanda kebesaranNya dalam surah ini.


Ayat [6:9]


وَلَوْ جَعَلْنَـٰهُ مَلَكًۭا لَّجَعَلْنَـٰهُ رَجُلًۭا وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِم مَّا يَلْبِسُونَ

"Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w)."


Pengajaran

  1. Ayat ini menyambung cerita kedegilan orang musyrik tentang risalah Nabi SAW. Allah SWT beritahu, kalau malaikat diturunkan kepada kaum tertentu, itu tandanya bala akan diturunkan, seperti cerita kaum Lut.
  2. Jika diturunkan malaikat oleh Allah, mestilah ia menyerupai lelaki, berpakaian seperti lelaki kerana malaikat tidak ada lelaki atau perempuan, orang musyrik tetap tidak akan percaya. 
  3. Allah SWT beritahu kepada kita, orang kafir itu sentiasa dalam keraguan walaupun diturunkan malaikat kepada mereka kerana mereka ada penyakit hati.
  4. Janganlah kita ragu terhadap al-Quran dan rasul.


Ayat [6:10]


وَلَقَدِ ٱسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍۢ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِٱلَّذِينَ سَخِرُوا۟ مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

"Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu."


Pengajaran

  1. Allah SWT memujuk Nabi SAW bahawa rasul sebelumnya juga diperolok-olokkan. Orang musyrik suka mengejek-ejek ( سَخِرُوا۟ ) orang beriman.  
  2. Allah SWT peringatkan bahawa orang-orang yang suka menyindir kebenaran akan ditimpakan azab. Contohnya, jika ada yang bertanya, betul ke baca al-Quran boleh masuk ke syurga? Kita baca al-Quran, kita mendapat rahmah dariNya dan dengan itu diharapkan kita akan dapat menuju syurga.
  3. Janganlah kita mempermain-mainkan kebenaran agar tidak ditimpa azab.


Ayat [6:11]


قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ ٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu."


Pengajaran

  1. Orang Mekah kebanyakannya berjalan untuk berniaga. Allah menyuruh mereka lihat kesan orang yang telah diazab kerana mendustakan rasul. 
  2. Hendaklah kita perhati dan ambil pelajaran daripada kesan-kesan sejarah yang berlaku kepada orang yang mendustakan rasul apabila kita melancong. Contoh: Antioch di Turki berkait dengan cerita kaum yang mendustakan rasul dalam surah Yasin. 


Ayat [6:12]


قُل لِّمَن مَّا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ قُل لِّلَّهِ ۚ كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ ٱلرَّحْمَةَ ۚ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۚ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

"Bertanyalah (wahai muhammad): "Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?" Katakanlah: "(Semuanya itu) adalah milik Allah. Ia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya". Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dangan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman."


Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW bertanya kepada kaum musyrik, milik siapa alam ini? Allah juga menyuruh Nabi SAW katakan bahawa semuanya adalah milikNya. 
  2. Sebagai Pemilik alam ini, Allah SWT boleh buat apa saja. Kita yang dimiliki Allah janganlah pandai buat macam-macam yang melanggar peraturanNya.
  3. Allah SWT telah berjanji, sebagai tanda kemurahanNya, Dia akan melimpahkan rahmat kepada makhlukNya. 
  4. Hendaklah kita ingat bahawa keluarga kita, pemikiran kita, kejayaan kita, ilmu kita, semuanya milik Allah SWT maka kita kena bersedia untuk mengikut peraturan Allah. 
  5. Allah SWT memberi rahmahNya kepada semua makhluk termasuk kepada yang bukan Islam. 
  6. Allah SWT menegaskan bahawa Dia pasti akan menghimpunkan kita pada hari kiamat untuk memberi balasan atas apa yang kita lakukan semasa di dunia. Yang paling rugi ialah orang yang mendapat rahmah Allah SWT tetapi tetap tidak beriman kepada Allah SWT.


Ayat [6:13]


وَلَهُۥ مَا سَكَنَ فِى ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

"Dan bagi Allah jualah apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."


Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita bahawa Dia adalah Pemilik apa yang ada pada waktu malam dan siang. 
  2. Biasanya malam dikaitkan dengan gelap dan siang ada cahaya. Malam bagi orang beriman dan yang tidak beriman adalah berbeza. 
  3. Orang tidak beriman menggunakan malam untuk memperolok, menyindir dan berkomplot melawan Allah dan rasul. Namun, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.
  4. Orang yang beriman yakin bahawa malam adalah milik adalah Allah. Mereka mengisi malam untuk  berdoa, mengadu dan mengingati Allah kerana yakin Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
  5. Malam adalah masa untuk rehat. Siang adalah masa untuk mencari rezeki. Orang yang berfikir pasti akan sedar tentang malam dan siang adalah milik Allah, jadi tidak patut kita menggunakan ketenangan malam dan kelebihan siang untuk melawan Allah SWT. 


Ayat [6:14]


قُلْ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّۭا فَاطِرِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَهُوَ يُطْعِمُ وَلَا يُطْعَمُ ۗ قُلْ إِنِّىٓ أُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَسْلَمَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang diberi makan?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ' "


Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan kepada orang musyirik yang menyembah berhala, bahawa kewujudan dan kehidupan mereka itu adalah dengan kuasa Allah SWT yang menciptakan, mencantikkan, menyempurnakan hingga selesai dan terus membaiki ciptaanNya (فَاطِرِ).
  2. Allah SWT ingatkan juga yang Dialah yang memberi makan, namun Dia tidak perlu makan. Berhala yang disembah oleh orang musyrik tidak boleh memberi makan. Di zaman ini, manusia  memberhalakan manusia, teknologi, ideologi dll, sedangkan semua itu tidak boleh memberi kita makan pun. Kita mesti faham bahawa ekonomi dan rezeki kita milik Allah. Dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, kita mesti kembali mentauhidkan Allah SWT dan berdoa memohon rezeki daripadaNya.
  3. Janganlah kita mensyirikkan Allah SWT kerana Dia yang menjadikan kita, mencantikkan kejadian kita dan memberi rezeki kepada kita. 


Ayat [6:15]


قُلْ إِنِّىٓ أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّى عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ

Katakanlah: "Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat)".


Pengajaran

  1. Ayat-ayat dalam surah al-An'am ini banyak perkataan  قُلْ (katakanlah). Ini adalah untuk menguatkan jati diri kita. Keimanan ini perlu selalu diingatkan kepada diri kita dan kepada orang lain. Contoh: Kita mudah lupa siang dan malam milik Allah SWT. Lupa bahawa Allah SWT pernah turunkan azab kepada orang terdahulu kerana mereka mensyirikkan Allah.
  2. Ini adalah mesej tauhid yang membawa kepada risalah Nabi SAW. Allah ingatkan kepada Nabi SAW untuk takut derhaka kepada Allah. Ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi SAW adalah rasul iaitu wakil Allah SWT. Nabi SAW juga tetap kena taat dan tidak boleh derhaka kepada Allah SWT.  
  3. Kita mesti jelas bahawa keimanan kepada Nabi bermakna kita yakin bahawa Nabi diutus oleh Allah SWT untuk membawa risalah tauhid.


Ayat [6:16]


مَّن يُصْرَفْ عَنْهُ يَوْمَئِذٍۢ فَقَدْ رَحِمَهُۥ ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْمُبِينُ

"Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata."


Pengajaran

  1. Orang yang menghargai rahmat Allah di dunia, akan diberi rahmatNya hingga ke syurga.
  2. Kejayaan/kemenangan yang sebenarnya ialah apabila kita berjaya dijauhkan daripada azab pada hari akhirat dan dapat masuk syurga dengan rahmat Allah SWT.


Ayat [6:17]


مَّن يُصْرَفْ عَنْهُ يَوْمَئِذٍۢ فَقَدْ رَحِمَهُۥ ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْمُبِينُ

"Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."


Ayat [6:18]


وَهُوَ ٱلْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْخَبِيرُ

"Dan Dia lah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya."


Pengajaran ayat 17-18

  1. Allah SWT ingatkan kita bahawa Dialah yang dominan. Hanya Allah sahaja boleh menimpakan bencana dan mengapuskannya. Hanya Allah boleh mendatangkan kebaikan kepada kita. Contoh: Allah tahu apa yang akan berlaku di tahun 2021 dan tahu situasi kita sekarang. Tiada siapa yang dapat menghalang. 
  2. Allah Maha Berkuasa atas hamba-hambaNya. Dialah yang mentadbir dan menentukan takdir kita.
  3. Kita mesti ingat bahawa semua yang berlaku dalam hidup kita ada kebaikannya kerana Allah Maha Bijaksana lagai Maha Mengetahui.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Yakin dengan rasul yang ditentukan Allah SWT [6:9]
  2. Jangan memperolokkan risalah dan Rasul agar tidak diazab [6:10]
  3. Selalu berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan azab [6:16]

Lega kerana Allah SWT akan jauhkan saya dari azab sekiranya saya selalu berdoa.

Saya jelas untuk yakin dengan rasul yang ditentukan Allah SWT. Saya jelas untuk tidak memperolokkan risalah dan Rasul agar tidak diazab. Saya mesti berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan azab.

Allahumma Rabbana, kurniakan kami keyakinan yang tinggi terhadap rasul. Jauhi kami dari memperolokkan risalah dan rasul agar kami dijauhkan daripada azab. Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 179  

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...