PERKATAAN HARI INI
160 kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Kesaksian Allah SWT dan pentingnya al-Quran (19)
- Pengetahuan ahli kitab mengenai nabi, pendustaan mereka terhadap Allah SWT dan pengingkaran orang musyrik kepada akhirat (20-24)
- Antara sikap angkuh orang musyrik terhadap al-Quran (25-26)
- Keadaan orang musyrik di hadapan neraka atau cara mereka dibinasakan (27)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pengajian sebagai sumber hidayah yang kita mohon setiap hari dalam al-Fatihah, "Tunjukilah kami jalan yang lurus". Semoga kita dapat membuat perubahan yang membawa masyarakat dekat kepada al-Quran.
Ayat [6:19]
قُلْ أَىُّ شَىْءٍ أَكْبَرُ شَهَـٰدَةًۭ ۖ قُلِ ٱللَّهُ ۖ شَهِيدٌۢ بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ ۚ وَأُوحِىَ إِلَىَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانُ لِأُنذِرَكُم بِهِۦ وَمَنۢ بَلَغَ ۚ أَئِنَّكُمْ لَتَشْهَدُونَ أَنَّ مَعَ ٱللَّهِ ءَالِهَةً أُخْرَىٰ ۚ قُل لَّآ أَشْهَدُ ۚ قُلْ إِنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ وَإِنَّنِى بَرِىٓءٌۭ مِّمَّا تُشْرِكُونَ
Bertanyalah (wahai Muhammad): "Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?" (Bagi menjawabnya) katakanlah: "Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan kepadaku al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan al-Quran itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama Allah?" Katakanlah: "Aku tidak mengakuinya". Katakanlah lagi: "Hanyasanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)".
Pengajaran
- Orang Musyrik mempersoalkan mesej yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan mempersoalkan kerasulan baginda SAW. Mereka tanya "kalau betul, siapa saksi?". Kalau tauhid kita goyah, kita tidak tahu apa nak jawab. Allah SWT ajar kepada kita, apabila seseorang mempersoalkan tentang kebenaran apa yang kita bawa, katakanlah, قُلِ ٱللَّهُ. Syahadah yang menyaksikan kebenaran ini ialah Allah SWT. Testimoni manusia tidak boleh dipegang kerana manusia mungkin berubah. Testimoni Allahlah yang menjadi saksi. Allah yang menciptakan segala-galanya lebih real untuk menjadi saksi agar Nabi SAW tetap kuat semangat.
- Peranan al-Quran; memberi peringatan, membetulkan balik apa yang tidak betul. Makin kita baca al-Quran, al-Quran akan membetulkan mana-mana kekurangan dalam diri dan keluarga kita. Ini ialah surah Makkiyyah yang banyak memberi 'unzir' peringatan.
- Al-Quran ialah risalah yang penting. Kita juga mesti menjadi penyampai al-Quran ikut kemampuan masing-masing. Al-Quran akan memberi kesan kepada orang-orang yang al-Quran sampai kepadanya.
- Nabi SAW menyatakan bahawa Tuhan itu Esa dan baginda berpisah daripada apa yang mereka sekutukan dengan Allah. Makin kita bersama al-Quran, kita makin mengEsakan Allah. Makin kita bersama al-Quran makin kita mentauhidkan Allah. Makin bersama al-Quran, kesannya ahli keluarga kita akan jauh daripada punca syirik.
- Syirik menjadi tema dalam surah al-An'am. Syirik ini disebut sebagai 'zulmun azim - kezaliman yang amat besar' dalam surah Luqman.
- Syahadah/kesaksian daripada Allah itu penting kerana kita tidak mahu jadi syok sendiri. Hendaklah kita kembali beramal dengan al-Quran bagi mewujudkan kepuasan di dunia dan di akhirat. Semoga kita terus ada syahadah yang betul-betul daripada Allah SWT apabila kita selalu tilawah al-Quran.
Ayat [6:20]
ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَعْرِفُونَهُۥ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَآءَهُمُ ۘ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.
Pengajaran
- Allah beritahu kepada Musyrik bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani sangat kenal dengan Nabi Muhammad SAW kerana sudah diberitahu dalam kitab mereka. Mereka merugikan diri sendiri kerana mereka tidak beriman.
- Bagi kita yang diberikan al-Quran ini, kalau kita tidak beriman kepada al-Quran sepanjang hayat, kita juga termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.
Ayat [6:21]
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِهِۦٓ ۗ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.
Pengajaran
- Kezaliman yang paling besar ialah syirik kepada Allah SWT. Dalam diri kita kalau ada syirik khafi (tersembunyi) atau jali (jelas) adalah kerana mendustakan atas nama Allah.
- Hendaklah kita berjaga-jaga apa yang kita cakap atau buat. Pastikan ada sumber daripada al-Quran. Contoh: Kalau nak tarik rezeki kena baca macam-macam yang tidak ada sumber al-Quran dan al-Sunnah, campur air itu ini ialah perbuatan syirik.
- Janganlah kita mendustakan ayat-ayat Allah. Apabila nampak kebesaran Allah, nampak kehebatan al-Quran, pergi di luar nampak kehebatan matahari dan bulan. Ini semuanya tidak mungkin diciptakan oleh manusia tetapi masih lagi cakap bahawa sebenarnya Allah ini tidak perlu diberi perhatian atau tidak perlu disembah. Ini ialah sumber kezaliman.
- Allah SWT tegaskan bahawa orang zalim pasti tidak akan berjaya.
Ayat [6:22]
وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًۭا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوٓا۟ أَيْنَ شُرَكَآؤُكُمُ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: "Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?"
Ayat [6:23]
ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ وَٱللهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ ٢٣
Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: "Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
Pengajaran ayat 22-23
- Allah ingatkan kepada orang Musyrik (dan kepada kita juga) bahawa Dia akan himpunkan mereka semua pada hari kiamat. Mereka akan ditanya tentang benda-benda yang mereka sekutukan dengan Allah SWT.
- Bila sampai pada hari akhirat, mereka menafikan perbuatan syirik semasa di dunia, sedangkan semasa hidup, mereka mencampur-adukkan. Kadang-kadang mereka tidak sembah berhala tetapi sembah kepada tokoh. Tokoh ini cakap betul, tokoh itu cakap tidak betul.
- Jangan sampai kita mengidolakan manusia sampai kita mensyirikkannya kepada Allah SWT. Atau kita mensyirikkan hawa nafsu dengan memegang pendapat kita lebih daripada pendapat al-Quran.
- Cara mengelak ikut hawa nafsu adalah dengan kita selalu baca al-Quran. Lambat laun hawa nafsu kita akan tunduk kepada apa yang ada di dalam al-Quran.
- Fitnah maksudnya cara berfikir yang bohong, yang kompleks, yang menghalang daripada kebenaran tauhid.
Ayat [6:24]
ٱنظُرْ كَيْفَ كَذَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ ۚ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.
Pengajaran
- Ini ialah pembuktian daripada sejarah bagaimana orang yang mendustakan ayat-ayat Allah itu hancur. Yang tinggal hanyalah tanda-tanda kebejatan mereka.
- Orang yang mendustakan agama itu sebenarnya mereka mendustakan diri mereka sendiri, bukan mendustakan Allah. Allah tetap betul. Bila kita tengok kesan-kesan sejarah, terbukti betul, sebenarnya Nabi SAW memang betul, orang tipu memang hancur ( وَضَلَّ).
- Ayat ini ialah seruan daripada Allah SWT supaya kita berjalan di atas muka bumi untuk melihat kesan mereka yang mendustakan Allah.
- Bagi syarikat travel, kalau pergi ke mana-mana pastikan bawa pelanggan dengan perspektif al-Quran, barulah kita akan dapat tengok apa yang Allah seru dalam ayat ini. Contoh: Kalau bergambar di piramid, tidak sesuai senyum dan berlama-lama di situ. Hadis Nabi menyuruh kita tengok, ambil iktibar dan cepat-cepat tinggalkan tempat yang menjadi tanda kaum yang mensyirikkan Allah SWT.
Ayat [6:25]
وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ ۖ وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًۭا ۚ وَإِن يَرَوْا۟ كُلَّ ءَايَةٍۢ لَّا يُؤْمِنُوا۟ بِهَا ۚ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوكَ يُجَـٰدِلُونَكَ يَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ
Dan di antara mereka ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran), pada hal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak); dan kalaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: "Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu".
Pengajaran
- Allah membongkar bagaimana mereka boleh menjadi degil. Allah tutup hati dan telinga mereka kerana apabila mendengar kebesaran Allah mereka tidak mahu terima. Mereka tidak suka Nabi SAW kacau amalan syirik mereka.
- Orang yang kufur suka berdebat dan akhirnya mengatakan apa yang Nabi SAW bawa ialah rekaan semata-mata.
- Maka itulah sebabnya Allah suruh kita jalan dan tengok bukti-bukti kehancuran kaum yang berasa hebat dan mensyirikkan Allah. Semuanya menunjukkan kebenaran al-Quran dan ketauhidan Allah SWT.
Ayat [6:26]
وَهُمْ يَنْهَوْنَ عَنْهُ وَيَنْـَٔوْنَ عَنْهُ ۖ وَإِن يُهْلِكُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Dan mereka pula melarang orang ramai dari mendengar al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.
Pengajaran
- Mereka melarang orang ramai mendengar al-Quran dan mereka menjauhkan diri daripada al-Quran, padahal apa yang mereka buat itu membinasakan diri mereka sendiri.
- Pelajaran untuk kita: Kita kena dekatkan ahli keluarga kita dengan al-Quran. Kita sendiri juga kena dekatkan dengan al-Quran. Insya Allah diri kita tidak akan rosak. Kalau dulu teruk pun Allah akan bantu. Kalau kita tidak kempen anak dan ahli keluarga kita dekat dengan al-Quran, kesannya nanti ialah mereka merosakkan diri mereka sendiri.
Ayat [6:27]
وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ وُقِفُوا۟ عَلَى ٱلنَّارِ فَقَالُوا۟ يَـٰلَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman".
Pengajaran
- Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah akan menyesal apabila sampai di akhirat. Apabila melihat azab neraka, mereka minta dikembalikan ke dunia untuk menjadi orang-orang yang beriman. Namun kesal sudah tidak berguna.
- Semoga kita tidak menjadi orang yang mendustakan ayat-ayat Allah. Hendaklah kita jadi orang yang sentiasa bersama al-Quran; baca, faham dan amal.
RESOLUSI
Ingat !!
- Menjadi orang bijak dengan mengambil peringatan dan mengamalkan isi kandungan al-Quran (19)
- Menghayati dan mempelajari sifat dan karakter Nabi Muhammad SAW agar tumbuh rasa cinta kepadanya (20)
- Menjauhi kezaliman terbesar seperti mengabaikan ayat-ayat-Nya dan menyifatkan-Nya dengan sifat makhluk (21)
Lega kerana saya akan jadi orang bijak sekiranya saya mengambil peringatan dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
Saya jelas untuk mengambil peringatan dan mengamalkan isi kandungan al-Quran supaya saya jadi orang bijak. Saya mesti menghayati dan mempelajari sifat dan karakter Nabi Muhammad SAW agar tumbuh rasa cinta kepadanya. Saya jelas untuk menjauhi kezaliman terbesar seperti mengabaikan ayat-ayatNya dan menyifatkanNya dengan sifat makhluk.
Allahumma Rabbana, pimpin kami untuk menjadi orang bijak dengan mengambil peringatan dan mengamalkan isi kandungan al-Quran. Bantu kami untuk menghayati dan mempelajari sifat dan karakter Nabi Muhammad SAW agar tumbuh rasa cinta kepadanya. Ya Allah, jauhi kami daripada mengabaikan ayat-ayatMu dan menyifatkanMu dengan sifat makhluk agar kami tidak menjadi orang yang zalim.
Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 182