Saturday, June 3, 2023

Halaman 131 : Al-An'am, 6:28-35

PERKATAAN HARI INI


خَفِيَ  Menyembunyikan. 
34 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS

   

  1. Peluang untuk orang musyrik beriman dan keraguan mereka mengenai hari akhirat (28-29)
  2. Keadaan orang musyrik di hadapan Allah SWT di akhirat dan hakikat kehidupan di dunia (30-32)
  3. Kesedihan Nabi Muhammad SAW kerana kaumnya berpaling dan penjelasan mengenai pendustaan terhadap rasul terdahulu (33-35)


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita diizinkan oleh Allah SWT untuk terus melihat kata-kata Allah sebagai panduan untuk dijadikan ubat, hidayah dan rahmah kepada kita untuk bina iman bersama. Al-Fatihah tetap diulang-ulang baca untuk kita ulangkaji sinopsis al-Quran yang mengandungi pesanan akidah, ibadah dan sirath/jalan kehidupan. 

Kita mohon ditunjukkan jalan orang-orang yang diberi nikmat, bukan jalan orang-orang yang dimurkai atau jalan orang-orang yang sesat. Pada halaman 131 ini Allah menerangkan bagaimanakah ciri-ciri orang yang dimurkai atau disesatkan dan bagaimana perjuangan orang-orang yang mendapat nikmat.


Ayat [6:28]


بَلْ بَدَا لَهُم مَّا كَانُوا۟ يُخْفُونَ مِن قَبْلُ ۖ وَلَوْ رُدُّوا۟ لَعَادُوا۟ لِمَا نُهُوا۟ عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.


Pengajaran

  1. Pada ayat lepas kita berbincang bagaimana Allah mengatakan orang-orang yang kufur bila dihadapkan ke api neraka, mereka menyesal dengan mengatakan yang mereka akan jadi orang yang beriman. Sebenarnya bagi mereka telah nyata kejahatan yang mereka sembunyikan dahulu. Apa saja kejahatan yang mereka buat akan terbongkar. Peristiwa ini amat mengerikan. Kita lupa apa yang kita cakap, apa yang kita dah buat. 
  2. Allah menemplak bahawa sekiranya mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang melakukannya. Sesungguhnya mereka adalah pendusta.
  3. Hamka memberi komentar, bahawa jiwa kita ini perlu dilatih agar jangan berdusta dan jangan mendustakan kebenaran. Contoh: Kita tahu solat penting, tapi kita kata tak pa la kot. Ini mendustakan. Kalau kita kata solat tak penting, itu adalah pendustaan yangamat besar.


Ayat [6:29]


وَقَالُوٓا۟ إِنْ هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".


Pengajaran

  1. Orang yang berdusta dan mendustakan jadi begitu kerana mereka ingat kehidupan ini hanyalah di dunia sahaja. Itulah perspektif mereka. Tidak ada extention hingga ke akhirat. 
  2. Cara berfikir begini boleh juga menyerap ke dalam orang Islam yang mempersoalkan kehidupan selepas mati. 
  3. Percaya kepada hari akhirat memberi kita harapan untuk mendapat yang lebih baik selepas kita mati. Umpama kita berharap di hujung bulan dapat gaji, di hujung tahun ada bonus. Itulah kepentingan harapan. Bila harapan hujung bulan pun meningkatkan motivasi kita, apatah lagi jika kita percaya yang kita akan dibangkitkan semula untuk menikmati bonus sepanjang hidup di akhirat dengan hanya kita bekerja selama beberapa tahun di dunia.


Ayat [6:30]


وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ وُقِفُوا۟ عَلَىٰ رَبِّهِمْ ۚ قَالَ أَلَيْسَ هَـٰذَا بِٱلْحَقِّ ۚ قَالُوا۟ بَلَىٰ وَرَبِّنَا ۚ قَالَ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".


Pengajaran

  1. Ketika dihadapkan kepada Tuhan nanti barulah orang kufur mengaku kebenaran hari kiamat. Pengakuan itu tidak bermakna lagi kerana mereka akan menerima azab sebab kekufuran mereka. 
  2. Tanda kufur ialah tidak membuat persediaan untuk berhadapan dengan Allah SWT. Contoh di dunia: Kita membuat persediaan untuk bercuti selepas habis PKP kerana merasa adanya harapan. Nak bercuti di dunia pun kita buat persediaan, apatah lagi mahu bercuti di syurga, mesti ada persediaan yang lebih mantap.


Ayat [6:31]


قَدْ خَسِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِلِقَآءِ ٱللَّهِ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَتْهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغْتَةًۭ قَالُوا۟ يَـٰحَسْرَتَنَا عَلَىٰ مَا فَرَّطْنَا فِيهَا وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَهُمْ عَلَىٰ ظُهُورِهِمْ ۚ أَلَا سَآءَ مَا يَزِرُونَ

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.


Pengajaran

  1. Allah menawarkan kita 'cuti-cuti di syurga'. Namun ada orang yang tidak percaya cuti di syurga itu ada.
  2. Jika kita tidak buat persediaan, bila sampai saat mati dan saat kiamat, maka rugi dan menyesallah kita kerana lalai buat persediaan. 
  3. Sampai di akhirat nanti, orang yang tidak bersedia akan memikul dosa-dosa di atas belakang mereka. Apa yang mereka kerja bersusah payah semasa hidup hanyalah sampah, hancing dan makanan basi yang tidak berguna kerana mereka buat persediaan di dunia sahaja.
  4. Kata ulamak, bila kita sudah meninggal itulah permulaan kiamat kita, walaupun itu bukan kiamat yang sebenar-benarnya.
  5. Hendaklah kita terus beristighfar. Kita harap beg yang dibawa ke akhirat nanti, tersembunyi di dalamnya amalan yang baik-baik seperti banyak baca al-Quran dan solat malam. Semoga dengan al-Quran ini Allah pimpin kita membawa kehidupan takwa.


Ayat [6:32]


وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ ۖ وَلَلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?


Pengajaran

  1. Allah SWT memberitahu, hakikat tentang dunia adalah main-main ( لَعِبٌۭ ) dan senda gurau yang melalaikan ( لَهْوٌۭ ). 
  2. Allah SWT cakap begitu kerana Allah hendak memberi perspektif kepada kita bahawa akhirat itulah yang lebih baik bagi orang yang bertakwa (orang yang mengharapkan bantuan daripada Allah). Contoh: Kalau orang yang ada harapan untuk tahun 2021, berbanding dengan dia hidup hanya harap hari ini sahaja. Kalau rasa hari ini saja ada hidup, dia akan stres. Kalau dia rasa, insya Allah 2021 lebih bahagia, ada vaksin, ada peluang ekonomi makin baik, peluang untuk pergi bercuti. Bila ada harapan begitu, ia menyebabkan kita lebih terelak daripada berbagai cabaran. 
  3. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya. Orang yang nak pergi ke akhirat, mesti bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk ke sana.


Ayat [6:33]


قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُۥ لَيَحْزُنُكَ ٱلَّذِى يَقُولُونَ ۖ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَـٰكِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ يَجْحَدُونَ

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).


Pengajaran

  1. Allah menegaskan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Dia mengetahui yang Nabi SAW berdukacita dengan apa yang dikatakan oleh orang-orang kafir. Orang musyrik, selalu bercakap perkataan-perkataan yang mengecewakan hati Nabi SAW. 
  2. Allah memujuk Nabi SAW yang mereka itu, sebenarnya bukan hanya mendustakan Nabi SAW tetapi menunjukkan sikap mereka sendiri. 
  3. Hendaklah kita berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata. Jangan mudah nak mendustakan orang. 
  4. Jika kita ajak orang ke arah kebaikan kadang-kadang ada orang kutuk. Kalau kita ada rasa sedih, contoh ajak anak atau kawan-kawan. Ingatlah yang mereka itu bukan mendustakan kita, tetapi mereka itu engkar kepada ayat-ayat Allah.
  5. Orang yang suka mendustakan orang lain (yang cakap suka kutuk) sebenarnya itu adalah orang yang kurang beriman.
  6. Orang beriman, jangan tuduh orang lain menipu kerana itu adalah perkataan yang banyak dikeluarkan oleh orang Musyrik Mekah. 


Ayat [6:34]


وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌۭ مِّن قَبْلِكَ فَصَبَرُوا۟ عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا۟ وَأُوذُوا۟ حَتَّىٰٓ أَتَىٰهُمْ نَصْرُنَا ۚ وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِ ٱللَّهِ ۚ وَلَقَدْ جَآءَكَ مِن نَّبَإِى۟ ٱلْمُرْسَلِينَ

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.


Pengajaran

  1. Allah pujuk lagi kepada Nabi SAW. Allah beritahu yang nabi-nabi terdahulu juga telah didusta dan dianiaya. Namun mereka tetap sabar sehingga datang pertolongan Allah. 
  2. Itu adalah sunnah dalam perjuangan. Apabila kita mengajak orang buat baik, pasti ada orang yang tidak suka dengan apa yang kita lakukan/katakan.
  3. Berita tentang ujian dan pertolongan Allah kepada rasul terdahulu adalah berita besar. Kisah-kisah lain, dalam berita di televisyen yang kita dengar hanyalah berita-berita kecil.
  4. Hendaklah kita banyak baca cerita-cerita nabi agar ia dapat menguatkan kesabaran hati kita ketika berhadapan dengan cabaran.


Ayat [6:35]


وَإِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ إِعْرَاضُهُمْ فَإِنِ ٱسْتَطَعْتَ أَن تَبْتَغِىَ نَفَقًۭا فِى ٱلْأَرْضِ أَوْ سُلَّمًۭا فِى ٱلسَّمَآءِ فَتَأْتِيَهُم بِـَٔايَةٍۢ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَمَعَهُمْ عَلَى ٱلْهُدَىٰ ۚ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ

Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.


Pengajaran

  1. Allah ingatkan ayat ini kepada orang yang menyampaikan kebenaran khususnya kepada Nabi SAW dan kepada kita juga. Ini adalah nasihat-nasihat bagi pejuang-pejuang yang membawa mesej ketauhidan kepada Allah SWT.  
  2. Allah memberi nasihat kepada seorang hamba (rasul) supaya bersabar bila diuji, jangan ikut emosi. 
  3. Kalau kita berhadapan dengan orang yang beremosi jangan lawan, kita juga boleh jadi emosi. Jangan react dengan orang yang jahil.  


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Buat yang terbaik pada peluang pertama yang diberikan kepada kita (28)
  2. Berfikir betul-betul akan kehadiran hari akhirat dan buat persediaan yang secukupnya untuk menghadapinya (30)
  3. Selalu berfikir terlebih dahulu akan kesan yang diperolehi hasil daripada tindakan/keputusan (32)

Lega kerana perbuatan baik yang saya lakukan di dunia akan menjadi bekalan di akhirat nanti.

Saya jelas untuk buat yang terbaik semasa hidup. Saya mesti fikir betul-betul akan kehadiran hari akhirat dan buat persediaan yang secukupnya untuk menghadapinya. Saya jelas untuk berfikir terlebih dahulu akan kesan yang diperolehi hasil daripada tindakan/keputusan yang saya buat.

Allahumma Rabbana, pimpin kami untuk buat yang terbaik semasa hayat kami di dunia. Ya Allah, bantu kami untuk buat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi hari akhirat. Jadikan kami orang yang selalu berfikir terlebih dahulu akan kesan daripada tindakan atau keputusan kami.

Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 183  

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...