PERKATAAN HARI INI
104 kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Penolakan orang musyrik terhadap dakwah Nabi Muhammad SAW dan permintaan mereka agar baginda menurunkan mukjizat (36-37)
- Kesempurnaan ilmu dan kuasa Allah SWT serta tidak ada kelalaian dalam al-Quran (38-39)
- Tempat mengadu hanya kepada Allah SWT pada saat ditimpa kesulitan (40-44)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita berada pada halaman 132. Semoga ceria gembira bersama al-Quran. Bacaan al-Fatihah adalah bacaan wajib dalam solat. Kita ulangkaji bacaan dan kefahamannya untuk mengingatkan bahawa kita ini adalah hamba yang hanya menghambakan diri khusus kepada Allah SWT.
Dengan jiwa kehambaan itu kita rasa kurang. Kalau Allah bagi kita cabaran dan ujian, kita mengadu kepada Allah lantaran Allah sahajalah yang dapat membantu kita. Kita minta tolong orang manapun akhirnya yang menentukan bantuan diberikan adalah daripada Allah SWT. Kita bergantung kepada yang lebih tinggi itu lebih bijak berbanding dengan kita bergantung dengan sesama kita yang lemah. Kalau Allah tidak tentukan kita mendapat bantuan daripada orang tersebut, akhirnya kita akan kecewa dalam kehidupan.
Pada halaman lepas kita diingatkan oleh Allah SWT bagaimana nabi sebagai seorang rasul hendaklah terus menyampaikan. Jangan terlalu reactive/sedih dengan apa yang didegilkan oleh orang lain. Bila ada mukjizat yang disampaikan, Allah ada pengaturannya yang tersendiri. Kalau nabi nak sangat memberi hidayah, carilah mukjizat sendiri.
Pengajarannya: Kita nak sangat orang berubah, tetapi kita kena ingat, perubahan dan kefahaman bukan milik kita. Ia adalah milik Allah SWT. Kita sebagai wasilah untuk menyampaikan dan semoga Allah terima amal kita dan Allah izinkan kita untuk mendapat taufiq iaitu kejayaan untuk memahami dan mengamalkan isi daripada al-Quran.
Ayat [6:36]
إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ ٱلَّذِينَ يَسْمَعُونَ ۘ وَٱلْمَوْتَىٰ يَبْعَثُهُمُ ٱللَّهُ ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.
Pengajaran
- Allah memberikan hakikat 2 kategori manusia: a) mereka mendengar dan mereka jawab atau melaksanakan seruan, b) orang yang hati mereka mati/dengar tapi buat-buat tak dengar ( ٱلْمَوْتَىٰ ).
- Bila kita kembali kepada Allah, maksudnya Allah akan menentukan samada berbaloi atau tidak, apakah hukuman, apakah ganjaran kepada yang dengar dengan yang degil.
- Allah nak beritahu kepada kita, ketika kita menyampaikan kita tidak dapat kawal orang itu menjawab atau dia jadi ٱلْمَوْتَىٰ. Orang itu yang bertanggungjawab, yang menyampaikan hendaklah teruskan menyampai. Hidayah untuk menjawab, untuk memahami itu semuanya bukan milik kita. Yang pentingnya kena sedar bahawa kedua-duanya akan kembali kepada Allah dan dipersoalkan.
- Tanda kita betul-betul taat ialah kita menjawab dengan merujuk kepada al-Quran.
Ayat [6:37]
وَقَالُوا۟ لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ قُلْ إِنَّ ٱللَّهَ قَادِرٌ عَلَىٰٓ أَن يُنَزِّلَ ءَايَةًۭ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata: "Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat", akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman).
Pengajaran
- Allah mengambil perkataan orang-orang Musyrik yang meminta mukjizat lain yang khas untuk mereka. Bagi mereka al-Quran tidak cukup. Bani Israel dan Hawariyyun pun ada minta.
- Nabi diajar, katakan "Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat." Mereka tidak tahu apa yang mereka minta. Mereka minta bukan kerana hendak mendekatkan diri kepada Allah. Mereka nak jauh daripada Allah, nak memperolok-olokkan nabi.
- Dalam hidup kita, jangan pula kita kata, "Ya Allah, aku nak beriman, tapi boleh tak tunjukkan satu bukti, tiba-tiba ada orang derma satu juta." Janganlah kita minta benda pelik-pelik baru nak beriman kepada Allah SWT.
- Sebenarnya mereka mencabar tuhan. Bila bercakap tentang mencabar tuhan ini, sebab Allah ini al-Qadir, Allah Berkuasa. Allah dah bagi macam-macam. Dah bagi oksigen, bagi makan minum, darah kita mengalir, badan semua sihat. Hendaklah kita elakkan minta lebih-lebih. Kerana orang yang beriman, dia dah beriman sebelum datang mukjizat. Mukjizat itu untuk menguatkan lagi keimanan dan ketakwaan seperti Hawariyyun.
Ayat [6:38]
وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا طَـٰٓئِرٍۢ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَـٰبِ مِن شَىْءٍۢ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
Pengajaran
- Allah suruh kita perhatikan betul-betul ayat-ayat Allah disekeliling kita. Tak payah la minta-minta yang baru. Itu tandanya kita kena bersedia untuk dihukum bila tidak mencapai standard.
- Semua binatang, burung dan semua yang terbang yang ada disekeliling kita adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Semuanya terurus dengan sempurna. Allah tidak pernah tinggalkan. Janganlah kita bimbang dengan rezeki daripada Allah.
- Kita semua akan dikumpulkan di akhirat. Yang penting kita kena buat persediaan.
Ayat [6:39]
وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا صُمٌّۭ وَبُكْمٌۭ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ ۗ مَن يَشَإِ ٱللَّهُ يُضْلِلْهُ وَمَن يَشَأْ يَجْعَلْهُ عَلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.
Pengajaran
- Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat tuhan, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam kegelapan. Punca kegelapan ialah kerana mendustakan kebenaran ayat-ayat Allah dan tidak menggunakan telinga yang Allah beri itu untuk mendapatkan maklumat yang betul untuk kembali kepada Allah SWT. Dengar al-Quran dapat nur, lawannya kegelapan.
- Sesiapa yang Allah kehendaki; akan disesatkan atau berada atas jalan lurus bergantung kepada pilihannya. Kalau ada ayat Allah yang didustakan atau tidak mahu ikut, itu tandanya orang itu menjemput kesesatan. Kalau kita berusaha, Allah memberi kita pilihan dan Dia akan beri kita jalan yang lurus.
- Kita mesti ada kefahaman yang betul bahawa Allah memberi pilihan kepada kita untuk memilih jalan betul atau jalan sesat.
Ayat [6:40]
قُلْ أَرَءَيْتَكُمْ إِنْ أَتَىٰكُمْ عَذَابُ ٱللَّهِ أَوْ أَتَتْكُمُ ٱلسَّاعَةُ أَغَيْرَ ٱللَّهِ تَدْعُونَ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?"
Pengajaran
- Ini adalah hujah kepada orang-orang yang meminta kepada selain daripada Allah bila berlaku saat kematian seorang atau hari kiamat. Ada ulamak mengatakan bila seseorang itu meninggal bermulalah kiamatnya. Tak akan patah balik ke dunia. Dia akan pergi ke alam barzah. Kalau dia orang yang berbuat baik, dia kembali kepada Allah SWT.
- Semoga kita akan dibukakan pintu yang kita nampak kepada syurga Allah SWT di alam kubur. Kita minta dijauhkan daripada menjadi orang yang dia akan nampak preview kepada azab di neraka Allah SWT. Nauzubillahi minzalik.
Ayat [6:41]
بَلْ إِيَّاهُ تَدْعُونَ فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِن شَآءَ وَتَنسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ
Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).
Pengajaran
- Pada saat kematian/kiamat, orang yang mendustakan ayat-ayat Allah akan menyeru untuk dihapuskan bahaya dan lupakan apa yang disyirikkan semasa hidup. Allah boleh sahaja nak menghilangkan bahaya bila kita berdoa. Pada waktu itu akan lupalah kita kepada apa yang disyirikkan.
- Allah bagi pilihan kita nak mendustakan atau membenarkan. Bila dengar mesej al-Quran, kita respond, ambil tindakan dan berdoa. Kalau ayat tentang orang baik, kita minta supaya jadikan kita seperti mereka. Kalau tak baik minta dijauhkan. Perkataan-perkataan itu penting untuk memastikan kita ini betul-betul membenarkan. Itulah pentingnya kita baca dan faham agar kita boleh ambil tindakan yang sepatutnya, bukan sekadar baca untuk khatam tanpa faham apa yang dibaca.
- Al-Quran bukan sekadar untuk dikhatamkan tetapi untuk diambil hidayahnya.
Ayat [6:42]
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٍۢ مِّن قَبْلِكَ فَأَخَذْنَـٰهُم بِٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).
Pengajaran
- Allah beritahu yang Dia telah utuskan rasul-rasul kepada umat terdahulu tetapi mereka mendustakannya, maka Allah seksa mereka dengan kebuluran dan penyakit supaya mereka berdoa dengan merendah diri serta insaf dan bertaubat.
- Allah berikan mudarat seperti COVID19, cabaran-cabaran dalam keluarga atau bisnes tujuannya supaya emosi kita tunduk ( يَتَضَرَّعُونَ ) kepada Allah SWT. Allah hendak agar kita tunduk kepadaNya dan tidak terus mendustakan ayat-ayat Quran.
- Dalam keadaan cabaran sekarang hendaklah kita tunduk kepada Allah, rasakan diri sebagai hamba yang lemah, dan berdoa kepadaNya.
Ayat [6:43]
فَلَوْلَآ إِذْ جَآءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا۟ وَلَـٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
Pengajaran
- Kumpulan yang kedua tidak mahu kembali kepada Allah kerana; a) hati mereka keras, tak nak baca Quran, tak nak solat, tak nak istighfar. Semua tak nak. Mereka kata ini hanyalah fenomena alam. Padahal Allah hendakkan mereka kembali tunduk kepadaNya, b) syaitan memperelokkan pada pandangan mereka apa yang mereka lakukan.
- Semoga kita tidak menjadi seperti kumpulan ini yang terus mendustakan ayat-ayat Allah walaupun telah diseksa dengan mudarat.
- Bila ditimpa mudarat, hendaklah kita istighfar dan kembali kepada al-Quran.
Ayat [6:44]
فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَٰبَ كُلِّ شَىْءٍ حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُوا۟ بِمَآ أُوتُوٓا۟ أَخَذْنَـٰهُم بَغْتَةًۭ فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
Pengajaran
- Dosa-dosa akan menyebabkan kita melupakan peringatan yang telah diberikan.
- Kepada orang yang melupakan peringatan, Allah bukakan pintu-pintu kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan nikmat yang diberikan kepada mereka, Allah akan timpakan dengan bala bencana yang membinasakan dengan tiba-tiba, maka mereka terdiam berputus asa.
- Semoga kita tidak hanyut dalam dosa sehingga melupakan peringatan daripada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat !!
- Dengar dan patuh dalam apa yang baik (36)
- Manfaatkan deria dengar, lihat dengan mata hati untuk berada di jalan lurus (39)
- Jaga hati dari menjadi keras dengan cara sentiasa merendah diri (43)
Lega kerana saya akan berada di jalan lurus sekiranya saya manfaatkan deria dengar dan lihat dengan mata hati.
Saya jelas untuk dengar dan patuh dalam apa yang baik. Saya mesti manfaatkan deria dengar dan lihat dengan mata hati agar dapat berada di jalan lurus. Saya juga jelas untuk merendah diri agar dapat jaga hati dari menjadi keras.
Allahumma Rabbana, bimbing kami untuk dengar dan patuh dalam apa yang baik. Ya Allah, bantu kami untuk manfaatkan deria dengar dan lihat dengan mata hati agar dapat berada di jalan lurus. Ya Allah, jadikan kami orang yang merendah diri agar dapat jaga hati dari menjadi keras.
Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 184