Saturday, June 3, 2023

Halaman 133 : Al-An'am, 6:45-52

PERKATAAN HARI INI


قَطَعَ  Memotong. 
36 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS

   

  1. Orang zalim akan musnah (45)
  2. Antara kekuasaan dan keesaan Allah SWT serta misi utama risalah para rasul (46-49)
  3. Ilmu Nabi Muhammad SAW bersumberkan wahyu dan tugasnya adalah memberikan peringatan serta tidak mengusir orang yang lemah (50-52)


Mukaddimah

Alhamdulillah kita dapat menyambung pengajian di halaman 133. 


Ayat [6:45]


فَقُطِعَ دَابِرُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ۚ وَٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam".


Pengajaran

  1. Pada halaman lepas, kita telah melihat ayat tentang orang yang lupa kepada peringatan daripada al-Quran. Di zaman dahulu, Nabi SAW yang menyampaikan Al-Quran. Pada zaman ini apabila kita membaca al-Quran, kita mendengar ceramah dan nasihat-nasihat yang berteraskan al-Quran, kesannya Allah akan buka pintu-pintu sehingga orang yang mendustakan ayat-ayatNya, akan mendapat kemewahan dan kegembiraan yang melampau-lampau. Kemudian, mereka akan di azab secara tiba-tiba.  
  2. Allah beri manusia ujian dalam bentuk gempa bumi, tsunami dan pelbagai. Allah membezakan orang yang mendustakan dan orang yang beriman. Orang zalim dimusnahkan sampai ke akar umbinya. Orang-orang zalim dimusnahkan, dipotong-potong (قُطِعَ) sampai hancur. 
  3. Kita bersyukur kalau kita masih lagi beriman. Walaupun dalam tsunami tapi kalau meninggal,  ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ  orang beriman akan dapat mati syahid. 
  4. Allah janji bahawa orang zalim akan dihancurkan. Allah beri peluang. Kalau dah sampai peringatan tetapi masih melampau-lampau, dan mereka mengenakan orang yang beri peringatan, maka akhirnya Allah yang uruskan mereka. 
  5. Peranan kita adalah untuk mengingatkan. Kita jangan jadi orang yang zalim. 
  6. Orang zalim dan syirik tidak pernah aman. Walaupun nampak relax tapi sebenarnya mereka tidak aman kerana hati mereka dipotong-potong oleh Allah SWT.


Ayat [6:46]


قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِنْ أَخَذَ ٱللَّهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصَـٰرَكُمْ وَخَتَمَ عَلَىٰ قُلُوبِكُم مَّنْ إِلَـٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ يَأْتِيكُم بِهِ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.


Pengajaran

  1. Allah memberi amaran, jika Dia ambil mata, telinga dan menutup hati kita, tak akan ada tuhan lain yang dapat mengembalikannya. 
  2. Orang syirik mendapat mata, telinga dan perasaan daripada Allah tetapi mereka mengadakan tuhan yang lain selain Allah. 
  3. Kita mendapat rahmat semuanya daripada Allah SWT. Mata dan telinga Allah beri, Allah tak pernah berkira-kira, maka janganlah berkira-kira untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT.
  4. Allah bawakan tanda-tanda kebesaranNya supaya kita dapat menghargai dan jangan jadi orang yang ingkar.  
  5. Bila kita terjumpa orang yang susah sangat nak baca al-Quran, cuba bertanya kepada mereka, mata mereka siapa yang beri? Juga bila kita malas membaca al-Quran, tanya pada diri kita sendiri. Allah tidak pernah berkira-kira memberi nikmat, maka kita janganlah berkira-kira dengan Allah.


Ayat [6:47]


قُلْ أَرَءَيْتَكُمْ إِنْ أَتَىٰكُمْ عَذَابُ ٱللَّهِ بَغْتَةً أَوْ جَهْرَةً هَلْ يُهْلَكُ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Katakanlah: "Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?".


Pengajaran

  1. Manusia sentiasa lupa dan perlu diingatkan. Surah Makkiyah bertujuan untuk memperkuatkan iman dan juga memperjuangkan iman. 
  2. Allah SWT turunkan azab dengan tiba-tiba ( بَغْتَةً ) untuk menghancurkan orang yang zalim. 
  3. Jika ada orang beriman yang akhir hidupnya dengan Laillahaillallah dalam peristiwa yang sama seperti  gempa bumi dan Covid 19, mereka mati syahid. Orang beriman dijemput oleh Allah SWT. 


Ayat [6:48]


وَمَا نُرْسِلُ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۖ فَمَنْ ءَامَنَ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan bersedih hati. 


Pengajaran

  1. Allah utuskan rasul untuk; a) Memberi khabar gembira yang menyebabkan kita semakin beriman kepada Allah (ada syurga dan neraka), b) Memberi amaran/peringatan tentang apa yang kita perlu  buat atau utamakan.  
  2. Kesan peringatan, seseorang itu akan baiki dirinya. Bila orang tegur dan beri peringatan, hati memang rasa sedikit sakit tetapi kalau ada iman, biarlah sakit tetapi kerana iman kita terus baiki diri. Orang yang ada masalah iman, mereka tidak suka ditegur. Mereka akan sakit hati dan balas kepada orang yang menegur. 
  3. Beriman dan membaiki diri adalah untuk mengubat 2 penyakit iaitu; a) bimbang (خَوْفٌ) - perkara yang belum berlaku, b) sedih (حزَنُ)- perkara yang telah berlaku. 
  4. Orang yang beriman dan beramal soleh tidak ada kebimbangan dan tidak bersedih hati. Mereka tidak ada sakit jiwa dan stres yang melampau-lampau.


Ayat [6:49]


وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَمَسُّهُمُ ٱلْعَذَابُ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.


Pengajaran

  1. Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah akan dikenakan azab kerana mereka derhaka kepada Allah. 
  2. Hendaklah kita kuatkan iman dengan membaca al-Quran. Kita baca, kita memahami dan kita baiki diri.


Ayat [6:50]


قُل لَّآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ إِنِّى مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?"


Pengajaran

  1. Allah mengajar Nabi Muhamad SAW untuk mengatakan 3 perkara penting tentang dirinya iaitu; a) tidak mempunyai perbendaharaan Allah, b) tidak mengetahui perkara ghaib, c) bukan malaikat. 
  2. Ayat ini turun kerana orang kafir mencabar nabi. Contoh: Suruh nabi keluarkan air di tempat yang kering. Tanya perkara-perkara ghaib yang nabi tak tahu seperti tentang roh. Mereka minta dihantarkan malaikat datang kepada mereka. 
  3. Sebenarnya mereka bertanya begitu kerana mindset mata duitan. Tidak cukup dengan apa yang ada, mereka nak lebih banyak. Mereka rasa sudah pandai dengan ilmu yang mereka ada, nak minta benda yang lebih pelik padahal nabi juga sama dengan mereka. Mereka mahu kesenangan dunia dan mereka merasa mereka sudah pandai. 
  4. Nabi hanya ikut wahyu yang disampaikan kepadanya. Dengan kita ikuti My #QuranTime, kita baca dan sampaikan isi al-Quran. Semoga kita semua faham apa yang ada dalam al-Quran. Kalau kita tak usaha untuk dapatkan kefahaman itu Allah tak akan bagi kefahaman kepada kita. Semoga kita menjadi orang yang nampak mesej daripada Allah dan terus memikirkannya untuk memperbaiki diri.
  5. Ingat, kita dicipta oleh Allah. Dialah yang memberi kefahaman.


Ayat [6:51]


وَأَنذِرْ بِهِ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَن يُحْشَرُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّهِمْ ۙ لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِۦ وَلِىٌّۭ وَلَا شَفِيعٌۭ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.


Pengajaran

  1. Allah menyuruh nabi memberi peringatan dengan al-Quran kepada orang yang beriman bahawa pada hari kiamat, tiada pelindung dan pemberi syafaat melainkan Allah. 
  2. Ada orang yang tidak takut kepada Allah. Mereka rasa mereka tak akan dikumpulkan di depan tuhan. Mereka buat ikut suka hati. Orang begini bila diberi peringatan dengan al-Quran, mereka semakin jauh dari Allah dan  al-Quran. 
  3. Jangan berputus asa dalam memberi peringatan. Abu Suffian beriman setelah bertahun-tahun nabi SAW berdakwah. 
  4. Penting untuk kita bertanya di manakah al-Quran di dalam diri dan di rumah kita?
  5. Jangan kecilkan orang-orang yang kembali kepada Allah walaupun mereka bukan golongan elit.


Ayat [6:52]


وَلَا تَطْرُدِ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَىْءٍۢ وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَىْءٍۢ فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.


Pengajaran

  1. Allah ingatkan kepada nabi dan kepada kita, jangan menghalau orang yang beribadat dan berdoa pagi dan petang kerana mereka mengharap keredaan Allah semata-mata. 
  2. Kita amat menghargai kepada orang-orang sekeliling kita yang membaca al-Quran, yang solat, walaupun mereka tidak ada harta, tidak ada pangkat. Jangan dipandang kecil kepada sesiapa yang beramal untuk mendapat keredaan Allah kerana kita tidak mahu menjadi orang yang zalim. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Sentiasa ingat Allah SWT agar tidak dihapuskan atau diazab Allah SWT (45)
  2. Manfaatkan pendengaran, penglihatan dan hati untuk menghargai kebesaran Allah SWT (46)
  3. Terus baiki diri (islah) agar mendapat kebahagiaan dunia akhirat (48)

Lega kerana saya akan mendapat kebahagiaan dunia akhirat sekiranya saya terus baiki diri.

Saya jelas untuk sentiasa ingat Allah SWT agar tidak dihapuskan atau diazab Allah SWT. Saya mesti manfaatkan pendengaran, penglihatan dan hati untuk menghargai kebesaran Allah SWT. Saya juga mesti terus baiki diri agar mendapat kebahagiaan dunia akhirat.

Allahumma Rabbana, bimbing kami untuk sentiasa ingat kepadaMu. Janganlah Engkau azab kami sekiranya kami lalai atau lupa. Ya Allah bantu kami untuk manfaatkan pendengaran, penglihatan dan hati kami untuk menghargai kebesaranMu. Ya Allah, bimbing kami untuk terus baiki diri dan kurniakan kepada kami kebahagian dunia dan akhirat.

Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 185

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...