Monday, June 5, 2023

Halaman 145: Al-An'am, 6:132-137

 

PERKATAAN HARI INI   



 دَرَجَ  Perlahan-lahan menuju sesuatu. 

20 kali disebut dalam al-Quran.



SINOPSIS  


  1. Tahap/kekuatan dalam diri manusia adalah berbeza (132)
  2. Ancaman azab yang membinasakan dan peringatan mengenai seksa pada hari kiamat (133-135)
  3. Syariah kaum jahiliyah dalam bidang pertanian (masalah tanaman dan buah-buahan) (136-137)


Mukaddimah

 

Alhamdulillah, bersyukur hari ini kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 145. Kita akan melihat apa lagi panduan-panduan dari surah al-An'am ini yang turun sekaligus dalam satu malam kepada Nabi Muhammad SAW. Ada perkara penting yang Allah ingin didik kepada Nabi dan kepada para sahabat yang mengalami cabaran kehidupan di hujung fasa Makkiyyah sebelum mereka berhijrah ke Madinah.

 

Halaman lepas kita sudah berbincang tentang hati. Hati kita ini berbolak balik. Tetapi kalau kita ada Islam dan kita mendapat hidayah daripada Allah SWT, insya Allah itu sebagai solusi besar pada kita semua.

 

Dimulakan dengan bacaan al-Fatihah untuk sama-sama kita kuatkan diri kita. Bila kita ingin mendapat dan meminta hidayah, Allah pasti akan tunjukkan kita.

 

Minggu lepas kita membincangkan tentang rasul yang dihantar kepada sesuatu kaum untuk menyampaikan dakwah. Sekarang kita tidak ada rasul tetapi kita ada al-Quran. Allah juga menghantar para pendakwah untuk mengajar kita. Allah tidak mahu sesuatu kaum itu berada di dalam keadaan lalai.

 

Ayat [6:132]

 

وَلِكُلٍّۢ دَرَجَـٰتٌۭ مِّمَّا عَمِلُوا۟ ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

 

“Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Amalan buruk dan baik ada tahap yang  berbeza. Ada orang membaca al-Quran hari-hari, ada yang setahun sekali sahaja seperti pada awal Ramadhan. Setiap orang ada darjatnya mengikut amalan masing-masing. Amalan itu berkaitan dengan balasan atau ganjaran di akhirat nanti. 
  2. Dalam masa yang sama, orang yang kufur dan berbuat kejahatan juga ada darjat yang berbeza. Ada yang benar-benar melawan Nabi SAW, ada yang sedikit-sedikit sahaja. Allah tidak lalai dengan apa yang mereka lakukan.
  3. Setiap perkara baik yang kita lakukan, tidak kira kecil atau besar, adalah peluang untuk meningkatkan darjat kita di sisi Allah. Jika Allah bagi peluang tetapi kita tidak mahu respon, amat rugi.

 

Ayat [6:133]

 

وَرَبُّكَ ٱلْغَنِىُّ ذُو ٱلرَّحْمَةِ ۚ إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِنۢ بَعْدِكُم مَّا يَشَآءُ كَمَآ أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ ءَاخَرِينَ

 

“Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menekankan bahawa Allah Maha Kaya. Allah sama sekali tidak perlu apa-apa pun dari kita. Jika kita buat baik kesannya untuk diri kita sendiri. 
  2. Allah mempunyai Rahmat ( ذُو ٱلرَّحْمَةِ ). Bayangkan ada seekor kucing yang gemar berak merata. Pasti orang tidak mahu membela kucing macam itu. Begitulah Allah tidak perlukan kita yang liat untuk solat dan degil. Tapi Allah sayang kita. Apa pun yang kita buat, Allah tetap bagi peluang. Allah beri kita peluang, contohnya My#QuranTime sebagai satu peluang untuk kita bersama al-Quran.
  3. Allah boleh sahaja menggantikan manusia pada bila-bila sahaja. Diharapkan kita terus tetap dengan akidah kita. Kita bukan sekadar patriotik dan bukan rasis, kerana kita tahu akidah lah yang menyatukan kita.

 

Ayat [6:134]

 

إِنَّ مَا تُوعَدُونَ لَـَٔاتٍۢ ۖ وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

 

“Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Perkataan إِنَّ maknanya bahawa ada sesuatu yang penting sesudahnya. Beri perhatian kerana sesungguhnya janji Allah akan benar-benar datang. Contoh mudah, ayah berjanji akan memberi hadiah kepada anak yang dapat menghafal al-Quran. Kalau tidak hafal, tidak dapat hadiah. Anak yang suka menghafal pasti akan seronok, manakala anak yang hanya gemar bermain game pasti berasa tidak tenteram kerana pasti tidak dapat hadiah kalau tidak turut menghafal.
  2. Allah katakan tidak mungkin manusia dapat mengalahkan azab yang datang.  Walaubagaimanapun kita mahu menolak, kita tetap akan mendapat balasan di akhirat atas apa yang kita lakukan.
  3. Setiap yang kita lakukan ada tahap-tahap yang perlu kita lalui. Makin tinggi tahapan yang telah kita lalui, semakin tinggi darjat di akhirat nanti.

 

Ayat [6:135]

 

قُلْ يَـٰقَوْمِ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّى عَامِلٌۭ ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن تَكُونُ لَهُۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ ۗ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ayat ini menarik kerana ia diturunkan di hujung masa Baginda SAW dan sahabat di Mekah. Pada masa itu orang Mekah masih menyerang dan menyeksa Nabi SAW kerana dakwah baginda.
  2. Allah mengajar Nabi SAW untuk yakin dan meneruskan dengan apa yang disampaikan. Umat Islam pada masa itu tidak boleh berperang. Allah mengajarkan mereka untuk yakin pada akidah. Sudah tentu para sahabat rasa bersemangat.
  3. Ayat ini bila dibaca di hadapan kaum musyrik, ia adalah satu cabaran. Penting untuk menunjukkan identiti yang kuat dan tidak lemah dan lembik.
  4. Ayat ini tentang identiti yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan juga untuk kita. Walaupun ada cabaran dalam menyampaikan kebaikan, teruskan berjuang dan jangan putus asa kerana bagi orang yang mengikut perintah Allah, ganjarannya ialah Dar as-Salaam.  Itu adalah kejayaan bagi orang yang adil dengan menunaikan hak risalah Allah SWT.
  5. Bagi mereka  yang zalim dan melawan kepada risalah kebenaran, syirik adalah kezaliman yang paling besar, dan mereka akan gagal. Orang melawan tauhid kerana tauhid itu susah kerana perlu berterus terang, tidak boleh menganiaya orang lain dan tidak boleh mementingkan diri sendiri.














































































Ayat [6:136]

 

وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ ٱلْحَرْثِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ نَصِيبًۭا فَقَالُوا۟ هَـٰذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـٰذَا لِشُرَكَآئِنَا ۖ فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَكَآئِهِمْ ۗ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ

 

“Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah - menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala-berhala kami." Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Salah satu perbuatan orang yang zalim ialah mereka memberi sebahagian hasil tanaman/ternakan (ٱلْأَنْعَٰمِ) untuk Allah (untuk orang miskin dan orang yang memerlukan kebajikan) dan sebahagian lagi diberi kepada berhala-berhala mereka. Mereka letak makanan kepada berhala. Berhala tahu bahawa berhala tidak boleh makan. Yang dapat apa yang diberi kepada berhala, adalah penjaga berhala itu. Allah membongkar apa yang mereka buat, apa yang mereka lakukan adalah amat buruk. Salah satunya adalah ketirisan di dalam rumah ibadah.

 















Ayat [6:137]

 

وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍۢ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ قَتْلَ أَوْلَـٰدِهِمْ شُرَكَآؤُهُمْ لِيُرْدُوهُمْ وَلِيَلْبِسُوا۟ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ ۖ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

 

“Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka mengenai ugama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Jangan terpedaya dengan syaitan. Syaitan memang telah berjanji untuk merosakkan anak Adam. Perangkap tidak lupa pelanduk. Pelanduk yang selalu lupa perangkap.
  2. Semua orang termasuk orang Islam berisiko terjebak kepada syirik. Orang yang syirik sanggup membunuh anak. Syaitan menghias idea mereka supaya nampak cantik, umpamanya, membunuh anak-anak perempuan. Anak perempuan ditakuti menjadi cercaan. Perempuan di zaman jahiliah dibuat sebagai komoditi, dijual dan dilacurkan, contohnya. Mereka yang buat perempuan begitu, mereka pula yang membunuh anak-anak perempuan tersebut.
  3. Di dalam Islam, perempuan dan lelaki tidak dizalimi. Kita tidak mencerca kedua-duanya kerana Allah yang menciptakan lelaki dan perempuan. Sejahtera akidah itu penting kerana ia menyelamatkan seluruh dunia. Tidak ada layanan kelas kedua ke atas sesiapapun tidak kira lelaki atau perempuan.
  4. Orang yang syirik sanggup membunuh anak, atau menggugurkan janin kerana takut miskin. Mereka lupa bahawa mereka juga dulu pernah berada di dalam perut ibu dan Allah yang memberikan rezeki.
  5. Memang ada orang yang susah di dalam masyarakat kita. Mereka itu adalah tanggungjawab  kita sebagai orang yang beriman. Semakin dekat kita dengan Allah, kita akan lebih faham bahawa di dalam rezeki kita, ada hak orang lain.
  6. Tinggalkanlah mereka yang sengaja mengada-adakan perkara yang bukan datang daripada Allah SWT.





















RESOLUSI 

 

Ingat !!


  1. Selalu bersemangat dalam kerja Islam agar Allah SWT lapangkan dan beri hidayah (125)
  2. Elakkan mengikut jin, tetapi ikutlah Allah SWT (128)
  3. Jaga kawan sekeliling agar tidak menjadi orang zalim (129)

 

Lega kerana Allah SWT akan lapangkan dan beri hidayah sekiranya saya selalu bersemangat dalam kerja Islam.

 

Saya jelas untuk  selalu bersemangat dalam kerja Islam (amalan kebaikan)  agar Allah SWT lapangkan dan beri hidayah. Saya jelas, saya mesti elak dari mengikut jin, tetapi saya mesti ikut Allah SWT. Saya juga jelas untuk jaga kawan sekeliling agar tidak menjadi orang zalim.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, bantu kami untuk selalu bersemangat dalam kerja Islam. Ya Allah, lapangkan hidup kami dan berilah kami hidayah. Ya Allah, jauhi kami dari mengikut jin, pimpin kami untuk menjadi pengikut Mu. Ya Allah, hadirkan dalam hidup kami kawan-kawan dan orang sekeliling yang soleh, jauhi kami daripada menjadi orang zalim.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...