|
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita bersyukur dapat meneruskan pengajian pada
halaman 149 di penghujung surah al-An'am. Ini merupakan surah Makkiyyah yang
panjang yang pertama muncul dalam al-Quran yang dengan gaya bahasanya yang
berbeza yang menekankan tentang tauhid, keimanan kepada Allah SWT. Perjuangan
tauhid ini adalah perjuangan yang amat penting. Nabi di Mekah sekitar 13
tahun kemudian pergi ke Madinah sekitar 10 tahun dan pulang semula ke Mekah
selepas itu. Tidak banyak amal fardu yang diberikan kepada umat Islam pada
fasa Makkiyyah. Perjuangan mereka seharian ialah menguatkan iman dan inilah
silibus iman dalam surah al-An'am.
Bacaan Ummul Quran yang dibaca sekurang-kurangnya 17 kali setiap
hari dalam solat mengimbau kepada kita bahawa sebenarnya perkara yang paling
berharga dalam kehidupan kita ialah kita dikurniakan hidayah. Itulah yang
perlu kita mohon pada setiap ketika, dipandu hidayah agar kita tidak membuat
keputusan yang tidak bijak, keputusan yang mengganggu kehidupan kita,
mengganggu persediaan kita untuk bertemu dengan Allah SWT. Kerana kita tidak
pasti walaupun sudah berada pada tahun 2021, tidak pasti sampai ke hujung
atau sempat lagikah untuk bertemu dengan tahun seterusnya. Yang pastinya,
dunia sudah berada di penghujung yang kita perlu bersedia dengan panduan
hidayah daripada Allah SWT.
Ayat [6:152]
وَلَا تَقْرَبُوا۟ مَالَ ٱلْيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ
حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُۥ ۖ وَأَوْفُوا۟
ٱلْكَيْلَ وَٱلْمِيزَانَ بِٱلْقِسْطِ ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
ۖ وَإِذَا قُلْتُمْ فَٱعْدِلُوا۟ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۖ وَبِعَهْدِ
ٱللَّهِ أَوْفُوا۟ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
"Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan
dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia
baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan
sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak
memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya -
"dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan)
maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat
(dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu
sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu
beringat (mematuhiNya)".
Mesej dan Tindakan:
- Ayat ini
menyambung kepada perbincangan lepas tentang 5 perkara yang Allah telah
ingatkan kepada kita. Dihujung ayat lepas Allah sebutkan تَعْقِلُونَ لَعَلَّكُمْ untuk kita betul-betul menggunakan akal kita, betul-betul kita
mengerti 5 perkara penting yang Allah wasiatkan.
- Bila kita
banyak berfikir, kita lihat pada alam, kita tidak akan syirikkan Allah dan
lebih daripada itu, hubungan dengan Allah ini ada kaitan dengan إِحْسَـٰنًۭا وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ (membuat baik
kepada ibu bapa). Ibu bapa kita adalah utusan Allah. Semuanya qadarallah yang
perlu diihsankan. Kita perlu buat yang terbaik walaupun mereka suruh buat apa
sahaja kecuali buat syirik kepada Allah SWT. Ibu bapa penting kerana kalau
seseorang dapat bersyukur pada ibu bapanya, dia mampu bersyukur kepada Allah
seperti yang termaktub dalam surah Luqman ( وَلِوَالِدَيْكَ لِي اشْكُرْ أَنِ ).
- Dalam ayat ini
Allah SWT sambung lagi 5 wasiatNya:
- janganlah kamu
hampiri harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik sehingga ia dewasa
- sempurnakanlah
segala sukatan dan timbangan dengan adil (بِٱلْقِسْطِ)
- Allah tidak akan memberatkan seseorag kecuali sesuai dengan
kesanggupannya.
- apabila kamu
mengatakan sesuatu maka hendaklah kamu berkata jujur, sekalipun orang itu ada
hubungan kerabat (dengan kamu);
- penuhilah janji
Allah
- Allah SWT
memerintahkan kepada kita agar kita mengambil peringatan. Ini adalah satu
hubungan dengan manusia yang ada kaitan dengan fitrah. Secara fitrahnya kita
perlu menjaga dan jangan ambil hak orang lain terutama hak anak yatim.
- بِٱلْقِسْطِ ialah mengelakkan daripada tidak adil. Ini seruan yang besar
daripada Allah SWT. Contoh: Kalau beli mangga sekilo, pastikan betul, jangan
tambah batu atau set timbangan menjadi kurang. Ini ada kaitan
dengan orang yang bekerja. Pastikan punch-in tepat masanya, tidak
mengular selepas punch-in.
- Allah tidak
membebani kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu. Kalau kita ini ditentukan
bekerja pada satu tempat, bila dapat tugas, sebenarnya Allah tidak membebani.
Kita kena susun kemahiran dengan betul.
- Kalau kita
bercakap, hendaklah adil (ٱعْدِلُوا۟) walaupun kepada
kaum kerabat. Contoh: Kalau anak kita bergaduh dengan anak orang lain, kalau
anak kita salah, mengaku.
- Kalau kita
berjanji, mesti ditepati dan perlu disempurnakan. Kalau tersilap, minta maaf
betul-betul kepada orang yang terlibat dan mohon taubat daripada Allah SWT.
- Ini adalah
kewajipan yang Allah beritahu, akhlak kesan daripada tauhid. Ini adalah
wasiat daripada Allah SWT agar kita ingat fitrah kita. Fitrah kita hadir
dengan akhlak tak kacau harta anak yatim, tidak tipu timbangan, tidak
bersifat zalim walaupun pada kerabat kita dan juga janji ditepati. Kalau kita
tidak buat perkara ini, kesannya fitrah kita itu tidak mendapat tazkirah, dia
tidak kisah perkara itu, dia akan kotor. Bila kotor itu yang menyebabkan
fitrah kita yang menjadi soleh itu tersasar kerana akhlaknya yang tidak
berasaskan kepada tauhid, fitrah kepada Allah SWT.
- Jangan berani
mendekati harta anak yatim kerana ia adalah perjuangan daripada Allah. Orang
yang bermain-main dengan harta anak yatim bukan sekadar makan nasi, makan
duit ayah ibu yang sudah meninggal, tetapi sebenarnya dia sedang beritahu
kepada Allah, "saya tidak takut kepada Allah SWT". Pengusaha rumah
anak yatim kena berjaga-jaga, jangan suruh anak yatim pergi jual, untung
semua pengusaha ambil untuk tukar kereta sedangkan anak yatim kena berjual
dan makan tidak sama mewah dengan apa yang pengusaha makan kerana itu
tandanya ada isu tentang tauhid, iman dalam diri seseorang, khuatir kita ini
tidak diendorse sebagai orang yang berada diatas jalan yang lurus,
padahal kita mohon untuk berada di atas jalan yang lurus pada setiap masa.
Ayat [6:153]
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُ ۖ
وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ ذَٰلِكُمْ
وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Dan bahawa sesungguhnya inilah
jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana
jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan
yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Mesej dan Tindakan:
- Allah menekankan tentang bagaimana ciri
perjalanan ini. Bila kita minta Allah tunjuk jalan yang lurus مُسْتَقِيمً صِرَٰطِى salah
satu tanda kita berada di jalan yang lurus ialah bila kita dapat menjaga 10
perkara yang Allah wasiatkan dalam 2 ayat sebelum ini. Jangan main-main
dengan wasiat ini. Contoh: Kalau kita VIP, jangan selamba saja datang lewat
dalam majlis. Itu tanda VIP yang tidak berada di atas jalan yang lurus.
- Jangan ikut
jalan yang memecah-belahkan. Iaitu apabila 10 perkara itu tidak diikuti. Ayat
151 berkenaan hubungan dengan Allah dan ayat 152 berkenaan hubungan dengan
manusia.
- Allah ulang
perkataan wasiat beberapa kali kerana wasiat ini adalah perkara yang penting.
Ini adalah kerana makin lagi seseorang bertauhid, itulah legasi penting yang
ingin ditinggalkan. Dalam surah al-Baqarah kita lihat yang Nabi Yaakub berwasiat
kepada anaknya "kamu nak sembah apa?". Ayat kali ini memberitahu
bahawa Allah berwasiat kepada kita: "apa jalan yang kamu ingin
pilih?" bagi orang yang ingin berjumpa dengan Allah SWT.
Ayat [6:154] Legasi Tauhid
ثُمَّ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ تَمَامًا عَلَى ٱلَّذِىٓ
أَحْسَنَ وَتَفْصِيلًۭا لِّكُلِّ شَىْءٍۢ وَهُدًۭى وَرَحْمَةًۭ لَّعَلَّهُم
بِلِقَآءِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ
Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada
Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami)
kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi
Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan
rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari
akhirat kelak).
Mesej dan Tindakan:
- Kitab taurat
diturunkan kepada Nabi Musa a.s untuk menyempurnakan nikmat antara
nikmat-nikmat yang telah banyak Allah berikan kepada Bani Israel.
- Allah
memberitahu kepada kita bahawa penyempurnaan ( تَمَامًا ) kepada nikmat
itu adalah dengan al-Kitab. Itulah yang berlaku pada zaman Nabi Musa, dan
juga pada zaman kita. Kita dapat banyak nikmat, tetapi bila Allah cakap dalam
surah ar-Rahman pun Allah mulakan dengan ٱلْقُرْءَانَ عَلَّمَ .
- Allah angkat Quran kerana itu adalah panduan. Nabi Musa
dapat kitab sebagai penjelasan pada setiap sesuatu, sebagai hidayah, sebagai
rahmat kepada orang yang rindu nak bertemu dengan Tuhan yang mereka beriman.
- Orang beriman yang rindu untuk bertemu Tuhan, itu tandanya
kita amat mentauhidkan Allah SWT. Tauhid kita bukan sekadar zaman ini. Ia
bermula pada zaman Nabi Musa, pada zaman Nabi Ismail, seawal Nabi Ibrahim,
hingga kepada Nabi Nuh. Ketauhidan itu penting. Ada orang belajar tetapi dia
tidak kenal Tuhan. Ada orang yang kenal Tuhan kemudian dia belajar sedikit,
kemudian dia belajar lagi kerana dia tahu bahawa ilmu penting dalam kita
bertauhid untuk kita beriman kepada
Allah SWT.
Ayat [6:155]
وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌۭ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُوا۟
لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran)
yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu,
hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu
beroleh rahmat.
Mesej dan Tindakan:
- Surah al-An'am
ini diturunkan sekaligus pada satu malam untuk menjelaskan betapa pentingnya
tauhid dan ia menguatkan kepada perjuangan Nabi SAW, perjuangan tauhid di
Mekah sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah.
- Perkara ini
penting. Penyempurnaan nikmat pada zaman Nabi Musa adalah dengan al-kitab.
Maka ia juga pelajaran untuk kita. Contoh: Kalau kita dah ada rumah, dah ada
kereta dah ada anak comel, semuanya rasa dah ada, penyempurnaan itu adalah
dengan kitab. Kalau ada yang kata rumah tak ada, saya masih menyewa, kereta
tak ada, saya ada basikal sahaja, kalau kita dapat al-Quran, dapat kitab, ini
adalah anugerah daripada Allah yang diturunkannya penuh kebaikan ( مُبَارَكٌۭ ).
- Mubarak itu ada
kaitan dengan al-birkah. Orang arab kalau pergi ke padang pasir, dia tengok ada
kolam, dia namakan kolam itu al-birkah. Mubarak daripada perkataan baraka itu
adalah kebaikan yang bertambah. Thubutul khair - mengikut Raghib Al-Asfahani.
- Kalau kita ikut
kepada kitab, kalau ada masalah kita cepat-cepat minta bantuan daripada Allah
agar kita mendapat kasih sayang Allah. Contoh: Bayangkan kalau ibu ayah, bos
kita sayang kita. Mak ayah buat macam-macam. Kalau anak-anak ikut kata ibu
ayah, mak masak special. Ayah kata kita kumpul duit sikit jom kita pergi
jalan-jalan bercuti makan roti canai, itu baru ayah yang penyayang. Kesannya
ialah dalam rumah pun kita nampak mak ayah sayang.
- Di sini, bukan
sekadar mak ayah, ini adalah Tuhan yang Maha Penyayang. Allah perintah supaya
ikut al-kitab, ikut wasiat yang Allah sebutkan dalam ayat 151 dan 152. Kalau
kita ikut kata Allah, maka kesannya sudah pasti lebih besar untuk kita iaitu
kita akan dapat rahmat daripada Allah SWT.
Ayat [6:156]
أَن تَقُولُوٓا۟ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلْكِتَـٰبُ عَلَىٰ
طَآئِفَتَيْنِ مِن قَبْلِنَا وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِهِمْ لَغَـٰفِلِينَ
Supaya kamu tidak mengatakan: "Bahawa Kitab (ugama) itu
hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum
kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan
dipelajari oleh mereka".
Mesej dan Tindakan:
- Ayat ini
menarik. Ada orang dia kata Quran ini untuk apa? Tetapi Allah fast forward
kan, jangan sampai di akhirat nanti kita cakap "mereka ada kitab, kami
tak ada kitab". Jadi, Allah bagi kitab pada kita. Taurat dan injil dalam
bahasa Ibrani. Orang arab zaman itu tak faham ( دِرَاسَتِهِمْ).
- Allah tegaskan
bahawa Quran adalah dalam bahasa Arab. Hujah ini juga terpakai pada zaman
kita. Ada orang Melayu kata saya tak faham Quran dalam bahasa Arab. Alangkah
baiknya Quran turun dalam bahasa Melayu. Ada yang mempersendakan, kalau baca
Quran dalam bahasa Arab ini nak mengarabisasikan orang Melayu.
- Bukan untuk
mengarabisasi, tetapi al-Quran turun dalam Bahasa Arab adalah untuk mentauhidkan
manusia kepada Ilahi kerana Allah yang menurunkan al-Quran. Sudah terbukti
daripada awal surah al-An'am, Allah membawakan bukti demi bukti yang
menunjukkan bahawa jika kita sudah menyerah diri kepada Allah, bahasa apa pun
al-Quran diturunkan, kita sanggup untuk belajar kerana bertauhid kepada Allah
SWT.
- Allah
menjelaskan kepada kita, jangan kita cari alasan seperti saya tidak faham
bahasa arab, jadi sebab itu saya tidak boleh mengambil pelajaran dari
al-Quran. Kita mesti berusaha belajar, cari guru, ikuti My #QuranTime, dengan
itu baru kita akan nampak al-Quran penuh dengan barakah.
- Tanda barakah,
kita akan lebih maju dari segi akhlak kita. Jika dahulu kurang sabar,
sekarang lebih sabar. Jika dahulu tidak tenang dan asyik menggelabah sahaja,
sekarang akan jadi lebih tenang dengan mengingati Allah pada setiap masa.
|