Monday, June 5, 2023

Halaman 157: Al-A'raf, 7:52-57

 

PERKATAAN HARI INI  


شَفَعَ  Syafaat, perlindungan, pertolongan. 

31 kali disebut dalam al-Quran.




SINOPSIS 

  1. Keutamaan al-Quran kepada manusia dan keadaan orang yang mendustakan(nya) pada hari kiamat dengan menampakkan penyesalan dan meminta syafaat (52-53)
  2. Pembuktian Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah dengan penciptaan dan perintah (54)
  3. Disyariatkannya doa, adabnya dan pengharaman kerosakan di bumi (55-56)

  4. Penurunan hujan, pengeluaran tumbuh-tumbuhan dan petunjuk keduanya atas kekuasan Ilahi dan pembuktian kebangkitan (57)


Mukaddimah


 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT pada hari pertama fasa kedua PKP, PKPB, PKPP di seluruh negara kita sekali lagi  diberi rahmat yang besar untuk bersama al-Quran. Kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 157. Hari ini kita akan belajar bagaimana untuk berdoa di dalam kesenangan dan kepayahan.

 

Daripada bacaan al-Fatihah kita melihat bagaimana Allah ar-Rahman ar-Rahim amat sayang kepada kita. Salah satu tanda sayangnya Allah kepada kita ialah Dia memberi kita Al Quran seperti yang tersebut dalam surah ar-Rahman.

 

Kita berada di dalam suasana baru, kena memakai face shield. Kita teruskan rutin kita. Kita tidak tinggal al-Quran, kita tetap dekat dengan al-Quran. Inilah nikmat yang kadang-kadang kita lupa. Kita hargai nikmat al-Quran dengan membaca, mentadabbur dan beramal dengannya.


 

Ayat [7:52]

 

وَلَقَدْ جِئْنَـٰهُم بِكِتَـٰبٍۢ فَصَّلْنَـٰهُ عَلَىٰ عِلْمٍ هُدًۭى وَرَحْمَةًۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ

 

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Pada ayat lepas Allah menjelaskan suasana di akhirat nanti, di syurga, di neraka dan di al-A'raf (benteng antara syurga dan neraka).
  2. Pada ayat ini Allah membawa kita kembali mengingatkan tentang dunia. Kita mendapat kitab dan ia adalah petunjuk ( هُدًى ) dan lambang kasih sayang Allah SWT. Allah turunkan al-Quran, Allah hantar rasul yang memimpin dan akhirnya sampai ke syurga.
  3. هُدًى  ini dihantar kepada semua orang yang di dalam hatinya ingin beriman. Bukan hanya kepada  orang yang betul-betu kuat imannya sahaja yang dapat hidayah.
  4. Bila dapat menghargai iman, semua orang yang bersungguh-sungguh akan dapat peluang hidayah dan kasih sayang Allah SWT.

 

Ayat [7:53]

 

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا تَأْوِيلَهُۥ ۚ يَوْمَ يَأْتِى تَأْوِيلُهُۥ يَقُولُ ٱلَّذِينَ نَسُوهُ مِن قَبْلُ قَدْ جَآءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلْحَقِّ فَهَل لَّنَا مِن شُفَعَآءَ فَيَشْفَعُوا۟ لَنَآ أَوْ نُرَدُّ فَنَعْمَلَ غَيْرَ ٱلَّذِى كُنَّا نَعْمَلُ ۚ قَدْ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: "Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?" Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Perkataan yang kita nak beri perhatian ialah يَنظُرُونَ. Allah menemplak mereka yang menunggu-nunggu bukti dan تَأْوِيلُ . Ada orang yang membaca tafsir tetapi ada yang mempersoalkan betul ke apa yang Nabi SAW kata?
  2. Jangan sampai kita sudah berada di akhirat, baru kita nak kata betul apa yang rasul kata dahulu. Ini sebagai peringatan kepada kita jangan sampai kena tunggu dulu, tengok hasil sesuatu perkara baru nak percaya. Apa yang disampaikan oleh al-Quran adalah pedoman untuk kita sama-sama mendapat panduan.
  3. Orang-orang yang kufur ingin kembali ke dunia untuk beramal. Mereka mahu beramal dengan selain yang mereka pernah buat dahulu. Mereka tidak ada panduan yang diambil bersungguh-sungguh daripada al-Quran. Mereka sekadar mahu mencuba-cuba sahaja. Pastilah mereka tidak akan mendapat lagi peluang itu. Habis segala apa yang mereka dustakan.


 

Ayat [7:54]

 

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ يَطْلُبُهُۥ حَثِيثًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتٍۭ بِأَمْرِهِۦٓ ۗ أَلَا لَهُ ٱلْخَلْقُ وَٱلْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Allah bawa kita balik ke dunia ini. Allah ingatkan kita bahawa Dia yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu ia bersemayam di atas Arasy.
  2. Malam dan siang adalah tepat kejadiannya. Ini di highlight di sini kerana Allah tidak pernah lewat menyusun segala perkara ini. Tidak payah nak tunggu dua, tiga tahun apakah kesan kalau berpegang pada hidayah. Sekarang pun kita boleh nampak Allah uruskan bumi ini dengan cara yang paling baik. Ini membuatkan kita tak bertangguh untuk beriman dan mengamalkan apa yang ada di dalam al-Quran.
  3. Matahari, bulan dan bintang ditundukkan ( مُسَخَّرَٰتٍ) dengan perintah daripada Allah SWT. Kita memohon Allah memudahkan kita bila kita naik kereta dengan doa yang kita baca. Kalau Allah tidak memudahkan, tayar kereta kita dan lain mungkin bermasalah.
  4. Segala urusan dipegang oleh Allah. Nak bagi Covid19, nak sembuhkan, negara ini kembali kepada dahulu, semuanya adalah Allah yang menguruskan. Kita kena usaha dan berdoa kepada Allah.
  5. Allah ini penuh dengan barakah. Bila barakah sampai, dalam bentuk fizikal dan maknawi, kita akan dapat ketenangan dan kebaikan yang bertambah.
  6. Salah satu syafaat ialah dengan membaca al-Quran dan mengikut panduan dari Nabi SAW. Orang yang kufur, tidak mendapat syafaat. Kita berharap untuk mendapat syafaat dari al-Quran di akhirat nanti. Jangan sekali-kali jauh dari al-Quran, takut nanti hati kita dikunci sehingga kita tidak mendapat hidayah. Jika kita banyak baca al-Quran, kita banyak bercakap dengan Allah, lagi mudah Allah nak bantu.
  7. Bila kita baca bismillah sahaja bila buat apa-apa, ada barakah. Guna internet dengan membaca bismillah dan tanpa bismillah, berbeza. Bila barakah itu sampai, kita akan mudah lagi berbuat kebaikan demi kebaikan.


 

Ayat [7:55]

 

ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًۭا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ

 

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.


 

Ayat [7:56]

 

وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا وَٱدْعُوهُ خَوْفًۭا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ

 

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

 

 

Mesej dan Tindakan ayat 55-56:

  1. Allah memberikan panduan bagaimana kita nak banyak lagi bercakap dengan Allah di muka bumi ini sebelum kita memohon syafaat daripada Allah dan syafaat dengan al-Quran.
  2. Inilah aktiviti untuk kita mendapat syafaat dari Allah SWT. Orang yang membaca al-Quran akan sentiasa berdoa. Allah mengajar kita enam adab berdoa:
    • تَضَرُّعًا iaitu kombinasi antara dua; khusyuk dan khuduk. Khusyuk ialah dari segi fizikal. Kita rasa lemah, longlai di hadapan Allah SWT. Khuduk ialah perasaan kita yang rasa lemah. Contohnya: Kita rasa tidak mampu untuk bersifat sabar, tidak mampu bersyukur kecuali Engkau berikan kepadaku perasaan syukur itu.
    • وَخُفْيَةً iaitu dengan rasa suara perlahan. Jangan menjerit-jerit sangat.
    • Jangan melampau batas (مُعْتَدِينَ). Dalam tafsir Hamka dinyatakan bila seseorang itu berdoa dia tak nak bercakap dengan manusia, atau dia berdoa kuat-kuat hingga menggangu orang lain yang sedang melakukan ibadah, atau dia berdoa minta yang tak baik atau melaknat kepada orang lain.
    • Jangan berbuat kerosakan (تُفْسِدُو).  
    • Rasa takut ( خَوْفًا). Rasa ada dosa, ada kekurangan.
    • Berharap (طَمَعًا)
  3. Apabila kita selalu berdoa dengan adab ini, Insya Allah, kerosakan tidak akan berlaku kepada orang yang selalu berdoa sebab dia selalu bercakap dengan Allah.
  4. Bila kita selalu bercakap dengan Allah, Allah akan sentiasa bercakap dengan kita. Allah akan bantu. Kita tak akan jadi orang yang membuat kerosakan yang amat dahsyat. Inilah manfaat bila kita selalu ada hubungan bercakap dengan Allah. Tak semestinya kita mengangkat tangan untuk berdoa/bercakap dengan Allah. Selalulah berdoa dalam hati kita. Insya Allah, Allah akan pimpin kita kerana Allah kata rahmatNya amat dekat dengan orang-orang yang membuat kebaikan, iaitu yang sentiasa buat yang terbaik dalam hidupnya. Salah satu cara buat baik ialah bila kita buat apa-apa saja pun kita tanya kepada Allah SWT.


 

Ayat [7:57]

 

وَهُوَ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَقَلَّتْ سَحَابًۭا ثِقَالًۭا سُقْنَـٰهُ لِبَلَدٍۢ مَّيِّتٍۢ فَأَنزَلْنَا بِهِ ٱلْمَآءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

 

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Ini adalah satu pandangan alam. Angin dan buah ada kaitan dengan kita sampai ke hari kiamat.
  2. تَذَكَّرُونَ bermakna banyak pengajaran. Pelbagai sudut pengajaran.
  3. Allah mengirimkan pelbagai sudut angin ( رِّيَٰحَ ) sebagai khabar gembira sebelum datangnya rahmat. Seorang petani sangat gembira bila mendengar ada angin sebab selepas angin akan turunnya rahmah iaitu adanya hujan.
  4. Angin menolak air ke awan yang membawa hujan. Petani amat peka tentang jenis-jeis awan. Allah lah yang memberi air untuk satu negeri yang tandus, turun air, pokok tumbuh dan keluar buah.
  5. Angin ialah signal awal sebelum rahmat Allah sampai. Allah boleh bagi signal apabila kita tersentak daripada sesuatu perkara. Contohnya suara bacaan Quran yang meniup dan menolak kita untuk menuju kepada rahmat. Bila kita gunakan reyh yang ada pada diri kita termasuk roh selagi kita boleh baca Quran, sebenarnya kita sedang menuju kepada rahmat daripada Allah SWT.
  6. Daripada air, turun hujan, tumbuh pokok dan keluar buah-buahan. Daripada langit, turunnya wahyu. Kesannya bila kita baca, kita dapat rahmat. Walaupun kita mungkin ada awan mendung (kesusahan), sebenarnya awan mendung itu disebaliknya ada rahmat yang akan menghidupkan hati-hati yang tandus apabila kita curahkan dengan air wahyu daripada kitab.
  7. Tazakkarun ini boleh dilihat daripada banyak sudut. Allah sedang menyuruh kita ambil peringatan. Tengok langit turunkan air menghidupkan bumi tandus. Kalau wahyu turun kepada hati yang rasa gersang kita akan dapat memberi manfaat, dapat memberi barakah demi barakah kepada orang-orang di sekeliling.
  8. Tazakkarun pada sudut akhirat pula, di akhirat nanti selepas semua sudah mati, Allah akan bangkitkan segala yang mati. Pada waktu itu bergantung kepada keadaan samada kita masih tandus atau sudah subur. Kalau di dunia ini kita subur dengan wahyu daripada Ilahi, ketika kita bangkit nanti, kita akan membawa buah-buah hasil amal kita yang subur. Tetapi bagi orang yang semasa di atas dunia ini Qurannya kurang, berdoa kepada Allah kurang, ketika dia dibangkitkan nanti, rupa-rupanya bangkitnya itu membawa buah-buah busuk yang tidak ingin kita bawa sampai ke akhirat nanti.





















































































































RESOLUSI 


Ingat !!

  1. Jadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat kerana al-Quran bukanlah sekadar bacaan kosong (52)
  2. Semakin banyak membaca al-Quran, semakin tidak bertangguh untuk beramal (53)
  3. Banyakkan berdoa dengan menjaga adabnya untuk mendapat rahmat Allah SWT (55-56)

 

Lega kerana Allah akan memberi rahmatNya sekiranya saya banyak berdoa dengan menjaga adabnya.

 

Saya jelas untuk jadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat kerana al-Quran bukanlah sekadar bacaan kosong. Saya jelas untuk banyakkan membaca al-Quran supaya saya dapat segera beramal. Saya jelas saya mesti banyakkan berdoa dengan menjaga adabnya untuk mendapat rahmat Allah SWT.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk jadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat. Ya Allah, bantu kami untuk membaca al-Quran dengan penuh kefahaman agar kami dapat beramal dengannya. Ya Allah, kami lemah Ya Allah, kami perlukan bimbingan Mu untuk berdoa dengan penuh beradap agar kami mendapat rahmat Mu.  Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...