Monday, June 5, 2023

Halaman 158: Al-A'raf, 7:58-67

 

PERKATAAN HARI INI: 

 

نَبَتَ  Tumbuh, membesar. 

 26   kali disebut dalam al-Quran.




SINOPSIS 

 

1.     Tanah subur dan tanah yang tandus (58)

2.     Kisah Nabi Nuh a.s (59-64)

3.     Kisah Nabi Hud a.s (65-67)



Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kita sama-sama meneruskan perjalanan kisah kita bersama Surah al-A'raf halaman 158, surah yang ketujuh, untuk kita melihat hari-hari bagaimana Allah memberi perhatian kepada kita,  kisah-kisah Nabi SAW yang dianggap sebagai sesat, sebagai bodoh/gila. Suruh al-A'raf datang untuk memujuk Nabi SAW untuk terus berjuang dan menguatkan jati diri. Begitulah kehidupan kita juga kena terus berjuang untuk memastikan semua orang mengikut perjuangan.

 

Kita mendoakan frontliners terus melakukan tugas dan kita yang berada di rumah jaga SOP, terus dengan al-Quran agar negara kita dikembalikan semula ke keadaan dahulu. Kita tidak mahu terus darurat dan kita saling berbalah. Ambil kesempatan ini untuk reset minda kita berasaskan panduan daripada wahyu yang juga diperjuangkan oleh Nabi Nuh dan Nabi Hud yang akan kita lihat kisahnya pada hari ini.

 


Ayat [7:58]

 

وَٱلْبَلَدُ ٱلطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُۥ بِإِذْنِ رَبِّهِۦ ۖ وَٱلَّذِى خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا ۚ كَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ

 

Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah telah pun membongkar apa yang akan berlaku kepada ahli-ahli  neraka, ahli-ahli syurga dan yang duduk di tengah-tengah di al-A'raf.
  2. Jika kita isikan diri kita dengan suara yang tidak betul, contohnya  Metallica atau Heavy metal ia akan jadi kacau. Jika diisikan dengan perkataan-perkataan baik dari al-Quran, cakap yang baik-baik, ia seperti di dalam hati ada taman, sentiasa ceria gembira. Ada bunga-bunga dalam hati.
  3. Allah menyatakan, kalau sesuatu kawasan/negara itu baik, ia akan dapat menguruskan negara itu sehingga mengeluarkan tanam-tanaman yang baik. Tanah yang kontang pun kalau diurus dengan baik akan mengeluarkan tanam-tanaman seperti negara Arab yang tandus boleh keluarkan kurma. Tetapi jika tandus, akan keluar sesuatu yang tidak bermanfat/sedikit ( نَكِدًا ). Ini adalah tanda kebesaran Allah.
  4. Kita ini seperti tanah. Apabila kita dicurahkan dengan wahyu, dia akan menjadikan diri kita bermanfaat kepada orang ramai.
  5. Pengajaran: Pengurusan ekologi alam amat penting diberi perhatian. Pemimpin yang menguruskan alam sekitar mesti belajar daripada ayat ini supaya mengambil peranan untuk letak tanam-tanaman dan jaga longkang-longkang agar ianya tidak menyebabkan tersumbat yang boleh mengakibatkan banjir.
  6. Bila baca ayat ini kita kan rasa bersyukur kerana dapat makan buah yang berbagai-bagai hasil daripada tanah kontang yang disuburi oleh hujan daripada Allah SWT yang akhirnya boleh tumbuh macam-macam.
  7. Kalau diri kita ini tanah yang disiram wahyu sepatutnya kita juga menghasilkan buah-buah manfaat supaya jadi lebih bersyukur dengan segala anugerah yang Allah berikan, bukan merungut sahaja. Kita bersyukur masih dapat oksigen hasil daripada tumbuhan yang tumbuh daripada tanah yang asalnya kontang.



Ayat [7:59]

 

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ

 

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat]


 

Ayat [7:60]

 

قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ

 

Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata".


 

Ayat [7:61]

 

قَالَ يَـٰقَوْمِ لَيْسَ بِى ضَلَـٰلَةٌ وَلَـٰكِنِّى رَسُولٌۭ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Nabi Nuh menjawab: "Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.


 

Ayat [7:62]

 

أُبَلِّغُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَأَنصَحُ لَكُمْ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

 

"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.


 

Ayat [7:63]

 

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَآءَكُمْ ذِكْرٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ وَلِتَتَّقُوا۟ وَلَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

 

"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?".

 


Ayat [7:64]

 

فَكَذَّبُوهُ فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ فِى ٱلْفُلْكِ وَأَغْرَقْنَا ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا عَمِينَ

 

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran.

 

Mesej dan Tindakan ayat 59-64 ( Flashback Cerita Nabi Nuh a.s.)


  1. Nabi Nuh mengajak kaumnya menyembah Allah kerana tidak mahu mereka diazab di akhirat. Mesej inilah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang mesti juga kita sampaikan kepada keluarga kita.
  2. Peringatan: Kita mesti hanya beribadah mengabdikan diri kepada Allah bukan kepada tuhan kuasa, tuhan duit yang membawa kepada rasuah, yang membawa kepada tuhan-tuhan lain, bukan tuhan berhala sahaja.
  3. Malak ( ٱلْمَلَأُ ) ialah orang yang mempunyai kuasa/kuat pengaruh. Mereka boleh buat propaganda yang kebaikan ini sebenarnya adalah satu kesesatan.
  4. Kaum Nabi Nuh mendustakannya, malah mengatakan beliau sesat.
  5. Nabi Nuh tetap menjawab secara lemah lembut bahawa dia tidak sesat tetapi dia seorang rasul yang diutuskan oleh Tuhan sekelian alam.
  6. Sejarah bermulanya penyembahan berhala: Di zaman Nabi Idris, ada orang baik. Untuk mengingati orang baik itu mereka buat berhala/tugu. Semakin lama, mereka menyembah berhala. Syirik berlaku apabila ada perantaraan dengan Allah.
  7. Kita dilarang untuk membuat tugu untuk mengingat kepada jasa sesiapa, bimbang akan menjadi sembahan generasi akan datang.
  8. Nabi Nuh berkata beliau hanya mahu memberi nasihat agar mereka tidak menyembah berhala.
  9. Nabi Nuh, sifatnya tegas seperti juga Nabi Musa tetapi masih lagi menasihatkan kaumnya dengan lembut untuk memperingatkan mereka agar mereka diberi rahmat oleh Allah.
  10. Peringatan: Kita mesti tegas tetapi dengan kasih sayang, mengajak orang kearah kebaikan. Bukan tegas itu tanda kita benci. Beritahu yang tidak betul kerana kita tidak mahu bahaya kerosakan berleluasa.
  11. Kaum Nabi Nuh mendustakannya. Dalam 950 tahun Nabi Nuh berdakwah, hanya sekiat 70 orang yang beriman. Pengajaran: Janganlah kita mudah kecewa apabila tak ramai yang ikut bila kita seru kepada kebaikan. Tetap istiqamah seperti Nabi Nuh.
  12. Dalam hidup kita juga, jika ada orang menegur kita dan kita tidak mahu mendengar, samalah kita seperti kaum Nabi Nuh.
  13. Dalam hidup kita, kalau ada orang ingatkan kebaikan jangan kita abaikan/nafikan. Kalau bersalah hendaklah kita mengaku kepada Allah (Baca doa taubat Nabi Adam a.s).
  14. Nabi Nuh diselamatkan bersama pengikut-pengikutnya di dalam bahtera, kecuali mereka yang mendustakannya. Orang yang ditenggelamkan itu buta mata hati mereka. Allah dah beri cahaya daripada wahyu melalui Nabi Nuh, tetapi hati mereka seperti tanah tandus yang tidak dapat menerima wahyu. Peringatan: Jangan sombong agar kita tidak jadi seperti kaum Nabi Nuh.
  15. Bila kita berbuat baik dan ada orang kecam, itu biasa. Jika tidak ada yang kecam, itu yang luar biasa.

 


Ayat [7:65]

 

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًۭا ۗ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ

 

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? "

 


Ayat [7:66]

 

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى سَفَاهَةٍۢ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

 

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta".

 


Ayat [7:67]

 

قَالَ يَـٰقَوْمِ لَيْسَ بِى سَفَاهَةٌۭ وَلَـٰكِنِّى رَسُولٌۭ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Nabi Hud menjawab: "Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

 

Mesej dan Tindakan ayat 65-67 (Cerita kaum Aad)


  1. Nabi Hud diutuskan kepada kaum Aad selepas keturunan Nabi Nuh yang selamat daripada banjir besar kembali melakukan syirik. Jarak masa yang lama selepas Nabi Nuh. Mesej tetap sama, iaitu jangan ada syirik. Begitu juga mesej yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
  2. Orang yang menentang Nabi Hud juga mereka yang ada kuasa. Kalau kita ada kuasa/pengaruh, hendaklah berjaga-jaga dengan apa yang kita cakap, atau tulis di media sosial kerana Allah akan rekod semuanya dan dipersoalkan di akhirat nanti. Mereka ini akan berada bersama Firaun, Haman, Qarun dan sebagainya.
  3. Mereka mengecam dan mendustakan Nabi Hud. Janganlah kita jadi orang yang suka mengecam orang lain samada secara bersemuka atau di media sosial. Itu lambang orang yang derhaka kepada Allah.
  4. Nabi Hud tetap menjawab cemuhan kaumnya dengan kata-kata yang lembut dan penuh kasih sayang. Begitu juga Nabi Muhammad SAW tetap bercakap yang baik-baik kepada kaum musyrik Mekah. Inilah santun yang kita ambil daripada al-Quran. Cakap baik-baik dengan anak-anak, dalam keluarga, dengan kawan dan di tempat kerja. Gunakan perkataan yang sopan dalam media sosial. Kita tidak mahu anak-anak kita pelik melihat maki hamun yang berlaku dalam parlimen contohnya.
  5. Semoga Allah mengkabulkan doa kita agar menjadi orang yang bertakwa, bersopan santun, tidak mengecam dan mendustakan kebenaran. Kita menggunakan apa yang Allah pinjamkan kepada kita agar negara kembali aman.





















































































































RESOLUSI 


Ingat !!


  1. Bersyukur dengan kepelbagaian ayat atau bukti untuk menunjukkan kehebatan dan ketauhidan Allah SWT (58)
  2. Terus menyebarkan risalah kerana masih ramai tidak tahu isinya (62)
  3. Meningkatkan ibadah kepada Allah SWT untuk mengelakkan diri menjadi jahil (67)

Lega kerana Allah memberi motivasi untuk saya terus menyampaikan kebenaran dengan istiqamah walaupun ditentang atau dikecam.

 

Saya jelas untuk bersyukur dengan kepelbagaian ayat atau bukti yang menunjukkan kehebatan dan ketauhidan Allah SWT. Saya mesti terus menyebarkan risalah kerana masih ramai tidak tahu isinya. Saya juga jelas saya mesti meningkatkan ibadah kepada Allah SWT untuk mengelakkan diri menjadi jahil.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, jadikan kami orang bersyukur dengan segala bukti yang menunjukkan kehebatan dan ketauhidan Mu. Ya Allah, bantu kami untuk menyebarkan risalah tauhid kerana masih ramai tidak tahu isinya. Ya Allah, bimbing kami untuk meningkatkan ibadah kepada Mu agar kami terhindar dari menjadi orang yang jahil.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.











Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...