Monday, June 5, 2023

Halaman 159: Al-A'raf, 7:68-73

 


PERKATAAN HARI INI: 


 نَصَحَ Nasihat. 

13 kali disebut dalam al-Quran.



SINOPSIS  


1.     Sambungan kisah Nabi Hud A.S (68-72)

2.     Kisah Nabi Soleh A.S (Bahagian 1) (73)







 

Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pengajian di halaman 159 pada hari Jumaat yang penuh barakah daripada Allah SWT. Kita memohon kepada Allah hidayah dan Allah pelihara kita dari fitnah akhir zaman dengan membaca sekurang-kurangnya 10 ayat terawal dari Surah al-Kahfi.  Dengan membaca al-Fatihah dan surah al-Kahfi kita memuji kepada Allah SWT yang telah menurunkan kitab untuk kita jadikan pedoman. Tidak ada kebengkokan di dalamnya. Dalam surah al-A'raf yang telah kita lihat, ada orang cuba membengkokkan jalan yang lurus. Al-Quran meluruskan perasaan dan fikiran kita yang bengkok. Al-Quran menjelaskan tujuan kita hidup dan perasaan kita ini perlu dikuatkan walaupun ada banyak cabaran seperti yang dihadapi oleh Nabi Hud.

 

Kita mendoakan semua  frontliners yang berpanas di dalam PPE untuk menyelamatkan kita supaya mereka diberi ketabahan. Menjaga satu nyawa umpama menjaga semua nyawa dan didoakan mereka terus istiqomah. Kita mohon Allah memberikan yang terbaik kepada kita.

 

Ayat [7:68]

 

أُبَلِّغُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَأَنَا۠ لَكُمْ نَاصِحٌ أَمِينٌ

 

"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Hud ditemplak oleh kaumnya. Kaumnya menggelarnya bodoh. Nabi Hud telah menjawab yang beliau bukan gila, beliau adalah utusan dari Allah.
  2. Ia membawa risalah daripada Allah. Jati diri Nabi Hud ada disebut di dalam ayat 67. Nabi Hud menyebut beliau memberi nasihat dan ini adalah fungsi, dan beliau adalah orang yang boleh dipercayai.
  3. Kaum Aad takbur kerana mereka besar.
  4. Kisah ini diturunkan kepada Nabi SAW di Mekah semasa baginda SAW dikecam, digelar sesat dan gila seperti nabi-nabi terdahulu. Namun Nabi SAW tetap menyampaikan risalah daripada Allah SWT.

Ayat [7:69]

 

أَوَعَجِبْتُمْ أَن جَآءَكُمْ ذِكْرٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍۢ مِّنكُمْ لِيُنذِرَكُمْ ۚ وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَآءَ مِنۢ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍۢ وَزَادَكُمْ فِى ٱلْخَلْقِ بَصْۜطَةًۭ ۖ فَٱذْكُرُوٓا۟ ءَالَآءَ ٱللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

 

"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Hud yang bersama dengan kaum Aad adalah tinggalan daripada kaum Nabi Nuh. Kaum Nabi Nuh masuk kepada kaum Nabi Hud. Kaum Nabi Nuh membuat patung orang yang dahulu untuk mengingati mereka tetapi lama-lama disembah pula.
  2. Nabi Nuh dan Nabi Hud adalah dari zaman/era yang berbeza. Nabi Hud bertanya kepada kaumnya, dahulu pun sudah ada nabi yang memberi peringatan, kenapa kaumnya hairan sangat dengan kehadirannya. Ingatlah sepatutnya mereka membuat kebaikan, bukan mengulangi sejarah Nabi Nuh.
  3. Manusia mudah lupa. Seperti kita sekarang, sering lupa untuk menjaga SOP.  Ada orang yang mahu pergi bercuti dan shopping melampau-lampau dan akhirnya memberi kesan kepada kita dengan peningkatan kes COVID19. Ini baru setahun. Allah ingatkan kepada kita tentang kisah Nabi Nuh dan Nabi Hud yang diazab kerana tidak mahu mengikut risalah daripada Allah.
  4. Jangan jadi orang yang sombong seperti kaum Aad nanti kamu akan berada di tempat yang amat rendah di akhirat nanti iaitu di neraka.
  5. Formula berjaya dalam al-Quran ada 40. Salah satu formula berjaya ialah mesti ingat nikmat Allah            ( ءَالَآءَ) iaitu nikmat lembut dan juga keras. Nikmat yang keras kepada kaum Aad ialah mereka berbadan sasa, rumah mereka besar dan hebat. Nikmat lembut ialah mereka dapat duduk dengan aman.

Ayat [7:70]

 

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِنَعْبُدَ ٱللَّهَ وَحْدَهُۥ وَنَذَرَ مَا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا ۖ فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

 

Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Mereka marah orang mengingatkan mereka untuk menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan apa yang disembah oleh nenek moyang mereka. Orang yang sombong ini mencabar pemberi peringatan. Mereka meminta Nabi Hud menunjukkan azab yang dikatakan akan berlaku.
  2. Kita tidak boleh menasihatkan Allah. Kita mesti menyucikan Allah dan mengkhuduskanNya. Kita mahu mengikut rasul. Buka semula buku-buku sirah Nabi SAW. Ini adalah 'addin an nasihah'
  3. Orang kufur meminta syafaat untuk kembali tetapi tidak dapat. Syafaat terjadi bila kita selalu bersama dengan seorang itu. Kalau kita tidak kenal, tiba-tiba datang nak minta tolong, tentulah kita tidak bagi. Kita yang ada al-Quran, bacalah dengan betul kerana ia akan menjadi syafaat di akhirat.

 

Ayat [7:71]

 

قَالَ قَدْ وَقَعَ عَلَيْكُم مِّن رَّبِّكُمْ رِجْسٌۭ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجَـٰدِلُونَنِى فِىٓ أَسْمَآءٍۢ سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّا نَزَّلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَـٰنٍۢ ۚ فَٱنتَظِرُوٓا۟ إِنِّى مَعَكُم مِّنَ ٱلْمُنتَظِرِينَ

 

 

Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Hud memberitahu kaumnya bahawa mereka akan tetap diberi siksaan yang keji kerana menyembah berhala dan berbahas tanpa bukti yang membenarkannya.
  2. Mereka sama-sama menunggu kedatangan azab daripada Allah.
  3. Janganlah kita berbahas dan mencabar kebaikan tanpa bukti daripada al-Quran.

Ayat [7:72]

 

فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَقَطَعْنَا دَابِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۖ وَمَا كَانُوا۟ مُؤْمِنِينَ

 

Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Bila mereka mencabar, Allah menyelamatkan Nabi Hud dan pengikutnya. Mereka pergi ke gunung dan selamat. Orang yang kufur itu diazab dengan angin puting beliung yang ditiupkan dan menghancurkan mereka hingga ke akar umbi.
  2. Sebagai pengajaran, janganlah kita suka mencabar orang yang suka berbuat baik. Kebaikan datangnya dari Allah.
  3. Allah memujuk Nabi Muhammad SAW dan juga kita. Kalau kita beriman, Allah akan tolong. Allah akan selamatkan kita dan Allah beri kasih sayangNya.
  4. Kalau kita buat baik, baca Quran, tegur orang rakus dalam harta, rasuah, jangan takut. Allah akan memberi rahmatNya dan selamatkan kita sekiranya kita menegur kerana iman, bukan kerana kepentingan peribadi. Kita buat kerana hendak menyampaikan risalah daripada Allah SWT.
  5. Kita dapat lihat yang di dalam kisah-kisah ini, tidak ada mukjizat yang diberi kepada Nabi Hud dan Nabi Nuh.

 



















































































Ayat [7:73]

 

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًۭا ۗ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ قَدْ جَآءَتْكُم بَيِّنَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ هَـٰذِهِۦ نَاقَةُ ٱللَّهِ لَكُمْ ءَايَةًۭ ۖ فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِىٓ أَرْضِ ٱللَّهِ ۖ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوٓءٍۢ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ

 

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini permulaan kisah Nabi Soleh dan kaum Thamud. Thamud maknanya sedikit, iaitu sedikit air. Allah turunkan mukjizat iaitu unta yang perlu berkongsi minuman dengan mereka daripada air yang sedikit.
  2. Mesej dari Nabi Soleh adalah sama dengan mesej nabi-nabi lain. Konsisten mesej itu. Bila Nabi SAW menyampaikan dakwah, ia adalah mesej yang sama. Begitu juga dengan kita mengikut nabi untuk memperjuangkan jangan mengabdikan diri selain daripada Allah SWT, jangan ikut kepada tuhan lain seperti tuhan duit dan kuasa. Kita tidak mahu ibadah kita hanya pada waktu solat.
  3. Perjuangan nabi-nabi adalah perjuangan menghapuskan syirik. Mereka yang kufur  sanggup buat berhala kerana berhala itu bisnes bagi mereka. Orang yang yakin kepada Allah SWT, akan berani meninggalkan perkara-perkara yang menjurus kepada syirik. Kita kena jelas bahawa kita memberi nasihat untuk menyucikan.
  4. Dalam Al Quran, ada perkara yang kita tidak boleh sentuh. Jangan main-main dengan ayat al-Quran khuatir nanti azab yang besar menimpa kita.
  5. Semoga Allah jauhkan kita daripada menjadi orang yang sombong, sentiasa melihat 'ala Allah', sentiasa mengira nikmat kecil besar, lembut keras.
  6. Kita mahu menyebarkan al-Quran selain juga kesedaran-kesedaran nilai berteraskan wahyu sehingga kita diselamatkan dari caca marba di dunia ini.




















RESOLUSI 

 

Ingat !!


  1. Ingat nikmat dari Allah SWT walaupun ia kecil/sedikit untuk berjaya (69)
  2. Jangan melenting jika ditegur untuk menghambakan diri kepada Allah SWT dan jangan ikut orang terdahulu (70)
  3. Jaga iman dan amal agar Allah SWT jaga kita (72)

Lega kerana Allah akan jaga saya jika saya jaga iman dan amal.

 

Saya jelas untuk ingat nikmat daripada Allah SWT walaupun ia kecil/sedikit agar saya berjaya. Saya jelas untuk tidak melenting jika ditegur untuk menghambakan diri kepada Allah SWT. Saya jelas untuk tidak ikut orang terdahulu secara membabi buta. Saya mesti jaga iman dan amal agar Allah SWT jaga saya.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, ingatkan kami akan nikmat yang Engkau berikan walaupun ia kecil/sedikit agar kami jadi orang yang berjaya. Ya Allah bimbing kami untuk menghambakan diri kepada Mu. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami melakukan perbuatan yang tiada dalam syariat Mu. Bantu kami untuk jaga iman dan amal kami. Ya Allah, jagalah kami dariapad terlibat dengan perbuatan syirik.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...