PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Pembuktian dengan datangnya khabar gembira (12:96-98)
- Pertemuan keluarga Nabi Yaakub AS di Mesir (12: 99-100)
- Sebuah doa Nabi Yusuf AS tentang nikmat Allah SWT dan permohonan husnul khatimah (12:101)
- Penegasan kenabian Muhammad SAW (12:102-103)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita menyambung halaman 247 Surah Yusuf untuk kita meneruskan babak-babak terakhir Surah Yusuf yang penuh dengan pengalaman, kesedihan dan kegembiraan yang bercampur.
Kita selalu memohon hidayah. Salah satu hidayah disampaikan dalam bentuk cerita. Dalam hidup kita ini ada cerita-cerita yang boleh membawa hidayah kepada kita. Kita cermati, ikuti dan kita lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf AS boleh berlaku dalam hidup kita dalam skala yang berbeza. Yang pastinya ada Tuhan yang sama untuk membantu kita.
Ayat 12:96
Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?"
Pengajaran
- Pada halaman lepas kita telah lihat bagaimana Nabi Yaakub AS telah menghidu bau (رِيحَ) Nabi Yusuf AS dari jauh lagi kerana naluri kebapaannya amat tinggi. Baginda amat rindu kepada Nabi Yusuf AS. Nabi Yaakub AS tidak boleh melihat dan biasanya OKU begini deria-deria lain lebih tajam berbanding ahli keluarga yang lain.
- Allah SWT menamakan abang-abang Nabi Yusuf sebagai pembawa khabar gembira (ٱلْبَشِيرُ). Mereka memegang amanah membawa baju Nabi Yusuf AS kepada ayah mereka menandakan mereka sudah bertaubat. Ini menunjukkan Allah SWT Maha Pengampun. Bila kita buat salah, mengaku dan minta ampun. Semua orang boleh menjadi ٱلْبَشِيرُ.
- Mereka membawa baju Nabi Yusuf AS ke wajah ayah mereka. Mereka tidak bercakap banyak seperti sebelum ini.
- Ayah mereka menyatakan yang baginda tahu apa yang mereka tidak ketahui. Mereka tidak ada ilmu yang Allah SWT ajarkan seperti ilmu تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ yang Allah SWT ajar kepada Nabi Yusuf.
- Allah SWT akan mengajar ilmu kepada siapa yang mahu mendekatkan diri kepadaNya. Jika kita dekat dengan Allah SWT, kita akan diberi ilmu yang tidak diberi kepada orang lain.
Ayat 12:97
قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا ٱسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَآ إِنَّا كُنَّا خَـٰطِـِٔينَ ٩٧
Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".?
Pengajaran
- Abang-abang Nabi Yusuf AS mengaku mereka bersalah dan memohon ayah mereka untuk meminta ampun bagi dosa-dosa mereka (ذُنُوبَنَآ).
- Ada 8 dosa-dosa abang-abang Nabi Yusuf AS:
- Merencanakan untuk merosakkan Nabi Yusuf AS
- Menunjukkan sayang kepada Nabi Yusuf AS di depan ayah mereka sedangkan sebenarnya mereka benci
- Berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf AS tetapi berniat untuk merosakkan
- Melempar anak kecil iaitu adik mereka ke dalam telaga
- Membawa baju dengan darah palsu kepada ayah mereka
- Berdusta kepada ayah mereka yang Nabi Yusuf telah dimakan serigala.
- Berdusta di rumah Al-Aziz menuduh Nabi Yusuf AS pencuri
- Menyebabkan ayah mereka berduka secara berpanjangan
Ayat 12:98
Nabi Yaakub berkata: "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
Pengajaran
- Nabi Yaakub AS mengatakan yang baginda akan memohon ampun (سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ) untuk mereka kerana (berbanding Nabi Yusuf AS yang terus mengampunkan mereka)
- Nabi Yaakub AS ditekan secara emosi. Nabi Yusuf AS ditekan secara fizikal.
- Yang menyakitkan hatinya ialah anak sendiri. Nabi Yusuf AS disakiti oleh abang-abang.
- Ada ulamak mengatakan Nabi Yaakub AS hendak meminta ampun pada waktu malam, waktu terbaik memohon keampunan untuk anak-anaknya yang telah buat silap. Ayah tetap ingin memohon keampunan untuk anak. Baginda positif bahawa Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Inilah susuk seorang ayah yang kita boleh ambil pelajaran.
Ayat 12:99
Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.
Pengajaran
- Inilah kisah pertemuan Nabi Yusuf AS dengan ayahnya di Mesir. Nabi Yusuf AS menunggu keluarganya di pintu gerbang Mesir dan merangkul (ءَاوَىٰٓ) ayah dan ibunya.
- Nabi Yusuf AS menjemput mereka ke Mesir dengan berkata; "insya Allah kamu berada di dalam aman" (إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ). Inilah jawapan kepada persoalan bagaimana Bani Israel masuk ke Mesir. Keamanan mereka di Mesir tidak kekal kerana mereka ditindas pada zaman Firaun. Semuanya berlaku dengan iziin Allah. Dalam hidup ini tidak ada yang kekal.
Ayat 12:100
Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Apabila sampai di istana, Nabi Yusuf AS mengangkat ibu ayahnya duduk di atas singgahsana untuk memuliakan mereka. Inilah adab kepada ibu bapa yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf AS. Setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf AS.
- Nabi Yusuf AS mula bercakap kepada mereka mengimbau kembali kisah mimpinya semasa kecil dan bercerita tentang apa yang telah berlaku kepadanya sehingga ke saat pertemuan kembali dengan mereka.
- Nabi Yusuf AS menggunakan panggilan yang baik (يَٰٓأَبَتِ) bahawa apa yang ayahnya beritahu padanya dahulu adalah benar.
- Nabi Yusuf AS tidak tidak mengungkit perbuatan buruk abang-abangnya. Baginda terus memberitahu perkara yang baik dan mengatakan bahawa yang merosakkan hubungan mereka ialah syaitan. Nabi Yusuf AS tidak sedikit pun menyalahkan abang-abangnya.
- Nabi Yusuf AS nampak bagaimana seninya Allah SWT (رَبِّى لَطِيفٌ) mengatur kehidupan mereka. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ). Ayat ini sama dengan kata-kata Nabi Yaakub AS dalam ayat 12:6 ( إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ). Ayat 12:100 ada ٱلْ mengesahkan apa yang dikatakan oleh Nabi Yaakub AS telah berlaku dengan percaturan Allah SWT.
Ayat 12:101
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".
Pengajaran
- Ayat تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ membawa maksud boleh mentakwil peristiwa-peristiwa samada dalam mimpi atau dalam kehidupan. Nabi Yusuf AS mempunyai kecekapan untuk menakkul pada ekonomi, situasi yang berada dalam penjara, dalam rumah Al-Aziz ataupun ketika dijual di pasar.
- Nabi Yusuf AS munajad kepada Allah SWT. Baginda mengaku mendapat nikmat daripada Allah SWT:
- nikmat luaran iaitu pangkat sebagai pemimpin. Itu semua datangnya daripada Allah SWT. Semua nikmat yang diterima mesti ditunaikan dengan hafizun alim, bukannya dengan merosakkan amanah daripada rakyat yang telah memilih seseorang sebagai pemimpin.
- nikmat dalam diri iaitu ilmu تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ. Nabi Yusuf AS tidak salah guna kuasa untuk membuat kerosakan. Baginda menggunakan ilmunya untuk mengajak orang dalam penjara, mengajak al-Malik dan mengajak rakyat kepada Allah SWT.
- Nabi Yusuf AS mengaku Tuhan yang menciptakan langit dan bumi adalah Penguasa dan Pelindung nya di dunia dan di akhirat. Allah SWT melindunginya di dalam perigi dan yang melindunginya di dalam penjara.
- Kita mesti ingat yang Tuhan tidak pernah meninggalkan kita sebagai wali di dunia dan di akhirat.
- Nabi Yusuf AS sangat gembira dapat bertemu ibu ayahnya. Baginda berdoa memohon diwafatkan dalam keadaan Islam dan dapat bersama orang-orang soleh. Begitulah rasa rindu kita mahu bertemu ibu ayah kita sekarang tetapi terhalang oleh pandemik. Kita bukan hanya mahu bertemu di sini tetapi mahu bersama di akhirat sebagai orang-orang soleh.
Ayat 12:102
(Kisah nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).
Ayat 12:103
Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)
Pengajaran Ayat 102 - 103
- Cerita Nabi Yusuf AS ini diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk memberi semangat kepadanya.
- Orang kafir merancang tetapi perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.
- Allah SWT ingatkan bahawa kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun Nabi SAW terlalu ingin supaya mereka beriman.
RESOLUSI
Ingat!
- Mohonkan keampunan bagi orang yang pernah buat silap pada kita (12:98)
- Berikan keamanan kepada orang yang pernah buat onar jika mereka bertaubat (12:99)
- Terus menjaga hati orang yang pernah menyakiti hati kita (12:100)
Saya berasa lega kerana Allah SWT ajar supaya jadi orang yang pemaaf dan tidak menyalahguna kuasa untuk membalas dendam.
Saya jelas untuk mohonkan keampunan bagi orang yang pernah buat silap pada kita. Saya jelas untuk berikan keamanan kepada orang yang pernah buat onar jika mereka bertaubat. Saya jelas saya mesti terus menjaga hati orang yang pernah menyakiti hati saya.
Ya Allah, ampunkan kami, ampunkan orang yang pernah buat silap pada kami. Ya Allah, bimbing kami untuk berikan keamanan kepada orang yang pernah buat onar jika mereka bertaubat. Ya Allah, bantu kami untuk terus menjaga hati orang yang pernah menyakiti hati kami. Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat dendam, jadikan kami orang yang pemaaf.
Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindung kami di dunia dan di akhirat; matikanlah kami dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah kami dengan orang-orang yang soleh.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.