PERKATAAN HARI INI
عَبَرَ = Mentafsir, mengambil pelajaran.
9 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Antara bukti dan petunjuk kuasa Ilahi dan tauhid, serta sejumlah manifestasi nikmat tuhan kepada manusia (16:65-69)
- Beberapa keajaiban manusia yang menunjukkan kuasa Allah SWT (16:70-72)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 274 untuk sama-sama kita melihat kenapa surah ini dinamakan surah al-Nahl yang bercerita tentang lebah dan madu.
Ayat 16: 65
وَٱللَّهُ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ
Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya).
Pengajaran
- Al-Quran menurunkan air daripada langit lalu menghidupkan bumi yang kontang. Ini adalah satu tanda yang membuktikan kebijaksanaan Allah SWT bagi kaum yang mendengar (يَسْمَعُونَ لِّقَوْمٍ).
- Orang yang ada pendengaran akan mendengar kisah-kisah orang terdahulu, tentang tempat yang tidak subur, kemudian menjadi subur dengan turunnya hujan seperti negeri Saba'.
- Kalau kita dengar al-Quran dalam keadaan hati kita kontang, ia akan menghidupkan hati dan menjadikan hati lebih tenang. Jika kita tidak mendengar perkara-perkara sam'iyyat, kita akan mempersoalkan tentang hari akhirat dan tidak bersedia untuk ke sana.
- Mendengar sejarah, wahyu dan perkara-perkara sam'iyyat, akan membawa kita kepada kejayaan.
Ayat 16: 66
وَإِنَّ لَكُمْ فِى ٱلْأَنْعَٰمِ لَعِبْرَةً نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِى بُطُونِهِۦ مِنۢ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَآئِغًا لِّلشَّٰرِبِينَ
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.
Pengajaran
- Pada binatang-binatang ternakan ada ibrah. Ibrah ialah pelajaran yang membuat kita mengeluarkan air mata. Contoh: Di tengah-tengah padang pasir, Allah SWT memberi minuman daripada perut binatang ternakan iaitu susu yang mudah diminum. Susu itu asalnya bercampur darah dan najis, tetapi dengan kuasa Allah SWT ia keluar sebagai minuman yang bersih dan berkhasiat. Inilah yang kita perlu ambil pelajaran. Dalam kotoran itu keluar sesuatu yang bersih.
- Kalau seseorang manusia berada dalam kotoran maksiat dan berbagai ujian yang ada, dia masih boleh lagi keluarkan amalan yang ikhlas kepada Allah. Itulah yang akan membuatkan orang lain tenang.
Ayat 16: 67
وَمِن ثَمَرَٰتِ ٱلنَّخِيلِ وَٱلْأَعْنَٰبِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.
Pengajaran
- Buah tamar dan anggur boleh dijadikan minuman yang memabukkan dan minuman yang baik. Kalau memilih yang salah, ia akan memberi kesan kepada akal.
- Tanah, air dan matahari yang sama, buah yang dihasilkan berbeza. Orang yang berfikir akan nampak kehebatan Allah SWT.
Ayat 16: 68
وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ أَنِ ٱتَّخِذِى مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.
Pengajaran
- Allah SWT memberi ilham kepada lebah untuk membuat sarang di gunung-gunung, pohon-pohon dan bangunan-bangunan. Seperti lebah, kaum Tsamud juga diberi ilham untuk membuat rumah daripada gunung-gunung.
- Dalam hidup ini kalau kita boleh menghasilkan sesuatu perkara yang hebat, hendaklah kita sedar bahawa ilham itu datangnya daripada Allah SWT yang menyebabkan kita boleh berjaya.
Ayat 16: 69
ثُمَّ كُلِى مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ فَٱسْلُكِى سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا يَخْرُجُ مِنۢ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ فِيهِ شِفَآءٌ لِّلنَّاسِ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir
Pengajaran
- Allah SWT juga mengilhamkan kepada lebah untuk makan segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan serta turut jalan-jalan peraturan-Nya. Lebah mengikut jalan wahyu.
- Madu yang dihasilkan oleh lebah menjadi ubat (شِفَآءٌ) kepada manusia.
- Madu lebah di tanah Arab tidak sama dengan madu di Malaysia atau tempat lain. Allah yang memberikan ilham itu kepada lebah. Ikut jalan wahyu, madu itu berbeza warnanya dan ia menjadi ubat.
- Tidak ada alif lam pada perkataan syifa' itu menunjukkan bahawa madu bukan ubat untuk semua penyakit. Ia sesuai untuk penyakit tertentu seperti yang dikaji oleh para doktor.
- Orang yang mahu berfikir akan sedar bahawa pada ternakan dan lebah ada tanda yang membuktikan kemurahan Allah SWT.
- Lepas makan, ternakan akan kembali ke kandang. Mereka mengikut peraturan. Manusia yang tidak mahu mengikut peraturan dan kembali kepada Allah SWT bila sampai waktunya, patut merasa segan kepada kambing dan lembu.
- Bab lebah, kita kena fikir secara mendalam sebab kita tidak nampak. Pelajarannya, ada orang mendapat manfaat daripada lebah tetapi tidak kisah pun tentang lebah. Jangan sampai kita hanya ambil manfaat daripada bumi dan langit Tuhan tetapi tidak kisah pun untuk mengambil tahu siapakah pencipta langit dan bumi.
Ayat 16: 70
وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّىٰكُمْ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَىْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْـًٔا إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Pengajaran
- Allah SWT menyuruh kita melihat pula kepada diri kita sendiri. Dari lahir, kita membesar, jadi dewasa, tua, dan kembali lemah.
- Ini adalah tentang perkembangan manusia. Allah SWT yang menciptakan dan memberi rezeki umur. Bila sudah tua, menjadi lemah dan tidak ingat.
- Antara penyakit yang tidak boleh diubat dengan madu ialah penyakit tua dan nyanyuk. Inilah salah satu daripada kehebatan Allah SWT yang boleh kembalikan kita kepada asal.
Ayat 16: 71
وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِى ٱلرِّزْقِ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُوا۟ بِرَآدِّى رِزْقِهِمْ عَلَىٰ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَآءٌ أَفَبِنِعْمَةِ ٱللَّهِ يَجْحَدُونَ
Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?
Pengajaran
- Allah SWT melebihkan rezeki kepada sebahagian daripada kita.
- Allah SWT menyeru kepada orang yang ada rezeki lebih untuk bagi kepada orang yang kurang. Ada orang yang engkar seruan ini. Mereka tidak mahu infaq kepada orang lain, hanya kaut untuk diri sendiri.
- Mind set ini perlu diubah kerana Allah SWT yang memberi rezeki tersebut, bukannya hak kita secara mutlak.
Ayat 16: 72
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ أَفَبِٱلْبَٰطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ ٱللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ
Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita yang Dia menjadikan diri kita, pasangan kita, cucu cicit dan juga perkara yang baik-baik.
- Semua itu adalah rezeki. Ada orang yang mendapat segala-galanya, tetapi ia beriman kepada perkara yang batil dan mengkufuri nikmat Allah SWT.
- Inilah yang Allah ingatkan agar kita jangan jadi orang yang kufur, tetapi menjadi orang yang amat bersyukur, kuatkan iman kita kepada Allah SWT, hargai semua perkara ini agar jangan mensyirikkan Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Memerhati dan mengkaji sains dan manfaat lebah (16:68-69)
- Membuat persediaan hari tua (16:70)
- Menghargai rezeki keluarga dan kehidupan dengan memperjuangkan iman (16:72)
Saya berasa lega Allah SWT beri bermacam-macam rezeki untuk saya.
Saya jelas untuk memerhati dan mengkaji sains dan manfaat lebah. Saya jelas saya mesti membuat persediaan hari tua. Saya jelas untuk menghargai rezeki keluarga dan kehidupan dengan memperjuangkan iman.
Ya Allah, bimbing kami untuk memerhati dan mengkaji sains dan manfaat lebah. Ya Allah bantu kami untuk membuat persediaan hari tua. Jauhkan kami daripada sifat lupa dan nyanyuk. Ya Allah, jadikan kami orang yang menghargai rezeki keluarga dan kehidupan dengan memperjuangkan iman.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.