Wednesday, August 2, 2023

Halaman 280 : Al-Nahl, 111-118

 

PERKATAAN HARI INI 

جَادَلَ = Berdebat, berhujah.

29 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Bela diri dan diberi keadilan di akhirat (16:111)
  2. Akibat daripada sikap kufur nikmat di dunia (16:112-113)
  3. Makanan yang halal lagi baik dan makanan yang haram (16:114-118)


Mukadimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 280 untuk sama-sama melihat tentang kesan bagi yang telah membuat persediaan untuk bertemu Allah SWT dan mereka yang tidak membuat persediaan.

Al-Quran ini seperti air daripada langit yang akan menyuburkan tanah yang kontang. Al-Quran akan menyuburkan hati yang kontang bagi menghasilkan manusia yang bermanfaat kepada manusia lain.


Ayat 16: 111

يَوْمَ تَأْتِى كُلُّ نَفْسٍ تُجَٰدِلُ عَن نَّفْسِهَا وَتُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

(Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan balasan apa yang ia telah kerjakan (sama ada baik atau jahat), sedang mereka tidak akan dianiaya sedikit pun.

Pengajaran

  1. Dihujung ayat 110, Allah SWT menegaskan kepada kita bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun Maha Penyayang kepada orang-orang yang berhijrah, berjihad dan bersabar.
  2. Pada hari pembalasan nanti, manusia tidak kisah lagi kepada orang lain. Mereka datang untuk membela diri sendiri. 
  3. Allah SWT akan sempurnakan segala balasan dan mereka tidak akan dizalimi. Kita tidak nampak ganjarannya yang besar tetapi dengan ilmu yang benar kita tetap beriman kepada perkara yang tidak nampak.
  4. Ayat ini memberi pelajaran supaya kita perlu berhijrah, berjihad (bersungguh-sungguh), dan bersabar. Optimumkan potensi kita kerana nanti kita akan disempurnakan.  Contoh: Allah janjikan ganjaran kalau kita baca al-Quran, satu huruf ganjarannya sepuluh. Dalam satu baris ada 40 huruf dan dalam satu halaman ada 15 baris. Dengan kita baca al-Quran setiap hari, ganjaran besar menanti kita di akhirat. Ini adalah janji Allah kepada mereka yang mengambil pelajaran.
  5. Hendaklah kita banyakkan mempersoalkan diri kita sendiri sebagai persediaan hari pembalasan, jangan banyak mempersoalkan orang lain.


Ayat 16: 112

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ ءَامِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٰقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلْجُوعِ وَٱلْخَوْفِ بِمَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Pengajaran

  1. Satu perumpamaan tentang suatu negeri yang diberikan keamanan, ketenteraman, rezeki yang melimpah ruah dari seluruh pelusuk. Ini merujuk kepada negeri Mekah, bumi yang subur. Mekah didatangi oleh berbagai sumber manusia dari kanan kiri, depan belakang. Allah SWT yang mengurniakan rezeki kepada mereka.  
  2. Mereka mengingkari nikmat daripada Allah SWT, lalu Allah SWT timpakan kepada mereka rasa lapar dan takut kerana mereka merancang sistem-sistem yang rosak, yang kufur kepada nikmat-nikmat. Selepas baginda SAW berhijrah, Mekah kemarau sehingga Abu Suffian minta kepada Nabi SAW untuk mendoakan kemajuan Mekah.
  3. Apa yang kita belajar di sini, dosa dalam sesuatu negeri itu memberi kesan kepada negeri tersebut. Kalau banyak sangat dosa kufur berlaku di dalam sesuatu kawasan, bergaduh, tidak solat, yang berbisnes menipu, tidak mahu baca al-Quran, akhirnya Allah SWT akan pakaikan (لِبَاسَ) kepada mereka masalah lapar dan ketakutan. Inilah yang berlaku sepanjang sejarah.
  4. Apabila kita melihat keadaan Malaysia sekarang, kita teringat kisah Saidatina Hafsah, isteri Nabi SAW bila mendapat maklumat Saidina Uthman dibunuh, keadaan yang tidak aman ketika itu, beliau teringat ayat ini. 
  5. Kerana keadaan masyarakat yang sudah banyak kufur kepada Allah SWT, maka akhirnya Allah SWT menimbulkan masalah ekonomi sampai tak ada makanan dan rasa tidak selamat. Ini petunjuk kepada kita pada zaman pandemik ini, bila Allah beri pada dunia ini ekonomi merudum, keadaan tidak selamat, perkara ini adalah satu signal daripada Allah SWT supaya kita sama-sama kembali kepada mengikut rasul sebagaimana ayat berikut.


Ayat 16: 113

وَلَقَدْ جَآءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْهُمْ فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمُ ٱلْعَذَابُ وَهُمْ ظَٰلِمُونَ

Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim.

Pengajaran

  1. Orang-orang Mekah mendustakan risalah, mesej yang baik, dan rasul yang dihantarkan sebagai contoh teladan. Maka Allah SWT menurunkan azab sebagai hukuman. Merekalah yang zalim, bukan Allah SWT yang zalim.
  2. Bila datang mesej itu pada  zaman ini, seperti My #QuranTime dan kelas-kelas online, semua perkara ini bukan untuk didengar sahaja tetapi dibenarkan. 
  3. Allah SWT menegur kepada orang yang mendustakan. Jangan kita menafikan majlis-majlis al-Quran dan hadis. Itu tanda mendustakan. Kita tidak mahu negara kita ini di azab kerana kita tidak membenarkan mesej yang datang daripada Nabi SAW, daripada Al-Quran. Ini lah usaha kita bersama, baca, faham dan cuba amalkan apa yang dibawa oleh Nabi SAW. 


Ayat 16: 114

فَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَٰلًا طَيِّبًا وَٱشْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.

Pengajaran

  1. Bukti kita membenarkan risalah yang dibawa oleh Nabi SAW ialah kita makan yang halal dan toyyibah. Dalam surah-surah Makkiyah, peraturan tidaklah banyak sangat. Antara mesej penting halal dan toyyibah di Mekah pada masa itu ialah jangan menipu, jangan rasuah, jangan makan harta orang lain, jangan scam, jangan riba. 
  2. Halal dan toyyibah bukan sahaja tentang sembelih, tetapi juga tentang sumber. Oleh kerana rasuah dan penipuan berleluasa berlaku waktu itu maka Allah SWT memberikan kemarau kepada bumi Mekah, lebih-lagi apabila mereka menghalau Nabi SAW sehingga baginda berhijrah ke Madinah. 
  3. Hendaklah kita cari makanan yang halal dan toyyibah (sembelih dan jaga sumber) dan bersyukur kepada nikmat Allah SWT jika kita semua beribadah kepada Allah SWT.


Ayat 16: 115

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Allah SWT menjelaskan apa yang diharamkan. Sedikit sahaja yang diharamkan, berbanding yang halal. 
  2. Yang diharamkan ialah bangkai, darah, daging khinzir, binatang yang tidak disembelih dengan nama Allah SWT. 
  3. Dalam keadaan darurat, dibenarkan memakan yang haram itu sekadar keperluan sahaja. Kalau terpaksa makan, Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.


Ayat 16: 116

وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ ٱلْكَذِبَ هَٰذَا حَلَٰلٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.


Ayat 16: 117

مَتَٰعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Pengajaran Ayat  16 : 116-117

  1. Janganlah kita pandai-pandai mencampur adukkan halal dan haram dengan tidak mengikut ilmu berteraskan wahyu. Contoh: Menuduh produk lain haram untuk menjatuhkan bisnesnya.
  2. Orang yang membuat perkara ini tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. Orang yang tidak jaga makanan, atau mendapat sumber makanan daripada sumber haram, itu adalah kesenangan yang amat sedikit. Bagi mereka azab yang amat pedih.
  3. Kita tidak mahu bersekongkol dengan orang yang terlibat dengan judi dan arak. Kita usahakan supaya judi dan arak dihapuskan. Kita tidak mahu negara diazab lebih lagi. Banyak lagi rezeki yang Allah SWT beri, janganlah kita memilih sumber yang tidak halal


Ayat 16: 118

وَعَلَى ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ حَرَّمْنَا مَا قَصَصْنَا عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَمَا ظَلَمْنَٰهُمْ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah kami ceritakan kepadamu dahulu; dan tiadalah Kami menganiaya mereka (dengan pengharaman itu), tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Pengajaran

  1. Orang Yahudi mencampur adukkan halal haram. Itu memberi kesan kepada hukuman yang Allah turunkan kepada mereka selepas itu.
  2. Allah SWT tidak menganiaya mereka dengan pengharaman itu, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
  3. Janganlah kita halalkan yang haram dan haramkan yang halal sehingga menyusahkan hidup.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Laksanakan kempen syukuri nikmat Allah SWT agar tidak ditimpa azab lapar dan takut (16:112)
  2. Jangan mengadakan fitnah atau pendustaan terhadap peraturan Allah SWT (16:116)
  3. Sentiasa yakin Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya (16:118)

Saya berasa lega, kerana Allah SWT tidak pernah menzalimi hambaNya.

Saya jelas untuk laksanakan kempen syukuri nikmat Allah SWT agar tidak ditimpa azab lapar dan takut. Saya jelas untuk tidak mengadakan fitnah atau pendustaan terhadap peraturan Allah SWT. Saya jelas untuk sentiasa yakin Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya.

Ya Allah, pimpin kami untuk menghargai nikmat Mu. Jauhkan kami daripada ditimpa azab lapar dan takut. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami menjadi orang yang mengadakan fitnah atau pendustaan terhadap peraturan Mu. Ya Allah, tambahkan keyakinan kami bahawa Engkau tidak pernah menzalimi hamba Mu.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...