PERKATAAN HARI INI
سَرَى Berjalan, melewati
8 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Peristiwa Isra' dan diturunkannya kitab Taurat kepada Nabi Musa AS (17:1-3)
Bani Israel dalam sejarah (17:4-7)
Mukadimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat menyambung pembelajaran pada Juzuk 15, surah yang ke 17 iaitu Surah al-Isra' yang juga dinamakan Surah Bani Israel.
Surah ini adalah di antara 7 surah-surah Musabbihat. Ini adalah surah Makiyyah, begitu juga dengan Surah al-A'la. Lima surah lain adalah surah Madaniyyah.
Surah ini turun di tahun kesedihan baginda SAW. Pada tahun itu isteri baginda, Saidatina Khadijah dipanggil oleh Allah SWT. Saiditina Khadijah banyak membantu perjuangan baginda SAW di Mekah. Pada tahun itu juga bapa saudara baginda, Abu Talib yang banyak membantu baginda SAW walaupun bukan Islam, dipanggil oleh Allah SWT.
Kematian dua orang ini menjadi puncak kesedihan kepada Nabi SAW ketika berjuang di hujung fasa dakwah di Mekah.
Ayat 17: 1
سُبْحَٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَٰتِنَآ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
Surah ini dinamakan sebagai surah Musabbihat kerana ia bermula dengan tasbih Maha Suci Allah kerana Allah ini tidak ada masalah, tidak ada kekurangan, tetapi yang ada kekurangan adalah kita. Maka apabila kita membaca surah Musabbihat, ini adalah formula kejayaan terutama kepada umat Islam akhir zaman.
Ketika Nabi SAW bersedih, Nabi SAW dibawa berjalan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Allah SWT menggunakan perkataan أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا berjalan di waktu malam maksudnya perjalanan di waktu malam yang sekejap sahaja.
Allah menggunakan perkataan بِعَبْدِهِۦ kerana pengalaman fizikal dan roh Nabi SAW yang berjalan serentak ini, hanya berlaku kerana Nabi SAW mencapai puncak kehambaan, merasakan diri lemah, selalu beribadah dan ikut kepada Allah SWT.
Dalam perjalanan ini, Nabi SAW menjadi imam kepada nabi-nabi yang ditemuinya. Peristiwa ini berlaku di alam yang berbeza. Nabi SAW menaiki buraq yang sangat laju, yang dicipta daripada cahaya. Di dalam dunia ini ada berbagai alam. Inilah kajian di dalam fizik iaitu bila kita bergerak amat laju, badan kita akan compressed, menjadi kecil jika kita mendekati tahap kelajuan cahaya.
Allah SWT memberkati sekitar kawasan Masjidil Aqsa untuk menampakkan kepada Nabi SAW bukti-bukti kebesaranNya melalui perjalanan isra' itu.
Peristiwa ini menjadi asas, bagaimana kita perlu menghormati kiblat pertama umat Islam ini. Di akhir zaman, tanda kemenangan umat Islam, bila Palestin menang, kita kembali dapat beribadah di dalamnya dengan aman. Kalau Palestin belum lagi bebas, itu bermakna kita perlu banyak lagi bertasbih dan kembali kepada al-Quran yang menjadi asas perbincangan dalam surah ini.
Allah Maha Mendengar, Maha Melihat disebut di hujung ayat kerana Nabi SAW telah dikecam, dikutuk, hendak dibunuh di Mekah itu, Allah dengar apakah cabaran yang melanda dan Allah lihat kepada apa yang berlaku kepada hambanya Nabi Muhammad SAW.
Ini menceritakan, ketika stres, sedih, ada masalah Allah mendengar dan melihat kepada hambaNya. Kalau kita bertasbih, banyak beribadah kepada Allah, mendekati al-Quran maksudnya Allah tidak akan biarkan kita. Allah dengar rintihan hati kita. Allah nampak, tetapi kita perlu melaksanakan tugas kita yang sebaiknya mengambil pelajaran daripada umat-umat terdahulu.
Kisah perjalanan Nabi SAW ini menguji keimanan umat dahulu. Ada yang murtad. Juga menguji umat sekarang yang masih ada yang tidak percaya. Kita ambil contoh Saidina Abu Bakar Al Sidiq yang membenarkannya tanpa soal.
Ayat 17: 2
وَءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَٰبَ وَجَعَلْنَٰهُ هُدًى لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَلَّا تَتَّخِذُوا۟ مِن دُونِى وَكِيلًا
Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)".
Pengajaran
Taurat ialah kitab sebagai sumber hidayah kepada Bani Israel.
Al-Quran adalah untuk manusia, kitab untuk semua.
Jangan mengambil selain daripada Allah SWT sebagai sumber tawakal dalam kehidupan.
Ayat 17: 3
ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ إِنَّهُۥ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا
(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
Pengajaran
Jangan kita ulang kesilapan umat terdahulu. Salah satu daripada kesiapan Bani Israel ialah mereka tidak tawakal kepada Allah SWT padahal mereka telah diberikan kitab.
Nabi Nuh AS adalah hamba yang amat bersyukur. Jadi kita perlu pastikan jangan kita ulang sikap umat Nabi Nuh AS yang tidak bersyukur.
Bila kita memimpin, kita mesti tawakal kepada Allah SWT, jangan tawakal kepada manusia. Kalau kita memimpin, perlulah bersyukur bukannya jauh daripada Allah SWT.
Ayat 17: 4
وَقَضَيْنَآ إِلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ فِى ٱلْكِتَٰبِ لَتُفْسِدُنَّ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا
Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.
Pengajaran
Allah SWT bawakan sejarah Bani Israel untuk kita ambil pelajaran. Jangan ulang perangai mereka. Ini adalah peringatan. Bila kita diberikan kitab, ambillah kitab sebagai sumber hidayah.
Bani Israel diberitahu yang mereka akan membuat kerosakan dua kali kerana menyombongkan diri dan terlampau angkuh.
Dalam sejarah, Nabi Yusuf AS datang ke Mesir, mereka ditekan oleh kerajaan Firaun. Nabi Musa datang menyelamatkan mereka untuk kembali ke Jurusalem, Palestin. Ketika hampir hendak menang, mereka masih buat perangai, jadi Allah SWT tidak benarkan kemenangan.
Dalam hidup kita ini, dosa, maksiat dan juga kerosakan tidak dibenarkan. Jika kita semakin banyak berbuat dosa dalam peringkat rakyat, di peringkat pemimpin, ia memberi kesan kepada sesebuah negeri/negara untuk tidak mendapat bantuan daripada Allah SWT.
Kesannya kepada Bani Israel, mereka tidak dapat masuk Palestin, tidak menang. Mereka berlegar-legar di luar Palestin itu sampai Nabi Musa AS wafat. Nabi Musa AS tidak dapat melihat kemenangan.
Ayat 17: 5
فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ أُولَىٰهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَآ أُو۟لِى بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا۟ خِلَٰلَ ٱلدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولًا
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.
Pengajaran
Bila mereka sudah ada kuasa, mereka berbuat kerosakan dan mereka sombong. Kesannya, Allah SWT menghantar hambaNya yang kuat menyerang mereka seperti yang tersebut dalam sejarah. Kita mahu memastikan kita tidak diserang oleh musuh kerana kerosakan yang kita buat sendiri.
Bani Israel ada 12 puak dan mereka selalu bergaduh. Ini adalah peringatan penting kepada orang yang ada kuasa supaya jangan bergaduh.
Ayat 17: 6
ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ ٱلْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَٰكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَٰكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا
Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
Pengajaran
Kemudian mereka dibantu dan menang semula. Bila seseorang telah jatuh, ia akan sedar Tuhan dan kembali kepada kitab untuk menjadi baik.
Inilah yang berlaku kepada umat Islam dahulu, naik semasa zaman Nabi SAW, menang kali kedua semasa zaman Turki yang berakhir pada tahun 1924. Sampai sekarang, sudah hampir seratus tahun kita ini di bawah.
Ciri-ciri di bawah ialah masing-masing bergaduh, negara-negara Islam lebih kuatkan identiti negara masing-masing berbanding dengan keislamannya. Ini sama seperti Bani Israel yang mementingkan kabilah mereka yang tidak mewakili kepada orang beriman yang bersatu atas Taurat pada zaman Bani Isreal.
Ayat 17: 7
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلْءَاخِرَةِ لِيَسُۥٓـُٔوا۟ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا۟ مَا عَلَوْا۟ تَتْبِيرًا
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
Pengajaran
Jika kita buat kebaikan, kesannya akan kembali kepada kita juga. Jika kita buat keburukan, kesannya juga akan kembali kepada kita.
Bani Israel diingatkan kalau mereka buat baik, mereka akan dibantu oleh Allah SWT. Jika mereka tidak bertelagah sesama sendiri, bersatu padu, gunakan sumber yang ada untuk menyelesaikan masalah bersama berbanding 12 kabilah masing-masing hendak buat kawasan sendiri. Mereka saling berlawan antara satu sama lain.
Bani Israel lambang orang beriman di zaman dahulu. Kali pertama Masjid Aqsa diserang, menang. Kali kedua diserang, kalah kerana mereka sudah tidak beriman.
Masjid Aqsa akan dimenangkan oleh Allah SWT kepada orang beriman. Orang beriman yang dimaksudkan pada zaman sekarang bukan lagi Bani Israel. Yang menyerang nanti adalah Bani Israel, yang menang nanti adalah umat Islam yang beriman kepada Allah SWT.
Inilah satu pelajaran penting. Surah al-Isra' bercakap tentang perjuangan tauhid berbanding surah al-Nahl yang bercakap pasal nikmat/tauhid.
RESOLUSI
Ingat!
Sentiasa puji Allah SWT yang akan menolong hamba-Nya pada setiap masa (17:1)
Kuatkan tawakal dengan menjadikan kitab al-Quran sebagai sumber hidayah (17:2)
Sentiasa berusaha untuk menjadi seorang hamba bersyukur yang akan menjadi formula kejayaan (17:3)
Saya berasa lega, kerana Allah SWT akan tolong saya sekiranya saya sentiasa memuji Allah, bersyukur dan tawakal kepada-Nya.
Saya jelas untuk sentiasa puji Allah SWT yang akan menolong hamba-Nya pada setiap masa. Saya jelas saya mesti kuatkan tawakal dengan menjadikan kitab al-Quran sebagai sumber hidayah. Saya jelas saya mesti sentiasa berusaha untuk menjadi seorang hamba bersyukur yang akan menjadi formula kejayaan.
Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi hamba yang sentiasa memuji-Mu. Ya Allah, tolonglah kami pada setiap masa dalam segala urusan kami. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang kuat tawakal dengan menjadikan kitab al-Quran sebagai sumber hidayah. Ya Allah, pimpin kami untuk menjadi hamba yang bersyukur, kurniakan kami kejayaan di dunia dan akhirat.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.