Thursday, August 3, 2023

Halaman 283 : Al-Isra', 8-17

 PERKATAAN HARI INI

حَصَرَ   Penjara, menahan

6 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Peringatan kepada Bani Israel (17:8)

  2. Hikmah dan tujuan al-Quran diturunkan (17:9-11)

  3. Kurniaan Allah SWT di dunia dan bukti kekuasaan-Nya (17:12-17)



Mukadimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 283. Kita doakan agar diberikan barakah daripada Allah SWT. 


Al-Quran ini adalah preview kepada kehidupan di syurga. Jika kita dapat merasakan kemanisan ayat-ayat Allah SWT di dunia ini, di sana nanti kita akan mendapat ucapan sejahtera daripada Allah SWT kerana kita telah mengambil masa untuk bersama al-Quran sebagai BFF (Best Friend Forever).


Surah ini adalah peringatan kepada Bani Israel. Sheikh As-Saadi menyatakan bahawa pelajaran daripada al-Quran adalah untuk seluruh alam agar kembali kepada Allah SWT.


Bani Israel pergi ke Mesir semasa zaman Nabi Yusuf AS, selepas itu mereka ditindas oleh Firaun. Kemudian mereka berjaya menghadapi Firaun tetapi mereka tidak masuk ke Palestin. Mereka mendapat kemenangan dua kali, kemudian mereka jatuh kerana kerosakan dan kemaksiatan yang mereka lakukan. 


Formula kejatuhan yang sama di seluruh alam termasuk umat Islam. Islam  jatuh pada tahun 1924 itu kerana kepimpinan ketika itu amat rakuskan harta dan telah mengabaikan nilai al-Quran. Banyak sebab dari luar dan dalam. Untuk menang, tidak perlu membawa senapang, tetapi ia boleh dicapai bila Allah SWT membantu bila kita melakukan kebaikan. 



Ayat 17: 8


عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ حَصِيرًا


Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).


Pengajaran


  1. Allah SWT memberi peringatan kepada Bani Israel dan kepada kita. Kalau kita kembali berbuat keburukan, Allah SWT akan kembali mengazab. Kalau kita buat kerosakan, kita akan kekal dihina. 

  2. Orang yang kufur balasannya ialah jahannam. Di dunia lagi dia akan dapat preview kepada azab tersebut.



Ayat 17: 9


إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا


Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.


Pengajaran


  1. Bani Israel sudah ada Taurat. Al-Quran membawa hidayah kepada jalan yang lebih lurus. Al-Quran itu lebih teguh, boleh membawa mereka sampai ke syurga. Kalau mereka masih hendak berpegang kepada Taurat, tidak mahu berpegang kepada al-Quran, itu maksudnya kefahaman mereka tentang Taurat tidak betul atau diputar belitkan oleh ulamak-ulamak mereka.

  2. Bagi kita, bila kagum dengan buku-buku falsafah, kejuruteraan dan lain-lain, ada sahaja di dalamnya fakta yang senget. Contohnya dalam biologi, dikatakan manusia berasal dari beruk. 

  3. Al-Quran yang paling teguh dan memberi khabar gembira kepada orang beriman dan beramal soleh.

  4. Bani Israel merasa mereka umat terpilih kerana mereka umat Nabi Musa, ada Taurat dan mereka akan masuk syurga. 

  5. Hendaklah kita buat kebaikan, pengislahan, baharulah  dapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Beriman tanpa amal atau amal tanpa iman tidak cukup syarat untuk masuk ke syurga.



Ayat 17: 10


وَأَنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا


Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.


Pengajaran


  1. Allah SWT sudah menyiapkan azab yang pedih kepada orang yang tidak beriman kepada hari akhirat. 

  2. Beriman kepada Allah SWT, percaya kepada hari akhirat, ditunjukkan dengan amal soleh. Hendak pergi ke akhirat memang memakan masa (takes time). 



Ayat 17: 11


وَيَدْعُ ٱلْإِنسَٰنُ بِٱلشَّرِّ دُعَآءَهُۥ بِٱلْخَيْرِ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ عَجُولًا


Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.


Pengajaran


  1. Manusia berdoa dengan memohon supaya ia ditimpa kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan. Sememangnya manusia itu bersifat terburu-buru.

  2. Ayat ini menjelaskan psikologi manusia apabila menghadapi ujian. Orang Yahudi suka terburu-buru dan mereka mudah menjadi marah-marah. Itu sebab mereka dipanggil umat yang dimurkai. Bila marah, mudah buat kerosakan.

  3. Dalam usaha untuk mendapat kemenangan kita mesti bertenang, jangan terburu-buru.

  4. Al-Quran menstabilkan. Marah merosakkan individu, keluarga, organisasi dan negara.



Ayat 17: 12


وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ءَايَتَيْنِ فَمَحَوْنَآ ءَايَةَ ٱلَّيْلِ وَجَعَلْنَآ ءَايَةَ ٱلنَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا۟ فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا۟ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلْحِسَابَ وَكُلَّ شَىْءٍ فَصَّلْنَٰهُ تَفْصِيلًا


Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.


Pengajaran


  1. Allah SWT menyuruh kita memerhatikan kejadian siang dan malam. Malam tidak pernah marah kepada siang, siang tidak pernah marah kepada malam. Ada peranan siang, ada peranan malam. 

  2. Dengan tidak bersegera (tidak marah), kita mendapat kejayaan/keamanan di muka bumi ini.

  3. Kita kena sedar proses organik yang berlaku dalam kehidupan adalah satu ketentuan daripada Allah SWT. Ada anak kita baca al-Quran lambat, ada yang cepat. Begitu juga dengan pelajar, ada yang cepat belajar, ada yang lambat. Guru tidak boleh marah. Seperti siang dan malam. Setiap orang ada proses dan ada fungsinya. 

  4. Hukum silih berganti. Surah ini bercerita tentang silih bergantinya tamaddun. Bila al-Quran hadir menggantikan kitab-kitab sebelum ini, kerana cabarannya berbeza dan al-Quran memberi panduan yang terkini tetapi masih dari sumber yang satu. 

  5. Dalam al-Quran ini semuanya telah dijelaskan. Boleh belajar daripada sumber-sumber lain tetapi al-Quran adalah paling kuat ideanya, hidayahnya, panduannya untuk kita mantap di sini, teguh sampai ke akhirat sana.

  6. Al-Quran yang kita ada ini adalah lebih lurus dan lebih teguh (أَقْوَمُ). Itulah yang akan memimpin kita  untuk menjadi teguh dengan syaratnya ia menjadi sumber hidayah. 

  7. Al-Quran akan menyebabkan orang yang beriman dan beramal soleh sentiasa positif dengan khabar-khabar gembira dan menyebarkan khabar gembira itu kepada masyarakat.



Ayat 17: 13


وَكُلَّ إِنسَٰنٍ أَلْزَمْنَٰهُ طَٰٓئِرَهُۥ فِى عُنُقِهِۦ وَنُخْرِجُ لَهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ كِتَٰبًا يَلْقَىٰهُ مَنشُورًا


Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).


Pengajaran


  1. Tiap-tiap seorang manusia akan digantungkan nasibnya di lehernya. Kita tidak tahu nasib kita, jadi kita kena berusaha dalam kehidupan dengan panduan daripada al-Quran.

  2. Pada hari kiamat kelak Allah SWT akan keluarkan kepadanya kitab catatan amalnya yang akan didapatinya terbuka untuk ditatapnya. Sekiranya catatannya tidak memenuhi syarat dalam al-Quran, ia akan diazab.

  3. Walaupun nasib manusia ditetapkan oleh Allah SWT, kita diberi peluang untuk mengambil tindakan mengikut al-Quran. 



Ayat 17: 14


ٱقْرَأْ كِتَٰبَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ ٱلْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا


(Lalu Kami perintahkan kepadanya): "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)".


Pengajaran


  1. Allah SWT bawakan kepada kita gambaran di akhirat. Buku catatan kita akan dikeluarkan. Kita boleh menilai sendiri apa yang telah dibuat semasa di dunia. Jika kita beramal berdasarkan petunjuk al-Quran, kita pasti akan gembira. Jika tidak ikut al-Quran, kita akan diazab. 



Ayat 17: 15


مَّنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا


Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).


Pengajaran


  1. Sesiapa yang melakukan perbuatan menurut panduan al-Quran, maka faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri.

  2. Sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. 

  3. Seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain bahkan dosa usahanya sahaja. 

  4. Allah SWT tidak mengazab sesiapapun sebelum Allah SWT utuskan seorang Rasul untuk menerangkan yang benar dan yang salah.

  5. Rasul diutus untuk mengajar kita untuk bertanggung jawab di atas apa yang kita buat. Rasul hanya menyampaikan. Masing-masing bertanggung jawab atas diri masing-masing.



Ayat 17: 16


وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَٰهَا تَدْمِيرًا


Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.


Pengajaran


  1. Apabila sampai tempoh Allah SWT hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Allah SWT akan perintahkan lebih dahulu orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka supaya taat. Tetapi sekiranya mereka terus menderhaka dan melakukan maksiat, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Allah SWT akan menghancurkannya sehancur-hancurnya.

  2. Allah SWT musnahkan sesuatu tamadun kerana orang yang kaya, mewah dan berkuasa membuat merosakkan.

  3. Audit bagi pemimpin amat penting. Lagi tinggi, lagi kena audit hartanya agar mereka tidak menyalah gunakuasa sehingga rakyat ditindas yang akan membawa kepada kemusnahan sesuatu organisasi atau negara.



Ayat 17: 17


وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ ٱلْقُرُونِ مِنۢ بَعْدِ نُوحٍ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا


Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya


Pengajaran


  1. Allah SWT memberitahu banyak umat-umat yang telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh. 

  2. Allah SWT mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya



RESOLUSI


Ingat!

  1. Elakkan buat kerosakan agar kita terus mendapat bantuan Allah SWT (17:8)

  2. Jadikan al-Quran sebagai rujukan apa jua pekerjaan dan cabaran (17:9)

  3. Beriman dan beramal soleh agar terhindar daripada azab (7:10)


Saya berasa lega, Allah SWT berikan al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan agar saya berjaya di dunia sampai ke akhirat.


Saya jelas untuk elakkan buat kerosakan agar saya terus mendapat bantuan Allah SWT. Saya jelas untuk jadikan al-Quran sebagai rujukan dalam apa jua pekerjaan dan cabaran. Saya jelas saya mesti beriman dan beramal soleh agar terhindar daripada azab.


Ya Allah,  jauhkan kami daripada berbuat kerosakan. Kurniakan kami bantuan agar terhindar daripada perbuatan dosa dan maksiat.  Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai rujukan dalam apa jua pekerjaan dan cabaran kehidupan kami. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang beriman dan beramal soleh, jauhkan kami daripada azab.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...