PERKATAAN HARI INI
ذَمَّ / ذَمَمَ Menghina, mencela
5 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Balasan bagi orang yang menginginkan dunia dan yang menginginkan akhirat (17:18-21)
Pokok-pokok sistem masyarakat muslim: tauhid sebagai dasar keimanan dan ikatan kuat dalam keluarga Muslim adalah tiang bagi masyarakat (17:22-27)
Mukadimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 284. Salam hari kemerdekaan pada hari ini untuk kita sama-sama memerdekakan jiwa kita menuju kepada kehambaan kepada Allah SWT. Kita mengenepikan kehambaan sesama manusia, kehambaan kepada diri kita sendiri. Semoga kita terus merdeka sampai bertemu Maalikiyaumiddin, Penguasa Hari Pembalasan.
Merdeka bukan sahaja dilambangkan oleh sebuah negara sahaja tetapi merdeka itu bila jiwa setiap hamba boleh bertemu pencipta pada bila-bila masa dengan rahmat daripada-Nya.
Ayat 17: 18
مَّن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُۥ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ يَصْلَىٰهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا
Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
Pengajaran
Bila ada yang mahu sesuatu yang segera, Allah SWT akan memberi mengikut kehendakNya. Orang yang memilih/mahukan dunia, Allah SWT akan memberinya.
Kemudian Allah SWT akan menyediakan baginya jahannam dan dicampakkan dia ke dalamnya. Mereka juga didera secara psikologi, dipinggirkan, dan dihalau ke neraka jahannam dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
Mereka jadi begini kerana hendakkan sesuatu di dunia secara cepat sehingga sanggup melakukan dosa seperti mengambil rasuah untuk cepat kaya tanpa berusaha.
Semoga ahli keluarga kita tidak terlibat dengan perbuatan rasuah.
Ayat 17: 19
وَمَنْ أَرَادَ ٱلْءَاخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا
Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
Pengajaran
Sesiapa yang hendakkan akhirat, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan penghargaan Allah SWT.
Inilah kemerdekaan yang kita inginkan. Berusaha bersungguh-sungguh dan berjuang untuk memperbaiki diri. Allah SWT akan menghargai segala jerih perih kita berusaha.
Ayat 17: 20
كُلًّا نُّمِدُّ هَٰٓؤُلَآءِ وَهَٰٓؤُلَآءِ مِنْ عَطَآءِ رَبِّكَ وَمَا كَانَ عَطَآءُ رَبِّكَ مَحْظُورًا
Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).
Pengajaran
Allah SWT berikan peluang untuk kita mendapat apa-apa sahaja di dunia.
Allah SWT boleh beri peluang tanpa halangan, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak.
Fokus untuk segera menuju akhirat. Jangan fokus sangat kepada apa hasil di dunia kerana Allah akan bagi ikut apa yang Allah hendak.
Di akhirat nanti Allah SWT akan beri lebih lagi kepada yang berusaha membuat kebaikan.
Ayat 17: 21
ٱنظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَلَلْءَاخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَٰتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا
Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.
Pengajaran
Allah SWT lebihkan sebahagian dari manusia atas sebahagian yang lain dalam rezeki pemberian-Nya.
Hakikat sebenarnya, pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya. Di syurga ada rankingnya. Masing-masing boleh cuba pelbagaikan cara kita beramal tetapi ia bergantung kepada kemampuan untuk memaksimumkan ibadah.
Ayat 17: 22
لَّا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًا مَّخْذُولًا
Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.
Pengajaran
Jangan jadikan sekutu kepada Allah SWT. Tiada Tuhan selain Allah SWT. Orang yang menyekutukan Allah SWT akan tercela dan terhina.
Berusaha bersungguh-sungguh dengan keimanan. Jika kita buat kerana manusia sahaja, di akhirat nanti kita tidak akan merdeka.
Ayat 17: 23
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Pengajaran
Jika kita mahu tahu sesebuah negara itu menuju kepada Allah SWT, rakyatnya terdiri daripada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa.
Berbuat baik ketika ibu ayah masih sihat, itu normal. Bila mereka sudah tua, kita kena berbuat ehsan. Menjaga ibu bapa yang tidak bersama kita, yang tinggal jauh, dengan yang bersama kita, berbeza.
Orang yang tidak menjaga integriti di dalam rumah, itu yang mudah berbuat rasuah. Kalau di dalam rumah bercakap baik (كَرِيمًا قَوْلًا) insya Allah di luar juga begitu.
Bila dengan ibu ayah kita boleh berbuat baik, insya Allah dengan Allah SWT juga kita mampu mengikut perintah. Jika kita tidak boleh berbuat kebaikan kepada ibu ayah yang kita nampak, apatah lagi dengan Allah SWT yang kita tidak nampak.
Berjayanya kita adalah dengan doa ibu dan ayah kita. Barakah ibu dan ayah kita. Berusaha sedaya upaya untuk menggembirakan mereka dan berkhidmat kepada mereka. Jika mereka atau salah seorang sudah tidak ada, kita terus mendoakan mereka.
Ayat 17: 24
وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Pengajaran
Hendaklah kita merendahkan diri kepada kedua ibu ayah. Merendahkan sayap seperti burung yang merendahkan sayapnya untuk melindungi telur-telur/anak-anaknya. Jika ada ular yang hendak mematuk, ia akan mematuk ibunya dan bukan anak-anaknya.
Hubungan dengan ibu ayah, walaupun kita ada kepak dan boleh terbang tinggi, kita cubalah rendahkan kepak, jangan sibuk sangat. Walaupun kita tidak boleh rentas negeri, kita masih boleh berhubung dengan ibu ayah melalui telefon. Ini adalah tanda kita sedang memohon rahmat Allah SWT. Waktu kecil, kecintaan mereka tidak bersyarat.
Ada orang mengatakan ibu ayah mereka begitu, begini dan susah bagi mereka hendak berbuat baik, Allah SWT lebih mengetahui hubungan kita dengan ibu ayah kita. Ibu ayah biologi tetap mendapat tempat tertinggi dan kita kena bersyukur. Jika bantuan yang kecil pun, kita boleh bersyukur, insya Allah, pasti dapat bersyukur kepada Allah SWT.
Doakanlah untuk ibu ayah: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Ayat 17: 25
رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُمْ إِن تَكُونُوا۟ صَٰلِحِينَ فَإِنَّهُۥ كَانَ لِلْأَوَّٰبِينَ غَفُورًا
Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
Pengajaran
Jika mahu berbuat baik, mahu memperbaiki keadaan, Allah Maha Pengampun. Awwab, umpama jauh berjalan, hendak patah balik memang susah. Jika rasa mustahil tetapi kita tetap mencuba, insya Allah kita selamat.
Allah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. Tidak mungkin rasuah akan berleluasa kalau seseorang itu amat baik dengan emak ayahnya.
Ayat 17: 26
وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا
Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
Pengajaran
Berikanlah kepada kerabat, dan orang miskin serta orang musafir akan hak mereka masing-masing.
Janganlah membelanjakan harta dengan boros yang melampau.
Ayat 17: 2
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِ وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Pengajaran
Orang yang membazir adalah saudara kepada syaitan.
Syaitan adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
RESOLUSI
Ingat!
Susun amal kita agar sentiasa menghala ke akhirat (17:19)
Rebut peluang daripada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk kebahagiaan dunia akhirat (17:20)
Amalkan doa untuk keampunan ibu ayah setiap masa (17:24)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya berbuat baik kepada ibu bapa agar saya mendapat rahmat-Nya.
Saya jelas untuk susun amal agar sentiasa menghala ke akhirat. Saya jelas saya mesti rebut peluang daripada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk kebahagiaan dunia akhirat. Saya jelas saya mesti amalkan doa untuk keampunan ibu ayah setiap masa.
Ya Allah, bimbing kami untuk susun amal agar sentiasa menghala ke akhirat. Ya Allah, kurniakan kami peluang untuk buat kebaikan dan beramal soleh dengan bersungguh-sungguh. Ya Allah, ampunkan dosa ibu ayah kami, kurniakan kami kebahagiaan dunia akhirat.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka