Thursday, August 3, 2023

Halaman 285 : Al-Isra', 28-38

PERKATAAN HARI INI 


أَعْرَضَ  Berpaling

79  kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  


  1. Ikatan kuat dalam keluarga Muslim adalah tiang bagi masyarakat (17:28-30)

  2. Asas sistem masyarakat Islam (31-38)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 285 daripada surah al-Isra'. Kita doakan negara kita, seluruh  keluarga kita untuk terus diberi barakah daripada Allah SWT. Halaman lepas bercerita tentang kewajipan yang perlu dibina dalam diri dan keluarga di peringkat sesama manusia.


Semoga Allah menambahkan ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.



Ayat 17: 28


وَإِمَّا تُعْرِضَنَّ عَنْهُمُ ٱبْتِغَآءَ رَحْمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرْجُوهَا فَقُل لَّهُمْ قَوْلًا مَّيْسُورًا


Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.


Pengajaran


  1. Menurut Imam Shafie, membazir ialah menggunakan perkara yang tidak kena pada tempatnya. Jika digunakan sesuai dengan tempat, tidak mengapa.

  2. Akhlak bagi orang beriman kepada Allah SWT untuk mendapat bantuanNya terutama di akhir zaman ini:

    1. Beri bantuan kepada ahli keluarga dan orang-orang yang memerlukan.

    2. Bercakap elok-elok (مَّيْسُورًا قَوْلًا)   

    3. Jangan mengungkit

  3. Kita diberikan panduan akhlak untuk cakap elok-elok bila memberi pertolongan kepada kerabat. Inilah tanda kita mendapat rahmat daripada Allah SWT.



Ayat 17: 29


وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ ٱلْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا


Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.


Pengajaran


  1. Jangan menjadi orang yang kedekut. 

  2. Jangan pula terlalu boros ketika beramal, membantu atau berbelanja. Nanti kelak menjadi tercela dan menyesal. Saidina Abu Bakar Al-Siddiq memberi semua hartanya fisabillillah kerana beliau ada bisnes, mampu. Kita bukan Saidina Abu Bakar dan kita tidak mampu mengikut sepertinya. Ketika mengajak ke arah kebaikan, pemberian yang minimum pun ok. Yang penting jangan terlibat dengan perkara-perkara dosa, maksiat dan permusuhan.

  3. Jangan menyesal selepas menderma kerana ini tanda tidak ikhlas kepada Allah SWT.

  4. Kena ada ilmu supaya jangan terlalu kedekut dan jangan terlampau boros. 



Ayat 17: 30


إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا


Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.


Pengajaran


  1. Ini adalah konsep rezeki. Bila Allah lapangkan rezeki, kita berjaya. Jika dihadkan, kita akan merasa sempit. 

  2. Allah-lah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki. Orang yang mengungkit pertolongan kepada orang lain tandanya dia sombong. Allah SWT menemplak Bani Israel kerana sombong. 

  3. Kalau kita tolong orang, Allah akan lapangkan rezeki kita. Teruskan membantu mengikut kadar kemampuan masing-masing.



Ayat 17: 31


وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَٰدَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَٰقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْـًٔا كَبِيرًا


Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.


Pengajaran


  1. Ini adalah tentang hubungan sesama manusia. Sesuatu umat itu naik kerana ia amat perihatin kepada ibu ayah, saudara mara dan orang sekeliling.

  2. Ada orang yang membunuh anak kerana takut miskin (إِمْلَٰقٍ).

  3. Allah SWT mengingatkan supaya tidak membunuh anah kerana Dia yang memberi rezeki.

  4. Ada orang yang membunuh/menggugurkan anak kerana takut tidak boleh memberi mereka makan. Hendaklah kita ingat bahawa sumber rezeki datangnya daripada Allah SWT. Membunuh adalah satu dosa yang besar.  



Ayat 17: 32


وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا


Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).


Pengajaran


  1. Ayat ini berkaitan dengan hubungan sosial. Antara perkara yang membunuh spiritual/iman seseorang ialah bila mendekati zina. Mendekati zina menjauhkan daripada kebaikan. Dia lebih suka kepada perkara syahwah. 

  2. Mengikut Imam As-Saadi, jika orang demam, jauhkan diri darinya. Begitulah dengan zina, jauhkan diri daripada perkara ini kerana ia ada kaitan dengan bunuh.



Ayat 17: 33


وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلْطَٰنًا فَلَا يُسْرِف فِّى ٱلْقَتْلِ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورًا


Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).


Pengajaran


  1. Jangan bunuh sesuatu jiwa kecuali dengan kebenaran oleh mahkamah. Orang yang dibunuh secara zalim, walinya yang berhak menentukan balasan, bukan qadi atau hakim.

  2. Kalau qadi sudah maafkan, jangan pula peguam atau orang lain mendesak untuk mengambil tindakan lain. Bina sistem menolong sesama sendiri. Jangan menjadikan industri membunuh sebagai industri untuk mendapatkan duit dengan memohon habuan. 



Ayat 17: 34


وَلَا تَقْرَبُوا۟ مَالَ ٱلْيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُۥ وَأَوْفُوا۟ بِٱلْعَهْدِ إِنَّ ٱلْعَهْدَ كَانَ مَسْـُٔولًا


Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.


Pengajaran


  1. Jangan dekati harta anak yatim kecuali untuk urusan yang bermanfaat baginya.  

  2. Anak yatim ialah anak yang ayahnya meninggal/hilang. Anak yatim lebih lemah dan mudah diambil kesempatan. 

  3. Sempurnakan janji kepada anak-anak yatim. Kalau kita ada kuasa, kita kena tunaikan janji. Contoh: Seperti bos yang sudah berjanji mahu membayar gaji, kena bayar. Sama juga dengan janji pemimpin yang mesti ditunaikan tanpa beralasan. 

  4. Setiap janji akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Jangan main-main.



Ayat 17: 35


وَأَوْفُوا۟ ٱلْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا۟ بِٱلْقِسْطَاسِ ٱلْمُسْتَقِيمِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا


Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).


Pengajaran


  1. Sempurnakan sukatan. Ini adalah bab ekonomi. Jika mahu diukur, ukur dengan tepat. 

  2. Kalau seseorang itu tipu dalam urusan jual beli, lambat laun Allah akan lingkupkan bisnes begini. Contoh: Tentukan barang yang dihantar itu baik, seperti yang dijanjikan. Jika sudah berjanji hendak hantar pesanan dalam 3 hari, jangan beralasan.



Ayat 17: 36


وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًا


Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.


Pengajaran


  1. Jangan mengikuti sesuatu yang kita tidak ada ilmu tentangnya. Contoh: Jangan ikut fb yang tidak ada ilmu.

  2. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta fuad, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

  3. Fuad adalah tempat perasaan. Di sinilah tempat kita membuat kesimpulan yang matang. Ada juga yang menggunakan perasaan dengan ilmu yang tidak matang untuk marah, tengking, mengungkit, mengumpat, mencela. Mereka ini akan dibakar dalam api neraka sampai ke lapisan fuad (Surah al-Humazah). Semoga kita terhindar daripada menggunakan fuad untuk perkara yang negatif.

  4. Hendaklah kita menguruskan  pendengaran, penglihatan dan fuad untuk berperasaan kuat dengan panduan daripada al-Quran.



Ayat 17: 37


وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ ٱلْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ ٱلْجِبَالَ طُولًا


Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.


Pengajaran


  1. Ilmu ada kesan positif dan negatif. 

  2. Dengan ilmu, seseorang menjadi rendah diri, bagus akhlaknya atau boleh juga menjadi sombong atau melakukan perkara yang dilarang.



Ayat 17: 38


كُلُّ ذَٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُۥ عِندَ رَبِّكَ مَكْرُوهًا


Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.


Pengajaran


  1. Semua larangan yang disebut dalam ayat-ayat di atas adalah perbuatan jahat yang sangat dibenci di sisi Tuhan.

  2. Kita tidak mahu menjadi seperti umat Yahudi yang dibenci kerana mereka memanipulasikan dunia dengan ilmu mereka. 



RESOLUSI


Ingat!

  1. Bercakap baik jika tidak dapat menolong orang lain (17:28)

  2. Jangan kedekut dan jangan boros dalam berbelanja dan bersedekah (17:29)

  3. Cari ilmu dan elakkan berbuat sesuatu tanpa ilmu (36)


Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan akhlak yang disukai dan dilarang-Nya.


Saya jelas untuk bercakap baik jika tidak dapat menolong orang lain. Saya jelas supaya jangan kedekut dan jangan boros dalam berbelanja dan bersedekah. Saya jelas saya mesti cari ilmu dan elakkan berbuat sesuatu tanpa ilmu.


Ya Allah, bimbing kami untuk bercakap baik jika tidak dapat menolong orang lain. Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat kedekut dan boros dalam berbelanja dan bersedekah. Ya Allah, pimpin kami untuk cari ilmu dan elakkan berbuat sesuatu tanpa ilmu.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...