Thursday, August 3, 2023

Halaman 286 : Al-Isra', 39-49

 PERKATAAN HARI INI

لَامَ / لَوَمَ   Mencela

14 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  

 

  1. Sekali lagi asas sistem masyarakat Islam (17:39)

  2. Teguran keras terhadap penisbahan anak dan sekutu kepada Allah SWT (17:40-44)

  3. Perlindungan terhadap Nabi SAW daripada gangguan orang Musyrik ketika beliau membaca al-Quran (17:45-48)

  4. Keingkaran orang Musyrik kepada kebenaran hari akhirat (17:49)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 286. Kita  menyambung apa yang kita telah pelajari dari panduan Allah SWT sebagai sumber hikmah. Kita masih di bulan Muharram. Kita doakan diri dan keluarga kita dapat terus berhijrah ke arah kebaikan bersama al-Quran. 



Ayat 17: 39


ذَٰلِكَ مِمَّآ أَوْحَىٰٓ إِلَيْكَ رَبُّكَ مِنَ ٱلْحِكْمَةِ وَلَا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَتُلْقَىٰ فِى جَهَنَّمَ مَلُومًا مَّدْحُورًا


Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah).


Pengajaran


  1. Di zaman Bani Israel ada disebut 10 Commandments di dalam Taurat. Di dalam al-Quran juga ada perintah tersebut.

  2. Semua perintah dalam al-Quran adalah daripada Tuhan sebagai satu hikmah. Apa yang kita telah pelajari, menghormati ibu ayah, tidak mensyirikkan Allah SWT, tidak mendekati zina, tidak mendekati harta anak yatim, semua itu adalah hikmah yang menandakan kejayaan bagi sesuatu tamadun. 

  3. Jangan jadikan bagi Allah itu tandingan. Di dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita  supaya jangan bergantung kepada selainNya. 

  4. Jangan putus harap. Bergantung kepada selain Allah SWT akan membuat kita tercela dan terusir. Contoh: Jika pergi ke kedai dan kita dihalau atau pergi ke masjid di zaman pandemik ini, kita di suruh balik, mesti kita rasa terhina. Kadang-kadang AJK tidak berhikmah. Sepatutnya kena sampaikan dengan baik.



Ayat 17: 40


أَفَأَصْفَىٰكُمْ رَبُّكُم بِٱلْبَنِينَ وَٱتَّخَذَ مِنَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنَٰثًا إِنَّكُمْ لَتَقُولُونَ قَوْلًا عَظِيمًا


(Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.


Pengajaran


  1. Salah satu perkara yang menceritakan bagi Allah SWT seteru ialah apabila membahagi-bahagikan sesuatu untuk Allah SWT. Contoh: memberi anak lelaki untuk manusia, yang perempuan untuk Allah SWT. 

  2. Cara berfikirnya, mereka memberi kepada Allah SWT yang baki-baki atau yang mereka tidak sukai. Tiada keutamaan untuk Allah SWT. Contoh: Kerana orang sibuk dengan kerja, solat dilewatkan. Derma hanya yang baki-baki duit siling sahaja. 

  3. Sesungguhnya itu adalah perkataan dusta yang amat besar dosanya.



Ayat 17: 41


وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِى هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لِيَذَّكَّرُوا۟ وَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا نُفُورًا


Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.


Pengajaran


  1. Allah SWT telah memberi peringatan tentang tauhid dengan berbagai cara tetapi mereka bertambah jauh dari Allah SWT. Mereka mementingkan diri lebih dari Allah SWT. 

  2. Syirik di sini bukan bermakna berhala, bukan patung tetapi diri dan nafsu sendiri. Buat dan guna untuk diri dahulu, bakinya barulah untuk Allah SWT.



Ayat 17: 42


قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُۥٓ ءَالِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لَّٱبْتَغَوْا۟ إِلَىٰ ذِى ٱلْعَرْشِ سَبِيلًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).


Pengajaran


  1. Ini cerita tentang mereka yang meletakkan banyak tuhan. Mereka kata Tuhan-tuhan itu bergaduh untuk mendapat singgahsana yang lebih tinggi. 

  2. Ini cara berfikir tidak betul yang disedarkan di dalam al-Quran.



Ayat 17: 43


سُبْحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوًّا كَبِيرًا


Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.


Pengajaran


  1. Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.



Ayat 17: 44


تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَٰوَٰتُ ٱلسَّبْعُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِۦ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا


Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.


Pengajaran


  1. Semua yang ada di cakerawala ini bertasbih kepada Allah SWT. 

  2. Allah SWT bawakan ayat ini supaya kita terasa. Jika alam bertasbih, walaupun kita tidak dengar dan faham, kita juga perlu bertasbih, mensucikan Allah SWT.

  3. Allah SWT telah memberi kita yang terbaik. Awan terbaik, oxygen terbaik. Mata yang dikurniakan terbaik dan boleh memproses macam-macam yang terbaik. Jika kamera mampu mempunyai ciri seperti mata kita, tentu mahal harganya. 

  4. Allah SWT memberi yang terbaik, segannya kita jika kita tidak memberi masa yang terbaik untukNya, mendalami al-Quran. 

  5. Allah SWT melampau sabarnya. Nabi Ibrahim AS adalah contoh orang yang sabar dalam menyantuni kaumnya.  

  6. Allah SWT tetap memberi kita peluang dan Allah SWT tetap bersabar dan menawarkan kita keampunan. Moga-moga dengan kita bersama al-Quran, komited dengan al-Quran, hati kita akan bersungguh-sungguh bersama al-Quran dan bukan memberi baki-baki masa sahaja.

  7. Mereka yang masuk ke neraka rasa tercela dan terusir. Kita tidak mahu berseorangan di akhirat akibat tidak bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan kerana Allah SWT memberi yang terbaik.

  8. Sentiasalah perbanyakkan tasbih. Kalau kita hendak menang, kita kena banyak bertasbih kerana alam ini bertasbih. Nabi Daud AS kelebihannya, boleh bertasbih bersama gunung ganang. Kita bertasbih memuji Allah SWT. 

  9. Guru-guru, para pendidik, belajar ilmu mendalam sikit, tafakur sampai kita mampu membina subhanallah effect. Hebatnya tasbih boleh mengeluarkan Nabi Yunus AS dari perut ikan. 



Ayat 17: 45


وَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْءَانَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ حِجَابًا مَّسْتُورًا


Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.


Pengajaran


  1. Surah ini paling banyak menyebut tentang al-Quran. Ia adalah merupakan baton terakhir yang diserahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kita kena teruskan perjuangan sampai ke akhir zaman membawa risalah ini. Al-Quran ini ‘aqwam’ sifatnya. Lebih teguh daripada Taurat.

  2. Orang musyrik dan ahli kitab cuba memadamkan bab akhirat. Mereka mengaku beriman pada Allah SWT tetapi tidak percaya akan hari akhirat. Orang yang beriman kepada hari akhirat, selalu memikirkan kesan yang mereka buat. Mereka selalu bergantung kepada Allah SWT dan Allah akan tanya balik. Mereka tidak dengki.

  3. Orang yang dengki akhirnya ingkar dengan orang. 

  4. Hijab ialah tabir. Hijab itu terselindung dan kita tidak nampak diri seseorang ada sifat ini. Dinding itu ialah seperti sifat dengki, ingkar yang kita tidak nampak. Orang begini selalunya tidak suka dengan al-Quran. 

  5. Cinta kepada Nabi Muhammad SAW, sayang kepada Nabi SAW, tidak dengki sesama manusia, tidak ada jiwa menafikan kebenaran, itu adalah syarat untuk al-Quran itu membawa rahmah. 



Ayat 17: 46


وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِى ٱلْقُرْءَانِ وَحْدَهُۥ وَلَّوْا۟ عَلَىٰٓ أَدْبَٰرِهِمْ نُفُورًا


Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al-Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.


Pengajaran


  1. Ini adalah bagaimana hendak optimumkan kesan al-Quran dalam diri kita. 

  2.  أَكِنَّةً sesuatu yang tertutup daripada cahaya. Seolah-olah ada sumbat di telinga. Al-Quran tidak boleh direndahkan. Jika direndahkan, kita akan bertambah jauh daripada Allah SWT. Al-Quran yang sama, tetapi kesannya berbeza. Bergantung kepada syarat-syaratnya. Bila dengar al-Quran hendaklah kita beri perhatian. Kita tidak mahu jauh daripada al-Quran.

  3. Kita sudah melihat dari sejarah. Umat Islam makin jatuh, dari tahun 1924 kerana mereka tidak lagi mengikut panduan dari Allah SWT.



Ayat 17: 47


نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَسْتَمِعُونَ بِهِۦٓ إِذْ يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ وَإِذْ هُمْ نَجْوَىٰٓ إِذْ يَقُولُ ٱلظَّٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَّسْحُورًا


Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar Al-Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang zalim itu berkata (sesama sendiri): "Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir".


Pengajaran


  1. Bila bertemu dengan Nabi SAW, mereka sebenarnya suka dengar al-Quran. Mereka menghendap-hendap untuk dengar al-Quran. 

  2. Bacaan al-Quran ini bukan hanya untuk orang Islam. Bila mendengar al-Quran, akan terasa masuk ke dalam hati. 

  3. Selesai mendengar al-Quran mereka berbisik-bisik bahawa mereka telah kena sihir. Mereka mengiktiraf tetapi dalam bahasa yang negatif.



Ayat 17: 48


ٱنظُرْ كَيْفَ ضَرَبُوا۟ لَكَ ٱلْأَمْثَالَ فَضَلُّوا۟ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ سَبِيلًا


Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan-bukan, maka dengan sebab itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan kebenaran.


Pengajaran


  1. Mereka disesatkan dan terus membuat kerosakkan dan membawa bencana dalam kehidupan kepada manusia. 

  2. Untuk elakkan diri daripada jadi kumpulan perosak, kita perlu baiki hati kita. Jangan dengki, jangan berdendam. Inilah kesan daripada al-Quran sehingga kita yakin dengan hari akhirat. 



Ayat 17: 49


وَقَالُوٓا۟ أَءِذَا كُنَّا عِظَٰمًا وَرُفَٰتًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا


Dan mereka berkata: "Adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, adakah kita akan dibangkitkan semula dengan kejadian yang baharu?"


RESOLUSI


Ingat!

  1. Amalkan hikmah yang diajarkan oleh Allah SWT (17:39)

  2. Selalu ambil peringatan daripada al-Quran, bukan sekadar baca atau abaikan (17:41)

  3. Sentiasa yakin dan buat persediaan untuk hadapi hari akhirat (17:49)


Saya berasa lega, Allah SWT beri peluang dan Allah SWT tetap bersabar dan menawarkan saya keampunan.


Saya jelas untuk amalkan hikmah yang diajarkan oleh Allah SWT. Saya jelas saya mesti selalu ambil peringatan daripada al-Quran, bukan sekadar baca atau abaikan. Saya jelas untuk sentiasa yakin dan buat persediaan untuk hadapi hari akhirat.


Ya Allah, bimbing kami untuk amalkan hikmah yang Engkau ajarkan dalam al-Quran. Ya Allah, ingatkan kami daripada al-Quran, jauhkan kami daripada abaikan al-Quran. Ya Allah, tingkatkan iman kami kepada hari akhirat. Bimbing kami buat persediaan untuk hadapi hari akhirat.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...