PERKATAAN HARI INI
فَزَّ / فَزَزَ Menakutkan, membuat gelisah
3 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Usaha mengusir Nabi Muhammad SAW (17:76-77)
Perintah, arahan dan pemberitahuan untuk Nabi Muhammad SAW (17:78-85)
Mukjizatnya al-Quran (17:86)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bertemu hari ini pada halaman 290 surah al-Isra', iaitu surah pertama dari 7 surah al-Musabbihat. Surah ini memberi motivasi kepada Nabi SAW untuk membina sebuah keluarga dan masyarakat yang berjaya berteraskan kepada panduan daripada Allah SWT menuju kemenangan.
Ayat 17: 76
وَإِن كَادُوا۟ لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ ٱلْأَرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا وَإِذًا لَّا يَلْبَثُونَ خِلَٰفَكَ إِلَّا قَلِيلًا
Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja.
Pengajaran
Allah SWT memberitahu bahawa Dia yang melindungi Nabi SAW dan para sahabat. Allah yang memberi bantuan kepada baginda SAW.
Surah ini turun di hujung-hujung Mekah, semasa fasa perjuangan Nabi SAW yang penuh pancaroba. Selepas kematian Siti Khadijah dan bapa saudara baginda SAW meninggal dunia, tempat yang selalu Nabi SAW mendapatkan semangat sudah pergi. Maka Allah SWT menyatakan Allah-lah tempat yang penting dan Allah tetap menolong.
Orang-orang kafir hampir-hampir membuat Nabi SAW gelisah, tidak tenteram dan rasa hendak keluar daripada sesutau kawasan (لَيَسْتَفِزُّونَكَ). Mereka hendak halau Nabi SAW daripada Mekah. Inilah puncak kepada permusuhan apabila Nabi SAW membawakan mesej kebaikan kepada para sahabat dan penduduk Mekah. Ada dalam kalangan Malak (pemimpin) rasa gelisah tidak puas hati maka mereka membuat Nabi SAW rasa gelisah.
Ibnu Juzair menyatakan di dalam tafsirnya, kalau orang baik/soleh pada satu tempat dihalau atau dipulaukan, maka bersedialah untuk orang yang menghalau itu diazab oleh Allah SWT
Ayat 17: 77
سُنَّةَ مَن قَدْ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِن رُّسُلِنَا وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحْوِيلًا
(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.
Pengajaran
Inilah yang berlaku kepada semua utusan Allah SWT seperti Nabi Lut AS, Nabi Nuh AS. Apabila mereka keluar sahaja daripada kawasan, maka kaumnya diazab oleh Allah SWT.
Dalam sejarah Nabi SAW, selepas dua tahun Nabi SAW berhijrah, berlaku Perang Badar. Abu Jahal yang menghalau Nabi SAW akhirnya kecundang dan diazab oleh Allah SAW di Badar bersama orang musyrik Mekah yang menjadi tentera pada waku itu.
Kalau ada orang mengajak kepada kebaikan, jangan halau. Jangan buat orang yang hendak buat baik itu resah. Kalau dia resah dan keluar, bersedia untuk menerima azab daripada Allah SWT. Itu adalah sunnatullah yang akan berlaku dan terus berlaku.
Jadilah kita dalam kalangan orang yang berbuat baik dan mengajak orang untuk berbuat baik.
Ayat 17: 78
أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).
Pengajaran
Allah SWT menasihatkan Nabi SAW, apabila dibuat rasa gelisah, dihalau, jangan lari daripada fokus perjuangan iaitu dirikan solat ketika waktu gelincir matahari, ialah sembahyang zohor, asar, maghrib dan isyak dan solat subuh.
Quran pada waktu fajar ialah nama lain waktu subuh. Waktu solat subuh ialah waktu malaikat bertukar shift. Malaikat akan membawa laporan ke langit. Kita tidak mahu laporan dihantar ke atas dalam keadaan kita tengah tidur, tidak solat subuh. Itu akan menyebabkan pertolongan Allah jauh. Pastikan subuh kita diperhatikan oleh para malaikat. Walaupun tidak ramai orang yang memerhatikan, kita tetap mahu diperhatikan oleh malaikat.
Waktu solat subuh, baca ayat Quran yang lebih panjang.
Ayat 17: 79
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Pengajaran
Ayat ini adalah seruan kepada kita untuk bertahajud.
Tahajud adalah kewajiban kepada Nabi SAW tetapi nawafil kepada kita, umat Nabi SAW. Dimudahkan bagi kita sebagai tambahan, bukan wajib. Ini adalah satu rahmat.
Untuk mendidik diri kita, kita perlu mencapai standard ayat 79, iaitu bangun malam. Tetapi, ketika bersama masyarakat, tidak payahlah kita mewajibkan pula mereka bangun malam.
Tahajud berasal daripada perkataan ha-ja-da. Bila seseorang bertahajud dan faham nilai solat itu, dia akan mempunyai semangat untuk kuatkan dirinya.
Perkataan tahajud ada kaitan dengan berjihad. Orang berjihad dan dibina dengan tahajud akan benar-benar berjihad dari dalam dirinya bukan luaran sahaja yang menyebabkan dia buat bersungguh-sungguh.
Kesan amalan tahajud, kita akan diangkat ke makam yang terpuji. Di akhirat nanti semua orang akan bersama dengan pemimpin mereka. Kalau kita bertahajud dan berjuang bersama Nabi SAW, kita di belakang Nabi SAW yang akan memberi syafaat kepada umatnya. Harapnya kita akan dapat capai makan terpuji kerana mengamalkan ayat ini.
Gelisah Nabi SAW dibantu oleh Allah SWT bila mendirikan solat malam. Ada 4 manfaat solat malam: a) dinaikkan makam, b) dimasukkan dengan masuk yang benar, c) keluar yang benar, d) diberikan pertolongan yang besar.
Bagi kita, masuk yang benar ialah masuk agama Islam dengan cara yang benar melalui al-Quran dan sunnah Nabi SAW maka kita tidak termasuk ajaran sesat.
Bagi Nabi SAW, masuk yang benar ialah masuk ke tempat yang betul, iaitu Madinah agar mudah untuk meluaskan lagi dakwah tauhid kepada Allah SWT dan keluar dengan mulia daripada Mekah kerana selepas ini akan masuk semula ke Mekah dengan pertolongan Allah sebagai kemenangan pada tahun 8 Hijrah semasa peristiwa Fathul Mekah.
Ayat 17: 80
وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِى مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِى مُخْرَجَ صِدْقٍ وَٱجْعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلْطَٰنًا نَّصِيرًا
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",
Pengajaran
Bila selalu bertahajud, Allah SWT akan beri bantuan atau kuasa. سُلْطَٰنًا نَّصِيرًا bermaksud pertolongan daripada Allah SWT. Ada orang cari kuasa sahaja untuk merasa hebat, bukan untuk mendapat bantuan daripada Allah SWT
Bila Allah SWT bantu, keluarga, organisasi dan negara akan berkat. Jika berlaga-laga dan tidak sedar misi untuk mendapat bantuan Allah SWT, maka akhirnya akan hancur keluarga, organisasi atau negara.
Ayat 17: 81
وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَٰطِلُ إِنَّ ٱلْبَٰطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
Pengajaran
Kita dapat kuasa dengan pertolongan daripada Allah SWT. Ini akan membuatkan kita pastikan kebenaran itu sentiasa di atas dan kebatilan dihancurkan.
Realitinya perkara batil memang akan lenyap. Kenapa masih berlaku kebatilan? Ini kerana perkara Al-Haq jarang dibincangkan. Kalau al-Quran jarang dibaca dan difahami, yang masuk dalam hati kita ialah bacaan yang remeh-remeh dari punca-punca yang batil seperti facebook dan media sosial yang akan mempengaruhi cara kita berfikir, berperasaan dan cara kita bertindak.
Al-Haq (Al-Quran) ini diperjuangkan oleh Nabi SAW daripada Mekah sampai ke Madinah dan ayat ini dibaca Nabi SAW ketika Fathul Mekah semasa menghancurkan berhala-berhala di sekeliling kaabah.
Kebatilan itu lenyap disebabkan perjuangan bersama solat dan sentiasa membaca al-Quran.
Ayat 17: 82
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Pengajaran
Inilah kefahaman kita tentang al-Haq. Sumber kebenaran yang di perjuangkan oleh Nabi SAW dan para sahabat itu sumbernya daripada langit yang namanya al-Quran. Solat dan al-Quran tidak boleh lari daripada kehidupan kita. Inilah yang perlu dijaga untuk mendapat kuasa dan pertolongan (سُلْطَٰنًا نَّصِيرًا) daripada Allah SWT.
Solat subuh sebaiknya dipanjangkan sedikit bacaan al-Qurannya supaya lebih banyak bantuan sampai dalam apa sahaja yang kita buat kerana waktu ini disaksikan oleh para malaikat yang akan membuat laporan terus kepada Allah SWT. Bagi ibu-ibu yang mendidik anak-anak di rumah, bagi ayah-ayah yang bekerja, bagi pemimpin, kalau ingin diberikan kuasa dan pertolongan ( سُلْطَٰنًا نَّصِيرًا ) maka inilah caranya.
Peranan al-Quran yang pertama adalah penawar ( شِفَآءٌ). Menurut imam As-Saadi, al-Quran menjadi penawar kepada berbagai penyakit:
Syubhah (perkara yang ragu-ragu), kejahilan, mengada-adakan kejahatan atau ada tujuan buruk dalam berbuat sesuatu. Dengan selalu membaca al-Quran, Allah akan memberi penawar kepada tujuan buruk itu daripada rasa dengki kepada orang lain atau rasa hendak hancurkan orang lain, kepada kita akan rasa kita kena tolong orang lain, kena bantu ke arah kebajikan dan taqwa.
Melenyapkan syahwah yang bercanggah seperti rasa malas hendak solat, malas hendak kerja. Rasa itu akan dilenyapkan oleh peringatan-peringatan daripada al-Quran. Bila kita baca dan tadabbur kita akan dapat penawar itu.
Penyakit fizikal juga boleh dirawat dengan al-Quran. Ia akan menghilangkan stres, kita akan berfikir dengan lebih matang dan nyaman, maka itu akan membina kesihatan. Sistem imun kita akan terkesan daripada membaca al-Quran.
Doktor-doktor disarankan untuk mengkaji kesan al-Quran dalam usaha rawatan bagi penyakit fizikal dan mental. Kita tidak boleh asingkan roh dan jasad dalam usaha mendidik dan merawat manusia.
Cabarannya, al-Quran ini tidak memberi kesan yang baik kepada orang yang zalim malah menambahkan kerugian kepada mereka:
Mereka yang zalim ini bila diajak baca, faham dan amal al-Quran mereka tidak ambil kisah.
Mereka tidak mahu kagum, tidak mahu mencari ubat daripada al-Quran, tidak mahu mencari kasih sayang Allah daripada al-Quran.
Mereka tengok al-Quran macam buku biasa. Tidak ada perbezaan hendak baca dan amal atau tidak. Yang penting bagi mereka, hidup mesti diteruskan tanpa kisah kepada al-Quran dan tidak mahu untuk memperjuangkan nilai al-Quran.
Nabi bukan sekadar baca al-Quran tetapi memperjuangkan al-Quran. Bila itu dilakukan, maka kita tidak menjadi orang yang zalim. Al-Quran akan menjadi sumber penawar dan rahmah daripada Allah SWT.
Ayat 17: 83
وَإِذَآ أَنْعَمْنَا عَلَى ٱلْإِنسَٰنِ أَعْرَضَ وَنَـَٔا بِجَانِبِهِۦ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ كَانَ يَـُٔوسًا
Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa
Pengajaran
Al-Quran adalah nikmat yang paling besar kepada manusia. Bila Allah SWT bagi nikmat, manusia menjauhkan diripada sumber nikmat iaitu Allah SWT.
Mereka mahu nikmat tetapi hendak jauh daripada sumber nikmat. Bila diberi keburukan seperti sakit, COVID-19, bisnes tidak jadi, mereka berputus asa, rasa tidak ada harapan untuk hidup. Inilah psikologi manusia. Ia boleh diubat dengan al-Quran. Kalau ada al-Quran dia akan rasa Allah akan bantu. Allah sumber rezeki, Allah boleh sembuhkan, Allah boleh buat perubahan. Dulu pun pernah ada pandemik, tetapi Allah boleh sembuhkan. Itulah harapan-harapan positif kerana mendapat penawar dan rahmat daripada al-Quran.
Ayat 17: 84
قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِۦ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَىٰ سَبِيلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya".
Pengajaran
Allah SWT memberitahu bahawa setiap manusia adala berbeza, tetapi ada kesamaan.
Masing-masing ada personaliti atau gaya (شَاكِلَتِهِۦ) masing-masing untuk beramal. Ada yang boleh menulis nota, ada yang boleh memasak, ada yang boleh menjahit, ada yang diam.
Setiap orang beramal dengan personaliti masing-masing, tetapi dengan perbezaan itu kita bersatu di atas hidayah Allah SWT.
Kita kena gunakan potensi yang Allah berikan kepada setiap orang sebagai ruang untuk beramal atas jalan hidayah Allah SWT. Janganlah kita mengatakan orang lain atau kumpulan lain tidak betul kerana masing-masing ada kapasiti, personaliti dan juga minat masing-masing.
Ayat 17: 85
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Pengajaran
Ada orang bertanya tentang roh. Mengapa roh? Kerana roh ada kaitan dengan nama al-Quran yang dibawa oleh Ruhul Qudus (Jibril).
Roh penting dalam hidup kita kerana kita bukan melihat dari segi fizikal semata-mata. Dalam hidup, kita perlu cari hidayah untuk diri kita, berinteraksi dengan roh al-Quran untuk mendapat kemenangan.
RESOLUSI
Ingat!
Yakin pertolongan Allah SWT jika mesej kebaikan yang diperjuangkan ditentang (17:76)
Dirikan solat termasuk tahajud untuk meraih pertolongan Allah SWT (17:78-80)
Komited dengan al-Quran sebagai penawar dan rahmat kepada orang beriman (17:82)
Saya berasa lega, Al-Quran membangkitkan jiwa saya yang lesu dengan rahmat Allah SWT.
Saya jelas saya mesti yakin pertolongan Allah SWT jika mesej kebaikan yang diperjuangkan ditentang. Saya jelas untuk dirikan solat termasuk tahajud untuk meraih pertolongan Allah SWT. Saya jelas saya mesti komited dengan al-Quran sebagai penawar dan rahmat kepada orang beriman.
Ya Allah, kurniakan kami kuasa dan pertolongan untuk memperjuangkan mesej kebaikan. Ya Allah, jadikan kami orang yang mendirikan solat termasuk tahajud dan kurniakan kepada kami pertolongan untuk membawa diri, keluarga, organisasi dan negara kami kepada kebaikan dan taqwa. Ya Allah, bimbing kami untuk komited dengan al-Quran agar ia menjadi sebagai penawar dan rahmat kepada kami.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.