PERKATAAN HARI INI
ظَهَرَ Menzahirkan, menyatakan, menerangkan
59 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Mukjizat al-Quran (17:87-89)
Permintaan orang Musyrik agar diturunkan salah satu daripada enam tanda kekuasaan Allah SWT (17:90-93)
Antara kesilapan berfikir orang Musyrik, sifat kemanusiaan para rasul dan pengingkaran terhadap hari kebangkitan (17:94-96)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bertemu hari ini pada halaman 291. Nikmat paling besar adalah al-Quran. Dengan membaca al-Quran, itu tandanya kita diberi kasih sayang oleh Allah SWT.
Ayat 17: 86
وَلَئِن شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَيْنَا وَكِيلًا
Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.
Pengajaran
Ayat ini memberi ancaman kepada orang yang tidak kisah dengan al-Quran. Allah SWT boleh sahaja mengambilnya kembali.
Al-Quran adalah penawar untuk menguruskan hati manusia yang setiap hari diserang virus. Puncaknya, orang yang kufur di zaman Nabi SAW dan ahli kitab.
Kalau kita sibuk sangat sampai tidak ada masa untuk al-Quran, Allah boleh tarik sahaja al-Quran.
Jangan ambil selain daripada Allah SWT sumber tawakal. Kesan tawakal dalam hidup kita amat besar. Kalau kita stres, bila tawakal kepada Allah SWT, kita tahu Allah yang jaga urusan kita. Serahkan kepada Allah untuk menyusun apa yang terbaik untuk kita. Tidak perlu membebankan semuanya atas diri kita sendiri.
Ayat 17: 87
إِلَّا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ إِنَّ فَضْلَهُۥ كَانَ عَلَيْكَ كَبِيرًا
(Tetapi kekalnya Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya limpah kurnianya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar.
Pengajaran
Dengan rahmat Allah SWT kita dapat al-Quran. Sesungguhnya kurniaan Allah SWT kepada kita amat besar. Dengan rahmat Allah kita diberi peluang bersama al-Quran.
Allah SWT boleh menarik al-Quran daripada orang yang kurang membacanya, menghafalnya, atau pun yang sudah hafaz tetapi Allah SWT tarik kefahamannya.
Ayat 17: 88
قُل لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِمِثْلِ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِۦ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".
Pengajaran
Nabi Musa AS ada tongkat sebagai mukjizat. Kita ada al-Quran. Ia adalah mukjizat yang sesiapa pun tidak boleh ganggu. Malah kalau hendak cuba buat yang sama, manusia dan jin tidak dapat menghasilkan kitab yang serupanya.
Ini bermakna mesej ini adalah benar. Al-Quran bukan datang dari Nabi SAW. Semakin kita membaca al-Quran, semakin kita bergantung kepada Allah SWT.
Pembaca al-Quran akan ikut Allah, kesannya tidak menjadi orang yang ego. Kalau ada masalah kita akan serah kepada Allah, bukan suruh orang lain ikut kita.
Ayat 17: 89
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِى هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَىٰٓ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُورًا
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.
Pengajaran
Allah SWT mempelbagaikan sudut pandang di dalam al-Quran. Ada cerita, ada amaran, ada khabar gembira, ada ayat yang menyuruh tengok alam, tengok sejarah. Dengan sudut pandang yang berbeza ini akan jelas bahawa Allah SWT sahaja yang perlu ditaati. Kita ini adalah hamba yang lemah.
Ada manusia enggan membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Mereka menjadi kufur kepada nikmat paling besar ini.
Ayat 17: 90
وَقَالُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ ٱلْأَرْضِ يَنۢبُوعًا
Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami.
Pengajaran
Orang-orang kafir terus enggan beriman kepada Nabi SAW.
Mereka meminta Nabi SAW untuk tunjukkan bukti di depan mata mereka dengan memancarkan mata air dari bumi.
Ayat 17: 91
أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ ٱلْأَنْهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفْجِيرًا
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus
Pengajaran
Mereka juga minta Nabi SAW menunjukkan berbagai bukti-bukti dengan mengalirkan sungai-sungai dari celah-celah pohon-pohon tamar dan anggur,
Ayat 17: 92
أَوْ تُسْقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِىَ بِٱللَّهِ وَٱلْمَلَٰٓئِكَةِ قَبِيلًا
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.
Pengajaran
Mereka juga meminta Nabi SAW untuk menggugurkan langit dan meminta Nabi SAW membawa kepada mereka malaikat.
Ayat 17: 93
أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِى ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَٰبًا نَّقْرَؤُهُۥ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّى هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
Pengajaran
Mereka juga mencabar Nabi SAW untuk membuat rumah yang terhias dari emas permata, atau naik ke langit dan membawa turun kitab yang dialamatkan kepada mereka.
Semua cabaran itu adalah mustahil. Hanya boleh dibuat oleh Allah SWT. Allah SWT menyuruh Nabi SAW memberitahu mereka yang baginda SAW tidak mampu berbuat apa-apa kerana baginda SAW hanyalah manusia biasa.
Mereka yang mencabar itu hendakkan benda yang nampak depan mata. Kalau orang cabar kita begitu katakan سُبْحَانَ رَبِّى, kita ini manusia biasa sahaja.
Ayat 17: 94
وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤْمِنُوٓا۟ إِذْ جَآءَهُمُ ٱلْهُدَىٰٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَبَعَثَ ٱللَّهُ بَشَرًا رَّسُولًا
Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?"
Pengajaran
Antara cabaran untuk orang mendapat hidayah, ialah dia tidak mahu menerima perkara yang tidak ada keputusan cepat dan tidak mahu menerima orang di sekitarnya. Mereka mahu orang yang turun daripada langit.
Ayat 17: 95
قُل لَّوْ كَانَ فِى ٱلْأَرْضِ مَلَٰٓئِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَلَكًا رَّسُولًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul".
Pengajaran
Mereka mengharapkan rasul itu turun daripada langit sempurna seperti Tuhan barulah mereka akan percaya.
Bila bersama al-Quran, jangan kita harapkan keputusan terus dapat depan mata. Kita buat kerana ibadah kepada Allah SWT bukan kerana hendak keputusan sekarang.
Jika kita mahu keputusan cepat, itu petanda ada penghalang kepada keimanan.
Ayat 17: 96
قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًۢا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا
Katakanlah lagi: "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hambaNya".
Pengajaran
Allah SWT mengajarkan kepada Nabi SAW dan kepada kita bagaimana berinteraksi dengan orang-orang tidak percaya kepada al-Quran dan yang memandang rendah orang yang menyebarkan al-Quran.
Surah al-Isra' ini mengajar kita cara menyampaikan al-Quran dan cabaran. Kita kena menjangkakan memang ada orang yang tidak suka kita sampaikan al-Quran.
Kalau ada yang menentang katakan: "Cukuplah Allah SWT menjadi saksi antaraku dengan kamu".
Kalau tidak mahu menjawab, hendaklah tegas dalam hati kerana kita hamba. Kita hendak jadi hamba seperti Nabi SAW yang Allah izinkan mendapat rahmat.
Allah SWT Maha Mengetahui, Maha Melihat keadaan kita. Sebagai hamba kita ada kelemahan. Dalam kelemahan itulah kita tahu Allah SWT sentiasa perhatikan apa yang ada dalam hati kita. Hendaklah kita sama-sama perbaiki. Cukuplah Allah sebagai saksi.
RESOLUSI
Ingat!
Menghargai mukjizat al-Quran dengan mengambilnya sebagai sumber hidayah (17:88-89)
Jangan layan cabaran orang yang kufur kepada Allah SWT (17:90-93)
Selalu kembali kepada Allah SWT ketika ada orang bergaduh atau tidak puas hati atas kebenaran dibawa (17:96)
Saya berasa lega, Allah SWT kurniakan al-Quran sebagai sumber hidayah.
Saya jelas saya mesti menghargai mukjizat al-Quran dengan mengambilnya sebagai sumber hidayah. Saya jelas untuk tidak layan cabaran orang yang kufur kepada Allah SWT. Saya jelas untuk selalu kembali kepada Allah SWT ketika ada orang bergaduh atau tidak puas hati atas kebenaran dibawa.
Ya Allah, bimbing kami untuk menghargai mukjizat al-Quran dengan mengambilnya sebagai sumber hidayah. Ya Allah, jauhi kami daripada melayan cabaran orang yang kufur kepada Mu. Ya Allah, pimpin kami untuk selalu kembali kepada Mu ketika ada orang bergaduh atau tidak puas hati atas kebenaran dibawa.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.