PERKATAAN HARI INI
أَبَى Enggan
13 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Hidayah dan sesat (17:97-100)
Sembilan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS dan sifat diturunkannya al-Quran (17:101-104)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 292. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana sudah hampir sampai ke penghujung surah al-Isra' untuk melihat kesimpulan yang penting.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas'ud: "Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu."
Ada dua jenis orang yang tidak mahu menikmati hidangan iaitu orang yang sudah kenyang, atau kerana dia sakit. Dalam dunia ini tidak ada orang yang betul-betul kenyang dengan al-Quran. Malah Nabi SAW bersama al-Quran pada setiap hari. Semoga kita tidak menjadi orang yang sakit sehingga dipaksa makan menggunakan tiub. Semoga kita tidak jemu menikmati hidangan Allah SWT ini.
Ayat 17: 97
وَمَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِهِۦ وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا مَّأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَٰهُمْ سَعِيرًا
Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.
Pengajaran
Pada halaman lepas kita melihat bagaimana orang-orang kafir mencabar Allah SWT dan Nabi SAW.
Ideanya dalam ayat ini, hidayah adalah daripada Allah SWT bukan dapada Rasul SAW, dan keputusan adalah daripada Allah SWT, bukan daripada Rasul SAW. Apabila dapat hidayah orang itu akan kembali kepada Allah SWT.
ٱلْمُهْتَدِ ialah orang yang komited, bersegera menuju kepada hidayah. Ia adalah orang yang merapati, mendekati hidayah. Kalau kita hendak hidayah, Allah SWT akan beri hidayah.
Kalau orang itu menjauhi hidayah, maka Allah SWT akan menjauhkannya. Allah SWT beri pilihan kepada kita tetapi Allah akan beri respon ikut apa yang kita inginkan.
Mereka akan dikumpulkan di akhirat di atas wajah mereka. Mereka berjalan dengan muka di atas tanah seperti binatang. Allah beri begini kerana mereka dalam keadaan buta, bisu dan tuli.
Menurut Ibnu Ashyur, semasa di atas muka bumi mereka nampak tetapi tidak mahu melihat kepada mukjizat alam ini sebagai bukti kebesaran Allah SWT. Allah SWT bisukan mereka kerana di dunia mereka menggunakan mulut untuk mencabar Nabi SAW dan mencabar Allah SWT dengan soalan-soalan yang pelik-pelik. Mereka pekak kerana tidak menggunakan telinga untuk mendengar al-Quran. Mereka tidak mahu dengar kerana khuatir akan terpengaruh.
Akhirnya mereka ingin kembali kepada kebenaran, tetapi sudah terlambat. Tempat berlindung mereka ialah jahannam. Bila terpadam api, akan disimbah lagi sehingga api menjulang-julang. Mereka diazab begitu kerana di dunia ini mereka suka memanaskan keadaan supaya orang makin bergaduh.
Ayat 17: 98
ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُم بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا وَقَالُوٓا۟ أَءِذَا كُنَّا عِظَٰمًا وَرُفَٰتًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا
Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata: "Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
Pengajaran
Mereka dibalas begitu kerana mereka kufur dengan ayat-ayat Allah SWT. Mereka mempersoalkan sama ada benar ke tulang belulang boleh dibangkitkan semula?
Bani Israel cuba padamkan keimanan pada hari akhirat. Kita ulang cerita Bani Israel banyak kali bukan kerana kita benci mereka. Kita hendak ambil pelajaran. Yang tidak baik kita elakkan, yang baik kita ambil.
Ayat 17: 99
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ قَادِرٌ عَلَىٰٓ أَن يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ وَجَعَلَ لَهُمْ أَجَلًا لَّا رَيْبَ فِيهِ فَأَبَى ٱلظَّٰلِمُونَ إِلَّا كُفُورًا
Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.
Pengajaran
Allah SWT telah menentukan bagi setiap orang, hidup dan matinya. Bayi, apabila sampai masanya, akan lahir. Begitu juga kematian, apabila sampai masanya beredarlah pergi. Semuanya dengan kuasa Allah SWT. Allah SWT ada timing, Allah SWT berkuasa. Tidak susah bagi Allah untuk bangkitkan semula manusia yang sudah ada.
Orang-orang yang tidak rasional, tidak menghargai kebesaran Allah, mereka akan cuba menafikan.
Orang-orang yang zalim itu, mereka akan menolak. Orang zalim ialah orang yang tidak adil dan tidak memperjuangkan keadilan untuk orang lain. Contoh: Bos tidak boleh tekan orang bawah. Orang di bawah pula kena taat kepada bos.
Bani Israel tidak suka menegur dan tidak suka ditegur. Mereka akan buat komplot untuk menjatuhkan orang yang menegur mereka. Mereka rasis.
Ayat 17: 100
قُل لَّوْ أَنتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَآئِنَ رَحْمَةِ رَبِّىٓ إِذًا لَّأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ ٱلْإِنفَاقِ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ قَتُورًا
Katakanlah (wahai muhammad): "jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut"
Pengajaran
Jangan jadi orang yang kedekut (قَتُورًا). Mereka kedekut kerana tidak jaga iman; tidak mahu sedekah, tidak mahu memberi peluang kepada orang lain untuk bantu, tidak mahu memberi maaf, suka marahi orang.
قَتُورًا adalah orang yang murah. Mereka hendak semua untuk diri sendiri. Kalau beri, mereka beri yang murah-murah. Semoga kita tidak jadi orang yang kedekut.
Mereka jadi begitu kerana iman tidak dibina.
Bani Israel cuba melupakan bab mati dan bab akhirat. Mereka hendak enjoy sahaja dalam hidup, tidak mahu infaq. Janganlah kita jadi seperti mereka. Banyakkan infaq dan bina iman dengan mukjizat al-Quran.
Semoga kita kembali kepada Allah SWT dalam husnul khotimah.
Ayat 17: 101
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ تِسْعَ ءَايَٰتٍۭ بَيِّنَٰتٍ فَسْـَٔلْ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِذْ جَآءَهُمْ فَقَالَ لَهُۥ فِرْعَوْنُ إِنِّى لَأَظُنُّكَ يَٰمُوسَىٰ مَسْحُورًا
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir"
Pengajaran
Tafsir Hamka menyebut 9 mukjizat Nabi Musa AS:
Tongkat Nabi Musa AS
Cahaya dari tangan Nabi Musa AS
Taufan besar
Belalang
Agas dan kutu
Katak
Sungai Nil yang luas dan panjang menjadi air darah
Mesir ditimpa kemarau yang sangat panjang
Rosaknya hasil bumi dan penyakit berjangkit. Ada pandemik waktu itu.
Ini mengingatkan kita kepada pandemik yang sedang berlaku sekarang. Ini mesej besar daripada Allah SWT supaya kita jangan terlampau laju dalam kehidupan sampai terlupa bahawa kita bukan akan kekal hidup di dunia. Kita menuju ke akhirat yang lebih abadi.
Nabi Musa AS hendak selamatkan Bani Israel. Bani Israel, Firaun dan kuncu-kuncunya adalah orang yang hendak diajak kepada iman. Sama seperti Nabi Muhammad SAW mengajak orang Quraish untuk beriman.
Firaun mengatakan Nabi Musa AS telah disihir. Pada mulanya dia anggap Nabi Musa adalah tukang sihir. Firaun amat yakin dengan kekayaan dan pangkat yang dia ada sehinggakan dia tidak mengendahkan kepada seruan kembali kepada Allah SWT.
Firaun nampak 9 mukjizat yang sepatutnya membuat dia dan kuncu-kuncu rendah diri, menjadi hamba dan kembali kepada Allah SWT.
Ayat 17: 102
قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَآ أَنزَلَ هَٰٓؤُلَآءِ إِلَّا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ بَصَآئِرَ وَإِنِّى لَأَظُنُّكَ يَٰفِرْعَوْنُ مَثْبُورًا
Nabi Musa menjawab: "Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
Pengajaran
Nabi Musa AS memberitahu yang Firaun sudah tahu tentang mukjizat-mukjizatnya adalah diturunkan oleh Allah SWT. Mukjizat-mukjizat itu sudah pastinya datang daripada sumber yang tidak dapat oleh manusia biasa, pastinya datang daripada Allah SWT. Ahli-ahli sihir Firaun akhirnya masuk Islam.
Nabi Musa AS sudah ingatkan berkali-kali kepada Firaun dengan kata-kata yang baik. Tetapi bila mereka serang balik, menyebabkan Nabi Musa AS mengatakan yang Firaun akan binasa.
Hendaklah kita terus-terus ajak orang kepada kebaikan seperti Nabi Nuh AS. Kalau orang itu menentang balik dan hendak menghalang kebaikan untuk disampaikan, maka kita boleh bertindak balas (مَثْبُورًا).
Ayat 17: 103
فَأَرَادَ أَن يَسْتَفِزَّهُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ فَأَغْرَقْنَٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ جَمِيعًا
Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.
Pengajaran
Quraish menghalau Nabi Muhammad SAW dan sahabat sama seperti Firaun yang menghalau Nabi Musa AS dan Bani Israel.
Allah SWT telah tenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya di laut. Sebenarnya Allah SWT juga boleh tenggelamkan manusia di darat. Allah SWT boleh jerluskan tanah-tanah, atau gempa bumi yang akhirnya manusia degil hancur begitu sahaja.
Ini mengingatkan kita bahawa Allah SWT Maha Berkuasa. Bila-bila masa Allah SWT boleh melenyapkan orang-orang yang menghalau, yang meresahkan kepada orang-orang yang beriman.
Ayat 17: 104
وَقُلْنَا مِنۢ بَعْدِهِۦ لِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱسْكُنُوا۟ ٱلْأَرْضَ فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلْءَاخِرَةِ جِئْنَا بِكُمْ لَفِيفًا
Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): "Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk.
Pengajaran
Allah SWT mengingatkan Bani Israel yang mereka terpisah-pisah di seluruh dunia ini (diaspora), akhirnya akan kembali semula.
Bila diselamatkan daripada Firaun, Bani Israel menuju ke Palestin. Mereka tidak dapat masuk terus, berlegar selama 40 tahun di padang pasir baru dapat masuk. Kemudian jatuh semula. Pada 1948, berlakunya pembukaan Israel, mereka berkumpul balik.
"Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk." Kalau mereka beriman kepada Nabi Isa AS yang akan dibangkitkan nanti, mereka akan selamat.
RESOLUSI
Ingat!
Cari hidayah agar ia sentiasa bertambah dan akan menjauhkan kita daripada bakaran api neraka (17:97)
Jangan bersikap sombong dan menafikan kebenaran hingga membawa kepada kekufuran (17:99)
Banyakkan infak sebagai pembuktian keimanan dan hidayah (17:100)
Saya berasa lega, Allah SWT akan jauhkan saya daripada bakaran api neraka sekiraya saya berusaha bersungguh-sungguh mencari hidayah.
Saya jelas saya mesti cari hidayah agar ia sentiasa bertambah dan akan menjauhkan saya daripada bakaran api neraka. Saya jelas untuk tidak bersikap sombong dan menafikan kebenaran hingga membawa kepada kekufuran. Saya jelas untuk banyakkan infak sebagai pembuktian keimanan dan hidayah.
Ya Allah, bimbing kami untuk cari hidayah agar ia sentiasa bertambah. Ya Allah, jauhkan kami daripada bakaran api neraka. Ya Allah, jauhkan kami daripada bersikap sombong dan menafikan kebenaran hingga membawa kepada kekufuran. Ya Allah, bantu kami untuk menjadi orang yang banyak infak sebagai pembuktian keimanan dan hidayah.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.