Thursday, August 3, 2023

Halaman 293 : Al-Isra', 105-111 dan Al-Kahf, 1-4

 PERKATAAN HARI INI

  نَذِرً   Memberi amaran, memberi peringatan

130 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Mukjizat al-Quran (17:105-109)

  2. Berdoa kepada Allah dengan Asma'ul Husna (17:110-111)

  3. Tata cara memuji Allah SWT dan fungsi al-Quran (18:1-4)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 293. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana sudah sampai ke halaman akhir Surah Al-Isra' dan awal Surah Al-Kahfi.


Surah Al-Isra' dan Surah Al-Kahf ini adik beradik. Surah Al-Isra' banyak bercerita tentang Bani Israel, Surah Al-Kahf menegur kumpulan Nasrani.


Ayat 104 menceritakan bagaimana Bani Israel yang terpisah di seluruh dunia dijumpakan kembali.



Ayat 17: 105


وَبِٱلْحَقِّ أَنزَلْنَٰهُ وَبِٱلْحَقِّ نَزَلَ وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا


Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).


Pengajaran


  1. Allah SWT membawa hakikat al-Quran ini diturunkan dengan kebenaran, dengan tujuan untuk memberitahu kepada kita tentang fungsi kita sebagai hamba dan bagaimana kita berperanan di muka bumi ini. Ia adalah perkara yang serius untuk melawan kebatilan. 

  2. Allah SWT menghantar Nabi SAW sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran.

  3. Bani Israel tidak berpuas hati dengan Nabi SAW kerana baginda bukan dari kalangan mereka. Mereka beriman tetapi tidak menerima kerana ego. Dalam hidup, tidak semestinya orang beriman itu selamat. 

  4. Bani Israel ada peluang untuk kembali balik kepada kebenaran. 



Ayat 17: 106


وَقُرْءَانًا فَرَقْنَٰهُ لِتَقْرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَٰهُ تَنزِيلًا


Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.


Pengajaran


  1. Al-Quran diturunkan beransur-ansur untuk dibaca kepada semua manusia, bukan hanya orang Islam sahaja. 

  2. Hendaklah kita dengarkan al-Quran kepada kawan-kawan yang belum Islam. Al-Quran bila dibaca secara perlahan-lahan akan memberi kesan kepada jiwa kita.

  3. Al-Quran diturunkan bertahap-tahap supaya kita dapat memprosesnya. Ia menyerap menanti kepada peristiwa-persitiwa dan cabaran yang sesuai untuk menjadi solusi.

  4. Apa yang kita baca selalunya memang kena pada kita. Bila kita belajar dan baca al-Quran, kita cuba fikirkan apa mesejnya. Jika tidak terasa kesan, kita tidak dapat  تَنزِيلًا Bila baca al-Quran, kita akan rasa sedap dan manisnya seperti kita makan halwa sebelum makan main course. Main course al-Quran ada di syurga Allah SWT.

  5. Untuk mendapatkan rasa manisnya al-Quran itu kita kena baca sedikit-sedikit, cuba faham, dan cuba kaitkan dengan persitiwa yang sedang berlaku barulah kita dapat solusi yang dibekalkan oleh al-Quran. 



Ayat 17: 107


قُلْ ءَامِنُوا۟ بِهِۦٓ أَوْ لَا تُؤْمِنُوٓا۟ إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهِۦٓ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا


Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);



Ayat 17: 108


وَيَقُولُونَ سُبْحَٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا


Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. "



Ayat 17: 109


وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا ۩


Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang berilmu dan beriman akan tunduk sujud kepada Allah SWT apabila dibacakan al-Quran.

  2. Orang yang baca al-Quran tetapi tidak yakin dengan janji Allah SWT, itu bermakna dia ada masalah ilmu pada keimanannya. 

  3. Semoga kita dapat terus menambah ilmu yang ada dengan mengikuti program baca, faham dan amal. Hendaklah kita sentiasa top-up ilmu al-Quran yang ada supaya menjadi orang yang tunduk khusyuk kepada Allah SWT. Iman + Ilmu + Quran --> Tunduk Khusyuk (Lambang Kehambaan).  

  4. Ada waktu tertentu, bila kita membaca al-Quran, kita berasa overwhelmed dan speechless,  tidak terkata dan mengalir air mata. 

  5. Surah al-Isra' ajar kita cara jadi hamba. Sebagai hamba, Nabi SAW dijalankan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sampai ke Sidratul Muntaha. Hamba juga suka berdoa, menyeru kepada ar-Rahman.

  6. Tugas seorang rasul adalah memberi peringatan dan memberi amaran, begitu juga tugas kita sebagai penyambung tugas Nabi SAW.

  7. Semakin jadi hamba, semakin kita mengingatkan diri kita dan ingatkan kepada orang lain supaya mereka tidak jatuh ke dalam masalah. Walaupun ada orang rasa kecil hati, tetapi kita sebenarnya hendak selamatkan mereka. Bukan kerana benci bukan kerana tidak suka.



Ayat 17: 110


قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱللَّهَ أَوِ ٱدْعُوا۟ ٱلرَّحْمَٰنَ أَيًّا مَّا تَدْعُوا۟ فَلَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَٱبْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antaranya.


Pengajaran


  1. Bila berdoa kepada Allah SWT, jangan melantangkan dan jangan terlalu merendahkan suara. Penting perkara ini kerana ia ada kaitan dengan perangai kita juga. Ada orang yang perangainya lantang, serba serbi hendak buat. Ada orang yang perangai terlalu perlahan, kerja-kerja semua perlahan. 

  2. Asma ul Husna adalah nama-nama Allah yang baik. Ia akan menyerap kepada kita untuk buat kebaikan. Hamba yang baik tidak akan balas orang yang buat dia marah. Allah SWT tidk balas dengan kemarahan. 



Ayat 17: 111


وَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٌ فِى ٱلْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًۢا


Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"


Pengajaran


  1. Allah SWT memberikan 5 panduan untuk menguatkan tauhid:

    1. Puji Allah SWT

    2. Jangan cakap Allah SWT ada anak

    3. Jangan syirikkan kuasa Allah SWT

    4. Jangan kata Allah SWT perlukan penolong

    5. Besarkan Allah SWT

  2. Bani Israel dilaknat kerana melakukan yang bertentangan dengan perkara-perkara di atas. Itu menyebabkan mereka jatuh. 

  3. Kalau umat Islam hendak bangkit, kita kena jaga 5 perkara ini. Bermula dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Di tengah-tengahnya itu kita kena jaga keimanan dengan ilmu daripada al-Quran.



Surah Al-Kahf (Gua)


Hadis dari Abu Syed Al Khudri: "Barang siapa yang membaca Surah Al-Kahf pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya baginya antara dua Jumaat." 



Ayat 18: 1


ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ ٱلْكِتَٰبَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُۥ عِوَجَا


Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):


Pengajian


  1. Ini adalah surah ketiga daripada lima surah yang bermula dengan Alhamdulillah. Imam Sya'rawi mengatakan, Allah SWT bukan sekadar cipta kita secara fizikal tetapi Allah memberikan tarbiyah(pendidikan) dengan menurunkan kitab yang tidak ada kebengkokan di dalamnya.

  2. Dalam surah al-Isra' kita lihat Nabi SAW bertemu Allah SWT untuk mendapatkan solat /wahyu. Dalam surah al-Kahf, bezanya ialah wahyu itu turun kepada Nabi SAW. Yang samanya ialah dalam ayat pertama kedua-dua surah ada perkataan  عَبْدِهِ (hambNya).

  3. Puncak kepada kepujian seseorang itu adalah menjadi hamba. Dalam kalangan manusia, hamba adalah paling bawah sekali kedudukannya, tetapi di sisi Allah SWT, hamba Allah SWT itulah yang paling tinggi. 

  4. Kita bertemu dengan Nabi Muhammad SAW pada perkataan hamba. Syaratnya kita kena jadi hamba, kita berdoa dengan Asma ul Husna, perangai kita merendah diri kepada rakan-rakan kita, guna bahasa yang baik. Kalau kita hendak bersama Nabi SAW, maka hendaklah kita jadi hamba.

  5. Inilah ayat pertama sebagai checklist satu per sepuluh ayat yang kita digalakkan membaca  untuk mengelakkan diri daripada cabaran akhir zaman terutama Dajjal. Untuk buat apa sahaja, kita mesti ada panduan daripada kitab. Walaupun dengar ceramah, kita kena semak apa idea yang dikatakan oleh al-Quran. Kalau tidak, kita mungkin belajar, pergi latihan dan sebagainya tetapi orang itu menyesatkan kita walaupun belajar agama. 

  6. Dalam surah al-Kahf ini ada empat cabaran akhir zaman:

    1. Cabaran agama

    2. Cabaran harta

    3. Cabaran ilmu

    4. Cabaran kuasa 

  7. Peranan al-Quran adalah untuk meluruskan cara berfikir, cara berperasaan kita. Ada orang yang bergaduh, perangainya boleh jadi macam orang gila. Kalau dia marah, boleh keluarkan perkataan atau tindakan seperti budak kecil. Perangai seperti itu yang dibuat oleh Bani Israel, bila marah mereka mengutuk Nabi Musa AS walaupun baginda bawa Taurat. Jangan kita buat perangai begitu. Al-Quran akan memandu kita, syaratnya kita mesti jadi hamba apabila berhadapan dengan masalah. Insya Allah kita tidak akan bengkok.



Ayat 18: 2


قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا


(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.


Pengajaran


  1. Al-Quran akan meluruskan, meneguhkan dan memberi peringatan ketika perang yang hebat dan amat besar (بَأْسًا شَدِيدًا) yang akan berlaku pada akhir zaman. Ujian akhir zaman datang daripada Allah SWT

  2. Surah al-Kahf ini adalah untuk kita menguruskan cabaran akhir zaman. Orang beriman akan dapat khabar gembira kerana dia terus fokus untuk buat baik agar kita dapat membuat persediaan.  



RESOLUSI



Ingat!


  1. Baca dan fahami al-Quran secara bertahap-tahap (17:106)

  2. Jadikan al-Quran sumber hidayah yang meluruskan perasaan dan pemikiran (18:1)

  3. Sentiasa beri semangat positif kepada orang beriman untuk beramal soleh (18:2)


Saya berasa lega, Allah SWT ajar untuk baca, faham al-Quran secara bertahap supaya saya tidak terbeban.


Saya jelas untuk baca dan fahami al-Quran secara bertahap-tahap. Saya jelas saya mesti jadikan al-Quran sumber hidayah yang meluruskan perasaan dan pemikiran. Saya jelas untuk sentiasa beri semangat positif kepada orang beriman untuk beramal soleh.


Ya Allah,  bimbing kami untuk baca dan fahami al-Quran secara bertahap-tahap. Ya Allah, jadikan al-Quran sumber hidayah yang meluruskan perasaan dan pemikiran kami. Ya Allah, jadikan kami orang yang mempunyai semangat positif untuk beramal soleh.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...