Thursday, August 3, 2023

Halaman 300 : Al-Kahf, 54-61

 PERKATAAN HARI INI

صَرَّفَ   Menjelaskan, berpaling

30 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   


  1. Penjelasan al-Quran, tugas para rasul, kezaliman orang yang tidak mahu beriman dan sebab ditundanya azab hingga waktu yang telah ditentukan (18: 54-59)

  2. Kisah Nabi Musa AS dengan Nabi Khidir AS (18:60-61)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita bersyukur pada hari yang mulia ini, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 300 surah al-Kahf. Surah ini mempunyai tema bagaimana kita menghadapi cabaran akhir zaman iaitu cabaran beragama, cabaran berilmu, cabaran berharta dan cabaran kuasa yang Allah jadikan sebagai perhiasan. Kita perlu memastikan amalan kita adalah yang lebih baik berteraskan panduan daripada al-Quran. 


Pada halaman lepas Allah SWT memberi peringatan tentang pemuda yang mempunyai dua kebun tetapi mempunyai konsep iman yang salah.



Ayat 18: 54


وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِى هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ أَكْثَرَ شَىْءٍ جَدَلًا


Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.


Pengajaran


  1. Allah SWT memulakan dengan صَرَّفْنَا iaitu Allah SWT menjelaskan dengan berbagai-bagai cara kepada manusia; dalam bentuk cerita, khabar gembira, peringatan dan perumpamaan untuk memastikan kita terperangkap dengan kebenaran. Allah pelbagaikan, untuk memastikan seseorang itu menyerah kepada kebenaran. Contoh: Virus COVID-19 yang melanda kita sekarang adalah untuk kita ambil pelajaran.

  2. Psikologi manusia ini suka membuat sesuatu yang tidak bermanfaat, suka berbantah, berbalah, 'super critical', merasakan peringatan yang sampai itu tidak ada kaitan dengannya dan memberi berbagai alasan. Dia akan meletakkan berbagai alasan untuk menidakkan peringatan yang ada.



Ayat 18: 55


وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤْمِنُوٓا۟ إِذْ جَآءَهُمُ ٱلْهُدَىٰ وَيَسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّهُمْ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ ٱلْأَوَّلِينَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ قُبُلًا


Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.


Pengajaran


  1. Dua perkara yang menjadi cabaran di akhir zaman ini ialah orang susah untuk beriman bila sudah datang hidayah dan seseorang itu sukar memohon keampunan daripada Allah SWT. Untuk pemuda al-Kahf, dengan iman Allah tambah hidayah, Allah tambah keteguhan hati mereka. Bila dapat hidayah, kita akan sedar ada banyak lagi yang kurang dalam diri kita maka kita mohon ampun kepada Allah SWT. Itu point bagi Nabi Adam AS untuk bangkit. 

  2. Menurut Ibnu Asyur dan Imam As Sa'di, manusia membantah kepada keadilan kerana dia mengikut kepada iblis. Iblis ini mindsetnya, dia rasa dia ada ilmu. Jadi dia hendak berhujjah. Dia sanggup berhujjah dengan Tuhan. Dalam hidup kita ini ada orang suka berhujjah. Itu adalah sifat-sifat sombong yang menyebabkan manusia ini terhalang daripada beriman. Padahal Allah SWT sudah beri peringatan jangan jadi macam Firaun yang hanya sedar untuk mengucap syahadah apabila sudah hendak tenggelam, tetapi sudah terlambat.

  3. Ini adalah panduan untuk kita sama-sama ambil peringatan. Kalau kita bersama al-Quran ada dua kesan: Makin beriman kepada hidayah dan selalu minta ampun/istighfar. Itulah tandanya kita diberi 'rashada' oleh Allah SWT. Jika kita tidak ada rasa begitu, ia adalah bibit dari godaan iblis. 



Ayat 18: 56


وَمَا نُرْسِلُ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَيُجَٰدِلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِٱلْبَٰطِلِ لِيُدْحِضُوا۟ بِهِ ٱلْحَقَّ وَٱتَّخَذُوٓا۟ ءَايَٰتِى وَمَآ أُنذِرُوا۟ هُزُوًا


Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.


Pengajaran


  1. Ayat ini adalah sebagai peringatan supaya kita jangan ikut jejak langkah mereka yang kufur kepada al-Quran. Ini adalah mekanisma yang Allah SWT beritahu bagaimana seseorang itu boleh terhalang daripada mendapat risalah daripada Nabi SAW. 

  2. Cikgu-cikgu, penceramah dan ibu ayah kena menggunakan pendekatan khabar gembira dan memberi peringatan. Kita tidak boleh hanya cakap positif sahaja tanpa memberikan risiko-risiko kalau tidak mengikut hidayah daripada al-Quran. Hendaklah kita sampaikan apa yang terdapat dalam al-Quran.

  3. Orang kufur suka berbahas dan berhujah kerana mereka merasa mereka lebih baik. Ini adalah perangai yang dibawa oleh iblis. Jangan olok-olokan orang yang menyampaikan kebenaran dengan melakukan 'character assassination'.

  4. Ilmu daripada al-Quran memerlukan kerendahan hati seperti Nabi Musa yag kita akan lihat nanti. 



Ayat 18: 57


وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِۦ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِىَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوٓا۟ إِذًا أَبَدًا


Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.


Pengajaran


  1. Ada orang merasa dia sahaja yang benar, seperti perangai iblis. Ada orang yang suka  bermain/berhujah  dengan perkataan dan pendapat sendiri. 

  2. يَفْقَهُوهُ ialah orang yang memasukkan, iaitu faqeh dalam memahami dan mengamalkan apa yang dibawakan oleh Allah SWT. 

  3. Orang yang berpaling itu ada penyumbat di telinganya. Apabila diajak kepada hidayah, dia tidak akan mendapat hidayah kerana dia suka berjidal, berbahas dan suka melupakan peringatan.



Ayat 18: 58


وَرَبُّكَ ٱلْغَفُورُ ذُو ٱلرَّحْمَةِ لَوْ يُؤَاخِذُهُم بِمَا كَسَبُوا۟ لَعَجَّلَ لَهُمُ ٱلْعَذَابَ بَل لَّهُم مَّوْعِدٌ لَّن يَجِدُوا۟ مِن دُونِهِۦ مَوْئِلًا


Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang selain daripadanya.


Pengajaran


  1. Allah SWT Maha Pengampun dan mempunyai rahmah. 

  2. Kalaulah Allah SWT mahu menghukum, Allah boleh cepatkan azab. Namun, Allah SWT memberi masa untuk kita kembali kepadaNya. 



Ayat 18: 59


وَتِلْكَ ٱلْقُرَىٰٓ أَهْلَكْنَٰهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا۟ وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًا


Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.


Pengajaran


  1. Bila berlaku zalim yang berterusan, kemuncaknya ialah ظَلَمُوا۟  لَمَّا. Bila terjadi begini, Allah SWT akan hancurkan. 

  2. Kalau kita tidak ingatkan sesama sendiri, kesannya ialah Allah akan hancurkan bagi sebuah kawasan tersebut kerana itulah perjanjian yang Allah sebutkan dalam ayat ini.



Ayat 18: 60


وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًا


Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".


Pengajaran


  1. Untuk beragama kita perlukan ilmu. Ilmu ada disiplin dan adabnya. Allah SWT kisahkan tentang Nabi Musa AS yang bermusafir untuk menuntut ilmu. 

  2. Nabi Musa AS memberitahu sahabatnya, Yushak bin Nun yang baginda sanggup berjalan terus bertahun-tahun untuk mencari orang yang berilmu. Ini lambang kerendahan hati baginda, tidak seperti iblis atau pengikut-pengikutnya yang mengatakan dialah yang paling pandai.  



Ayat 18: 61


فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًا


Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.


Pengajaran


  1. Apabila sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, mereka berdua terlupa tentang ikan yang mereka bawa lalu ikan itu melompat keluar ke laut.



RESOLUSI


Ingat!


  1. Hargai pengajaran dan isi kandungan al-Quran serta elakkan daripada banyak berbalah (18:54)

  2. Jangan bertangguh untuk menyambut hidayah (18:55)

  3. Manfaatkan peluang umur untuk sentiasa kembali kepada Allah SWT (18:58)


Saya berasa lega, Allah SWT utuskan khabar gembira dan peringatan supaya saya beriman dan kembali kepadaNya. 


Saya jelas saya mesti hargai pengajaran dan isi kandungan al-Quran serta elakkan daripada banyak berbalah. Saya jelas supaya tidak bertangguh untuk menyambut hidayah. Saya jelas untuk manfaatkan peluang umur untuk sentiasa kembali kepada Allah SWT.


Ya Allah, pimpin kami untuk hargai pengajaran dan isi kandungan al-Quran serta elakkan daripada banyak berbalah. Ya Allah, bantu kami agar tidak bertangguh untuk menyambut hidayah. Ya Allah, bimbing kami untuk manfaatkan peluang umur untuk sentiasa kembali kepada Mu.


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...