PERKATAAN HARI INI
سَفَرَ Menjelajah, musafir
12 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Patah balik ke lokasi hilangnya ikan yang dibawa (18: 62-65)
Nabi Musa AS minta izin berguru dan syarat-syarat untuk berguru (18:66-70)
3 peristiwa penuh getir dan sikap Nabi Musa A.S yang tidak penyabar (18:71-74)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur pada hari yang berbahagia ini, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 301 surah al-Kahf. Hari ini kita akan belajar bagaimana menguruskan ilmu.
Surah ini membincangkan tentang empat perkara iaitu: pengurusan iman, harta, ilmu dan kuasa. Di akhir zaman ini kita perlu menguruskan keempat-empat perkara ini dengan panduan al-Quran agar kita tidak mudah diperdaya dengan pelbagai anasir yang boleh membawa kita jauh daripada agama (materialism) apabila kita mengutamakan dunia berbanding dengan akhirat.
Ayat 61 menceritakan perjalanan Nabi Musa dan pembantunya Yushak bin Nun untuk mencari guru. Apabila sampai di pertemuan antara dua laut, mereka terlupa tentang makanan mereka iaitu ikan besar yang sudah dimasak. Ikan itu hidup dan melompat masuk ke dalam laut.
Ayat 18: 62
فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: "Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini".
Pengajaran
Setelah penat (نَصَبًا) berjalan melewati tempat pertemuan antara dua laut, Nabi Musa AS meminta pembantunya bawakan makanan mereka.
Nabi Musa menunjukkan adab yang amat tinggi kepada pembantunya dengan mengajak pembantunya makan bekalan mereka bersama (غَدَآءَنَا ءَاتِنَا- datangkan kepada kita makanan kita).
Yushak ditugaskan untuk membawa makanan itu. Salah satu disiplin berguru, ialah kita hendaklah berkhidmat kepada guru.
Ayat 18: 63
قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًا
Temannya berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan".
Pengajaran
Yushak bin Nun memberitahu, semasa mereka berehat sebentar di batu besar antara pertemuan dua laut, ikan yang dibawanya meluncur ke dalam laut. Yushak memberitahu Nabi Musa AS yang dia terlupa untuk memberitahu kepada Nabi Musa AS tentang itu. Itu petanda Yushak bin Nun amat bertanggung jawab kepada tugas yang diberikan. Katanya, syaitan yang membuatnya lupa.
Dalam hidup kita ini, kalau kita lupa, lakukan zikir. Lupa adalah angkara syaitan. Contohnya lupa baca al-Quran, jaga adab dengan al-Quran, lupa melaksanakan tugas kita.
Bayangkan dalam keadaan penat dan lapar kemudian didapati makanan sudah hilang. Biasanya akan timbul perasaan marah.
Ayat 18: 64
قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًا
Nabi Musa berkata: "Itulah yang kita kehendaki "; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
Pengajaran
Namun Nabi Musa AS yang terkenal tegas orangnya, tetapi kali ini baginda tidak marah. Hal itu mengingatkan baginda tentang tempat yang dicari. Mereka kembali ke tempat itu dengan menurut jejak langkah yang mereka lalui.
Inilah adalah salah satu kaedah pengurusan konflik yang kita boleh belajar daripada Nabi Musa AS. Kalau kita mengharap seseorang buat sesuatu tetapi mungkin ada silap, jangan sampai kita menyokong kepada syaitan. Jangan cepat marah bila berlaku sesuatu yang kita tidak puas hati.
Dalam sejarah, Yushak b Nun adalah protege kepada Nabi Musa AS yang meneruskan misi masuk ke Palestin selepas 40 tahun berlegar di padang pasir. Nabi Musa AS wafat sebelum sempat masuk ke Palestin. Yushak bin Nun kemudiannya berjaya membawa Bani Israel masuk ke Palestin.
Ayat 18: 65
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
Pengajaran
Ini adalah formula untuk mencari guru. Tanda guru yang bagus ialah guru itu pergi mencari guru lain. Yushak belajar dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS pula mencari guru lain yang lebih berilmu daripada baginda.
Mereka bertemu seorang hamba Allah yang diberiNya kasih sayang dan diberi ilmu ladunni, ( عِلْمًا لَّدُنَّا ilmu yang datang terus daripada Allah SWT).
Formula untuk mendapat ilmu ladunni ialah kita perlu berusaha menjadi hamba yang bertaqwa:
Perlu menjadi hamba yang betul-betul beribadah kepadaNya
Allah SWT beri kasih sayang
Allah SWT ajar ilmu terus dari sisi-Nya
Ayat 18: 66
قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"
Pengajaran
Kali pertama berjumpa dengan Nabi Khidir AS, Nabi Musa AS terus meminta untuk belajar dengannya ilmu daripada Allah SWT yang menjadi petunjuk.
Nabi Musa AS yakin itulah guru yang dicari kerana kesan cahaya seorang hamba daripada Allah SWT. Apabila seseorang itu makin dekat dengan Allah SWT, Allah akan memberi signal kepadanya. Ada orang yang kita kenal lama pun, kita tidak yakin untuk bertanya soalan yang membawa kepada kebenaran kerana dengan menjadi seorang hamba, ia akan memancarkan cahaya daripada Allah SWT.
Musafir ilmu adalah penting. Gunakan masa, duit, dan tenaga untuk mencari ilmu seperti yang dicontohi oleh Nabi Musa AS, merendah diri dan terus mencari ilmu. Baginda seorang yang paling alim ketika itu dengan mendapat wahyu, namun Nabi Musa AS tetap mahu mencari ilmu.
Salah satu cara untuk menguruskan cabaran akhir zaman ialah dengan merendah diri dan cari ilmu. Jika kita merasakan ilmu kita sudah banyak dan tidak lagi mahu belajar, dikhuatiri nanti kita kagum dan tertipu dengan tipu daya dajjal.
Ayat 18: 67
قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا
Ia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
Pengajaran
Nabi Khidir AS menjawab yang Nabi Musa AS tidak mungkin dapat bersabar dengannya (مَعِىَ).
Guru kena tahu syarat untuk menerima pelajar.
Anak murid kena sedar untuk mematuhi peraturan/syarat guru. Contoh: Ada guru yang tidak membenarkan anak murid bertukar tempat duduk.
Ayat 18: 68
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًا
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
Ayat 18: 69
قَالَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًا
Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".
Ayat 18: 70
قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا
Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".
Pengajaran Ayat 68-70
Nabi Musa dan Nabi Khidir AS terus berbincang syarat untuk baginda belajar. Tidak mudah hendak bersabar dengan benda yang kita tidak tahu.
Nabi Musa AS mengatakan insya Allah di tengah perbincangan sebelum habis syarat dikemukakan oleh Nabi Khidir AS.
Syarat tambahan yang diletakkan oleh Nabi Khidir AS, ialah Nabi Musa AS tidak boleh bertanya apa-apa pun, walau sekecil mana perkara itu sehingga diberitahu oleh Nabi Khidir AS.
Ayat 18: 71
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا رَكِبَا فِى ٱلسَّفِينَةِ خَرَقَهَا قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا إِمْرًا
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar".
Ayat 18: 72
قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا
Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"
Ayat 18: 73
قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِى بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِى مِنْ أَمْرِى عُسْرًا
Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)".
Pengajaran Ayat 71-73
Mereka berdua naik ke sebuah perahu lalu Nabi Khidir merosakkan sampan itu. Nabi Musa bertanya kenapa baginda berbuat begitu kerana perbuatan itu sangat tidak beretika dan tidak logik (إِمْرًا شَيْـًٔا).
Nabi Musa AS diingatkan yang baginda tidak mungkin bersabar seperti yang Nabi Khidir AS telah beritahu di awalnya.
Nabi Musa AS mengaku yang baginda terlupa. Baginda memohon diberi peluang untuk terus belajar.
Ayat 18: 74
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَٰمًا فَقَتَلَهُۥ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةًۢ بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا نُّكْرًا
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!
Pengajaran
Kemudian mereka berdua berjalan lagi. Mereka berjumpa dengan seorang anak kecil lalu Nabi Khidir AS membunuhnya. Nabi Musa bertanya lagi kenapa dibunuh anak yang tidak bersalah dan dia tidak membunuh sesiapa pun.
Nabi Musa gagal kali kedua.
RESOLUSI
Ingat!
Selalu sedar bahawa lupa itu adalah angkara syaitan yang perlu kita minta dilindungi darinya (18:63)
Jangan cepat melenting tetapi sentiasa lihat kepada visi sesuatu perkara (18:64)
Jadilah hamba yang mendapat rahmat, Insya-Allah akan diberikan ilmu yang baik (18:65)
Saya berasa lega, Allah SWT ajar adab dalam menuntut ilmu.
Saya jelas saya mesti selalu sedar bahawa lupa itu adalah angkara syaitan yang perlu kita minta dilindungi darinya. Saya jelas untuk tidak cepat melenting tetapi sentiasa lihat kepada visi sesuatu perkara. Saya jelas saya mesti jadi hamba yang mendapat rahmat, Insya-Allah akan diberikan ilmu yang baik.
Ya Allah, lindungi kami daripada syaitan yang membuat kami lupa. Ya Allah, ingatkan kami apabila kami lupa. Ya Allah, kurniakan kami sifat kesabaran yang tinggi. Ya Allah, bimbing kami supaya tidak cepat melenting tetapi sentiasa lihat kepada visi sesuatu perkara. Ya Allah, kurniakan kami rahmat dan kasih sayang Mu dan kurniakan kami ilmu yang baik.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.