Friday, August 4, 2023

Halaman 302 : Al-Kahf, 75-83

 PERKATAAN HARI INI

صَحِبَ Melindungi, bersahabat, menemankan.

97 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Lanjutan kisah Nabi Musa AS bersama Nabi Khidir AS (18: 75-82)

  2. Kisah Dzulqarnain dan Yakjuj serta Makjuj (83)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung  pada halaman 302 selepas mengikuti kisah Nabi Musa AS yang menjadi anak murid Nabi Khidir. Berlaku pertanyaan demi pertanyaan daripada Nabi Musa AS walaupun sudah diberi syarat oleh Nabi Khidir AS untuk tidak bertanya hingga ke hujung. Maka terjadilah perpisahan anak murid bersama gurunya. 



Ayat 18: 75


قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا


Ia menjawab: "Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"


Pengajaran


  1. Pada Ayat 74, mereka berdua berjalan dan Nabi Khidir AS telah membunuh seorang budak. Nabi Musa AS mempersoalkan tindakan Nabi Khidir AS.

  2. Nabi Khidir AS menjawab bahawa Nabi Musa AS  tidak sekali-kali akan dapat bersabar belajar dengannya.



Ayat 18: 76


قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَىْءٍۭ بَعْدَهَا فَلَا تُصَٰحِبْنِى قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّى عُذْرًا


Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku".


Pengajaran


  1. Nabi Musa AS sedar diri bahawa baginda telah dua kali gagal. Sebagai pelajar, kena patuh kepada syarat guru selagi tidak menyalahi peraturan.

  2. Nabi Musa AS sebagai seorang pendakwah dan orang yang berbuat kebaikan, tidak mahu melihat sesuatu peristiwa itu tidak betul. 

  3. Nabi Musa AS bersedia untuk berpisah dengan gurunya sekiranya baginda gagal mengikut sekali lagi.



Ayat 18: 77


فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَيَآ أَهْلَ قَرْيَةٍ ٱسْتَطْعَمَآ أَهْلَهَا فَأَبَوْا۟ أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُۥ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا أَجْرًا


Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!"


Pengajaran


  1. Mereka berjalan sampai ke sebuah bandar dan meminta makanan. Adab dalam keimanan kita, jika bertemu orang musafir yang meminta bantuan, kita kena bantu walaupun tidak kenal mereka. Penduduk bandar itu enggan memberi mereka makanan, mereka bengis dan kasar serta tidak melayan tetamu.

  2. Nabi Khidir AS dan Nabi Musa AS bertemu satu bangunan yang hampir runtuh. Mereka keletihan tetapi tetap terus memperbaiki bangunan tersebut.

  3. Nabi Musa AS tidak bertanya apa-apa tetapi mencadangkan supaya mengambil upah sebagai balasan mereka membantu. 



Ayat 18: 78


قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِى وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا


Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.


Pengajaran


  1. Percakapan Nabi Musa itu juga dianggap sebagai oleh Nabi Khidir AS sebagai tidak memenuhi syarat. 

  2. Perkataan وَبَيْنِكَ  بَيْنِى bermakna antara aku dan engkau akan berpisah. Nabi Khidir AS memberi kesimpulan di atas tiga peristiwa yang berlaku sepanjang mereka bersama. 



Ayat 18: 79


أَمَّا ٱلسَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَٰكِينَ يَعْمَلُونَ فِى ٱلْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَآءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

 

Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.


Pengajaran


  1. Sebagai guru yang baik, Nabi Khidir AS memberi penerangan atas tindakan yang telah dibuatnya sebagai pelajaran kepada Nabi Musa AS.

  2. Perahu itu adalah milik nelayan miskin yang mencari sumber pendapatan di laut. Perahu itu dirosakkan kerana ada seorang pemerintah yang akan mengambil perahu itu secara paksa. Jika itu berlaku, habislah mata pencarian bagi nelayan di sekitar. Dengan merosakkan perahu itu, mudharatnya lebih kecil berbanding jika ia dirampas oleh pemerintah. 

  3. Pengajarannya, kita kena elakkan mudarat yang lebih besar. Menurut Imam As-Sa'di, ulama mengistinbatkan hukum, jika ada pilihan, pilih yang lebih kecil kekurangannya itu untuk maju ke hadapan. 

  4. Bila Nabi Musa AS ditegur oleh Nabi Khidir AS, Nabi Musa AS tidak minta maaf kerana baginda tidak lupa janjinya. Baginda bertanya bukan kerana terlupa tetapi kerana tidak mahu lihat kemungkaran berlaku.

  5. Ilmu yang ada pada Nabi Khidir AS lebih tinggi daripada Nabi Musa AS. Perahu itu dirosakkan kerana mudharatnya lebih kecil berbanding jika tidak dirosakkan.

  6. Seorang yang sebenar-benar hamba yang bertakwa, Allah SWT akan mengajar ilmu di sisi Allah (ilmu ladunni). Jangan tersilap faham maksud ladunni. Jangan tertipu dengan sesuatu yang tidak bersumberkan ilmu yang betul. Contoh: orang yang mengaku berilmu tetapi tidak solat.  Jika ada hutang dan buntu nak membayar, kembali kepada Allah SWT dan Allah SWT akan mengajar bagaimana untuk menguruskannya. Bukan pergi berjumpa bomoh.



Ayat 18: 80


وَأَمَّا ٱلْغُلَٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَٰنًا وَكُفْرًا


Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.


Pengajaran


  1. Pemuda  yang dibunuh oleh Nabi Khidir AS, ibu bapanya adalah orang beriman. Dikhuatiri, jika tidak dibunuh,  anak itu akan menyebabkan ibu bapanya kufur nanti. Ini adalah syariat di zaman itu. 

  2. Allah SWT menjaga orang beriman. 



Ayat 18: 81


فَأَرَدْنَآ أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا


Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.


Pengajaran


  1. Nabi Khidir AS bunuh kerana wahyu daripada Allah SWT. Allah SWT mahu memberi anak yang lebih baik kepada ibu bapa tersebut. 

  2. Kita perlu didik anak yang mencapai standard yang disebut dalam ayat ini:

    1. anak bijak yang menyucikan jiwanya dengan al-Quran dan membersihkan akhlaknya

    2. menyanyangi ibu bapanya dan menjaga silaturrahim dengan orang-orang lain. 

  3. Anak yang tidak capai standard ini akan mengotorkan jiwanya dan merosakkan alam. Kalau anak tidak jaga silaturrahim dia main game sahaja, tidak kisahkan ibu bapa, ini akan merosakkan jati diri anak terutamanya pada akhir zaman ini.



Ayat 18: 82


وَأَمَّا ٱلْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِى ٱلْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُۥ عَنْ أَمْرِى ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا


Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".


Pengajaran


  1. Tembok yang ditemui itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim yang ibu bapanya orang soleh. 

  2. Apabila ibu bapa soleh, Allah SWT akan menjaga anak-anak mereka walaupun ibu bapa sudah tiada, termasuk jaga harta yang ditinggalkan oleh mereka.

  3. Hendaklah ibu bapa tambahkan amal soleh agar keturunan mereka dijaga oleh Allah SWT. Menurut Imam Qurtubi, Allah SWT memelihara orang yang soleh sehingga tujuh keturunannya. Ini adalah berkat kesolehan ibu bapa sebagai rahmat daripada Allah SWT.

  4. Jika kita hendak anak terus mendapat kasih sayang daripada Allah SWT, banyakkan amal soleh.

  5. Sebagai kesimpulan kisah Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS, ada tiga pelajaran yang dapat diambil: 

    1. Jaga ekonomi

    2. Jaga supaya jangan ada jenayah di dalam rumah 

    3. Perjuangkan kebajikan orang-orang yang lemah dalam masyarakat.



RESOLUSI


Ingat!

  1. Cuba bina kesabaran ketika menuntut ilmu (18:75)

  2. Sedar tahap kesabaran yang seseorang miliki dan jangan sukarkan guru (18:76)

  3. Yakin Allah SWT akan gantikan sesuatu lebih baik atas apa yang diambil (81)


Saya berasa lega, Allah SWT akan jaga keturunan saya sekiranya saya banyak beramal soleh.


Saya jelas saya mesti cuba bina kesabaran ketika menuntut ilmu. Saya jelas supaya sedar tahap kesabaran yang seseorang miliki dan jangan sukarkan guru. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT akan gantikan sesuatu lebih baik atas apa yang diambil.


Ya Allah, kurniakan kami kesabaran ketika menuntut ilmu. Ya Allah, bimbing kami supaya sedar tahap kesabaran yang seseorang miliki dan tidak sukarkan guru. Ya Allah, kurniakan kami keyakinan bahawa Engkau akan gantikan sesuatu lebih baik atas apa yang diambil.


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...