PERKATAAN HARI INI
مَهَدَ Menyediakan,menghamparkan, membentangkan.
16 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Nabi Musa AS menjelaskan ketuhanan (20:52-55)
Tuduhan bahwa Nabi Musa AS membawa sihir (20:56-59)
Firaun mengumpulkan para penyihir dan peringatan Nabi Musa AS (20:60-64)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 315 Surah Taha untuk memberi inspirasi kepada kita mengenai perjuangan Nabi Musa AS.
Pada ayat 51 Firaun bertanya soalan perangkap kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS kembali ke Istana Firaun bersama Nabi Harun AS dan berhujah dengan bapa angkat yang membesarkannya tetapi kali ini dalam nada yang sedikit berbeza.
Hebatnya Nabi Musa AS kisahnya banyak dan sentiasa ada di dalam al-Quran walaupun tiada satu pun surah atas namanya.
Ayat 20: 52
قَالَ عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى فِى كِتَٰبٍ لَّا يَضِلُّ رَبِّى وَلَا يَنسَى
Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".
Pengajaran
Nabi Musa AS menjawab bahawa ilmu tentang kaum terdahulu semuanya tertulis di dalam kitab. Allah SWT tidak pernah lupa walaupun sekelumit.
Jawapan Nabi Musa AS itu menyebabkan orang ramai tidak marah kepada baginda. Bukanlah fokusnya pendakwah itu untuk menghukum mereka tetapi mengingatkan manusia supaya kembali kepada Allah Azzawajalla.
Ayat 20: 53
ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ مَهْدًا وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّن نَّبَاتٍ شَتَّىٰ
(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.
Pengajaran
Nabi Musa AS menyambung hujahnya bahawa Allah SWT jadikan bumi sebagai hamparan, mengadakan jalan-jalan dan menurunkan hujan dari langit. Allah keluarkan berbagai jenis tanaman dan buah-buahan.
Hamparan bumi di Mesir itu adalah anugerah daripada Allah SWT yang menjadi sumber ekonomi. Bukan Firaun yang mengatur Sungai Nil yang menyebabkan orang bertumpu di bumi Mesir pada waktu itu.
Pelbagai tumbuhan dan segala-gala yang indah berbagai ragam tumbuh-tumbuhan yang berbagai itu bukannya Firaun yang buat. Mesejnya disampaikan dalam bentuk yang lemah-lembut.
Ayat 20: 54
كُلُوا۟ وَٱرْعَوْا۟ أَنْعَٰمَكُمْ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ
Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.
Pengajaran
Nabi Musa AS menyambung hujahnya dengan membawa Firaun memikirkan tentang makanan dan haiwan ternakan.
Orang-orang yang berfikir akan sedar bahawa binatang-binatang ternakan adalah anugerah daripada Allah SWT sebagai sumber makanan manusia
لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ boleh membuat kesimpulan sampai ke hujung sehingga nampak kehebatan Allah SWT yang menjadikan semua yang ada.
Kemahiran berfikir ini penting untuk tidak berfikir seperti lembu. Lembu nampak rumput, dia makan dan makan sahaja. Air yang kita minum, datangnya dari sungai, air sungai datangnya dari air hujan dari awan yang dicipta oleh Allah SWT.
Mesej kepada Firaun dan kepada kita, sila fikir sampai ke hujung, maka kita akan sedar bahawa Allah SWT mencipta segala-galanya.
Ayat 20: 55
مِنْهَا خَلَقْنَٰكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ
Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
Pengajaran
Allah SWT ciptakan kita daripada tanah. Setelah mati, kita dikembalikan ke tanah.
Di akhirat nanti, Allah SWT akan keluarkan kita kembali.
Ayat 20: 56
وَلَقَدْ أَرَيْنَٰهُ ءَايَٰتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَىٰ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.
Ayat 20: 57
قَالَ أَجِئْتَنَا لِتُخْرِجَنَا مِنْ أَرْضِنَا بِسِحْرِكَ يَٰمُوسَىٰ
Firaun berkata: "Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?
Pengajaran Ayat 56-57
Allah SWT nampakkan kepada Firaun semua ayat-ayat kebesaran-Nya yang sesuai. Allah SWT memberi tanam-tanaman dan macam-macam sebagai bukti, namun Firaun tetap mendustakan dan menolak kebenaran daripada Allah SWT. Diharapkan kita bukanlah seperti itu.
Pakej kita mungkin berbeza dengan Firaun. Kita diberi peluang untuk melihat kebesaran Allah SWT seperti kincir Nabi Yusuf AS di Mesir, Niagra Falls di Kanada atau ada yang dapat tengok gunung berapi tetapi ada juga orang yang mendustakan dan mengabaikannya.
Firaun menuduh Nabi Musa AS sebagai pembawa sihir yang hendak mengeluarkan dia dan pengikut-pengikutnya dari bumi Mesir. Firaun membawa propaganda agar orang ramai membenci Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS.
Ayat 20: 58
فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِّثْلِهِۦ فَٱجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِدًا لَّا نُخْلِفُهُۥ نَحْنُ وَلَآ أَنتَ مَكَانًا سُوًى
"Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak".
Pengajaran
Firaun mengambil taktik untuk membawa ahli sihir bagi memastikan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS tidak lepas.
Dia menyuruh Nabi Musa AS menetapkan tarikh untuk satu pertemuan. Dia cuba untuk nampak tenang, sedangkan perasaannya mungkin gelabah juga.
مَكَانًا سُوًى tempat yang adil untuk pertemuan itu akan berlaku walaupun sebenarnya tidak adil kerana Firaun dikelilingi oleh kuncu-kuncunya.
Pemimpin-pemimpin biasanya membuat propaganda menggunakan perkataan seperti 'keadilan' walaupun sebenarnya tidak berapa adil.
Ayat 20: 59
قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحًى
Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".
Pengajaran
Nabi Musa memilih hari temasya dan berkumpul pada waktu dhuha.
Menurut Imam Qurtubi memilih masa itu penting bagi memastikan orang ramai selesa untuk berhimpun supaya kebenaran dapat disebarkan seluas-luasnya,.
Kita juga sepatutnya memilih masa yang sesuai untuk membuat program kebaikan supaya dapat disebarkan seluas-luasnya.
Ayat 20: 60
فَتَوَلَّىٰ فِرْعَوْنُ فَجَمَعَ كَيْدَهُۥ ثُمَّ أَتَىٰ
Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.
Pengajaran
Firaun mengumpulkan segala strategi; ahli sihirnya, propagandanya dan tentera-tenteranya.
Kemudian dia datang kembali. Ini menunjukkan Firaun mengambil serius temasya untuk bertemu dengan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menjelaskan kebenarannya.
Pelajaran untuk kita: Kalau Firaun ambil serius untuk membawa kebenaran, kita yang sudah ada kebenaran kena lebih serius kalau kita buat program kebaikan.
Ayat 20: 61
قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ وَيْلَكُمْ لَا تَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا فَيُسْحِتَكُم بِعَذَابٍ وَقَدْ خَابَ مَنِ ٱفْتَرَىٰ
Nabi Musa berkata kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa".
Pengajaran
Nabi Musa AS mengambil peluang untuk berkomunikasi dengan ahli-ahli sihir yang mengada-adakan penipuan terhadap Allah SWT sebelum mereka berentap.
Nabi Musa AS mengatakan yang mereka akan dibinasakan dengan azab jika mengada-adakan kebohongan dan mereka akan kecewa.
Mereka itu adalah golongan elit yang sentiasa bersekongkol dengan Firaun.
Ayat 20: 62
فَتَنَٰزَعُوٓا۟ أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَىٰ
Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
Pengajaran
Ahli-ahli sihir berasa gundah kerana mereka tidak ada kebenaran. Itu adalah kesan dalam kehidupan apabila berdusta.
Mereka buat mesyuarat rahsia.
Ayat 20: 63
قَالُوٓا۟ إِنْ هَٰذَٰنِ لَسَٰحِرَٰنِ يُرِيدَانِ أَن يُخْرِجَاكُم مِّنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ ٱلْمُثْلَىٰ
Mereka berkata: "Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
Pengajaran
Ahli sihir adalah ahli akademik di zaman itu. Mereka membuat satu lagi propaganda untuk mengipas Firaun.
Mereka kata Nabi Musa AS mahu menghancurkan Firaun agar tidak menjadi contoh teladan kepada negara-negara lain. Pada zaman itu, Istana Firaun adalah sekolah elit umpama Harvard di zaman ini.
Nabi Musa dan Nabi Harun dianggap sebagai penjenayah yang mengganggu ketenteraman awam.
Ayat 20: 64
فَأَجْمِعُوا۟ كَيْدَكُمْ ثُمَّ ٱئْتُوا۟ صَفًّا وَقَدْ أَفْلَحَ ٱلْيَوْمَ مَنِ ٱسْتَعْلَىٰ
"Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini".
Pengajaran
Perkataan ini ada yang kata dari ahli sihir, ada yang kata daripada Firaun.
Mereka membina semangat dengan mengumpulkan ahli sihir cara teratur (صَفًّا). Orang yang berjaya mengalahkan Nabi Musa AS akan jadi popular atau diangkat (ٱسْتَعْلَىٰ).
RESOLUSI
Ingat!
Selalu kembalikan pada Allah SWT jika tidak tahu (20:52)
Perhatikan kehebatan Allah SWT dalam alam ini bagi menguatkan iman (20:53-55)
Jangan mudah terjerat dengan provokasi dalam menyampaikan dakwah (20:57)
Saya berasa lega, Allah SWT ajar agar kembalikan kepada-Nya kalau saya tidak tahu.
Saya jelas untuk selalu kembalikan pada Allah SWT jika tidak tahu. Saya jelas untuk perhatikan kehebatan Allah SWT dalam alam ini bagi menguatkan iman. Saya jelas untuk tidak mudah terjerat dengan provokasi dalam menyampaikan dakwah.
Ya Allah, pimpin kami untuk selalu kembalikan kepada Mu jika kami tidak tahu. Ya Allah, bimbing kami untuk perhatikan kehebatan Mu dalam alam ini bagi menguatkan iman kami. Ya Allah, jauhkan kami daripada terjerat dengan provokasi dalam menyampaikan dakwah.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib